Sunday, October 1, 2006

Jenayah Menipu Semakin Berleluasa


Oleh: Mohd Nasir Awang

NEGARA kita semakin maju. Seiring itu, kehidupan rakyatnya juga semakin kompetitif.  Masing-masing berlumba mencari peluang dan mengejar kejayaan bagi memastikan kelangsungan hidup.

Kemajuan negara turut mendedahkan rakyat dengan berbagai pengetahuan. Hasilnya, rakyat semakin pintar. Malangnya, tidak semua menjuruskan kepintaran mereka ke arah kebaikan.  Antara mereka ada yang menggunakan kepintaran bagi mendapatkan wang secara mudah, termasuk dengan cara menipu orang lain.

Awal Ogos lalu, cerita wanita bernama ‘Sharifah’ yang didakwa terlibat dalam kes penipuan melibatkan kerugian melebihi RM20 juta menjadi tajuk perbualan masyarakat. Wanita berusia 56 tahun itu dikatakan menjanjikan mangsa-mangsanya keuntungan besar dalam beberapa projek tertentu sejak beberapa tahun lalu.

Sharifah ditahan polis di kediamannya di Cheras, Kuala Lumpur, pada 2 Ogos lalu atas dakwaan menipu lebih 10 orang kenamaan. Antara mereka termasuk yang bergelar Tan Sri, Puan Sri, Datuk dan Datin, selain ahli perniagaan dan pegawai tinggi kerajaan.

Kes ‘Sharifah’ ini bagaimana pun masih belum dibicarakan. Ada pun kes seorang wanita yang menyamar sebagai Peguam Negara telah pun diputuskan mahkamah pada Februari lalu.

Dalam kes itu, Mahkamah Sesyen Ampang menetapkan hukuman penjara lapan tahun ke atas Jamaliah Abdul Rahman yang mengaku bersalah di atas tuduhan menipu seorang doktor menyebabkan mangsa kerugian RM257,308.

Menurut fakta kes, pada April 2005 Jamaliah telah menyamar sebagai Tan Sri Abdul Ghani Patail dan menipu Dr. Julidar Alias sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang secara berperingkat berjumlah RM257,308. Wang itu didakwa untuk membayar duit setem bagi membeli kereta yang dilupuskan pejabat Peguam Negara.

Kes itu bagaimana pun agak tenggelam oleh satu lagi isu ‘penipuan’ yang lebih sensasi melibatkan lelaki keturunan Lubnan, Elie Youssef Najem. Elie mendakwa dirinya pewaris kepada pengasas Columbia Pictures dan Columbia Records serta memiliki kekayaan bernilai AS$46 bilion (RM175 bilion). Beliau mencetuskan kontroversi selepas hasratnya mendermakan RM1.03 bilion kepada Majlis Kanser Nasional (Makna) diragui banyak pihak. Ekoran itu, beberapa pihak mendakwa pernah menjadi mangsa penipuan beliau.

Akhir tahun lalu, iaitu beberapa ketika selepas Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) diumumkan Perdana Menteri, ada pihak yang terus mengambil kesempatan atas keghairahan para kontraktor berebut mendapatkan peluang kontrak kerajaan.

Seramai 104 kontraktor bumiputera dilaporkan ditipu seorang ahli perniagaan sehingga menyerahkan wang berjumlah RM150,000 dengan janji memastikan mereka projek di bawah RMK-9. Apa yang menarik, lelaki berkenaan dalam tiga bulan sebelum itu sanggup menganjurkan jamuan makan malam dan seminar di hotel-hotel bagi meyakinkan syarikat-syarikat terbabit.

Beliau turut membekalkan mangsa dengan senarai terperinci 356 projek pembinaan jalan dan lebuhraya di Selangor yang bernilai RM5 bilion. Turut dibekalkan ialah kad perniagaan yang tertera alamat dan nombor telefon Jabatan Perdana Menteri (JPM). Setiap permohonan dikenakan RM1,500 sebagai belanja mengurus.

Penipuan beliau hanya terdedah apabila ada syarikat terbabit kebetulan menelefon JPM bagi mengetahui status permohonannya. Dukacita dimaklumkan, JPM tidak pernah memberi kuasa kepada mana-mana pihak menguruskan perkara itu.

Cerita sebuah syarikat di Kuantan yang menawarkan ‘cabutan bertuah’ juga pernah dilaporkan.  Beberapa mangsa memberitahu dihubungi syarikat tersebut memaklumkan ‘tuah’ mereka yang terpilih mendapat hadiah di atas kesetiaan sebagai pengguna beberapa produk elektrik.

Mangsa diberitahu nama mereka dipilih daripada kad waranti barangan elektrik yang pernah mereka beli, sesetengahnya sejak 20 tahun lalu. Mangsa diminta hadir ke pejabat syarikat keesokannya untuk mendapatkan hadiah yang ditawarkan, antaranya ialah wang tunai RM12,000.

Apabila di pejabat syarikat, lain pula ceritanya. Mangsa diberitahu kononnya syarat melayakkannya mendapat hadiah tidak cukup dan mangsa yang kononnya ‘bertuah’ itu perlu membayar cagaran bernilai ribuan ringgit sebelum cabutan akhir dibuat. Beberapa mangsa mengaku seakan terpukau, malah ada yang sanggup mengeluarkan wang simpanan dari mesin pengeluar automatik sebanyak mana yang diminta dan menyerahkan kepada syarikat berkenaan.

Kes-kes itu hanyalah contoh daripada puluhan kes yang pernah dilaporkan media. Kita tidak tahu berapa puluh, atau mungkin ratusan lagi kes seumpamanya yang telah berlaku.

Beberapa pemerhatian menarik dapat dikutip dari kes-kes itu. Pertama, ia tidak memilih status mangsa. Semua lapisan masyarakat, dari orang kenamaan, orang terpelajar (doktor), kontraktor sehinggalah golongan bawahan tidak terlepas menjadi mangsa penipuan.

Kedua, pemangsa juga tidak terbatas kepada mana-mana jantina. Lelaki atau wanita, kedua-duanya berpotensi menjadi penipu yang baik.

Ketiga, dan paling memalukan ialah, kesanggupan individu Islam membelakangkan ajaran agama mengenai dosa dan pahala, semata-mata untuk mencapai keperluan hidup. Pengabaian mereka terhadap ajaran agama menyebabkan jumlah orang Islam yang menjadi penipu semakin bertambah.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Jun 2006 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment