Thursday, February 6, 2014

Ustaz Harun sinonim agenda tarbiyah

Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

(Bahagian Ketiga & Akhir)

SEPERTIMANA yang telah disebutkan sebelum ini (rujuk Bahagian Kedua), penglibatan Almarhum Dato’ Ustaz Harun Taib di dalam hierarki parti secara lebih serius disedari bermula hanya selepas kejayaan beliau merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir lewat Pilihan Raya Umum (PRU) 1982.

Orang yang dikatakan bertanggungjawab “memperkenalkan” beliau ke dalam organisasi PAS ialah tidak lain daripada sahabat karib beliau, Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Sebagai permulaan, Almarhum diamanahkan sekurang-kurangnya dua jawatan setiausaha kepada dua unit organisasi parti diterajui Tuan Guru sendiri ketika itu, iaitu Badan Perhubungan PAS Terengganu dan Lajnah Tarbiyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat.

Ustaz Harun juga mula terlibat aktif di dalam Dewan Ulama Negeri dan Pusat. Penonjolan beliau bagaimana pun paling dirasai menerusi peranan sangat berkesan di dalam agenda-agenda tarbiyah, sama ada di peringkat Pusat mahu pun Negeri.

Kebetulan pula era 80-an itu merupakan permulaan gelombang kebangkitan semula Islam serata dunia. Malaysia tidak terkecuali menerima percikan gelombang tersebut. Ceramah dan aktiviti PAS mendapat sambutan amat menggalakkan. Majlis-majlis kuliah agama pula tumbuh macam cendawan selepas hujan. Manakala aktiviti-aktiviti tarbiyah yang lain seperti usrah, tamrin, mukhayam dan daurah mula mendapat perhatian ramai.

Kesedaran untuk kembali menghayati Islam di dalam masyarakat menuntut PAS tampil dengan modul atau sukatan tarbiyah yang lebih realistik dan tersusun. Kepulangan Almarhum Ustaz Harun ke tanahair pada masa itu bagaikan ‘pucuk dicita ulam mendatang’ buat PAS. Keilmuan dan pengalamannya di dalam merancang, menyusun dan melaksanakan agenda-agenda tarbiyah sejak di zaman universiti banyak membantu parti mencapai hasrat itu.

Dengan penggemblengan tenaga bersama sebilangan pemimpin lain yang telah sedia ada di dalam parti, dibantu tuntutan ahli dan pendukung PAS yang amat dahagakan tarbiyah, setiap aktiviti pembinaan dalaman parti dikatakan sangat berjaya pada dekad itu.

Ustaz Harun juga dianggap idealog (pelopor idea) tarbiyah nizomiyah (pendidikan berinstitusi) secara tersusun di dalam PAS, lebih-lebih lagi di negerinya Terengganu. Di bawah teraju dan tunjukajar beliau tertubuhnya Maahad Darul Quran (MDQ) di Masjid Rusila, sebagai sebuah institusi pendidikan Islam peringkat menengah yang menjadikan ilmu al-Quran sebagai teras pengajian.

Dalam beberapa tahun itu juga (akhir 80-an) bercambahnya sekolah-sekolah rendah Islam di hampir setiap kawasan di Terengganu. Ia bermula dengan penubuhan Madrasah Ibtidaiyah Darut Taqwa di Pekan Batu Enam, disusuli Darus Salam di Losong dan Darul Ehsan di Kubang Lembek. Walau pun ketiga-tiga adyar ini terletak di daerah Kuala Terengganu, mereka sebenarnya berada di bawah pengurusan tiga kawasan parlimen berbeza, iaitu masing-masing Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.

Di Kemaman turut diwujudkan Darut Taqwa, manakala di Besut ditubuhkan Darul Islah. Kesemua madrasah ini dinaungi Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu, ketika itu di bawah teraju Ustaz Awang Nasruddin Abu Bakar. Terbaru ialah penubuhan Madrasah Darul Iman di kawasan Marang. Manakala dua lagi kawasan iaitu Dungun dan Setiu setakat ini belum merealisasikan program ini.

Bagi memenuhi tuntutan kesinambungan pendidikan aliran Islam ini, ditubuhkan pula Kolej Universiti Darul Quran Islamiyah (KUDQI) di Kubang Lembek. Seperti MDQ, KUDQI juga dianggap sebagai “brainchild” Almarhum Ustaz Harun. Institusi pendidikan pra-universiti ini diwujudkan terutama bagi menampung keperluan lepasan MDQ sebelum melangkah ke universiti-universiti, khususnya di Timur Tengah.

Sehingga kini sudah ramai pelajar lepasannya berjaya melanjutkan pelajaran ke Jordan, Mesir, Syria, Yaman dan United Kingdom, selain universiti-universiti tempatan. Manakala sebahagian besar mereka di masa sama menjadi pendukung dan petugas parti yang sangat komited dan memiliki asas kefahaman tarbiyah harakiyah yang mantap.

“Itulah teras utama yang sering ditanam dan ditekan oleh Almarhum Ustaz (Harun Taib) di dalam tarbiyahnya kepada kami. Bahawa anak-anak didiknya mesti menjadi pendukung dan petugas parti yang iltizam, jangan sekali-kali tinggalkan perjuangan,” ujar Haji Zakaria Mohamad, 51.

Ahli perniagaan yang berpengalaman berusrah bersama Almarhum saban minggu sejak hampir 30 tahun lalu ini tidak dapat menyembunyikan perasaan sayunya apabila diminta komennya mengenai Ustaz Harun. Baginya Almarhum merupakan seorang murabbi yang sangat hebat dan kehilangannya sukar digalang-ganti.

Menurutnya, komitmen Almarhum terhadap agenda tarbiyah sangat tinggi, sehinggakan di kalangan anak-anak didiknya yang rapat dengannya pun tidak dapat memastikan berapa jumlah unit usrah yang dikendali dan diterajui Ustaz Harun.

“Ia (jumlah unit usrah) terlalu banyak, tak dapat nak kira. Kebanyakannya melibatkan golongan terpelajar, kalangan penjawat awam dan profesional”, sambung Zakaria lagi.

Bahkan, katanya terdapat sekurang-kurangnya dua unit usrah dikendalikan Almarhum yang khusus melibatkan golongan korporat dan profesional sahaja.

Idea tarbiyah nizomiyah yang telah dilaksanakan dengan jayanya di Terengganu turut dikembangkan ke peringkat Pusat. Di bawah Lajnah Tarbiyah PAS Pusat ditubuhkan Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) pada 1994. Institusi latihan yang beroperasi di Markaz Tarbiyah PAS Pusat ini ditubuhkan bertujuan memberikan latihan perkaderan, kepimpinan dan dakwah secara nizomiyah kepada para pemimpin dan ahli PAS.

Di antara program ditawarkan ialah pengajian Islam, bahasa dakwah, pengurusan organisasi dan kefahaman visi perjuangan PAS.

Penubuhan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, Kuala Lumpur beberapa tahun lalu juga dikatakan turut memanfaatkan pandangan dan peranan yang tidak sedikit oleh Almarhum Ustaz Harun. Pendekata, seluruh hidupnya yang diwakafkan kepada perjuangan ini amat sinonim dengan agenda-agenda tarbiyah di dalam parti ini. Sekalung al-Fatihah buat Almarhum!

(Artikel ini adalah versi lebih panjang (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil: 1918, bertarikh 7-9 Rabiul Akhir 1435/7-9 Februari 2014 di ruangan FOKUS F21 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment