Saturday, November 1, 2008

Kursus budi bahasa untuk jawatankuasa masjid

Oleh: Mohd Nasir Awang

ACAP benar kita disumbati cerita-cerita tidak enak mengenai kekurangan adab di kalangan penguasa masjid di negara kita ini. Meski pun kes-kes sebegitu agak terpencil, sebagai institusi yang menjadi syiar terpenting agama, apa yang berlaku di masjid secara langsung akan dikaitkan dengan imej Islam.

Masjid adalah tempat suci. Ia ada tatatertib dan adab yang mesti dipatuhi. Sebab itu orang yang mengunjunginya dianggap kalangan beradab dan bertertib. Justeru, amat sukar diterima sekiranya ketidaksopanan berlaku di kawasan Rumah Allah itu.

Malangnya, tidak sedikit berlaku keadaan sebegitu. Pengalaman beberapa pihak pernah dipaparkan media. Malah penulis sendiri mengalami kes serupa.

Kita pernah diceritakan pengalaman pahir seorang pendakwah terkenal berbangsa Cina.  Diceritakan sewaktu beliau baru memeluk Islam dan berkelana ke serata negara, tidak semua masjid yang disinggahinya menyantuni beliau bagai diharapnya.

Sebagai saudara baru beliau berhasrat mendampingi masyarakat yang telah lama mengamalkan ajaran agama. Beliau mahu mendalami Islam dan mendekatkan diri kepada Allah. Selayaknya beliau disantuni sebaik mungkin, bukan sahaja dengan tunjuk ajar tentang ilmu dan ibadat, malah segala kebutuhan duniawinya. Bukankah di sisi Islam golongan muallaf ini diberikan keistimewaan sebagai penerima zakat?

Keislaman ustaz ini mendapat bantahan keras keluarga. Beliau dipulaukan dan tidak ada tempat bergantung harap melainkan masyarakat Islam. Malangnya, kebiadaban beberapa kerat penguasa masjid yang disinggahinya memberikan mesej salah tentang Islam. Beliau bukan sahaja tidak diberikan tunjuk ajar dan bantuan selayaknya, malah turut dihalau daripada menumpang di masjid.

Syukur saudara baru ini ada kesedaran sangat tinggi sewaktu memilih Islam. Kesabarannya jitu dan daya fikirnya luas. Beliau tidak merajuk atau menyimpulkan perlakuan tidak sopan beberapa bedebah itu dengan agama barunya ini. Bayangkan apa berlaku sekiranya beliau berpaling semula ke agama asalnya ekoran perlakuan tanpa budi bahasa beberapa individu tadi?

Di sebuah masjid di tengah ibukota, ada cerita serupa menimpa seorang ibu yang mendukung anak kecil. Beliau yang berhasrat menumpang berehat sekadar sepuluh limabelas minit sambil menunggu suami menunaikan solat, dihalau dengan nada menyakitkan telinga oleh seorang jemaah wanita. Berdasarkan pameran kuasanya, wanita itu dipercayai di kalangan ahli masjid berkenaan, sama ada ahli jawatankuasa atau jemaah tetap di situ.

Itulah masalah dengan penguasa masjid kita. Mereka ini sering ada satu sikap seolah-olah masjid itu mak-bapak mereka yang punya, bukan lagi rumah milik Allah yang terbuka untuk seluruh umat Islam. Lalu apa-apa perkara sekali pun yang berlaku di kawasan masjid itu hendaklah dalam pengetahuan, dengan keizinan dan menepati pendirian beberapa individu yang menguasainya. Apakah ketetapan sebegitu ada dalam Islam?

Penulis sendiri ada dua pengalaman tidak enak berhubung ketidaksopanan penguasa masjid ini.  Kes pertama berlaku di akhir 80-an dulu di Johor Bahru. Kami berenam singgah di sebuah masjid di kawasan perumahan berdekatan Kempas. Tiga rakan merebahkan badan sebaik menapak anjung masjid. Penulis dan seorang rakan lain menerpa ke arah paip air, membasuh muka dan membasahkan rambut. Seorang lagi melangkah ke arah tandas.

Ada seorang memerhatikan kami sedari mula van kami memasuki pagar masjid. Besar kemungkinan beliau adalah pegawai masjid, kerana dia berdiri di depan pintu salah satu unit kuarters masjid tersebut.

Selesai membasuh muka, belum sempat rakan yang berada dalam tandas tadi keluar, orang tadi berjalan ke arah meter paip air. Tahu apa dia buat? Dia menutup paip air masuk sambil menjeling ke arah kami. Beliau sengaja berbuat demikian bagi memberitahu kami agar jangan menggunakan air disediakan. Kehadiran kami tidak dialu-alukan.

Nasib baik rakan yang ke tandas tadi hanya membuang air kecil dan dapat beristinja dengan air yang sudah bertakung dalam baldi. Bayangkan bagaimana mahu disucikan diri beliau sekiranya air besar yang dibuangnya?

Kes kedua berlaku di Kedah pada awal 90-an lalu.  Kira-kira jam 4 pagi, kami singgah berehat di sebuah masjid dalam perjalanan ke Pokok Sena. Pintu pagarnya tertutup tetapi tidak berkunci.  Lalu kami membawa masuk kereta merapati masjid.

Sementara menantikan Subuh, kami terlena. Lena kami bagaimana pun dikejutkan dengan sergahan seseorang. Beliau membebel ke arah kami kerana membawa masuk kereta ke dalam kawasan masjid.

“Tak nampak ke orang dah tutup pintu pagar, tanda tak bagi bawa masuk kereta la tu!”, katanya memecah keheningan Subuh itu.

Allah Ya Karim! Bayangkan bagaimana geram dan kesalnya perasaan kami yang sangat letih dan mengantuk ketika itu. Sedikitpun tidak dapat kami rasionalkan hujah ‘bodoh’ diberikan bilal berkenaan.

Tidak syak lagi, sebagai institusi yang melambangkan Islam, apa yang dilakukan kalangan penguasa masjid perlu ditertibkan. Orang mungkin tidak begitu kisah jika herdikan dan sergahan kedengaran di pasar atau jalanan, tetapi ia sangat mendukacitakan sekiranya perkara sama berlaku di masjid.

Disebabkan masih terdapat kalangan jawatankuasa masjid seluruh negara yang tidak tahu adab sopan dan tutur kata bersesuaian dalam menyantuni pengunjung tempat suci itu, apa kata pihak berkuasa mengenai hal ehwal masjid mengadakan kursus khas untuk mereka ini.

Ajarkan mereka budi bahasa dan latih mereka menggunakan pertimbangan akal terutama berhadapan orang berkelana, bukannya bertindak atau bercakap mengikut runtunan nafsu semata.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 209, November 2008 di ruangan ‘Pendapat’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment