Oleh: Mohd. Nasir Awang
“BERMULA akan manusia itu adalah makhluk ciptaan Allah yang paling sempurna. Allah Ta’ala telah memuliakan kejadian manusia mengatasi makhluk-makhluk lain dengan beberapa kelebihan yang nyata”. (Surah Al-Isra’, ayat 70).
Telah sepakat di kalangan ulama’ bahawa kemuliaan manusia ialah pada lima perkara asas yang menjadi rukun hidup iaitu agama, akal, keturunan, nyawa dan harta. Manusia yang beragama adalah manusia yang bertamadun dan berdisiplin. Di mana hukum dan peraturan agama itu memandu manusia menjadi masyarakat yang teratur dan terarah.
Kemuncak kepada kehidupan beragama ialah ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Sedangkan taqwa itu pula disifatkan oleh Al-Quran sebagai penilai kemuliaan seseorang manusia di kalangan ratusan bangsa dan suku kaum yang diciptakan Allah Ta’ala (baca surah Al-Hujurat, ayat 17).
Akal pula menjadi pembeza antara manusia dan binatang. Sebagaimana mulianya manusia mengatasi binatang disebabkan akalnya, maka begitulah juga mulianya manusia yang berakal mengatasi manusia yang hilang akal.
Kemuliaan manusia juga berkait rapat dengan soal keluarga dan keturunan.
Manusia secara tabi’ie cenderung untuk berbangga dengan keturunan masing-masing. Sebabnya, dari keturunan yang mulialah lahir pula generasi anak-anak soleh yang bakal mendoakan kesejahteraan buat kedua ibu bapa mereka.
Ada pun harga nyawa manusia amatlah tinggi tidak ternilai. Nyawalah yang membezakan segala-galanya. Walau sekurus atau sekerdil mana pun jasad, tetapi disebabkan masih bernyawa, menyebabkan ia mempunyai tempat di atas dunia.
Sebaliknya manusia yang tidak bernyawa tidak mempunyai tempat lagi di atas muka bumi. Tak usah cakaplah sehebat dan seagung mana sekali pun dia sewaktu hayatnya, setelah tidak bernyawa tempatnya hanya di perut bumi.
Kemuliaan manusia juga dinilai pada harta mereka. Islam sendiri mengajar umatnya untuk berusaha mencari harta bagi menyempurnakan tuntutan rukun dan hukum Islam. Dengan hartalah manusia dapat membeli pakaian bagi menutup aurat untuk bersolat. Harta juga menjadi antara syarat kemampuan seseorang menunaikan haji.
Dengan harta juga kita berzakat dan bersedekah. Di masa yang sama Islam mencela perbuatan meminta-minta. Sehinggakan Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa hampir-hampir kepapaan itu boleh membawa seseorang kepada kekufuran.
Terlalu banyak ayat Al-Quran dan hadith yang membicarakan kelebihan kelima-lima perkara di atas. Al-Quran dalam banyak ayatnya menyanjung tinggi orang-orang yang berjihad dengan harta dan nyawa. Rasulullah s.a.w. pula memperakukan seseorang yang dibunuh kerana mempertahankan agama, nyawa dan hartanya mendapat syahid di sisi Allah s.w.t.
Baginda s.a.w. juga memberitahu kita bahawa hanya tiga amalan yang tidak akan putus bagi seseorang yang sudah mati. Tiga amalan itu ialah sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh.
Bagaimanakah seseorang itu mampu bersedekah jika ia tidak berharta? Bagaimana ia mampu mendapat ilmu dan memanfaatkan pula ilmunya kepada orang lain jika ia tidak berakal?
Mampukah seseorang menghasilkan anak yang soleh melalui perhubungan luar nikah, sekaligus mengenepikan soal menjaga keturunan? Ertinya, intipati kepada ketiga-tiga amalan yang dimaksudkan itu berbalik semula kepada tiga asas tadi, iaitu harta, akal dan keturunan.
Sekiranya kita memahami betapa berharganya kemuliaan yang dianugerahkan Allah itu dan betapa pentingnya menjamin ia terpelihara, maka akan mudahlah pula kita mencari rasionalnya mengapa mesti diwujudkan hukum atau undang-undang.
Fungsi undang-undang ialah bagi mengawasi manusia agar tidak melangkaui batas sempadan yang mampu merobek kemuliaan yang telah dianugerahkan oleh Allah Ta’ala itu.
Islam mengajar manusia bahawa Tuhan pencipta alam telah menetapkan peraturan dan undang-undang kepada semua makhluk-Nya termasuk manusia. Di sana jelas terdapat pertautan yang sangat erat antara peraturan dan undang-undang Allah, terutamanya Hudud dan Qisas, dengan naluri tabi’ie manusia yang cintakan kebaikan dan kemuliaan.
Dalam perkara Qisas, Islam sebenarnya memberi perlindungan kepada kemuliaan nyawa dan jasad manusia supaya tidak boleh diperlakukan sewenang-wenang, sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan.
Hukum mengenai zina pula bagi mencegah keruntuhan institusi kekeluargaan dan keturunan, selain turut membasmi penyakit-penyakit kelamin yang sangat merbahaya. Begitu juga dalam perkara qazaf (menuduh zina tanpa bukti), bagi mengelakkan manusia menjadi mangsa fitnah sesama sendiri.
Hukum mengenai merompak dan mencuri pula adalah bagi melindungi kemuliaan harta. Manakala hukum berkaitan meminum arak ialah bagi menghargai kemuliaan akal yang waras yang menjadi pembeza antara manusia dan binatang.
Ada pun hukum berkaitan murtad ialah agar manusia tidak mempersenda-sendakan kemuliaan ikrar dan perjanjian mereka dengan Allah dan umat Islam.
Jelaslah bahawa tujuan hukum dan undang-undang Islam adalah untuk menghukum orang-orang jahat disebabkan kejahatan yang mereka lakukan. Ia juga sekaligus bermaksud mencegah orang-orang yang berniat melakukan kejahatan itu agar tidak meneruskan niat jahatnya.
Secara tabi’ie, manusia yang waras cenderung kepada kebaikan dan bencikan kejahatan. Justeru, sikap bencikan hukum dan undang-undang yang bertujuan membasmi kejahatan boleh diertikan sebagai bersetuju atau bersimpati dengan kejahatan.
Sedar atau tidak, manusia sebegitu sebenarnya telah mengambil sikap yang bertentangan dengan tabi’ie kejadian manusia itu sendiri.
Ada pun kemudian daripada itu, fikir-fikirkan dan renung-renungkanlah!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 53, 22 Ogos 2002, di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment