Saturday, May 26, 2007

Hidup kerana sokongan fanatik

Oleh: Mohd Nasir Awang

“AKU setuju. Walau pun bukan akhbar arus perdana, Harakah ada potensi maju ke depan. Ia makin diminati. Lebih penting, ia ada fanatical support daripada ahli PAS. Ia akan maju”, itulah antara kata-kata perangsang yang diungkapkan seorang rakan sebaik diberitahu saya dilamar pihak pengurusan Harakah pada hujung 1989 lalu.

Saya mendaftarkan diri untuk bertugas di ibu pejabat Harakah di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur pada 1 Januari 1990. Menurut surat tawaran, jawatan saya ialah sebagai “Perekabentuk Berkomputer”. Barangkali kemahiran menggunakan program Pagemaker hasil pengalaman mengarang dan menerbit majalah dan buletin sewaktu di kampus banyak diambil kira pihak pengurusan untuk menawarkan jawatan tersebut kepada saya.

Walaupun bidang tugas khusus saya hanya merekaletak mukasurat untuk dicetak, ia sebaliknya menjadi tapak amat bermakna bagi saya menggilap karier di bidang penulisan. Tambahan pula Jalan Pahang Barat ketika itu turut dihuni nama-nama besar di dunia penulisan seperti Subky Latif, Zin Mahmud dan Ahmad Lutfi Othman, yang telah lama saya kagumi.

Saya masuk menggantikan seseorang bernama Lokman Ahmad. Saya tidak sempat mengenali beliau kerana dia dikatakan menapak keluar sejurus sebelum saya menjengah ke situ. Bagaimanapun, rakan-rakan di situ mengatakan rupanya tidak jauh beza dengan adik kandungnya, Abdullah Munawir Ahmad, yang turut bekerja sebagai pemandu di pejabat sama.

Telah ada untuk memandu tugas saya ialah perekabentuk berpengalaman, Alias Kamaruddin. Beliau anak jati Kuala Lumpur, lulusan komunikasi massa dari sebuah universiti tempatan. Kemasukan saya disusuli beberapa rakan lain seperti Taufek Yahaya dari Melaka, Ahmad Tarmizi Mohd Jam @ TMJ (Perak) dan Mohd Sabri Razak (Kelantan) sebagai pemberita. Mereka diawasi Zulkifli Sulong selaku Ketua Pemberita, bersama-sama Zulkifli Yahya (kami memanggilnya Pak Ya), Abu Bakar Mohd Rashid (Hulk) dan Pak Mashudi Bunyani.

Keterbatasan tenaga mahir yang membimbing kami menyebabkan kami saling menunjuk-ajar sesama sendiri. Wartawan veteran seperti Pak Subky dan Ibnu Muslim (Allahyarham Pak Hussain Yaakob) hanya datang seketika di waktu siang, biasanya untuk menaip atau menyerahkan bahan untuk kolum masing-masing.

Yang paling berpengalaman di antara kami hanyalah Zin Mahmud, bekas wartawan Utusan Malaysia sebelum menyertai Harakah dan kini kembali semula ke Utusan Malaysia), Hulk dan Zul Sulong. Ada pun Lutfi lebih banyak menumpukan masa kepada dua majalah yang diurus terbit oleh Jabatan Penerangan PAS Pusat, iaitu al-Muslimah dan Dunia Islam.

Ditakdirkan Allah, dalam keadaan begitulah juga pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan permohonan menerbitkan Harakah dua kali seminggu. Maka bertambah-tambahlah bebanan tugas kami. Sehinggakan saya juga diminta menyumbang beberapa rencana sebagai menampung tugas rakan-rakan. Di situlah secara tidak langsung bermulanya pembabitan saya secara lebih luas dalam penulisan.

Seketika kemudian, penstrukturan semula Jabatan Pengarang Harakah terpaksa dibuat. Beberapa tenaga baru dibawa masuk. Mohd Nor Bujang dan Rosli Daud sebagai perekabentuk, Zalina Bujang (adik Mohd Nor) dan Siti Hajar Ibrahim sebagai jurutaip. Zahrin Ibrahim turut diambil sebagai wartawan. Isteri saya, Saodah Mohd Ajil pula diambil bekerja sebagai penterjemah.

Perubahan kecil perjawatan turut dibuat. Zin diangkat menjadi Pengarang Kumpulan Harakah, dibantu Zul Sulong sebagai Pengarang Harakah dan Lutfi sebagai Pengarang Majalah. Pak Ya dinaik taraf sebagai Pengarang Berita Harakah dan saya pula dilantik sebagai Penyunting Rencana Harakah.

Membantu Lutfi di unit majalah ialah Ruhana Ahmad dan Saridah Abdul Hamid. Lutfi juga diberi tugas menjaga beberapa muka surat Harakah , terutama berkaitan berita kampus dan aktiviti pelajar.

Pengajaran paling bermakna bagi saya sepanjang berkhidmat di situ (Januari 1990 hingga Ogos 1991) ialah semangat bekerja yang ditunjukkan rakan-rakan. Kami bekerja bagaikan satu keluarga. Semangat bantu-membantu dan persefahaman antara kami dalam menyempurnakan tugasan tidak boleh dipertikaikan. Persahabatan erat yang terjalin antara kami terbukti kekal hingga kini, walaupun sebahagian besar kami telah membawa hal masing-masing di serata negara.

Ikatan “kekeluargaan” itu menyebabkan pejabat Harakah bagaikan “rumah kedua” kami. Tiada batasan waktu dalam menyempurnakan tugasan masing-masing. Ia amat dirasai terutamanya di setiap malam deadline, iaitu malam terakhir sebelum Harakah dihantar untuk cetakan.

Kami akan bersengkang mata hingga ke pagi bagi memastikan semua muka surat siap untuk difilemkan. Selalunya tukang filem yang bernama Toh Kuang akan “menemani” kami hingga ke separuh malam, untuk membawa balik mana-mana muka surat yang sempat disiapkan.

Seringkali di atas sebab-sebab politik dan keselamatan beberapa bahan yang telah dipersetujui, bahkan telahpun siap direkaletak, terpaksa ditarik balik. Kadang-kadang berlaku pertindihan atau pengulangan berita, menyebabkan wujud kekosongan ruang.

Saya masih ingat beberapa kali sewaktu saya masih sebagai perekabentuk, Zin akan mengejutkan TMJ atau Sabri yang terlentang di celah-celah meja untuk membikin berita tambahan. Masih terbayang di mata saya bagaimana dengan mamai dan merah mata, TMJ kembali menghadap komputer di sebelah saya memerah idea untuk membikin berita. Waktu itu jam sudah hampir 4 pagi.

Dalam kes lain, Pak Ya yang baru pulang ke rumah sewanya di Rampai Court terpaksa dipanggil semula ke pejabat, juga kira-kira jam 4 pagi, untuk menyediakan bahan tambahan. Namun, atas kepentingan jamaah, kesukaran sebegitu tidak pula dirungutkan. Sebaliknya, kami masih mampu berjenaka dan menyambung tugas di waktu dini hari begitu.

Seperkara yang turut meninggalkan nostalgia bagi saya ialah kehadiran beberapa rakan Cina Muslim yang sering meraikan tugasan malam kami. Antara mereka ialah Kamal Koh, Redhuan Daniel Oon dan Ridhuan Tee. Usikan jenaka dan celoteh lucu mereka sering mengendurkan tekanan dan ketegangan kerja kami.

Tahap kesungguhan rakan-rakan dalam menjayakan Harakah ketika itu amat tinggi. Mereka sanggup bekerja tanpa mengira waktu, walaupun ganjaran yang menanti mereka hanyalah beberapa ratus ringgit sahaja. Seingat saya, yang menerima bayaran paling tinggi antara kami ialah Zin. Itu pun hanya RM770 sebulan.

Barangkali ketika itu bebanan hidup masing-masing tidak mendesak mereka menuntut bayaran lebih tinggi. Ketika itu, TMJ, Taufek, Pak Ya, Alias, Sabri, Zahrin dan Rosli masih belum berumahtangga. Walaupun sekali-sekala kedengaran juga suara nakal mempertikaikan pulangan tidak seberapa itu, komitmen masing-masing terhadap jamaah segera memadamkan desakan itu.

Segala episod yang mewarnai pengalaman saya di Harakah membenarkan kata-kata rakan saya tadi. Bahawa kekuatan utama Harakah ialah sokongan fanatik yang diberikan pendokongnya. Bukan sahaja ahli dan penyokong PAS yang memberikan sokongan fanatik mereka dengan membeli Harakah, kawan-kawan seperjuangan saya yang sanggup bekerja keras dengan pulangan ala-kadar itu juga merupakan satu lagi bentuk sokongan fanatik kepada Harakah.

Saya percaya rakan-rakan yang sedang meneruskan tugas di Harakah sekarang juga memiliki semangat bekerja seumpama kami dahulu. Tidak syak lagi, “sokongan fanatik” pelbagai pihak antara saham utama memungkinkan Harakah menyambut ulang tahunnya yang ke-20 tahun ini.

(Catatan nostalgia ini ditulis khas untuk buku “2 DEKAD TERAJUI PERUBAHAN” yang diterbitkan sempena 20 Tahun Harakah (1987-2007). Kolaborasi diterajui Ahmad Lutfi Othman ini diterbitkan oleh Jabatan Penerangan dan Penyelidikan PAS Pusat, Kuala Lumpur pada 26 Mei 2007)

No comments:

Post a Comment