Sunday, June 1, 2008

Kes Dr Mahathir serlah rupa sebenar Umno


“Jika dulu orang kata kununnya saya berkhidmat kepada negara, cium tangan naik asap, tapi bila saya kritik Datuk Seri Abdullah pasal tak buat jambatan, orang maki saya. Tiada siapa dalam Umno mempertahankan saya.”

Oleh: Anuwa Jamalullail

ADA beberapa pemerhatian yang dapat dibuat ekoran kemelut dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bau-baru ini. Antaranya, ia menyerlahkan sifat sebenar para pemimpin dan ahli Umno, terutama berkait hubungan, sokongan dan taat setia antara mereka. Ia jelas tergambar menerusi kenyataan Mahathir itu dan reaksi para pemimpin Umno terhadap pendirian tersebut.

Pada 19 Mei, bekas Presiden Umno itu mengejutkan negara apabila mengumumkan keluar daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta. Beliau menegaskan, tindakan itu diambil kerana beliau hilang kepercayaan terhadap keimpinan Umno sekarang, terutama Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau mendakwa penggantinya itu telah gagal memperjuangkan nasib bangsa Melayu.

“Saya dengan ini mengumumkan keluar parti hari ini sehingga Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah meletakkan jawatan. Saya juga meminta ahli Umno yang sayangkan parti, mengambil tindakan yang berani ini untuk keluar parti dan kita menyertai semula Umno apabila Datuk Seri Abdullah melepaskan jawatan”, katanya pada satu majlis dialog di Alor Setar.

Pengumuman bekas pemimpin nombor satu yang juga ahli Umno seumur hidup itu bukan sahaja mengejutkan, malah membuktikan betapa pertelingkahan beliau dengan Abdullah sudah sampai ke kemuncaknya.

Sebelum ini Mahathir telah beberapa kali secara terbuka membuat serangan peribadi terhadap pengganti yang dipilihnya sendiri itu. Abdullah didakwanya tidak sesuai menjadi pemimpin kerana antara lain terlalu lembut dan lembik apabila terlalu mudah tunduk kepada tekanan pihak asing dan desakan beberapa pihak dalam negara.

“Kononnya pada zaman saya tidak ada kebebasan, semua orang takut dan (anehnya) ada yang kata saya ini lembik, tetapi (orang) takut pula pada si lembik”, kata Abdullah pada sidang media selepas Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno, 6 April lalu.

Ulasan sinis itu secara jelas ditujukan kepada Mahathir. Abdullah malah menegaskan beliau tidak akan sekali-kali tunduk kepada desakan bekas ketuanya itu agar beliau melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan.

“Kenapa saya nak letak jawatan? Saya ada kerja nak dibuat”, katanya, sebagai reaksi pertama kepada pengumuman Mahathir, 19 Mei lalu.

Banyak pihak menyifatkan tindakan Tun Mahathir mengumumkan keluar parti itu sebagai kemuncak desakannya agar Abdullah berundur. Reaksi diberi para pemimpin Umno terhadap percaturan itu bagaimana pun agak pelbagai.

Kebanyakan mereka menyatakan terkejut dengan keputusan Tun Mahathir dan menyifatkannya suatu yang merugikan Umno dan negara. Ada yang mengharapkan tokoh terbilang itu mengkaji semula tindakannya dan mencari penyelesaian lebih baik demi parti dan kerajaan.

Tidak kurang juga yang menyambut baik “pemergian” Tun Mahathir daripada Umno. Malah, ada yang menyifatkannya sebagai “duri dalam daging” dan ketiadaannya akan menghilangkan satu faktor yang menjadi “bebanan” kepada parti itu kebelakangan ini.

Komen-komen sedemikian, yang datangnya daripada pemimpin terbilang Umno, menggambarkan betapa persengketaan dalaman parti itu sudah tidak dapat disembunyikan lagi. Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menilai episod itu sebagai tanda krisis dalaman Umno kian meruncing.

Apakah kepincangan paling dahsyat bagi sesebuah parti selain kesanggupan bekas pemimpin utamanya bertindak meninggalkan parti itu? Apatah lagi tindakan diambil Tun Mahathir itu rupa-rupanya sudah didahului bekas pemimpin Umno lain.

Suatu yang agak mengejutkan apabila bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid mendedahkan bahawa beliau telah lama meninggalkan parti itu. Beliau mengakui sependapat dengan Tun Mahathir mengenai Umno yang ada kini.

Apa yang berlaku terhadap Tun Mahathir kini juga menyerlahkan sifat bermuka-muka ahli Umno dalam memberikan sokongan dan kesetiaan kepada seseorang pemimpin. Dr Mahathir menyebutkan, “jika dulu orang kata kununnya saya berkhidmat kepada negara, cium tangan naik asap, tapi bila saya kritik Datuk Seri Abdullah pasal tak buat jambatan, orang maki saya. Tiada siapa dalam Umno mempertahankan saya”.

Sebetulnya, kesetiaan palsu orang Umno kepada pemimpin mereka bukan suatu fenomena baru. Sifat ini amat sukar dinafikan wujud di dalam Umno.

Apa yang dicoretkan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub adalah satu contoh yang sangat baik. Beliau antara bekas pemimpin utama Umno yang sangat setia kepada parti.

Namun, selepas kekalahannya kepada calon PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 lalu, beliau hilang kedudukan dalam parti dan Kabinet. Megat Junid merakamkan kekecewaannya atas tabiat buruk ahli Umno yang serta-merta hilang kemesraan terhadapnya menerusi dua buah bukunya, iaitu Getek (2000) dan Gayat (2001).

“Pemimpin kena tahu menilai populariti dirinya. Masa kita berkuasa semua orang hormat pada kita, senyum pada kita, puji kita, terutama ada sesuatu yang mereka mohon pada kita”, tulisnya dalam Getek.

Menurutnya, dalam Umno, para pemimpin dihormati bukan kerana pemimpin itu, tetapi kerana pangkat, kuasa dan status dimilikinya.

“Mungkin ada yang menangis bila kita jatuh, tapi itu bukan tanda dia sayangkan kita. Semata-mata tiada peluang lagi untuk mereka meminta sesuatu daripada kita. Tangisan seperti itu tidak lama. Orang lain naik dan mereka dapat apa yang mereka minta, pandang kita pun dia paling muka”, luah Megat Junid lagi.

Punya hodoh perangai orang Umno, bukan? Jangan dikatakan kalangan ahli bawahan atau pemimpin pertengahan sahaja, tabiat sedemikian bahkan turut dimiliki para pemimpin tertingginya.

Ini diakui Megat Junid, “sekarang saya jatuh terduduk. Dari kerusi Menteri hinggakan taraf YB pun lesap. Tinggal telor dua biji, terhoyong-hayang ke sana-sini. Orang tak peduli kita. Kita pun tak peduli orang. Kawan Kabinet dahulu pun ada yang pandang tak pandang dengan kita. Bersalam pun sudah di hujung jari sahaja. Tak pandang pun muka. Sedih”.

Memang bekas menteri dan pemimpin tertinggi Umno itu ada sebab sangat wajar untuk merasa sedih. Coretannya itu dibuat pertengahan Mac 2000, sedangkan pilihan raya umum pada akhir November 1999. Ertinya, dalam masa hanya tidak sampai empat bulan, segala pujian, sanjungan dan sokongan diterimanya selama puluhan tahun di dalam Umno seakan lenyap sekelip mata.

Itulah gambaran kesetiaan palsu dan sokongan pura-pura dalam Umno. Mereka mengampu hanya ketika seseorang pemimpin berkuasa dan dapat memenuhi kepentingan peribadi masing-masing. Apa lagi bukti diperlukan jika pemimpin sehebat Tun Mahathir pun kini menerima nasib serupa?

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 1-7 Jun 2008 dengan tajuk sama)

Projek pertanian gagal kerana campurtangan politik


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

KERAJAAN Barisan Nasional (BN) jelas cuba menutup kelemahan sendiri apabila cuba menyalahkan para petani di atas kegagalan beberapa program pertanian di Terengganu kebelakangan ini. Lalu dikatakanlah kononnya keghairahan penduduk yang lebih gemar bercakap hal politik di kedai kopi tanpa memberi tumpuan kepada kerja menjadi punca utama kegagalan program-program pertanian yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.

Dakwaan tersebut dibuat Pengerusi Pertubuhan Peladang Terengganu, Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman, di Besut, 25 Mei lalu. Menurut bekas anggota Exco negeri itu, golongan petani terbabit dikatakan leka bercakap soal politik sehingga lupa tanggungjawab mereka memajukan sektor pertanian di kawasan masing-masing.

Beliau berkata demikian pada majlis meraikan lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed di Gong Macang, Besut.

Tidak dapat dipastikan kawasan mana dan projek pertanian mana yang Wan Zakaria maksudkan sebagai gagal itu. Bagaimana pun, kenyataan bekas wakil rakyat BN itu difahami cuba mencari justifikasi untuk mengaitkan sebarang kegagalan projek dengan para peserta di situ dari kalangan penyokong pembangkang.

Bagi mereka yang mengetahui keadaan sebenar yang melanda sektor pertanian negeri itu, kenyataan bekas Ketua Umno Bahagian Besut itu disifatkan sangat tidak bertanggungjawab dan membelakangi fakta.

“Mujur ada puak-puak PAS yang menanam di sini, ada juga hasilnya (kejayaan). Kalau harapkan puak-puak Umno (yang jadi peserta projek pertanian), jong jual baja (subsidi) boleh lah!”, komen seorang penduduk setempat yang tidak mahu dikenali.

Sepertimana beberapa rakan lain, beliau turut bersetuju apabila dikatakan punca utama kegagalan projek pertanian ialah kerana campurtangan politik yang melampau dalam pelaksanaannya. Beliau malah mengakui, dalam kebanyakan projek sedemikian, pertimbangan politik dikatakan bermula seawal pemilihan peserta lagi.

Pengakuan ini mengingatkan kita kepada kegagalan yang pernah dialami program Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2006 (TPNT06) dulu. TPNT06 dilancarkan di atas hasrat membasmi kemiskinan di kalangan petani, penternak dan nelayan.

Objektif utama TPNT06 ialah mempertingkatkan pendapatan 10,000 golongan sasar itu paling kurang RM500 sebulan. Malangnya, promosi dan tumpuan kerajaan negeri selama setahun bagi menjayakan misi itu gagal membuahkan hasil sepatutnya.

Punca utama kegagalan itu ialah campurtangan berlebihan orang-orang politik di dalam pelaksanaannya. Malah ada projek dinikmati kelompok peserta di luar golongan sasar dimaksudkan.

Pelaksanaan TPNT06 tertumpu kepada tiga projek utama iaitu fertigasi, penanaman pitaya (dragon fruit) dan akuakultur. Ketiga-tiga projek tersebut mensasarkan golongan berbeza.

Projek fertigasi dimulakan sekitar Mei 2006 dengan peruntukan RM20 juta. Ia dilaksanakan Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC), sebuah anak syarikat kerajaan negeri. Oleh kerana TADC tidak mempunyai sumber manusia dan kepakaran, tugas itu akhirnya diserahkan kepada Jabatan Pertanian negeri pada Oktober 2006.

Dengan hanya dua bulan berbaki sebelum tamatnya tahun 2006, kepincangan yang ada amat sukar ditangani. Apatah lagi jabatan berkenaan dikatakan tidak pernah dirunding di dalam pemilihan peserta dan kontraktor pelaksana. Kuasa menentukan perkara itu sepenuhnya di tangan Adun kawasan masing-masing.

Campurtangan politik menyebabkan seramai 275 peserta projek yang dipilih lebih di atas merit politik, bukan berdasarkan minat dan komitmen memajukan projek.

Fertigasi merupakan kaedah pertanian baru yang melibatkan aplikasi teknologi. Dengan pelaksanaan yang tergesa-gesa tanpa perancangan terperinci, pengetahuan dan kemahiran mencukupi, projek itu akhirnya gagal mencapai matlamat meningkatkan pendapatan golongan sasar.

Projek penanaman pitaya (dragon fruit) pula dilaksanakan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT). Peruntukan RM40 juta disalurkan terus daripada Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Pemilihan peserta sekali lagi terdedah kepada mainan politik apabila ia dibuat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan diajukan terus kepada UPEN. Jabatan-jabatan berkaitan PPRT seperti Jabatan Pertanian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga tidak dirunding.

Kes serupa berlaku kepada projek akuakultur bernilai RM50 juta di Zon Industri Akuakultur (ZIA), Tasik Kenyir. Ia juga kini menghadapi masalah dan dikatakan antara projek yang dikritik hebat Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said baru-baru ini. Antara sebab dikenalpasti ialah faktor pemilihan peserta yang tidak komited dengan projek berkenaan.

Itulah jadinya apabila perancangan dan pelaksanaan sesuatu projek terlalu dibayangi perkiraan politik. Setakat ini, BN sendiri sukar menafikan bahawa itulah sebenarnya punca utama kegagalan projek-projek pertanian di Terengganu.

Justeru, amat tidak munasabah selaku ketua sebuah agensi bertanggungjawab terhadap pelaksanaan projek pertanian negeri, Wan Zakaria cuba menyalahkan pihak lain atas kegagalan itu.

Bahkan ada pihak yang menilai kenyataan beliau itu sebagai usaha mencari justifikasi untuk meminggirkan para peserta dari kalangan penyokong pembangkang. Kononnya mereka itu tidak layak diberi bantan kerana asyik bercakap soal politik, sehingga gagal memajukan projek.

Jika andaian itu benar, jelas sekali bekas Adun BN itu masih tidak dapat membezakan antara kepentingan umum dengan kepentingan politik kepartian, termasuk dalam hal penyaluran bantuan pertanian.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, 26 Jamadil Awal-3 Jamadil Akhir 1429/1-7 Jun 2008 dengan tajuk sama)

Media perlu bebas didik rakyat


Oleh: MOHD NASIR AWANG

DALAM wawancara eksklusif dengan sebuah akhbar mingguan, Ahad (25 Mei) lalu, Profesor Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim antara lain menegaskan peranan yang boleh dimainkan media dalam mendidik rakyat supaya boleh berfikir serta sentiasa mengambil berat mengenai politik negara.

Menurut Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) itu, kesedaran politik amat penting dimiliki rakyat supaya mereka tidak mudah dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya sendiri mahu melihat rakyat di negara ini mampu menyuarakan pendapat mereka sekiranya wakil rakyat atau pemimpin gagal melakukan tugas dengan baik dan berkesan. Rakyat harus mempunyai sikap bahawa mereka seharusnya menggunakan hak untuk bersuara,” katanya.

Prof. Khoo turut meluahkan rasa terkilan terhadap tahap kesedaran politik yang sangat rendah di kalangan rakyat negara ini. Beliau memberikan contoh bagaimana ada satu kawasan di mana jalan raya sudah lama tidak diperbaiki beserta pelbagai masalah lain yang tidak diselesaikan.

“Tetapi lima bulan sebelum pilihan raya semua beres dan rakyat pun berpuas hati. Bagi saya, keadaan ini memperlihatkan rakyat tidak mempunyai kesedaran politik yang tinggi. Rakyat tidak anggap itu sebagai umpan,” tegasnya.

Saya memahami maksud penegasan Prof. Khoo itu bahawa pelaksanaan projek segera oleh pihak berkuasa menjelang pilihan raya sepatutnya dinilai rakyat sebagai umpan politik. Dalam ertikata lain, jika rakyat tidak dapat menilainya sebagai umpan pilihan raya, ia menandakan tahap celik politik rakyat masih rendah.

Soalnya, jika beliau mengharapkan media untuk mendidik rakyat menjadi secelik itu, apakah ada media arus perdana yang bersedia mengatakan demikian? Sedangkan contoh disebutkan beliau itu sememangnya sesuatu yang sering dijadikan modal politik parti pemerintah.

Manakala suara senada beliau itu hanya boleh dibaca menerusi media arus kedua, terutama yang dikuasai parti-parti pembangkang. Tidak keterlaluan pula jika dikatakan bahawa disebabkan usaha menyedarkan rakyat tentang perkara-perkara seumpama umpan politik itulah menyebabkan media milik pembangkang dianggap menghasut rakyat membenci kerajaan.

Kebetulan atau tidak, akhbar sama yang menyiarkan wawancara Prof. Khoo itu turut memuatkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang memberi amaran kepada akhbar politik di atas perkara tersebut.

Menurut Syed Hamid, pihaknya tidak teragak-agak untuk membatalkan permit yang diluluskan kepada mana-mana parti politik jika mereka dianggap sengaja menggunakan akhbar terbitan mereka untuk menghasut dan memecah-belahkan rakyat.

Pendirian sama diulangi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak Media Asia, di Kuala Lumpur, Selasa (27 Mei) lalu. Di dalam teks dibacakan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri menegaskan kebebasan bersuara tidak bererti pihak penerbit boleh menyiarkan bahan berunsur menghasut.

Dilema, bukan? Di satu pihak, ada yang mengharapkan agar media menjadi pendidik kepada rakyat agar ada kesedaran politik yang tinggi dan tidak mudah dipermain serta diperbodohkan oleh umpan politik pihak pemerintah. Di satu pihak lain, media yang menyuarakan perkara itu dengan mudah akan dianggap menerbitkan sesuatu berunsur hasutan dan tidak wajar dibenarkan.

Apakah semata-mata dengan mengatakan pelaksanaan projek segera menjelang pilihan raya oleh kerajaan itu sebagai umpan politik, sebagaimana dicontohkan Prof. Khoo tadi, kita sudah dianggap menghasut?

Isu kebebasan media, terutama penerbitan akhbar oleh parti politik, sering diperbahaskan. Bagi membuktikan ketelusan dalam menjamin kebebasan media, pihak kerajaan sering memetik keterbukaannya terhadap penguasaan media siber oleh parti pembangkang.

Bagaimana pun, sebagaimana diakui Perdana Meneri Selasa lalu, kewartawanan berkualiti masih lagi dikuasai media tradisional. Menurutnya, kewujudan media baru khususnya melalui internet belum dapat menyaingi media tradisional sebagai peneraju dalam kandungannya, terutama diambilkira ketepatan fakta dan keadilan dalam laporan.

Pengakuan itu sekaligus menyokong perjuangan rakyat betapa amat penting bagi mereka mendapat hak menerbitkan akhbar, sekali pun mereka dikatakan telah ada ruang dan peluang cukup luas dan bebas menerusi media siber.

Pandangan ini dikongsi Institut Akhbar Malaysia (MPI). Mengulas cadangan Syed Hamid April lalu agar syarat-syarat mendapatkan permit penerbitan akhbar dilonggarkan, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MPI, Datuk Azman Ujang, menganggap cadangan itu amat tepat bagi memperkukuhkan kebebasan media negara.

“Sekarang ini, majoriti akhbar arus perdana dimiliki parti-parti politik yang memerintah, menyebabkan terdapat pandangan bahawa tidak wujud kebebasan akhbar,” katanya.

Beliau berharap cadangan itu akan mendorong kelahiran lebih banyak akhbar yang dimiliki secara bebas, sekaligus menyuburkan demokrasi di negara ini.

Azman turut mencadangkan agar suatu masa nanti kerajaan menghapuskan sama sekali permit menerbitkan akhbar. Baginya, negara ini sudah ada berbagai akta dan peraturan untuk mengawasi dan memantau syarikat-syarikat akhbar.

Sebetulnya, pandangan Azman itu telah sekian lama dikongsi pelbagai pihak. Selain kepelbagaian peraturan dan akta, kongkongan permit terhadap akhbar bercetak juga dilihat sudah tidak relevan dengan dunia langit terbuka dan teknologi maklumat tanpa sempadan masakini.

Apatah lagi jika kita menilai kepentingan kebebasan media dalam konteks mendidik rakyat agar celik politik, sebagaimana dihasratkan Prof. Khoo tadi.

“Hak (untuk bersuara) ini termaktub di dalam sistem demokrasi yang merupakan asas kepada pemerintahan negara kita. Tujuan kita menggunakan hak ini adalah untuk memastikan kehidupan kita tidak terjejas,” katanya lagi.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 26 Jamadil Awal-3 Jamadil Akhir 1429/1-7 Jun 2008 di kolum “Perspektif” dengan tajuk sama)