Sunday, February 4, 2007

Terengganu pelopor perusahaan air ketum


Oleh: Anuwa Jamalullail


Sebuah akhbar harian di minggu pertama tahun ini melaporkan bahawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut telah menubuhkan lapan pasukan khas bagi membanteras kegiatan mengedar, memproses dan menjual air daun ketum di daerah itu. Langkah pembanterasan itu diambil memandangkan gejala penagihan air ketum semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Pihak terbabit dengan gejala itu dikatakan tidak serik mengulanginya walaupun telah ditahan dan dikenakan denda. Tambah membimbangkan pihak berkuasa ialah apabila gejala penagihan itu didakwa banyak menyumbang kepada kes-kes jenayah di daerah itu.

Di minggu berikutnya akhbar sama melaporkan pula kejayaan Polis Terengganu merampas 200 paket air ketum bernilai kira-kira RM600 dan menahan tiga lelaki dalam tiga serbuan berasingan dalam tempoh 24 jam di negeri itu. Dua serbuan tersebut dibuat di daerah Kemaman, manakala satu lagi serbuan dilakukan di Besut.

Kesungguhan pasukan keselamatan membanteras gejala penagihan itu wajar dipuji. Bagaimana pun, usaha memeranginya secara berkesan masih terlalu jauh untuk dikatakan berjaya. Cerita serbuan, rampasan dan tangkapan bersabit kegiatan memproses, menjual dan meminum air ketum itu sudah terlalu kerap dilaporkan. Namun apa yang pasti kegiatan itu masih juga berleluasa di serata negeri.

Jabatan Narkotik Terengganu pernah mendedahkan bahawa Setiu adalah daerah paling banyak dikesan pihaknya berlaku kegiatan penjualan dan penyalahgunaan ketum. Di kalangan penggemar minuman itu, Setiu dianggap ‘syurga ketum’. Di sebilangan kampung di daerah itu air ketum dikatakan dijual secara terbuka, termasuk di kedai-kedai kopi.

Permintaan terhadap air ketum dikaitkan dengan dakwaan ia mengandungi pelbagai khasiat.  Meminumnya dikatakan boleh menambah tenaga kelelakian. Tidak kurang juga yang mendakwa ia dapat melicinkan perjalanan darah. Mereka yang menghadapi rutin harian yang berat seperti bersawah dan berkebun pula mendakwa meminum air ketum memberi mereka kelebihan tenaga.

Bagi penagih dadah pula, air ketum adalah alternatif yang murah kepada dadah. Satu paket air rebusannya dijual antara RM1 dan RM2.

Ekoran permintaan yang tinggi, harga daun ketum kini meningkat daripada RM4 kepada RM16 sekilogram. Dikatakan ada pihak yang memperolehi pendapatan RM2,000 sehari hasil penjualan daun dan air ketum.

Pokok ketum hidup subur di kawasan tanah lembah dan boleh mencapai ketinggian sehingga 25 meter. Daunnya dianggap matang dan sesuai dipetik selepas berusia enam bulan. Dikatakan daun yang lebih tua menghasilkan kesan lebih berkualiti kepada pengguna.

Menurut maklumat Bahagian Penguatkuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan, tiga negeri paling aktif menjalankan kegiatan penanaman, pemprosesan dan penjualan air dan serbuk daun ketum ialah Perlis, Kedah dan Terengganu. Kegiatan pemprosesan air daun ketum bagaimana pun dipelopori penguasa di Terengganu sebelum diikuti pengusaha di Kedah dan negeri-negeri lain.

Bekalan utama daun ketum kepada penguasa di Kedah dan Perlis dikatakan diperolehi dari Perak manakala pengusaha Terengganu mendapatkan bekalan-bekalan dari daerah masing-masing selain dari Keratong, Pahang dan Rembau, Negeri Sembilan.

Kajian mengatakan daun ketum mengandungi tidak kurang 24 jenis alkaloid dan paling signifikan ialah bahan kimia ‘mitragynine’ yang berupaya memberi kesan rangsangan dan psikotropik. Jika diambil dalam kuantiti yang banyak dan berterusan, ia memberi kesan khayal, muntah, pening dan mengantuk. Lebih buruk lagi mengakibatkan sindrom penagihan. Antara simptom awalnya ialah bibir dan kulit penagih ketum menjadi hitam dan kekeringan.

Bermula Januari 2003, kerajaan telah mewartakan ketum ialah bahan psikotropik di bawah Jadual Ketiga Akta Racun 1952. Perbuatan memiliki air atau daun ketum merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama dengan denda tidak lebih RM10,000 atau empat tahun penjara atau kedua-duanya.

Dadah dan bahan psikotropik lain termasuk ketum telah diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara. Undang-undang yang ada juga tidak memandang ringan terhadap mereka yang terbabit dengan bahan terlarang ini. Namun, hingga kini belum ada tanda-tanda kita akan membebaskan diri daripada gejala merosakkan ini.

Sudah sampai masanya, selain penguatkuasaan undang-undang usaha membanteras penagihan ini juga perlu menoleh kepada pendekatan rohani dan keagamaan. Dalam konteks Terengganu, negeri itu pernah menubuhkan Kem Seliaan dan Latihan Pemadam Negeri Terengganu (KESIHAT). Ia merupakan satu pusat rawatan dan pemulihan penagihan dadah secara Islam dan beroperasi di Kem Cadur, Marang.

Amat mendukacitakan rakyat Terengganu apabila usaha murni kerajaan PAS itu tidak diteruskan kerajaan Barisan Nasional sekarang.  KESIHAT dihentikan operasinya sebaik kerajaan negeri beralih tangan semata-mata kerana ia ditubuhkan oleh kerajaan PAS. BN juga tidak menubuhkan pusat rawatan yang baru sebagai gantinya.

Soal rawatan penagihan dadah adalah soal negara dan untuk kebaikan semua. Apakah wajar usaha mana-mana pihak ke arah itu dikesampingkan semata-mata atas sentimen politik?

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, 4 Februari 2007 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment