Oleh: Mohd Nasir Awang
APABILA Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memberitahu
hasratnya untuk mengemukakan versi manifesto berbeza bagi negeri-negeri dominan
Melayu dan negeri-negeri yang komposisi penduduk bukan Islamnya agak tinggi,
parti itu dituduh cuba mengkucar-kacirkan pentadbiran negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri
turut mengulas isu berkenaan. Beliau antara lain dilaporkan berkata bahawa
Barisan Nasional (BN) pimpinannya akan tetap dengan satu sistem pemerintahan
yang sesuai untuk semua bangsa, kaum dan agama.
Sebagai reaksi spontan terhadap salah faham tersebut, PAS
secara jelas menegaskan bahawa kewujudan manifesto berbeza untuk negeri-negeri
yang berbeza adalah suatu tindakan yang realistik. Parti itu mengambil kira
realiti setiap negeri, termasuk dari segi komposisi kaum, agama dan
sosioekonomi penduduk. Sudah tentu bagi latar belakang penduduk yang berbeza
mustahak kepada perancangan masa depan yang berbeza.
Walau pun para pemimpin BN cuba menafikan tindakan
realistik PAS itu melalui kenyataan mereka, tindakan yang mereka ambil kini
jelas menepati apa yang PAS lakukan. Tengok sahaja betapa BN negeri-negeri
telah mengemukakan versi manifesto yang berbeza.
Sebagai contoh, mereka mengemukakan tema ‘Membina Kelantan
Terbilang’ dan ‘Islam Hadhari, Terengganu Bestari’ di dua negeri Pantai Timur
itu. Sedangkan di peringkat nasional, manifesto BN bertajuk ‘Cemerlang,
Gemilang, Terbilang’.
Perincian intipati manifesto BN setiap negeri juga jelas
menampakkan perbezaan yang agak jauh antara mereka, sama ada dari segi
perancangan, penekanan dan halatuju pemerintahan. Bukankah hakikat itu sendiri
telah menjawab fitnah BN terhadap PAS sebelum ini?
Manifesto pilihan raya sememangnya menjadi antara bahan
penilaian rakyat terhadap kewibawaan dan halatuju sesebuah parti. Meneliti
intipati ‘Islam Hadhari, Terengganu Bestari’ sebagaimana didedahkan kepada umum
kini, jelas menampakkan bahawa BN Terengganu semacam ketandusan idea. Tidak ada
perkara baru yang cuba dikemukakan yang sekira-kira mampu dianggap sebagai
alternatif terhadap apa yang telah dilaksanakan sepanjang pemerintahan PAS sepenggal
yang lalu.
Antara yang acap dihighlight
daripada manifesto berkenaan ialah soal menaik taraf Kolej Agama Sultan Zainal
Abidin (KUSZA) dan Institut Teknikal Lanjutan Terengganu (TATI), dua institusi
pendidikan berprestij di bawah kerajaan negeri. Soalnya, mengapa BN Terengganu
tidak menggunakan peluang pemerintahannya selama 38 tahun dahulu untuk tujuan
itu? Mengapa tunggu kalah dahulu baru mahu berjanji itu dan ini?
Setahu kita, KUSZA dan TATI kini jauh lebih baik tarafnya
berbanding di zaman BN dahulu. Hanya kursus yang dilulus dan diakreditasi oleh
pihak bertanggungjawab sahaja yang ditawarkan kini. Manakala jumlah program
kembar dengan institusi pendidikan lain juga semakin dimantapkan di kedua-dua
institusi tersebut.
BN Terengganu lewat manifestonya juga menjanjikan tidak
akan mengenakan tol di Jambatan Sultan Mahmud. Ia juga berjanji mempertingkatkan
pembinaan Perumahan Rakyat Miskin. Di manakah bezanya dengan apa yang sedang
dilaksanakan oleh kerajaan PAS?
Bahkan, dalam isu tol itu, BN Terengganu
jelas terpukul kerana ia termasuk di dalam salah satu senarai ‘Umno Bina, PAS
Musnah’. Jika Umno (BN Terengganu) bermaruah, tentu ia kena bina kembali tol
yang telah dimusnahkan oleh PAS itu! Kalau tidak, rakyat akan kata bahawa Umno
telah mengiyakan tindakan kerajaan PAS menutupnya.
Mereka juga menyuarakan hasrat mewujudkan muassasah
gadaian Islam di setiap daerah, sesuatu yang telah diusahakan oleh kerajaan
PAS, tetapi menghadapi sedikit masalah dengan kementerian yang bertanggungjawab
terhadap lesen berkenaan.
BN turut berjanji memperluaskan pinjaman kenderaan secara
Islam dan memperkenalkan pinjaman perumahan secara Islam. Bunyinya tidak jauh
berbeza dengan isi manifesto pilihan raya PAS Terengganu bagi Pilihan Raya Umum
1999 lalu. Jangan-jangan pemimpin Umno Terengganu cedok dari situ tak?
Dalam manifesto lalu, PAS secara jelas menjanjikan dalam
butiran 5.8. Mengadakan skim pinjaman al-Qardhul Hasan untuk kakitangan
kerajaan. Begitu juga dalam hal perumahan, disebutkan dengan jelas dalam
butiran 15.4. Menubuhkan ‘Dana Pinjaman Perumahan Rakyat’ secara Islam. Janji
itu alhamdulillah telah diambil perjalanan oleh kerajaan PAS. Ertinya, janji BN
itu bukanlah suatu yang baru.
Soal mengembalikan elaun guru al-Quran serta Fardhu Ain
turut dimuatkan dalam manifesto BN Terengganu. Sedangkan istilah ‘mengembalikan’
itu sepatutnya digunakan kepada sesuatu yang asalnya ada tetapi kini
ditiadakan. Apakah kerajaan PAS tidak membayar elaun-elaun yang dimaksudkan
itu? Ataukah BN Terengganu yang ‘tidak
khabar’ dan ‘bermimpi di siang hari’?
Di peringkat nasional pula, BN mengemukakan tema
manifesto ‘Cemerlang, Gemilang, Terbilang’. Sekali imbas, tema itu mengingatkan
kita kepada slogan yang sering diutarakan oleh para pendidik negara. Slogan yang
sama pernah dan selalu digunakan untuk program motivasi kanak-kanak sekolah
bagi menghadapi peperiksaan, sama ada UPSR, PMR, SPM atau pun STPM. Apakah BN
mahu meletakkan rakyat sama taraf dengan kanak-kanak sekolah?
Seorang rakan sekelas di sekolah menengah dahulu yang
kini memiliki syarikat perniagaan sendiri di Lembah Klang mengulas manifesto BN
itu. Tulis beliau melalui sms: “CEMERLANG. Banyak graduates tapi X ada kerja. GEMILANG. Banyak gadis Melayu Islam
bertudung tapi kerja GRO. TERBILANG. Banyak kes rasuah tapi yang ditangkap 2je”.
Barangkali ada benarnya kata-kata beliau itu!
(Artikel ini
disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan
Negeri Terengganu (UPNT), edisi 22 Mac 2004 di kolum tetap ‘Bicara Isu’ dengan
tajuk "Manifesto: BN ketandusan idea")