Sunday, May 1, 2011

‘Yam Buta’ cari rezeki sara suami pemalas

Oleh: Nuwa Aitawa

Ada ungkapan popular dalam masyarakat Melayu yang menyebut, ‘ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari’. Kata orang-orang tua ini bermaksud menerangkan nasib malang menimpa seseorang yang pada mulanya dipenuhi sesuatu kebaikan atau kegembiraan. Namun apakan daya, kebaikan yang dijangka berpanjangan itu rupa-rupanya terhenti sekerat jalan.

Ungkapan itu agak sesuai menerangkan nasib menimpa hidup Siti Mariam Hasan. Beliau yang dilahirkan dalam keadaan normal pada April 1942 hanya sempat menikmati keindahan alam buat beberapa tahun sebelum penglihatannya menjadi kabur dan terus kelam hingga kini.

Segala-galanya disebabkan kesilapan sikap diambil ibubapanya, terutama dalam penjagaan kesihatan anak-anak. Sepertimana kebanyakan penduduk di Kampung Banggol Tani, Wakaf Baru, Kelantan  ketika itu, pasangan ini juga bekerja kampung.

Di atas kesempitan hidup, di samping kepercayaan yang kuat terhadap keupayaan bomoh kampung menyembuhkan sebarang penyakit, anak-anak kerap tidak diberikan rawatan bersesuaian apabila mengalami masalah kesihatan. Walau pun ada yang mampu meneruskan hidup hasil rawatan tradisional itu, tidak kurang juga yang mengalami kesan negatif sepanjang hayat.

Apa yang dialami Siti Mariam adalah kes agak sadis. Menurutnya, pada usia antara empat ke lima tahun, dia mengalami masalah kecacingan yang sangat serius.

“Orang tua kita (saya) toksir (tak mahu) gi hospital, toksir langsung. Apa kata (hanya) bomoh kampung je lah,” beliau mengimbau detik pilu itu.

Akibat tidak diberikan rawatan sempurna, tahap penglihatannya semakin memburuk. Suasana sekitar yang indah dan terang akhirnya beransur kelam. Ruang tamu dan halaman rumah yang selalunya dilihat luas dan terang untuk dia berlari dan melangkah girang dirasakannya semakin sempit dan merimaskan.

Anak kecil yang tidak tahu apa-apa dan tidak berupaya berbuat apa-apa itu hanya mampu pasrah dan menerima apa jua keputusan orang tuanya. Hari ke hari penglihatannya semakin pudar, sehinggalah dia akur dengan suratan takdir menjadi seorang insan buta.

Sejak itu tiada lagi warna-warni alam untuk dinikmatinya. Mahu tidak mahu beliau harus belajar hidup sebagai orang cacat penglihatan. Tongkat mula menjadi teman setianya ke mana jua kaki mahu melangkah. Manakala deria pendengarannya pula dipertajamkan untuk identifikasi setiap perkara yang hadir dalam rutin hariannya.

“Alhamdulillah, Tuhan beri kita mudah ingat jalan (laluan). Jadi tak susah sangat nak gi (pergi) mana pun. Dalam rumah ke, luar rumah ke, jalan hak (yang) biasa lalu tu boleh agak dah,” ujar Siti Mariam.

Beliau juga tidak kekok melakukan berbagai kerja rumah. Kebutaannya tidak menghalang Siti Mariam menanak nasi, menyiang ikan dan memasak berbagai lauk-pauk. Bahkan, menurutnya, ada masakannya yang diakui bapanya sendiri lebih sedap daripada yang dimasak orang lain, termasuk ibunya sendiri.

“Ada sekali tu kita masak gulai ikan keli. Gemulah ayah balik, makan. Dia tanya: ‘Sapa dia buat (masak) ni? Sedap sangat ni, tak rajin (pernah) makan lagi sedap gini ni’. Kita kata, ‘sapa lagi ayah? Kita la (yang masak)’,” Siti Mariam menceritakan saat manis itu sambil tersenyum lebar.

Pada usianya belasan tahun Siti Mariam berhijrah ke daerah Besut, Terengganu. Seorang daripada abangnya, Encik Hamat telah lebih dahulu berkahwin dengan wanita dari Kampung Air Tawar dan bermastautin di situ. Beberapa sepupunya pula tinggal di Kampung Pengkalan Nyireh, bersebelahannya.

Kelibatnya mula menjadi perhatian masyarakat kampung itu. Tidak ada penduduk, sama ada tua, muda mahu pun anak-anak kecil yang tidak kenal dengan Siti Mariam. Mereka menggelarkannya ‘Yam Buta’.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan seorang imigran Indonesia bernama Haji Ismail. Perkongsian hidup itu bagaimana pun gagal menghasilkan zuriat.

Justeru, bagi mengubati kesunyian rumahtangganya, Yam Buta mengambil seorang anak angkat.

“Kita ambil Fizi (Muhamad Zulhafizi Ismail) ni masa dia umur 70 hari. Mak-ayah dia orang Gemang, alik atas Jeli nu”, ceritanya.

Sejak itu rumahtangganya bertambah ceria. Yam Buta sendiri lebih rajin mencari nafkah hidup, membantu suaminya. Beliau berniaga kecil-kecilan, terutama di pasar-pasar pagi di sekitar daerah Besut.

“Yak mula (sejak dulu) kita jual barang-barang ni je lah.. tembakau, rokok daun (nipah). Ada buah-buah sikit,” sambung Yam Buta lagi.

Kematian suaminya bagaimana pun sedikit mengubah keadaan, terutama selepas Yam Buta berkahwin buat kali kedua. Ketika itu anaknya, Fizi, masih kecil. Anak kecil ini terpaksa membantu menuntunnya ke tempat-tempat yang dituju. Manakala suaminya hanya “makan tanggung”.

“Tok laki (suami) kita tu tak pakai kerja (tak guna). Malas sembahyang, tak puasa, malas kerja. Ambil duit kita pulak tu! Kita tolong cari makan ke (untuk) dia pulak. Kita pun hambat kelik (halau dia), malas nak cara (layan) orang lagu (macam) tu”, luah Yam Buta dalam nada kesal.

 Kini, pada usia hampir mencecah 70 tahun, Yam Buta masih gigih meneruskan perniagaan sama. Dia juga tidak ketinggalan menyertai solat berjamaah di surau berdekatan rumahnya pada hampir setiap malam.

Manakala Fizi pula sudah berumur 26 tahun, mempunyai pekerjaan yang baik dan turut membantu menampung hidup mereka berdua.

(Artikel ini disiarkan majalah al-Muslimah Bil: 231, Edisi Mei 2011 di ruangan 'meniti hidup' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment