Monday, July 8, 2002

Perginya Seorang Pejuang Ummah

Oleh: Mohd. Nasir Awang
TANGGAL 23 Jun 2002, jam 10.30 pagi seorang pemimpin kesayangan ummah telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras.
Ketua Pembangkang Malaysia yang juga Presiden PAS, Dato’ Fadzil Mohd. Noor kembali ke rahmatullah setelah sekian lama mewakafkan dirinya untuk Islam.
Allahyarham dilahirkan sebagai Ali @ Fadzil bin Md. Noor pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah.
Beliau merupakan anak sulung daripada empat anak pasangan Md. Noor Abdul Hamid dan Hindun Abdul Rahman.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga tahun 1946 dan di Maktab Mahmud (1951).
Semasa bersekolah lagi beliau aktif berpersatuan dan memegang berbagai jawatan, antaranya sebagai Setiausaha Persatuan Agama Kedah dan Setiausaha Persatuan Pelajar Melayu Alor Setar.
Melanjutkan pengajian dalam Kursus Perundangan Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir pada 1963 dan aktif sebagai Ketua Penerangan, Setiausaha dan Timbalan Presiden Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
Sekembali ke tanahair pada 1967, menjadi guru agama di alma maternya, di samping menjawat Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Kedah.
Pada tahun 1973, mula berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).  Beliau mula aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebagai Setiausaha Penerangannya (1973-1974), sebelum menjadi Timbalan Presiden (1974-1978).
Pada tahun 1974 itu juga beliau menjadi Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM).  Buat seketika, beliau dianggap pemimpin sebenar ABIM bilamana presidennya, Anwar Ibrahim (kemudian Dato’ Seri) ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Ketika itu ABIM dianggap sebagai kumpulan radikal Islam sementara PAS pimpinan Dato’ Mohd Asri Muda lebih kepada parti konservatif yang menjadi komponen Barisan Nasional (BN).
Apabila PAS keluar daripada BN tahun1978, Allahyarham meninggalkan ABIM dan menyertai parti itu. Dalam pilihanraya tahun itu, beliau bertanding di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Merah, tetapi tewas kedua-duanya.
Setahun kemudian, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Agung PAS sebelum dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung (sekarang Naib Presiden) pada 1981 dan dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah.
Pada 1980, mewakili PAS dalam Pilihanraya Kecil DUN Bukit Raya tetapi tewas dengan majoriti tipis.
Dalam pilihanraya 1982, beliau berjaya merampasnya daripada BN, walau pun kalah bagi kerusi Parlimen Ulu Muda.
Pada tahun itu juga dilantik menjadi Pemangku Timbalan Yang Dipertua Agung PAS ekoran perletakan jawatan Asri.
Beliau turut dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah sebelum disahkan menjadi Timbalan Yang Dipertua Agung pada 1983.
Dalam pilihanraya 1986, beliau mengekalkan DUN Bukit Raya dengan peningkatan majoriti yang besar, sekali pun gagal di Parlimen Kuala Kedah.
Pada 1988, mula memangku Yang Dipertua Agung PAS apabila Haji Yusof Abdullah Ar-Rawa keuzuran. Muktamar PAS ke-35 pada 1 April 1989 mengesahkan jawatan beliau itu.
Dalam masa yang singkat, PAS di bawah pimpinan beliau berubah corak daripada parti yang dianggap kampungan dan konservatif kepada sebuah gerakan Islam yang dinamik dan progresif.
Kebanjiran cendiakawan, profesional dan ilmuan Islam ke dalam PAS bagaikan tidak terbendung lagi.
Dalam pilihanraya 1990, beliau mempertahankan DUN Bukit Raya, walau pun tewas bagi kawasan Parlimen Pendang. Manakala parti pimpinannya telah berjaya merampas Kelantan daripada BN.
Pada 1999, beliau menang kedua-dua kawasan yang ditandingi iaitu di DUN Anak Bukit dan Parlimen Pendang. Manakala PAS berjaya menempa satu lagi kejayaan pemerintahan, iaitu di Terengganu.
Dengan keupayaan PAS menguasai 27 kerusi Parlimen dan menjadi parti pembangkang terkuat, Allahyarham dipilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
Di ketika beliau sedang dikasih dan disayang itulah, di saat para pengikutnya sedang rancak berbincang mengenai pelaksanaan Islam di celah-celah ruang demokrasi, di ketika ummah mengorak langkah ke arah kemenangan, beliau dijemput pulang oleh Yang Maha Penyayang.
Allahyarham, 65, yang menjalani pembedahan pintasan koronari di HUKM pada 10 Jun lalu meninggal dunia 13 hari kemudian akibat komplikasi angin ahmar dan septisimia. Allahyarham pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu pada 10 Mei setelah mengadu sakit dada dalam perjalanan memantapkan pelaksanaan hukum Allah di bumi Terengganu ini. Beliau juga difahamkan menghidap kencing manis dan hypoglycaemia (kadar gula rendah) sejak 17 tahun lalu.
Tetapi, berbeza daripada rakan sejawatnya dari sebuah parti lain, beliau tidak pula terfikir mengambil cuti rehat atau meletakkan jawatannya untuk melakukan ibadat. Kerana, bagi beliau, melibatkan diri dalam politik Islam adalah satu ibadat.
Beliau juga tidak menangis di hadapan khalayak ramai bagi meraih sokongan dan simpati.  Kerana, seorang pemimpin dan pejuang ummah tulen semestinya seorang yang tabah dan cekal menghadapi karenah perjuangan.
Semoga ketabahan beliau itu menjadi iktibar kepada kita yang masih bernafas ini. Allah jualah yang akan mencucuri rahmat ke atas roh Dato’ Fadzil. Al-Fatihah!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 50, 8 Julai 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment