Friday, January 26, 1990

Pelancong Barat tidak bertamadun?


Saudara Pengarang,
MINGGU lalu saya berkesempatan mengunjungi Bandaraya Kuala Lumpur. Itulah kali pertama saya ke sana sejak projek Tahun Melawat Malaysia (TMM) dilancarkan.

Di mana-mana jua sekitar perbandarannya jelas kelihatan suasana kepestaan TMM itu. Ianya menggambarkan suatu keghairahan yang bersangatan di kalangan, bukan sahaja Sabbaruddin Chik dan anak-anak buahnya, malah pengusaha-pengusaha pengangkutan, penempatan dan lain-lain agensi terbabit.

Matlamat dari semua itu, saya pasti, ialah untuk memikat dan memuaskan hati para pelancong yang datang dari berbagai negara, khususnya dari negara-negara Barat.

Apa yang mendukacitakan saya, sebagai seorang rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, ialah sikap kita yang terlalu ‘berlembut’ dengan perangai dan tingkah laku para pelancong Barat, hatta di dalam soal kesopanan dan kemurnian budaya.

Maksud saya, kita rakyat Malaysia sentiasa terkenal dengan kesopanan dan ketertiban, sama ada dalam cara bertutur atau bergaul. Paling jelas ialah cara kita berpakaian yang sopan dan menutup badan. Kalau ada yang dedah pun, ianya tidak lah terlalu menjolok mata.

Ertinya, kesopanan itu sudah menjadi darah daging masyarakat negara kita, sama ada sopan bertuturkata atau sopan berpakaian. Bagi kita rakyat Malaysia, itulah yang dinamakan sifat orang yang bertamadun.

Kerana kita diajar bahawa sifat tidak berpakaian, atau pun hanya memakai cawat sahaja dan tidak pandai menjaga kebersihan tubuh badan, berbau busuk dan hamis, itu merupakan sifat-sifat orang yang tidak bertamadun. Sifat-sifat berkenaan hanya layak dimiliki oleh orang-orang sakai yang tinggal di dalam gua-gua atau pondok-pondok atas pokok yang masih jauh dari mencium bau tamadun dunia.

Umum dunia juga mengetahui bahawa taraf ketamadunan negara-negara Barat adalah jauh lebih ke hadapan di segi kemajuan dunianya jika dibandingkan dengan negara kita. Namun, apa yang dapat saya nilaikan daripada cara para pelancong Barat berpakaian amatlah tidak munasabah dengan ketamadunan mereka.

Misalnya, apa yang saya kebetulan terlihat sewaktu berjalan-jalan di Chow Kit minggu lalu, terdapat beberapa orang pelancong kulit putih keluar-masuk ke kedai-kedai di situ dengan hanya berseluar singkat tanpa berbaju. Ianya sekaligus menampakkan bulu-bulu badan yang menjijikkan. Ada pula sepasang yang lain, berkepit dan bercium-ciuman di khalayak ramai tanpa rasa segan dan silu.

Apa pun peranggapan tamadun Barat terhadap kaedah berpakaian dan norma kehidupan sedemikian, bagi kita ianya amat tidak sopan dan jauh sekali untuk dianggap bertamadun. Malangnya, para pelancong tersebut kelihatan begitu bebas menggayakan fesyen pakaian dan cara hidup ‘primitif’ mereka tanpa menerima sedikit pun teguran atau apa-apa tunjuk ajar yang sewajarnya.

Cara hidup ‘ganas’ sebegitu amat asing bagi masyarakat negara kita ini. Kita tentunya tidak mahu ianya terus dipamerkan untuk jadi tontotan anak-anak muda kita. Lebih buruk lagi kalau ianya mula jadi ikutan anggota masyarakat kita. Maka perlakuan tidak bertamadun itu wajar dicegah segera.

Saya tidak pasti pihak manakah yang lebih wajar untuk dipertanggungjawabkan di dalam hal ini. Namun, jika mahu dipersalahkan orang ramai, tentu sekali tidak wajar. Orang ramai tentu keberatan untuk menegur atau melakukan sesuatu terhadap para pelancong asing tersebut, bimbang kalau-kalau ianya nanti mencanggahi naluri dan aspirasi TMM yang mendapat promosi penuh kerajaan.

Oleh kerana kerajaan dan agensi-agensi pelancongan yang menaja TMM, maka saya kira merekalah yang lebih wajar menerima kritikan ini.

A.R. Che Muda,
Air Tawar, Besut.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, edisi 29 Jamadil Akhir 1410/26 Januari 1990
 di ruangan ‘Assalamu’alaikum’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment