Monday, January 1, 2007

Asyik-asyik syarikat sama bolot projek di Terengganu


oleh: MAT ZAIN MAT ISA

DI ANTARA isu paling laris diperkatakan mutakhir ini ialah penjelmaan semula kumpulan Al-Arqam yang diharamkan kerajaan beberapa tahun lalu. Kerajaan mendakwa sekumpulan bekas pemimpin dan pengikut jamaah itu kini giat menghidupkannya kembali.

Walau pun mereka dikesan tidak lagi menggunakan nama Darul Arqam, tetapi beberapa ciri dan sifat utama kumpulan itu dikekalkan. Mereka terjelma di bawah organisasi baru bernama Rufaqa Corporation.

Di samping bergiat di sektor perniagaan, penggerak Rufaqa dikatakan turut mengamalkan ajaran-ajaran yang menyamai ajaran Aurad Muhammadiah yang diharam sebelum ini. Malah, pendewaan ke atas bekas pemimpin utama Darul Arqam, Abuya Ashaari Muhammad didakwa masih menebal di kalangan mereka.

Beberapa kaitan jelas antara Rufaqa Corporation dengan Darul Arqam menjurus kepada satu kesimpulan, iaitu “nama sahaja berbeza, tetapi sifat dan amalan mereka adalah sama”. Kesimpulan itulah yang cuba dibuktikan kebenarannya oleh pihak kerajaan.

Di Terengganu, ungkapan “nama saja berbeza, tetapi sifat dan amalan mereka adalah sama” turut kedengaran. Tetapi mereka bukan bercakap soal Al-Arqam atau Rufaqa. Mereka merujuk kepada kecenderungan membolot projek-projek besar kerajaan oleh pihak-pihak tertentu.

Tabiat itu mengingatkan semua orang kepada kisah pembolotan projek-projek infrastruktur di Terengganu oleh syarikat tertentu beberapa tahun lalu. Kini, syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan para pemimpin kanan BN Terengganu itu tidak menjadi sebutan lagi. Bukan kerana syarikat itu sudah tidak beroperasi atau tidak diberikan projek lagi. Mereka masih membolot, tetapi ia dijelmakan melalui penjenamaan semula syarikat terbabit.

Seorang kontraktor kecil di Kuala Terengganu menerangkan, “memang payah nak kesan (pembolotan) sekarang. Syarikat dah tukar nama, pengarah orang lain, pemegang saham dah berubah. Ada pula guna nama syarikat lain untuk masuk tender, tapi yang buat kerja syarikat itu juga. Macam-macam cara sekarang”.

Hakikat ini mendorong mereka menyimpulkan “nama saja berbeza, tetapi sifat dan amalan mereka adalah sama”. Beberapa syarikat tertentu masih membolot projek-projek di negeri itu.

Lebih mendukacitakan rakyat apabila projek-projek yang dilaksanakan itu penuh unsur-unsur tidak sihat dan dipertikaikan. Sekurang-kurangnya tiga pemerhatian dapat dibuat daripada pelaksanaan projek tersebut. Pertama, kebanyakan projek kerajaan berunsur membazir dan kosmetik. Tiga bidang utama ialah pembinaan masjid baru, blok tambahan di sekolah dan jalan raya.

Sebahagian besar projek ini sebenarnya bukan berdasarkan keperluan. Sesetengah jalan yang diturap semula itu baru sahaja dibina. Manakala blok tambahan di sekolah-sekolah dan satu masjid baru di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) adalah melebihi keperluan. Ia lebih kepada mempamerkan keupayaan menaja pembangunan.

Kedua, pelaksanaannya membelakangkan pentadbiran dan mengenepikan prosedur pengurusan kewangan negeri. Menurut sumber yang rapat dengan perbendaharaan negeri, duit perbendaharaan kini dikeluarkan tanpa mengikut “kepala perbelanjaan”. Pegawai Kewangan katanya terpaksa menurut sahaja kehendak “Tingkat 16” (Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Iman).

Dalam pentadbiran, Pegawai Kewangan di bawah arahan Setiausaha Kerajaan (SUK). Sebagai ketua pentadbiran, SUK yang mengesahkan perbelanjaan negeri. Kini, prosedur itu tidak lagi diamalkan.

Ketiga, mengutamakan kroni dan mengkayakan suku-sakat politik. Bagi memastikan survival anak-anak buah, projek mesti diwujudkan.  Akhirnya, sesuatu yang melebihi keperluan pun masih dibina dan diperbaiki. Beberapa bidang kerja yang sebelum ini dilakukan jabatan kerajaan turut diswastakan bagi menambah peluang kroni mengaut untung.

Soalnya, siapa yang mendapat projek-projek itu? Di sinilah timbul ungkapan tadi, “nama saja berbeza, sifat dan amalan mereka sama”. Nama-nama syarikat besar yang pernah diulang sebut sebagai pembolot projek sebelum ini tidak disebut lagi sekarang. Tetapi menjelma pula nama-nama baru yang pelbagai.

Antara yang paling kerap disebut orang sekarang ialah MSA Bina Sdn Bhd. Dikatakan ia dimiliki seorang pemimpin muda Umno Terengganu. Kuasanya dalam menentukan pengagihan projek-projek di Terengganu dikatakan menyerupai kuasa menantu PM di peringkat Pusat.

Bahkan, setiap pembinaan jalan di negeri itu dikatakan mesti diakui syarikat ini. Jika projek itu diperolehi syarikat lain, kerja-kerja penyudah (meletak lapisan premix) mesti diambil alih MSA Bina atau sekurang-kurangnya menggunakan jentera dan peralatan syarikat itu.

Kesempatan turut diambil BN untuk mengisi tabung partinya dari pelaksanaan projek-projek tadi. Seorang kontraktor mendakwa, semua kontraktor yang memperolehi projek kerajaan disyaratkan menabung lima peratus nilai projek kepada dana Umno.

Orang yang menguasai tabung atau dana ini pula dikatakan orang sama yang memiliki MSA Bina tadi. Jika segala dakwaan di atas tadi benar, maka sudah sah bahawa dua tahun pemerintahan BN melahirkan generasi baru pembolot projek di Terengganu.

Itulah kisah “nama saja berbeza, tetapi sifat dan amalan mereka adalah sama”. Cuma yang membezakan kes Terengganu ini dengan Rufaqa ialah organisasi itu kini berhadapan pendakwaan dan tindakan kerajaan. Sedangkan dalam kes Terengganu itu, ia bukan sahaja direstu kerajaan, malah menjadi sebahagian perancangan parti pemerintah.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 11-25 Zulhijjah 1427/1-15 Januari 2007 dengan tajuk ‘Rufaqa dan pembolotan projek besar di Terengganu’)

No comments:

Post a Comment