Oleh: Mohd. Nasir Awang
PERSIDANGAN Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-10 pada 7 hingga 9 Julai lalu mencatatkan satu lagi sejarah gemilang umat Islam di negeri ini. Setelah dibentang, diperbahas dan diperkemaskan, maka satu enakmen yang dinamakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Negeri Terengganu 2002 telah diluluskan oleh sidang DUN berkenaan.
Kesemua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PAS menyokongnya. Manakala tiga ADUN pembangkang berkecuali, dan seorang lagi tidak menghadirkan diri.
Ternyata daripada apa yang berlaku itu bahawa kekuatan politik adalah sangat diperlukan untuk membolehkan hukum Islam dikuatkuasakan. Itulah juga yang pernah diingatkan oleh Imam Al-Ghazali rahimahullah. Katanya, agama itu adalah asas, dan pemerintahan itu adalah pengawal. Barang yang tidak ada asas akan runtuh dan barang yang tidak ada pengawal akan hilang.
Ertinya, pemerintahan tanpa agama akan runtuh, agama tanpa pemerintahan akan menghadapi kesukaran dalam melaksanakannya.
Dalam konteks itu, pilihan rakyat Terengganu kepada PAS adalah sangat tepat, kerana dengan wujudnya kerajaan baru di bawah pimpinan parti itu, maka satu demi satu hukum dan peraturan Islam telah dapat dilaksanakan.
Pelaksanaan itu bermula dengan perkara-perkara ‘kecil’, dalam ertikata ianya tidak memerlukan pindaan undang-undang tubuh negeri.
Ianya termasuklah menghapuskan sistem pinjaman tanpa riba kepada kakitangan kerajaan, meletakkan tanda zikrullah di tepi jalan, membatalkan lesen premis judi dan arak, mengawal pusat hiburan, memprogramkan rakyat dengan pembangunan insan dan berbagai lagi.
Perubahan-perubahan tersebut sering dianggap ‘kecil’ dan remeh oleh sesetengah khalayak. Malangnya tempoh hampir 40 tahun pemerintahan lalu terbukti tidak berupaya melakukan perubahan walau pun ‘sekecil’ itu. Sebabnya ialah kerana Islam bukan menjadi asas kepada pemerintahan mereka.
Sebab itu mereka cenderung memilih-milih hukum Allah mengikut kemahuan sendiri. Mereka teragak-agak untuk meninggalkan perkara yang diharamkan Allah, kerana merasakan perkara itu dapat memuaskan hawa nafsu dan menyenangkan mereka.
Lebih buruk lagi, ada di kalangan mereka merasakan terlalu takut untuk melaksanakan Islam. Sedangkan Al-Quran telah mengingatkan kita bahawa perasaan takut untuk melaksanakan Islam itu adalah hasil hasutan syaitan belaka. Di dalam Suratul Baqarah ayat 268, Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud:
“Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan, sedang Allah menjanjikan untukmu keampunan daripada-Nya dan kurnia yang banyak”.
Mereka merasakan yang haram itulah yang membawa kebaikan. Sebab itulah hampir 50 tahun memerintah negara, mereka tidak terlintas untuk mengharamkan riba, arak dan judi. Kerana apa yang mereka fikirkan ialah perkara-perkara itu mampu memberikan pulangan hasil kepada kerajaan.
Sebab itulah, di saat kita begitu serius melaksanakan hukum hudud mereka sebaliknya memikirkan bagaimana untuk berhelah supaya hukum itu tidak dilaksanakan. Itulah yang jelas dapat difahami oleh rakyat melalui siri ucapan para pemimpin negara. Ditambah lagi dengan siri propaganda media massa, termasuk siri perbincangan di kaca televisyen.
Ulama’-ulama’ semacam dikerah dan diajar supaya mencari nas-nas yang membolehkan hukum Allah itu ditangguhkan pelaksanaannya. Atau, kalau boleh dibatalkan sahaja niat melaksanakannya.
Kalau ada nas-nas yang terang, ditakwilkan pula mengikut kemahuan dan kehendak mereka dan bukan berdasarkan kepada mengabdikan diri kepada Allah Ta’ala.
Apakah mereka tidak pernah bersua dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan tidak harus bagi seorang lelaki yang beriman dan seorang perempuan yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya mengutuskan satu-satu perkara dalam urusan mereka, lalu mereka membuat pilihan yang lain (dari apa yang diputuskan oleh Allah dan Rasul itu).
“Barang siapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia sesat dengan kesesatan yang nyata”, (surah Al-Ahzab: 36).
Maha Benarlah Allah Ta’ala dengan firman-Nya itu apabila kita dapat melihat dengan jelas dewasa ini betapa sesat dan haru-birunya dunia ekoran mereka memilih hukum dan peraturan hidup yang lain dari apa yang diturunkan oleh Allah dan RasulNya.
Apabila kita tidak menegakkan hukum Allah, bermakna kita menggalakkan berlakunya kekotoran maksiat dan kemungkaran yang mencemarkan masyarakat.
Allah Yang Maha Mengetahui. Dialah yang menciptakan langit dan bumi. Dia yang menciptakan kita semua dan segala perkara yang berkaitan dengan kehidupan kita. Maka sudah tentu Dialah juga yang Maha Mengetahui bagaimana untuk manusia mengatur hidup dengan sebaik-baiknya.
Untuk itu, Allah s.w.t. menurunkan hukum-hakam kepada manusia. Hukum Allah s.w.t. adalah pembeza antara ma’aruf dan mungkar, halal dan haram, taat dan maksiat. Hukum Allah adalah pembersih masyarakat daripada segala kekotoran maksiat dan mungkar.
Renungkanlah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Satu hukuman hudud yang dilaksanakan di bumi dengan haknya lebih membersihkan daripada hujan rahmat selama empat puluh pagi.”
Percayalah bahawa hukum Islam yang kita laksanakan ini, termasuk hudud dan qisas, akan mengundang rahmat dan barakah dari Allah s.w.t.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil 51: 22 Jul 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment