Sunday, August 3, 2008

Kepahitan silam hantui hubungan PAS-Umno


“Dato’ Onn sendiri kurang menghargai jasa PAS terhadapnya. Pengkhianat utama yang melunturkan kesetiaan mereka terhadap kerajaan PAS ialah Umno”

Oleh: Anuwa Jamalullail

MANA-MANA pihak tidak seharusnya begitu mudah mempersalahkan PAS sekiranya parti itu memilih untuk mengambil sikap terlampau berhati-hati dengan sebarang usaha persahabatan dihulurkan Umno. Mengambil kira beberapa pengalaman dikhianati rakan-rakan, PAS ada sebab sangat munasabah untuk mempertikaikan keikhlasan mana-mana pihak, terutama para pemimpin Umno, menjalinkan sebarang hubungan politik dengan parti itu.

PAS adalah parti Melayu berteraskan Islam. Perjuangan utamanya ialah menegakkan sebuah negara yang terlaksana di dalamnya hukum dan peraturan Allah. Di dalam usaha mencapai matlamat itu, PAS telah mencuba berbagai formula dan pendekatan dalam memenangi hati rakyat negara ini.

Parti itu boleh disifatkan sebagai parti paling terbuka. Ia sanggup bekerjasama dengan mana-mana parti yang bersedia menerima dasar perjuangannya. Sejarah membuktikan di awal kelahirannya, PAS pernah bekerjasama dengan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pimpinan Dato’ Onn Jaafar. Ia juga menyertai Pakatan Umno-MCA dalam menuntut kemerdekaan negara menerusi National Convention.

Dalam menghadapi tentangan Perikatan pada Pilihan Raya Umum Pertama selepas merdeka, PAS sekali lagi bekerjasama dnegan parti pimpinan Dato’ Onn, iaitu Parti Negara (PN). Hasil kerjasama itu membolehkan bekas Presiden Umno itu menentang satu lawan satu dengan calon Perikatan di Parlimen Kuala Terengganu Selatan.

Ketika itu Pilihan Raya Umum Negeri 1959 telah pun diadakan dan Terengganu sudah pun jatuh ke tangan PAS. Laluan diberikan PAS kepada Dato’ Onn merupakan jasa paling besar membolehkan pengasas Umno itu memasuki Dewan Rakyat. Sebagai timbal balas, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PN diminta memberikan sokongan kepada kerajaan Terengganu yang dibentuk 13 Adun PAS. Tujuh lagi kerusi dimenangi calon-calon Perikatan.

Sokongan Adun-Adun PN itu bagaimana pun gagal bertahan lama. Dato’ Onn sendiri kurang menghargai jasa PAS terhadapnya. Pengkhianat utama yang melunturkan kesetiaan mereka terhadap kerajaan PAS ialah Umno. Parti seteru PAS itu berusaha membeli, bukan sahaja Adun PN, bahkan beberapa Adun PAS sendiri. Akhirnya, kerajaan PAS Terengganu hanya bertahan sehingga 1961.

Detik itu dianggap banyak pihak sebagai kemuncak kejahatan politik Umno terhadap PAS. Sejak itu terbenihlah kecurigaan melampau para pemimpin dan ahli PAS , bukan sahaja terhadap Umno, bahkan terhadap bekas-bekas pemimpin Umno seperti Dato’ Onn.

Isu perpaduan Melayu dan penyatuan antara PAS dan Umno bagaimana pun tidak terpadam. Ia membuak kembali sejurus selepas Pilihan Raya Umum 1969. Suara-suara mementingkan keutuhan dan kelangsungan bangsa dan agama akhirnya membawa PAS menyertai Kerajaan Campuran dengan Perikatan . Ia kemudian berlanjutan kepada penyertaan PAS ke dalam Barisan Nasional (BN).

Apa yang dialami PAS selepas itu bagaimana pun kekal sebagai pengalaman paling pahit. Parti Islam itu ditendang keluar daripada BN tiga dekad lalu. Serentak itu ia turut kehilangan kerajaan negeri Kelantan menerusi manipulasi kuasa oleh BN diterajui Umno.

Orang PAS merasakan mereka ditipu dan dikhianati lagi. Jasa PAS membantu memulihkan Umno dari keparahan 1969 tidak ubah ibarat melepaskan anjing yang tersepit. Atau ibarat cerita sang kerbau melepaskan buaya yang tersepit. Sebaik merasa bebas dan kembali mendapat kekuatan, Umno tanpa belas kasihan membaham PAS pula.

Meski pun ia pengalaman pahit, PAS bagaimana pun kekal dengan sikap terbukanya. Ia amat mudah menyambut huluran kerjasama dari bekas pemimpin Umno, termasuk “tangan-tangan kotor” yang terlibat secara langsung menjatuhkan kerajaannya di Kelantan. Apabila Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) terserpih keluar daripada Umno dan membentuk Parti Semangat 46 (S46), PAS menyambut beliau dengan rela hati.

Sangkaan baik PAS terhadap bekas pemimpin Umno itu bagaimana pun tidak berpanjangan. PAS sekali lagi dikhianati. Gabungan Angkatan Perpaduan Ummah yang dibentuk PAS-S46 bersama Hamim dan Berjasa akhirnya berkecai pada 1996 apabila Ku Li memilih untuk kembali ke pangkuan Umno.

Sehingga itu, terbukti bahawa sebarang pakatan antara PAS dengan Umno atau dengan parti pimpinan bekas pemimpin Umno tidak dapat bertahan lama. Disebabkan sejarah hubungan pahit antara kedua-dua parti, isu perpaduan antara mereka sering menimbulkan perbahasan hangat setiap kali ia ditimbulkan. Meski pun ada yang mengalu-alukannya, tentangan daripada ahli kedua-dua parti sendiri adalah faktor paling menyukarkan keadaan.

Sepetimana dibuktikan mutakhir ini, hubungan dengan Umno atau parti pimpinan bekas pemimpin Umno boleh mengakibatkan perpecahan dalaman PAS. Orang PAS sangat sensitif terhadap sebarang usaha berbaik-baik dengan musuh tradisi mereka itu. Jika anda seorang ahli PAS yang pernah menjadi mangsa kezaliman, keegoan, penindasan dan pengkhianatan Umno, anda tidak akan sukar memahami bagaimana pendirian tersebut terbentuk.

Perpecahan dalaman PAS pernah dibuktikan apabila parti itu menyertai BN awal 70-an. Keretakan dalaman PAS paling menyerlah di Kelantan. PAS yang menyertai Pilihan Raya Umum 1974 di atas tiket BN menerima tentangan paling hebat daripada bekas-bekas pemimpinnya sendiri.

Fenomena hampir sama berulang lagi pada 1988 apabila Pas menghulurkan persahabatan dengan Team B Umno diketuai Ku Li. Hubungan dengan S46 mendapat tentangan dalaman PAS sehingga lahirnya Kumpulan Islah PAS.

Mengambil kira episod-episod pahit itu, adalah sesuatu yang boleh dirasionalkan apabila Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini mengeluarkan penegasan agak keras mengenai sebarang kemungkinan hubungan Pas-Umno.

Beliau menegaskan partinya tidak akan sama sekali mengadakan perundingan dengan Umno atas apa juga alasan. Baginya, sebarang langkah mengadakan perundingan dengan parti musuh itu hanya akan mencetusan perpecahan dalam partinya.

Ternyata pengkhianatan silam dibuat Umno terhadap PAS menimbulkan kesan mendalam. PAS merasakan seolah-olah dipermainkan. Keikhlasannya memulihkan kedudukan politik orang Melayu dan Islam pernah dipersiakan Umno.

Ibarat kata orang-orang tua, habis manis sepah dibuang. Madu diberi, tuba yang dibalas. Sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi. Kehadiran PAS dalam BN suatu ketika dulu sampai ke tahap ibarat melukut di tepi gantang. Adanya tidak menambahkan kekuatan, tiadanya tidak menjejaskan BN.

Dalam keadaan yang ada kini, banyak pihak mungkin merasakan PAS tidak sepatutnya membangkitkan pengalaman silam itu. Namun, bukan suatu yang mudah bagi PAS melupakannya. Bak kata orang walau pun lukanya telah sembuh, namun parutnya tetap ada.

Lebih wajar dipersoalkan juga, apakah ada jaminan bahawa Umno kini tidak sekhianat dulu? Bahkan, di satu pihak lain ada yang turut mempersoalkan, apakah bekas pemimpin Umno yang kini menerajui parti yang bersahabat dengan PAS tidak akan mengulangi kepahitan dibuat Dato’ Onn dan Ku Li terhadap PAS suatu ketika dulu?

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 3-9 Ogos 2008 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment