Friday, January 12, 1990

Angkatan adalah juara perpaduan


Oleh: Mohd Nasir Awang
                                                    
Petaling Jaya: Naib Yang DiPertua PAS, Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok menganggap bahawa Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah gagal untuk menjadi “juara perpaduan” apabila Tengku Razaleigh Hamzah mengemukakan asas perpaduan yang lebih luas daripada asas perpaduan yang diperjuangkan oleh Umno Baru.

Menurut Dr. Daeng Sanusi, kejayaan PAS, Semangat 46, Berjasa dan HAMIM melahirkan Angkatan Perpaduan Ummah telah menyebabkan Dr. Mahathir juga berhasrat untuk menyatu-padukan ummah ala-Umno.

“Dr. Mahathir ingin dan berhasrat untuk menjadi “juara perpaduan” dan beliau tidak bersedia memberi gelaran “juara perpaduan ummah” itu kepada PAS dan Semangat 46.

Oleh kerana terlampau ingin hendak mendapatkan gelaran “juara perpaduan” ummah itu, beliau bersedia untuk menemui Tengku Razaleigh Hamzah demi untuk perpaduan bangsa Melayu, katanya.

Tetapi Tengku Razaleigh Hamzah lebih arif mengenai konsep perpaduan yang dikehendaki oleh Dr. Mahathir itu, dan beliau lantas mengemukakan lapan resolusi yang diputuskan oleh Perhimpunan Khas Semangat 46 (baru-baru ini) sebagai syarat mutlak untuk bersatu semula dengan Umno.

“Saya tidak fikir Dr. Mahathir akan menerima satu pun dari lapan resolusi yang dikemukakan oleh Tengku Razaleigh Hamzah itu. Dan bila Presiden Umno itu tidak mahu menerima syarat-syarat yang dikemukakan Tengku Razaleigh Hamzah itu, maka bererti beliau menolak perpaduan dan beliau gagal untuk mendapatkan gelaran “juara perpaduan” yang diidaminya itu. Setakat itu, nampaknya juara perpaduan ummah itu memihak kepada Angkatan Perpaduan Ummah”, ujar Dr. Daeng Sanusi.

Naib Yang DiPertua PAS itu juga berpendapat bahawa tujuan Dr. Mahathir hendak menemui Tengku Razaleigh Hamzah bukan kerana hendak mencari perpaduan, tetapi sebaliknya dengan tujuan untuk memecah-belahkan perpaduan di kalangan parti-parti pembangkang.

Menurut beliau, satu peruntukan khas telah disediakan untuk membiayai gerakan untuk memecah-belahkan perpaduan di kalangan parti-parti pembangkang.

Beliau mengingatkan ahli-ahli PAS dan para pendukung Angkatan Perpaduan Ummah supaya berwaspada terhadap gerakan sulit parti pemerintah itu. Pihak Umno akan menggunakan apa sahaja untuk menghancurkan perpaduan di kalangan parti-parti yang mendukung Angkatan Perpaduan Ummah.

“Dalang-dalang Umno sudah bergerak di kawasan-kawasan tertentu untuk menimbulkan kecurigaan di kalangan ahli-ahli PAS dan ahli-ahli Semangat 46”, ujar beliau.

(Catatan ini adalah berita yang disiarkan akhbar Harakah, edisi 12 Januari 1990 dengan tajuk sama. Ia merupakan antara hasil tulisan terawal disiarkan akhbar berkenaan, juga antara percubaan awal menulis berita, sesuatu yang agak berlainan dengan penulisan artikel.)

No comments:

Post a Comment