Friday, September 1, 2006

Meneliti Punca Tragedi Keluarga


Oleh: Mohd. Nasir Awang

KEJADIAN seorang lelaki mati disembelih anak lelakinya sendiri di Ipoh baru-baru ini amat menggemparkan negara. Ia menambahkan satu lagi kes di dalam ‘senarai panjang’ tragedi keluarga yang semakin menjadi-jadi dewasa ini. Lebih memilukan, ia berlaku hanya empat hari selepas tragedi serupa menimpa kerabat diraja Pahang.

Dalam kejadian pada 28 Julai lalu, Ayub Mahmud sedang bersolat Maghrib di Masjid Sultan Idris Shah I, Sungai Rokam, Ipoh apabila anak lelakinya yang berada di belakangnya tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau dan menyembelihnya. Suspek dikatakan menghidap masalah mental.

Kejadian hampir sama berlaku di kediaman pasangan Tunku Ismail Tunku Sulaiman dan Tengku Puteri Kamariah Sultan Abu Bakar di Pekan, Pahang pada 24 Julai lalu. Tunku Ismail adalah kerabat diraja Negeri Sembilan, manakala Tengku Puteri Kamariah adalah adinda Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah.

Tengku Puteri Kamariah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Tunku Ismail ditemui parah. Kedua-duanya ditetak anak mereka, Tengku Rizal Shahzan, 21, yang dikatakan bertindak di luar kewarasan. Tunku Rizal Shahzan turut dikejarkan ke hospital dan meninggal dunia pada awal malam di hari yang sama.

Dua kes hampir serentak melibatkan tragedi keluarga itu mengundang perbincangan serius pelbagai pihak, khususnya aktivis sosial dan pengamal perubatan. Apa yang jelas, satu kes angkara orang yang ada masalah mental. Satu lagi, berdasarkan keterangan jiran dan saudara terdekat, dipercayai akibat pengambilan dadah.

Kes-kes sebegitu tidak boleh lagi dianggap kes terpencil memandangkan ia sudah acapkali berlaku. Contohnya, pada hari kejadian di Ipoh tadi, media melaporkan seorang ibu berusia 66 tahun dibelasah anak lelakinya yang kurang siuman menggunakan topi keledar. Mangsa juga diseret sejauh 10 meter semata-mata kerana enggan memberikan wang kepada anaknya itu.

Ibu tua tersebut, Kalsom Abdullah dari Jejawi, Kangar, terselamat apabila jeritannya didengari seorang jiran yang kemudian bergegas ke rumah mangsa untuk menyelamatkannya. Nasibnya dikira baik berbanding kes lain kerana tidak melibatkan kehilangan nyawa.

Kejadian pada 1 Ogos 2004 di Kampung Jurung, Sik, Kedah juga dikaitkan dengan masalah mental. Eabau a/l Sin Muan, 70, mati akibat ditetak dengan kapak oleh bakal menantunya dalam kejadian yang berpunca daripada salah faham keluarga. Isteri, anak perempuannya dan cucunya yang berusia sembilan bulan turut tercedera.

Kes-kes berpunca pengaruh dadah juga banyak dilaporkan. Antaranya, pada November 2005 lalu, seorang pemuda membelasah ibunya hingga mati sebelum mencampak mangsa ke cerun berhampiran rumah mereka di Felda Pasir Besar, Gemas.

Lelaki yang dipercayai penagih dadah itu terlebih dahulu memukul bapanya di kepala sehingga menyebabkan mangsa terpaksa menerima 48 jahitan serta retak tulang tangan kirinya. Puncanya hanyalah kerana suspek diarah bapanya memperlahankan bunyi televisyen.

Awal Mei lalu, seorang ibu muda, Azmah Mohamad ditikam mati oleh suaminya sendiri ketika sedang menyusukan bayinya yang berusia enam bulan di rumah mereka di Ampang Hiliran, Kuala Lumpur. Mangsa dikatakan enggan memberikan wang yang diminta suaminya, seorang penagih dadah. Menurut jiran-jiran, suspek memang seorang yang sukar mengawal emosinya.

Tragis bukan, apabila anggota keluarga sendiri menjadi punca tragedi? Tambahan pula, dalam kesemua kes itu orang yang berpotensi melakukan jenayah itu telah dikenalpasti. Sama ada yang bermasalah mental atau penagih dadah, mereka bukan lagi manusia normal. Ada ketikanya mereka boleh bertindak di luar kewarasan.

Penagih dadah memang layak dianggap pesakit mental. Mereka sering menghadapi konflik mental kerana masalah dadah dan kewangan akibat ketagihan. Kesan pengambilan dadah menyebabkan seseorang itu cepat marah, tidak mesra dan paranoid (curiga yang amat sangat).  Adakala mereka berhalusinasi (diganggu bayangan atau suara khayalan) dan cenderung melakukan keganasan.

Beberapa kes lain melibatkan tragedi keluarga bagaimana pun tidak membabitkan masalah mental atau penagihan. Ia sebaliknya ada kena-mengena dengan faktor sosiobudaya, termasuk hubungan persekitaran, pengalaman hidup dan tahap toleransi seseorang itu.

Ada orang yang tahap toleransinya sangat rendah sehinggakan tidak mampu menerima kegagalan dan kekecewaan. Faktor ini terserlah di dalam kes pemandu lori, Liau Kok Keong yang mencekik tiga anaknya hingga mati sebelum menggantung dirinya di Serdang pada 29 Julai 2004.

Kekecewaan turut mendorong K. Sanggita, bersama dua anaknya membunuh diri di atas landasan keretapi di Sungai Gadut, Seremban, awal Julai lalu. Namun, apa pula faktor seorang kontraktor membunuh isteri dan tiga anaknya di rumah mereka di Taman Kota Masai, Johor Bahru pada 11 Mac lalu?

Apa pun puncanya, kita tentu tidak berhasrat melihat tragedi sebegitu menjadi kecederungan masyarakat. Namun, apakah peranan yang dapat dimainkan bagi mengelakkan tragedi itu berulang?

(Artikel ini disiarkan Majalah Dian, September 2006 di ruangan 'Teropong Dian' dengan tajuk sama).

No comments:

Post a Comment