Oleh: Mohd Nasir Awang
SEBUAH parti yang secara terang-terangan menyisihkan dua negeri dominan Melayu, secara tiba-tiba pula bercakap tentang pembelaan nasib bangsa Melayu. Bagi mempamerkan niat ikhlas tersebut, maka dicanangkanlah soal perpaduan Melayu.
Kelantan dan Terengganu adalah dua negeri di mana dominasi Melayu mencatatkan peratusan paling tinggi dalam negara. Mengikut data Pilihan Raya 1999 lalu, terdapat 26 kawasan Parlimen di seluruh negara yang mencatatkan peratusan pengundi berbangsa Melayu di tahap 90% ke atas. Dari jumlah tersebut, 13 berada di Kelantan, Terengganu (enam kawasan), Kedah (empat kawasan), Pahang (dua) dan Sarawak (satu). Hanya lima daripada jumlah tersebut dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).
Dalam ertikata yang lain, Barisan Alternatif (BA) telah membuktikan mendapat tempat di majoriti rakyat bangsa Melayu. Sebab itu, daripada 22 kawasan Parlimen di Kelantan dan Terengganu, hanya satu sahaja yang dimenangi oleh BN. Di peringkat negeri pula, rakyat dominan Melayu di kedua-dua negeri tersebut telah memilih BA pimpinan PAS untuk memerintah mereka. BA mengatasi BN secara 41-2 di Kelantan dan 28-4 di Terengganu.
Jika benar, di atas dasar membela nasib bangsa Melayu maka soal politik kepartian sepatutnya dikesampingkan, maka sudah semestinya antara negeri paling layak diberi pembelaan oleh Kerajaan Pusat ialah Kelantan dan Terengganu. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kedua-dua negeri dinafikan hak-hak mendapat berbagai kemudahan, termasuk peruntukan-peruntukan wajib yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tidak cukup setakat itu, pencabulan demi pencabulan terus dilakukan untuk menghakis kuasa dan hak kedaulatan kerajaan kedua-dua negeri tersebut. Sumber hasil negeri yang sepatutnya dinikmati dan dimanfaatkan oleh kedua-dua kerajaan juga turut dicabuli.
Kita diberitahu bahawa, tidak lama selepas PAS menerajui Kelantan, minyak dan gas asli telah ditemui di luar pantai Kelantan. Mengikut perkiraan awal pihak bertanggungjawab terhadap usaha carigali tersebut, hasil bumi itu bakal didaratkan di Pantai Senok, Bachok, Kelantan. Sudah tentu sekiranya perancangan tersebut berjalan bagai dirangka, ia sedikit sebanyak bakal memacu pembangunan kepada Kelantan. Malangnya, Kerajaan Persekutuan yang sedang mencanangkan soal nasib bangsa Melayu kini, telah bertindak mengalihkan saluran gas tersebut ke Wilayah Selatan Thailand. Rakyat tertanya-tanya, berapa ramaikah bangsa Melayu rakyat Malaysia yang hendak dibela di sana?
Kezaliman yang hampir sama turut dilakukan terhadap Negeri Terengganu apabila Kerajaan Pusat bertindak nekad melakukan ’rompakan di siang hari’ ke atas terimaan hasil petroleum yang sejak lebih dua dekad lalu dinikmati oleh Kerajaan Negeri. Sedangkan, dalam masa setahun yang lalu, pemerintahan kerajaan kita telah membuktikan bahawa kita telah berusaha bersungguh-sungguh membela nasib bangsa. Kita telah mengangkat martabat imam/bilal, meningkatkan tahap jayadiri golongan miskin dan penerima bantuan am, membebaskan rakyat daripada berbagai bebanan cukai dan tol, menyucikan kerajaan dan agensi-agensinya daripada muamalah riba dan berbagai-bagai lagi.
Lawan kepada kezaliman ialah keadilan dan kesaksamaan. Semua manusia, secara fitrah mencintai keadilan dan menjunjung kesaksamaan. Tidak ada manusia yang waras yang akan bersetuju dengan sebarang bentuk kezaliman. Kerana, kezaliman adalah punca perselisihan, persengketaan, permusuhan dan perpecahan.
Jika benar pihak parti yang menerajui Kerajaan Pusat sungguh-sungguh berhasrat melihat terjalinnya perpaduan yang erat di kalangan bangsa Melayu di negara ini, maka kezaliman ke atas dua negeri yang diterajui BA mestilah ditamatkan terlebih dahulu. Mana mungkin di masa kita menghulurkan tangan kononnya mahukan persahabatan, di masa yang sama juga kita mengasah pedang dan menggilap senapang?
Di saat pemimpin tertinggi BN menyuarakan mahu bersemuka membincangkan soal perpaduan, di saat itu juga pemimpin BN negeri keluar masuk kampung menabur ’wang ihsan’ yang dirompak dari Kerajaan Negeri. Di saat yang sama juga BN Terengganu bergerak seolah-olah mereka ada kerajaan berasingan daripada kerajaan pilihan rakyat yang sah ini.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman Bil: 16, 22 Januari 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment