Friday, December 8, 2000

Sampai bila demokrasi dibalas diskriminasi?


Oleh: Mohd Nasir Awang

BARANGKALI tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu kini adalah sebuah pemerintahan yang paling demokratik di negara ini. Tempoh pemerintahan Kerajaan Barisan Alternatif (BA) yang baru sahaja melepasi usia setahun telah berjaya membuktikan banyak perkara, terutama berkaitan asas-asas demokrasi dalam pemerintahan.

Dalam mana-mana pemerintahan yang berpegang kepada prinsip demokrasi, perkara utama yang ditekankan ialah keadilan. Sesebuah kerajaan demokrasi mestilah memastikan sesuatu hak itu diberi atau dikembalikan kepada pihak yang berhak, atau yang benar-benar layak menerima hak tersebut.
           
Kerajaan BA yang ada kini sedari awal lagi telah mengisytiharkan bahawa tidak akan ada tindakan-tindakan yang boleh diistilahkan sebagai ’balas dendam politik’ kepada mana-mana anggota masyarakat negeri ini. Sebab itu, imam dan bilal di kebanyakan masjid seluruh negeri masih bertugas, walau pun ternyata mereka adalah penyokong kepada parti pembangkang.

Manakala para pegawai dan kakitangan kerajaan pula belum kedengaran ada yang dipecat ekoran perbezaan fahaman politik dengan kerajaan yang ada. Ada pun soal pertukaran jawatan dan tempat kerja adalah perkara biasa bagi mana-mana kerajaan yang berusaha menyusun semula atau mengemaskini pentadbiran. Samalah dengan rombakan kabinet yang sering berlaku di peringkat Pusat.

Ada pihak berpendapat kononnya penamatan khidmat ratusan penjawat di dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Unit Perpaduan Ummah (UPU) adalah ekoran ’balas dendam politik’. Sedangkan, pada hakikatnya institusi-institusi berkenaan wujud hanyalah sebagai perjawatan yang bersifat kontrak yang masing-masing ada tempoh tamatnya.

Bagi sesiapa yang memahami maksud ’kontrak’ sudah tentu tidak akan mempertikaikan tindakan ke atas mereka itu.

Lagi pun, pemansuhan JKKK digantikan dengan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR), sebagai merealisasikan janji dalam manifesto parti pemerintah. Sememangnya menjadi hasrat asal kewujudan JSR itu untuk menggabungkan tenaga penggerak dari semua pihak di peringkat kampung secara demokratik. Sebab itu, beberapa tawaran dibuat kepada bekas penjawat di dalam institusi JKKK yang dimansuhkan itu untuk turut menyertai JSR.

Namun, jawaban yang diterima adalah mendukacitakan. Ada yang terus menolak.  Ada yang pada awalnya menerima pelawaan, tetapi kemudiannya menolak pula.  Bahkan, ada yang sudah pun dilantik secara rasmi menganggotai JSR, tetapi ’dipaksa’ oleh pihak-pihak tertentu meletakkan jawatan.

Apa yang nyata, mereka inilah kemudiannya dijadikan penggerak utama oleh parti pembangkang untuk menghidupkan semula ’institusi haram’ JKKK di negeri ini.

Soal pemutihan bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga dibangkitkan.  Sedangkan kelayakan menerima bantuan berkenaan ialah tahap kemiskinan seseorang. Manakala soal kemiskinan adalah soal relatif dan boleh berubah mengikut masa.

Bantuan am yang diberikan bukannya pesaka yang mesti dikekalkan kepada penerima tetap, tanpa mengambilkira kedudukan ekonomi semasa mereka. Mengekalkan pemberian kepada yang tidak berhak adalah tidak adil. Samalah tidak adilnya dengan tidak memberi kepada yang berhak diberi.

Sepatutnya soal-soal pengemaskinian pentadbiran dan pemutihan bantuan am tidak dijadikan isu politik. Lebih-lebih lagi, kerajaan BA tanpa diskriminasi telah mengisytiharkan peruntukan pembangunan sebanyak RM100,000 kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya, termasuk kepada empat ADUN dari parti pembangkang.

Setakat yang kita tahu, tidak ada satu pun negeri di negara ini yang memberikan layanan sedemokratik itu kepada ADUN-ADUN pembangkangnya. Sebaliknya, yang menjadi tradisi bagi Kerajaan Pusat ialah menafikan peruntukan pembangunan RM500,000 setahun kepada Ahli-Ahli Parlimen daripada parti selain Barisan Nasional (BN).

Barangkali perlu disebutkan semula bahawa wakil rakyat adalah orang yang telah dipilih oleh rakyat secara demokratik. Teras amalan demokrasi ialah mengakui dan menghormati sebarang keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.

Sebagai pengundi, rakyat telah membuat pilihan lebih setahun lalu. Pilihan rakyat sewajarnya dihormati.

Justeru setiap wakil rakyat, sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang, berhak mendapat segala peruntukan demi kepentingan rakyat yang diwakilinya. Tindakan menafikan peruntukan pembangunan kepada wakil rakyat pembangkang adalah suatu diskriminasi politik yang jelas mencabuli prinsip demokrasi.

Secara demokratik juga, rakyat terbanyak tanpa mengira fahaman politik mesti diberikan layanan saksama. Tepat sebagaimana yang diungkapkan Menteri Besar di majlis penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung La, Hulu Besut akhir bulan lalu, ”ini bukan soal membeli rakyat supaya menyokong kita”.  Kerajaan tetap kerajaan, dan menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyatnya tanpa mengira fahaman politik. 

Sebab itu, walau pun sebahagian besar mangsa banjir itu adalah para penyokong kuat parti pembangkang, soal itu bukan menjadi perkiraan. Setiap keluarga dipastikan mendapat bantuan yang sama, iaitu RM5,000 sekeluarga dari sejumlah RM365,000 peruntukan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri pada hari itu.

Malangnya, prinsip demokrasi yang dihayati oleh kerajaan negeri ini nampaknya gagal dihormati oleh Kerajaan Pusat. Bukan mudah bagi rakyat untuk melupakan ’penodaan’ yang telah dilakukan oleh Kerajaan Pusat terhadap hak-hak kerajaan dan rakyat negeri ini. Peruntukan pembangunan perumahan, perparitan dan keindahan bandar khabarnya telah dinafikan.

Grant capitation yang sepatutnya telah dibayar, masih belum dapat dimanfaatkan.  Manakala sumber pendapatan utama kerajaan iaitu royalti hasil petroleum telah ’dirompak’ semua sekali.

Sebaliknya, Kerajaan Pusat memilih untuk menyalurkan peruntukan yang telah dialihbahasakan sebagai ’wang ihsan’ itu melalui institusi-institusi yang tidak ada kena-mengena langsung dengan Kerajaan Negeri.

”Wang ihsan hak rakyat, bukan hak PAS”, kata mereka. Apa yang mereka terlupa ialah rakyat memilih PAS. Rakyat telah memberikan hak untuk menguruskan kepentingan mereka kepada PAS. Maka, secara demokratiknya, pihak yang kalah tidak perlu menyibuk soal menguruskan hak rakyat negeri ini.

Setahun telah berlalu! Rakyat sangat berharap agar pihak yang kalah belajar menerima hakikat kekalahan, dan menghormati prinsip demokrasi. Percayalah, balas dendam dan diskriminasi politik tidak akan berupaya memulihkan imej parti pemerintah Kerajaan Pusat di negeri ini. Sampai bilakah mereka itu mahu kekal dengan kezaliman mereka? Insaflah!

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT) Bil: 13, 8 Disember 2000, di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment