Sunday, February 3, 2008

Exco akui wujud kedai judi berlesen di Terengganu


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

SEBUAH akhbar harian 26 Januari lalu melaporkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang tentang kewujudan kedai judi di bandar raya itu.

Laporan itu memetik anggota Exco itu sebagai berkata, semua kedai menjual nombor ekor yang berada di kawasan yang salah perlu disiasat dan seterusnya ditutup sekiranya tidak mengikut arahan yang ditetapkan.

“Mana boleh kedai jual nombor ekor dibuka dekat kawasan sekolah yang hanya akan menjadi tarikan pelajar. Kalau temnpat itu tiada, sudah tentu tiada pelajar yang beli dan kita tidak boleh salahkan pelajar dalam hal ini”, akhbar itu memetik katanya.

Beliau dipercayai mengulas laporan polis dibuat pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah di Kuala Terengganu berkenaan kegiatan judi yang beroperasi kira-kira 25 meter dari sekolah itu. Akibatnya, premis berkenaan dikatakan menjadi tumpuan sebilangan pelajar sekolah tersebut melakukan perjudian.

Sepintas lalu saja kenyataan pemimpin kanan kerajaan negeri itu dapat difahami dengan maksud bahawa kerajan Terengganu dalam diam rupanya telah mengeluarkan semula lesen untuk operasi premis perjudian. Abdul Latiff langsung tidak menafikan kewujudan kedai berkenaan.

Malah kenyataannya bahawa perkara itu perlu disiasat dari sudut kemungkinan ianya “tidak mengikut arahan” membayangkan bahawa sudah ada peraturan tertentu dibuat kerajaan negeri bagi membenarkan operasi premis judi.

Kesimpulan itu dikukuhkan lagi dengan kenyataan Abdul Latiff seterusnya, bahawa beliau akan berbincang dengan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengenai tindakan yang boleh diambil ke atas premis berkenaan.

Soalnya, jika operasi perjudian benar-benar dianggap haram di sisi kerajaan negeri, mengapa tindakan itu tidak membabitkan sama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT)?

Abdul Latiff juga menekankan soal membuka premis judi di kawasan yang salah. Sebab itu beliau sekadar menyalahkan operasi premis berkenaan kerana berada berdekatan sekolah, sehingga mendorong para pelajarnya turut berjudi. Apakah itu bermaksud, tidak menjadi kesalahan jika dibuka premis judi di tempat yang dianggap “bersesuaian”?

Isu lesen premis judi adalah satu antara isu utama sejak sekian lama di Terengganu. Sejak negara mencapai kemerdekaan, Terengganu tidak pernah diperintah orang bukan Islam. Malangnya, soal menghapuskan judi secara undnag-undang tidak pernah menjadi agenda pemerintah Barisan Nasional (BN).

Hanya di akhir-akhir hayat pemerintahannya pada penghujung 90-an lalu, ada suara dan usaha BN mengharamkannya. Bagaimana pun, usaha parti itu menutup premis judi berhadapan laluan sukar.

Ketidaksungguhan berserta pertimbangan politik menyebabkan usaha itu tidak berhasil. Tentangan paling hebat datangnya dari kalangan tauke-tauke premis terbabit yang juga ahli parti kerabat BN sendiri.

Pengharaman judi secara undang-undang hanya terlaksana apabila Terengganu diperintah PAS (1999-2004). Itu pun dengan serba kepayahan. Kerajaan negeri hanya berkuasa menghapuskan lesen premis, sedangkan lesen operasi masih di bawah kerajaan Pusat.

Kepincangan undang-undang ini menyebabkan penguatkuasaannya terdedah kepada kontroversi, terutama membabitkan tauke-tauke yang berdegil meneruskan operasi mereka.

Kelonggaran undang-undang terhadap larangan berjudi sejak puluhan tahun juga menyebabkan ia menjadi tabiat yang bersarang dalam masyarakat. Menghapuskan sesuatu yang telah lama menjadi kebiasaan bukan lagi tugas yang mudah.

Sebab itu, sebaik kejatuhan kerajaan PAS, kegiatan itu nyata subur kembali. Kaki-kaki dan tahi-tahi judi di Terengganu bagaikan mendapat ‘talian hayat’ dan semakin berani melakukannya secara terang-terangan.

Sebenarnya, apa yang “diakui” Abdul Latiff tadi bukanlah yang pertama seumpamanya dibuat pemimpin BN Terengganu. Seawal November 2004 lalu, sudah ada pemimpin negeri mendedahkan kewujudan premis perjudian di bandar raya itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh pernah memberitahu akhbar betapa terdapat dari kalangan penerima bantuan wang zakat yang menyalahgunakan bantuan tersebut untuk berjudi.

“Saya terserempak dengan penerima bantuan wang zakat yang saya agihkan baru-baru ini keluar daripada premis perjudian ketika melalui hadapan premis berkenaan”, kata Ramli sebagaimana disiarkan sebuah akhbar harian, 10 November 2004.

Mungkin tujuan beliau mendedahkan perkara itu ialah untuk membuktikan ada penerima wang zakat yang menyalahgunakan bantuan itu. Bagaimana pun pengakuan beliau itu secara tidak langsung mengiyakan kewujudan premis perjudian “berlesen” di Terengganu, yang mana beliau sendiri telah kenalpasti premis terbabit.

Apakah selaku timbalan Exco berkaitan hal ehwal agama, beliau telah panjangkan perkara itu kepada JHEAT untuk tindakan, adalah suatu perkara lain. Pokok pangkalnya, seorang Adun kerajaan telah mengakui bahawa di Terengganu sekarang telah wujud perjudian yang beroperasi di premis perniagaan berlesen.

Kini, perkara sama “diakui” pula seorang anggota Exco negeri. Sedangkan perkara itu sering dinafikan kerajaannya selama ini.

Sebab itu tidak memeranjatkan dalam satu serbuan pada Februari 2007, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu berjaya menahan tujuh lelaki dan tiga wanita. Ketika ditahan mereka sedang membuat urusan jual beli nombor ekor di sebuah premis perniagaan berlesen di Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu. Enam daripada yang ditahan itu ialah lelaki beragama Islam.

Sekali lagi BN telah membohongi rakyat di atas perkara yang tidak dilaksanakannya. Ia tidak menutup premis judi, tetapi mendakwa telah berbuat demikian.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, edisi 25 Muharram-2 Safar 1429/3-9 Februari 2014 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment