Oleh: Mohd. Nasir Awang
PENGULAS Siaran Langsung Pertandingan Akhir Piala Malaysia yang disiarkan di kaca televisyen pada 3 November lalu menyifatkan perlawanan pada malam itu adalah ibarat pertembungan ‘antara dua darjat’. Sambil merujuk kepada ulasan seorang wartawan sebuah akhbar harian, beliau turut mengatakan bahawa ia adalah pertarungan ‘antara si kaya dengan si miskin’.
Maksud beliau dijelaskan lagi apabila beliau mengatakan negeri Perak menjanjikan ganjaran RM50,000 kepada setiap pemain sekiranya mereka berjaya membawa pulang piala paling berprestij dalam arena bola sepak negara itu. Manakala negeri Terengganu hingga malam itu tidak menjanjikan apa-apa.
Hampir tidak ada rakyat Terengganu yang ditemui yang tidak meluahkan rasa tersinggung dengan kata-kata pengulas yang mereka sifatkan sebagai ‘berat sebelah’ itu. Sekali fikir, mujur juga ada komentar sebegitu, menyebabkan kita tahu rupa-rupanya rakyat negeri ini, tanpa mengira kecenderungan politik, amat sayangkan negeri mereka.
Sedari golongan bawahan seperti nelayan, pekerja am, pengayuh ‘teksi’, atendan hospital, kerani dan petani, hingga ke golongan lebih berstatus seperti guru, doktor, peguam dan Yang Berhormat, kesemua mereka rasa terhina apabila negeri mereka dilabelkan sebagai ‘si miskin’.
Lebih menyedihkan mereka ialah apabila media massa saban hari turut memperbesar-besarkan usaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang terpaksa mencadangkan sumbangan RM1 seluruh rakyat Terengganu, sebagai ganjaran kepada para pemain.
Semacam ada suatu maksud tersirat daripada kesemua itu, iaitu bagi memberikan gambaran betapa kerajaan yang ada kini sangat tidak simpatetik terhadap keperluan kewangan badan sukan tersebut.
Mujur juga rakyat faham bahawa bukan Kerajaan Negeri tidak mahu memberi ganjaran kewangan kepada PBSNT. Hakikatnya, kerajaan negeri tidak mampu memberinya.
Bukan sahaja untuk badan sukan, bahkan untuk badan kebajikan, sosial dan pendidikan pun Kerajaan Negeri terpaksa mencari sumber kewangan yang lain. Sebab itulah wujudnya Tabung Darul Iman (TDI), Takaful Wakaf Pendidikan, Dana Masjid dan seumpamanya.
Kenapa Kerajaan Negeri tidak mampu membantu semua badan, tentu sekali kerana negeri kita kekurangan sumber kewangan. Kenapa ianya berkenaan begitu, sudah tidak ada rakyat Terengganu yang tidak tahu menjawabnya.
Sebabnya yang jelas ialah kerana wang kerajaan negeri telah dirompak. Siapa yang merompaknya? Siapa lagi kalau bukan dari kalangan mereka yang menaburkan wang ehsan, termasuk yang dijanjikan kepada PBSNT itu.
Kita percaya para pemain skuad Penyu yang merupakan wira sebenar di atas padang tidak dipengaruhi politicking media berat sebelah itu. Lagi pun, mereka telah membuktikan bahawa janji ganjaran kewangan bukanlah pendorong utama kejayaan mereka. Pertarungan ‘antara dua darjat’ malam itu juga sebagai bukti bahawa ‘si miskin’ mampu menang dan orang yang berbangga dengan kekayaannya akhirnya berputih mata.
Sejarah dunia telah lama membuktikan betapa golongan miskin seringkali berupaya mengalahkan golongan kaya. Dalam sirah nabi-nabi, kita diceritakan bagaimana Nabi Musa a.s mengalahkan Fir’aun, Nabi Daud a.s. mengalahkan Jalud dan Nabi Muhammad s.a.w. mengalahkan Abu Jahal, Abu Lahab dan lain-lain.
Di abad 20 ini, negeri miskin Afghanistan telah berjaya menghalau keluar Soviet Union yang kaya-raya dari bumi mereka dalam episod yang amat memalukan kuasa besar dunia itu.
Tanpa hipokrit kita memperakui juga betapa sebuah negara kerdil yang wujud secara haram yang dinamakan Israel telah berjaya mengalahkan jiran-jiran Arabnya yang sering berbangga dengan kekayaan hasil perut bumi mereka.
Sedangakan Israel itu sendiri amatlah bangsat dan saban tahun mengharapkan bantuan Amerika Syarikat bagi menampung keperluan fiskalnya.
Di dalam negara kita sendiri pula, pertembungan antara parti miskin dan parti kaya bukanlah suatu fenomena yang asing. Sudah tercatat dalam sejarah betapa parti yang sememangnya kaya dengan harta, dengan tokoh yang hebat-hebat, dengan segala kemudahan dan jentera serta kaya juga dengan tipu muslihat akhirnya tersembam di tangan parti yang miskin, yang didokong oleh rata-rata golongan mustadh’afin di kampung-kampung.
Dengan apa yang berlaku itu, terasa ada benarnya pula cerita ‘Antara Dua Darjat’ lakonan P.Ramlee yang mengisahkan pertarungan antara Ghazali, seorang pemuda miskin dengan Engku Mukri yang kaya dan berbangga dengan darah keturunannya. Akhirnya, yang berjaya menawan hati Engku Zaleha ialah si Ghazali yang miskin itu juga.
Kita percaya, para pemain skuad Penyu bukannya berjiwa seperti Engku Mukri. Walau pun mereka bertaraf professional, jiwa mereka tetap sebagai rakyat biasa. Sebab itu, dalam keadaan mereka sering diberi imbuhan atau ganjaran lumayan, mereka tetap mengharungi hidup sederhana seperti kebanyakan rakyat negeri ini.
Maka, janganlah soal ganjaran kebendaan dipolitikkan sehingga membantutkan komitmen dan semangat juang mereka kepada negeri tercinta ini. Ke guane?
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 36, 22 November 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk "Kelincahan di padang pendorong juara")
No comments:
Post a Comment