Thursday, February 1, 2007

Apa Rasional Membantah Peraturan Tudung?


Oleh: Mohd. Nasir Awang

Awal Disember lalu, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengambil keputusan menguatkuasakan peraturan berhubung pakaian wanita yang bekerja di restoran dan pusat-pusat membeli-belah di bandar itu. Di bawah peruntukan Undang-Undang  Kecil Perniagaan itu, mana-mana petugas wanita Islam yang tidak menutup aurat boleh dikenakan denda maksima RM500.

Pengumuman tersebut mengundang reaksi negatif beberapa pihak. Rata-rata yang membantah beranggapan peraturan berkenaan suatu prejudis dan diskriminasi terhadap wanita. Malah ada yang menyifatkannya sebagai mengarut dan tidak masuk akal. Antara pertubuhan yang menyuarakan tentangan ialah Pertubuhan Kebajikan Wanita Kebangsaan (WAO), Pertubuhan Pembangunan Wanita dan Persatuan Tindakan Wanita (Awam).

Jawatankuasa Caucus Parlimen Kesamaan Gender pula menganggap langkah MPKB-BRI itu mengganggu hak asasi kaum wanita. Pengerusinya, Dr. Rozaidah Talib berkata, pakaian merupakan hak individu dan pihak berkuasa tempatan tidak berhak mencampuri atau menentukan fesyen pakaian individu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menjelaskan peraturan tersebut menegaskan apa yang dilakukan oleh MPKB-BRI itu adalah untuk menegakkan kesopanan awam. Katanya, peruntukan undang-undang itu dilaksanakan kepada wanita beragama Islam saja. Manakala wanita bukan Islam dinasihatkan berpakaian sopan sebagai suatu usaha membantu mengurangkan keruntuhan akhlak di kalangan anggota masyrakat.

‘Denda ini hanya untuk orang (wanita) Islam saja. Orang bukan Islam kita minta dia berpakaian sopan’, katanya.

Maksud ‘sopan’ itu dihuraikan lebih lanjut oleh Pegawai Perhubungan Awam MPKB-BRI, Azman Mohd Daham. Ia termasuklah bertudung dan menutup badan hingga ke buku lali bagi wanita Islam. Manakala bukan Islam pula dilarang mengenakan skirt, pakaian yang jarang atau sendat sehingga menampakkan susuk tubuh dan seluar ketat.

Isu pakaian wanita diakui suatu yang sangat sensitif. Sebab itu setiap kali ada pihak membangkitkannya, ia berkembang menjadi polemik dan terus diperkatakan pelbagai pihak.

Langkah baru Kerajaan Kelantan ini wajar dinilai berdasarkan beberapa rasionaliti. Pertama, isu utama di sini ialah hak awam mengatasi hak individu.

Kod pakaian ini adalah untuk dikuatkuasakan kepada mereka yang berada di khalayak ramai, bukan yang berada di rumah atau tempat persendirian. Selagi seseorang itu berada di rumah masing-masing tanpa kehadiran bukan mahram (orang yang sah nikah dengannya), dia bebas memakai apa sahaja. Keadaan adalah berbeza apabila dia keluar dari rumah dan terlibat dengan orang ramai.

Sebuah masyarakat perlu ada undang-undang termasuklah cara berpakaian. Kita hidup dalam masyarakat, bukan tinggal seorang diri dalam belantara. Sekiranya berpakaian sesuka hati ia mungkin menyinggung perasaan dan keselesaan orang lain.

Sepatutnya kehidupan bermasyarakat mengajar golongan yang tidak setuju untuk turut menghormati amalan dan pegangan orang yang lebih besar. Untuk kebaikan majoriti, wajarkah dipertahankan hak segelintir?

Kedua, adalah menjadi tugas sebuah kerajaan Islam untuk melindungi kaum wanitanya supaya martabat dan maruah mereka sentiasa terpelihara. Wanita bukan bahan pameran atau barang dagangan untuk menarik perhatian lelaki. Malangnya kecenderungan ke arah itu semakin berleluasa kini. Hal itu memaksa sesebuah kerajaan mengadakan peraturan bagi membendungnya.

Wanita dicipta untuk berkongsi kehidupan dengan lelaki. Bentuk fizikal wanita diciptakan Allah berlainan daripada lelaki bersesuaian dengan beberapa tugasan yang dikhususkan untuknya.  Kewujudan wanita sebenarnya sebagai pelengkap kehidupan.

Di sudut naluri, wanita dijadikan mudah tertarik kepada berbagai perkara seperti pakaian cantik, pinggan mangkuk, bunga, hiasan dan lain-lain. Kaum lelaki sebaliknya mudah tertarik terhadap wanita mengatasi minat terhadap perkara lain, termasuk kereta, rumah, bunga atau pinggan mangkuk.

Wanita diperintahkan Allah menutup aurat sebagai penghalang kepada rangsangan terhadap lelaki. Walau pun secara fizikal lelaki lebih kuat daripada wanita, dalam aspek menepis godaan, lelaki sebenarnya lebih lemah berbanding wanita.

Daya tarikan istimewa wanita itu tidak wajar disalahgunakan, termasuk bagi melariskan perniagaan. Membiarkan wanita memperagakan susuk tubuh dan kecantikan sebenarnya menjatuhkan martabat mereka yang suci.

Namun itulah persis apa yang dilakukan sebilangan premis perniagaan di Kota Bharu. Pihak MPKB-BRI dilaporkan telah menerima aduan dan rungutan orang ramai yang amat tidak selesa dengan cara berpakaian sebilangan pembantu kedai dan pelayan yang sengaja berpakaian seksi konon untuk menarik minat pelanggan lelaki ke premis mereka.

Penguatkuasaan peraturan itu terpaksa dibuat setelah masih ada antara mereka yang berpakaian menjolok mata walau pun telah bertahun-tahun diberikan nasihat mengenainya.

Hukum menutup aurat sebenarnya telah termaktub dalam al-Quran, bukan baru diciptakan mana-mana pihak. Ia berdasarkan firman Allah s.w.t: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (dari memandang yang haram), dan memelihara kehormatan dan jangan memperlihatkan perhiasan tubuh kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.  (An-Nur 24:31).

Ketiga, kod berpakaian secara umumnya memang wujud dan diamalkan dalam masyarakat sejak sekian lama. Menganggap peraturan menetapkan kod pakaian sebagai melanggar hak asasi sebenarnya hujah yang amat dangkal. Setiap institusi masyarakat memiliki kaedah berpakaian tersendiri. Beberapa jabatan kerajaan dan sektor swasta mensyaratkan pakaian seragam untuk kakitangannya.

Namun, pernahkah kita dengar seorang anggota polis atau tentera membantah pakaian seragam yang ketat atas nama hak asasi individu memilih fesyen pakaian masing-masing? Seorang ibu tidak sepatutnya bercakap soal hak asasi wanita jika ia tidak dapat meyakinkan pihak sekolah mengapa anaknya tidak perlu memakai seluar hijau dan baju putih sewaktu ke sekolah.

Jika peraturan yang ditetapkan manusia pun kita terpaksa ikut, di mana wajarnya kita membantah peraturan Tuhan?

Keempat, pakaian sopan dan menutup aurat bukan halangan mencapai kejayaan. Masyarakat kita sudah menerima realiti bahawa wanita bertudung juga kelihatan menarik dan beridentiti.  Tudung bukanlah halangan bagi wanita untuk berkerjaya.

Dunia penyiaran yang penuh glamour pun sudah memberikan tempat kepada wanita bertudung.  TV3 pernah melahirkan personaliti terbaik seperti Azura, Norahanani, Ezzah dan Fifi yang bertudung. Malah, pertandingan Pengacara Jemputan Nona (PJN) musim 2002 turut memecahkan tradisi apabila memilih wanita bertudung, Norjuma Habib Mohamad, sebagai pemenangnya.

Terbaru ialah langkah stesen tv swasta, TV9 yang tampil dengan imej pengacaranya yang kemas dan bertudung.

Beberapa artis tetap popular meskipun memilih untuk bertudung. Wardina Safiyyah, Aisyah, Waheeda dan Erma Fatima membuktikan bahawa kecekalan mentaati syariat telah mencelikkan mata sesetengah pihak yang kini akur dengan keputusan yang mereka buat.

Apakah lagi rasional yang ada untuk membantah peraturan bertudung itu? Kalaulah dikatakan bertudung boleh menganggu kecekapan tugas seseorang, bagaimana dengan prestasi pegawai wanita di beberapa jabatan yang terlibat dengan penguatkuasaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kastam DiRaja Malaysia (KDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS)?

Bukankah pegawai tertinggi polis trafik negara yang saban malam turun padang berhadapan mat rempit juga seorang wanita bertudung? Bagaimana pula dengan doktor dan jururawat yang sering berhadapan saat cemas menyelamatkan nyawa pesakit pun ramai yang bertudung?

Bertudung juga terbukti bukan halangan bagi seorang atlet. Dunia sukan terkenal dengan imej pakaian bercawat dan seksi. Kononnya pakaian yang banyak di badan akan menghalang pergerakan atlet, terutama dalam acara larian.

Hujah itu bagaimana pun dibuktikan meleset apabila ratu pecut Bahrain, Ruqaya al-Ghasara menewaskan pesaingnya di Sukan Doha Disember lalu. Ruqaya mencatat sejarah sebagai pemenang pingat emas pertama memakai tudung ketika berlari apabila memenangi acara 200 meter pada temasya sukan itu. Dua hari sebelum itu beliau telah memenangi pingat gangsa acara 100 meter.

Suatu kebanggaan juga bagi rakyat Malaysia apabila Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong juga bertudung. Sultanah Nur Zahirah adalah Permaisuri Agong Kedua yang bertudung selepas Tuanku Siti Aisyah. Jika jawatan wanita paling tinggi dalam negara pun mampu dilaksanakan tanpa gangguan disebabkan memakai tudung, apakah yang wajar dipersoalkan lagi oleh wanita bawahan ini?

Sememangnya usaha mendidik masyarakat bukanlah suatu kerja yang mudah. Sebab itu langkah Kerajaan Kelantan tadi berhadapan rungutan dan bantahan, walau pun ia bertujuan ‘mensopankan’ wanita itu sendiri. Tepat sebagaimana kata Menteri Besar Kelantan, ‘sepatutnya wanita Melayu (Islam) puji (peraturan ini), ini tidak (membantah)!’

(Artikelini disiarkan majalah al-Muslimah, Februari 2007 di ruangan 'reaksi' dengan tajuk sama).

No comments:

Post a Comment