Tuesday, September 1, 2009

Silapkah Allah bila solat gagal cegah mungkar?

Oleh: Mohd Nasir Awang

Secara saintifik sudah ada pengkaji menemui bukti kukuh bahawa amalan solat dapat menjadi terapi menyembuhkan penyakit yang diidapi seseorang.

Akhbar harian pada 6 Ogos lalu memuatkan laporan mengenai penemuan saintifik bahawa masalah mati pucuk yang menghantui 40 peratus lelaki dunia berusia 40 tahun ke atas boleh diatasi dengan menunaikan solat.

Khabar yang membanggakan umat Islam itu dibuktikan melalui kajian saintifik seorang pakar kejuruteraan bioperubatan Universiti Malaya (UM), Professor Madya Dr Fatimah Ibrahim. Menurutnya, selepas sebulan menjalani terapi solat yang diperkenalkan olehnya, dua lelaki menghidap masalah mati pucuk berjaya menunjukkan perkembangan positif.

Katanya, melalui terapi itu seseorang lelaki yang memiliki masalah berkenaan perlu menunaikan solat sebanyak 12 rakaat secara berterusan dalam masa setengah jam sebanyak tiga kali seminggu. Mengambil kira gabungan amalan solat-solat fardhu dan sunat yang disyariatkan Islam, keperluan itu tidak sukar dipenuhi.

“Sebagai contoh seorang pesakit boleh menunaikan solat sunat empat rakaat sebelum dan selepas menunaikan solat Zohor untuk tujuan terapi itu,” jelasnya.

Dr Fatimah berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Seminar Sains Solat Peringkat Kebangsaan 2009 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Seminar anjuran UM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu diadakan di ibu negara, 5 Ogos lalu.

Difahamkan kajian itu adalah sebahagian daripada projek penyelidikan saintifik universiti berkenaan mengenai kesan biologikal solat kepada tubuh badan manusia. Antara kajian lain di bawah projek itu adalah kesan positif solat kepada ketenangan minda, kesihatan jantung dan masalah sakit pinggang.

Kajian tersebut telah mengesahkan bahawa setiap pergerakan dalam solat merangsang otot lantai pelvik.

“Memang pakar perubatan mencadangkan lelaki mati pucuk melakukan senaman otot lantai pelvik, tetapi dengan bersolat otot berkenaan dapat diregangkan secara automatik,” akui Dr Fatimah lagi.

Menurutnya, dua pesakit yang dimaksudkan telah berjaya mengurangkan tahap mati pucuk selepas menjalani terapi solat selama sebulan dengan menunjukkan sedikit reaksi ketegangan zakar.

Tidak syak lagi penemuan saintifik ini adalah sesuatu yang membanggakan umat Islam. Tepat sepertimana disebutkan Dr Fatimah, “ini menunjukkan solat bukan sahaja ibadah wajib tetapi merawat fizikal dan minda”.

Kesan positif ajaran dan amal ibadat dalam Islam terhadap manusia memang sudah dijangkakan. Sebagai umat Islam kita diyakinkan menerusi sebegitu banyak firman Allah dan sabda Junjungan Muhammad s.a.w. yang menegaskan kelebihan dan manfaat setiap ibadat yang kita laksanakan.

Antaranya ialah firman Allah Ta’ala yang mengaitkan zikrullah sebagai terapi menenang dan mententeramkan hati (baca Surah ar-Ra’d 13:28). Di antara ibadat yang disarati zikrullah adalah solat. Maka secara logiknya, seseorang yang menyempurnakan solatnya akan memperolehi suatu tahap ketenangan hati.

Malangnya, tidak semua yang mengamalkan ibadat rukun Islam itu berupaya mendapat hasil seperti disebutkan. Sebegitu ramai yang bersolat, tetapi dalam kehidupan seharian mereka gagal mempamerkan tindakan sebagai seorang yang mempunyai hati yang tenang dan tenteram.

Sama lah juga dengan janji Allah di dalam al-Quran bahawa solat itu mampu mencegah perbuatan yang keji dan mungkar (baca Surah al-Ankabut 29:45). Tidak payah kita buktikan hakikat betapa sebegitu ramai umat Islam yang bersolat tetapi masih kekal melakukan kemungkaran dan kekejian.

Maka apakah boleh kita simpulkan bahawa Allah Ta’ala telah tersilap dalam memberikan janji-janji itu?

Maha Suci Allah Yang Maha Sempurna. Dia tidak bersifat dengan apa jua sifat kekurangan atau kesilapan. Itulah kepercayaan yang bertunjang kukuh dalam setiap diri bernama Muslim.

Kita juga diajar bahawa Allah Ta’ala tidak akan sesekali memungkiri janjiNya. Apa yang dijanjikannya pasti akan berlaku, termasuk soal solat sebagai pencegah mungkar dan keji. Tentu ada kesilapan kita yang mengamalkan ibadat itu yang menyebabkan ia gagal menghasilkan apa yang dijanjikan Tuhan itu.

Sering ditekankan bahawa keberkesanan sesuatu terapi atau kaedah perubatan bergantung kepada sejauh mana pesakit benar-benar mematuhi kaedah atau arahan diberikan. Contohnya, ketepatan masa dan lain-lain syarat pengambilan ubat. Sedikit sahaja kesilapan, termasuk melanggar pantang larangnya, akan menyebabkan keberkesanan ubat itu terhapus. Itu contoh paling mudah.

Begitu juga dengan solat. Meski pun tidak diperincikan terapi solat dikendalikan Dr Fatimah tadi secara langkah demi langkah, kita percaya kejayaannya itu ada hubungkait sangat rapat dengan penghayatan sepenuhnya pesakit berkenaan terhadap setiap pergerakan dan tuntutan dalam solat.

Justeru, andaikata solat dikerjakan tidak mampu memberikan ketenangan hati atau gagal menghalang seseorang dari terus melakukan kekejian dan kemungkaran, jangan mudah mempersalahkan janji Allah.

Yakinilah bahawa solat yang dilakukan mengikut piawaian pergerakan setiap anggota dengan betul dan bertepatan dengan tertib diajarkan agama mampu memberi kesan bioperubatan yang menakjubkan. Jika itu tidak berlaku, ia menunjukkan solat kita masih belum sempurna dalam ertikata disabdakan Rasulullah s.a.w., “bersolatlah kamu sepertimana kamu melihat aku bersolat”.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, September 2009 di ruangan 'Pendapat' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment