Oleh: Mohd. Nasir Awang
Dalam wawancara dengan Buletin Berita Yayasan Terengganu yang diterbitkan pertengahan tahun ini, Menteri Besar, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang antara yang lain ditanya mengenai langkah-langkah yang dikenalpasti oleh pihak kerajaan negeri untuk mengurangkan pergantungan kepada sumber royalti minyak.
Tuan Guru menjawab: “Sumber terbesar hasil Kerajaan Negeri adalah royalti minyak. Namun demikian kerajaan juga boleh menerokai bidang-bidang lain yang mana dapat menambahkan hasil kepada kerajaan. Dari segi perancangan, sehingga kini belum ada lagi usaha untuk mempelbagaikan hasil kepada kerajaan. InsyaAllah kita akan kaji perkara ini secara mendalam.”
Sewaktu wawancara itu dibuat, isu penarikan balik pemberian royalti minyak masih belum dicetus oleh Kerajaan Pusat. Sebab itu, pihak Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang sebab yang dharuri untuk mengadakan perancangan segera, sekadar untuk ”menambahkan hasil kerajaan”. Tambahan pula, tempoh beberapa bulan pertama pemerintahan itu lebih baik ditumpukan kepada perkara-perkara yang lebih awla.
Lagipun, jumlah hasil bagi tahun 2000 yang dianggarkan sebanyak RM692.182 juta adalah lebih dari cukup untuk mentadbir dan membangunkan negeri. Daripada jumlah itu, anggaran terimaan dari royalti petroleum dan gas adalah sebanyak RM530 juta, atau 76.56 peratus dari jumlah hasil negeri.
Arah aliran ekonomi negeri secara keseluruhannya juga semakin menjurus kepada perkembangan yang dinamik dan progresif. Prospek ekonomi Negeri Terengganu pada tahun ini, dianggarkan mengalami pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus. Hasil-hasil lain seperti Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil turut dijangka akan mengalami pertambahan.
Bagaimanapun, itu tidak bermakna Kerajaan Negeri tidak pernah mengambil kira baik buruk pergantungan kepada satu atau dua sumber sahaja. Segala macam kemungkinan boleh berlaku sekiranya sumber dan punca hasil tidak dipelbagaikan.
Apa yang disuarakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Haji Harun Taib dalam satu program parti akhir Julai lalu menjadi bukti bahawa kesedaran tentang kemungkinan yang bakal menimpa telah pun wujud di fikiran para pemimpin negeri sedari awal lagi.
Dalam kertas kerjanya bertajuk ’Mengisi Kemenangan: Cabaran dan Perlaksanaan, Haji Harun menyebut ”Pergantungan ke atas satu atau dua sumber sahaja, walaupun ianya merupakan sumber yang besar tidak dianggap sebagai suatu perancangan yang bijak. Pihak kerajaan sedang mengenalpasti sumber-sumber lain untuk menambahkan pendapatan seterusnya dapat meneguhkan kedudukan ekonomi negeri di samping dapat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.”
Kini, segala-galanya telah berubah! Keperluan kepada suatu perancangan mempelbagaikan sumber dan hasil negeri bukan lagi sekadar pilihan. Tuntutan mengenalpasti sumber hasil itu pula bukan sekadar ” untuk menambahkan hasil kerajaan” sahaja. Ia sudah menjadi suatu kemestian untuk menampung defisit perbelanjaan di pelbagai sektor yang telah dirancangkan.
Inilah masanya untuk warga Terengganu, sama ada pihak kerajaan mahu pun rakyat, menoleh kembali ke sektor-sektor ekonomi yang selama ini tidak begitu diberi perhatian sepenuhnya.
Sektor pertanian, umpamanya, sememangnya perlu diberi penekanan yang sepatutunya, kerana ia dapat menjana pengeluaran bahan makanan dan sekaligus mengurangkan import negeri.
Untuk itu, teknologi dan penggunaan tanah perlu dimajukan. Pendekatan secara komersil, terutama bagi komoditi terpilih seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan ternakan mesti digalakkkan kepada rakyat. Agenda bagi meminimumkan kos pengeluaran, mengatasi isu pemasaran, meningkatkan Research and Development (R&D) tidak boleh lagi dibiarkan hanya sebagai agenda sahaja.
Sektor pelancongan juga amat berpotensi untuk dimajukan. Negeri kita ada segala macam daya tarikan yang mampu dimanfaatkan untuk menggamit pelancong. Kita ada pantai yang panjang, pulau-pulau yang indah, ada bukit, air terjun, lata, hutan lipur, tasik, gua, lagun, dan sungai yang merupakan tarikan semulajadi.
Kita juga ada keunikan-keunikan lain seperti industri ulat sutera (yang tidak terdapat di negeri-negeri lain kecuali Sarawak), senibina-senibina tradisional Melayu, dan tempat-tempat bersejarah.
Sebab itu, Terengganu pernah dikenali sebagai ”Negeri Cantik, Budaya Menarik, Orangnya Baik!”
Dasar perbelanjaan berhemat dan telus juga mestilah dilaksanakan seiringan dengan usaha menambahkan hasil pendapatan. Sebarang ruang yang boleh menjurus kepada pembaziran haruslah dihentikan.
Pengurangan tenaga kerja yang melebihi keperluan atau gagal berfungsi, khususnya yang diwarisi hasil ’lantikan politik’ kerajaan terdahulu di majlis-majlis daerah dan lain-lain Pihak Berkuasa Tempatan wajar dipertimbangkan.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 11, 8 November 2000 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment