Oleh: Mohd Nasir Awang
Andaikata ada satu program tinjau pendapat seumpama program “Lagu Popular Minggu Ini” khusus untuk perkataan popular, maka tidak syak lagi perkataan yang menduduki tangga teratas carta tersebut ialah “hudud”.
Kalaupun mungkin tidak saban minggu hudud berada di puncak carta, namun sebilangan besar minggu-minggu sejak dua tahun lalu sudah pasti menjadi “milik” hudud.
Sejak tercetusnya ura-ura kerajaan Kelantan mahu melaksanakan undang-undang syariah, para pemimpin Barisan Nasional khususnya Umno, tidak pernah berehat dari mempolitikkan isu hudud.
Daripada yang searif-arif tentang hukum dan syariat Islam itu sehingga kepada mereka yang tidak tahu apa itu hudud, semua tidak melepaskan peluang untuk turut bercakap mengenai soal itu.
Daripada mereka yang bertaraf sarjana pendidikan Islam, ulama, hakim dan peguam, mufti, kadi dan ulama upahan, sehingga kepada mereka yang bertaraf cikgu, ketua kampung, kaki sembang kedai kopi, tukang ampu kerajaan, para menteri dan ahli Parlimen yang agak jahil tentang Islam, semua turut memperkatakan soal hudud.
Sehinggakan ada di kalangan Ahli Parlimen Barisan Nasional yang turut mahu membahaskan soal hudud di Dewan Rakyat secara selamba dan penuh keliru menyebutnya “Uhud” akibat kejahilan mereka tentang istilah yang sebenarnya.
Kepopularan isu hudud tidak syak lagi telah berupaya menguasai suasana politik tanah air hingga ke hari ini. Walaupun kedapatan isu-isu lain yang turut berlaku sepanjang setahun dua lalu seperti penyelewengan Saham Maika, kondo runtuh, menghakis Raja Berperlembagaan, politik wang dalam perhimpunan Umno, kritikan pedas Australia, kontrak Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang, penentangan penduduk terhadap Taman Antarabangsa Jerai dan kerugian Bank Negara sebanyak dua kali yang melibatkan puluhan billion ringgit – namun ia hanya bersifat “datang dan pergi”.
Apatah lagi isu-isu tersebut tidak menjadi punch-bag yang begitu enak bagi Umno dan Barisan Nasional dalam meraih political mileagenya.
Tetapi isu hudud nyata menjadi sajian paling meliurkan bagi Barisan Nasional (kususnya Umno) terutama dalam mempertingkatkan keraguan bukan Islam terhadap PAS dan perjuangan Islamnya.
Ia sekaligus menjadi modal Umno untuk mendabik dada kononnya merekalah pembela rakyat berbilang kaum yang sebenar. Kononnya merekalah pejuang kebebasan beragama dan kononnya cara “perlaksanaan Islam” yang dilakukan oleh Umno adalah lebih baik, lebih selamat dan lebih bijaksana.
Datuk Dr. Yusof Noor, seorang menteri yang terkenal dengan latar belakang pendidikan Islam, sewaktu berucap di Seremban pada pertengahan Oktober 1992 lalu menyifatkan PAS sebagai parti yang hanya melihat Islam secara serpihan, kerana mereka (PAS) ingin melaksanakan sebahagian daripada syariat Islam iaitu hukum hudud sahaja.
Kata beliau lagi: “Keadaan tersebut amatlah berlainan dengan Umno di mana ia (Umno) melihat Islam secara keseluruhan dan lebih menekankan kepada kesejahteraan ummah”.
Datuk Dr. Abdul Hamid Othman, seorang lagi tokoh agama dalam Umno sewaktu berucap di Sik, Kedah awal Mac 1994 mendakwa dasar yang diperjuangkan oleh Umno bukan sahaja selaras dengan kehendak Islam, “…malah pendekatan keIslaman yang dibawa oleh parti itu (Umno) lebih selamat berbanding pendekatan PAS.”
“Pendekatan keIslaman yang lebih selamat” turut dilaung dan dicanangkan oleh Barisan Nasional dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Lundang, Mac lalu.
Melalui satu deklarasi yang dinamakan “Pengisytiharaan 14 Syawal 1414”, BN buat pertama kali dalam sejarah mengemukakan slogan “Menegakkan Islam Secara Bijaksana”. Imej-imej Islam dan suara-suara mahu melaksanakan Islam terpaksa dipamerkan oleh BN walaupun dengan penuh mual dan jengkel.
Sebenarnya umat Islam di negara ini sudah tidak hairan dengan “suara Islam” dari lafaz Barisan Nasional. Kisah Umno (tulang belakang BN) mendakwa memperjuangkan Islam bukanlah cerita baru.
Umno telah mendakwa ia parti ketiga Islam terbesar di dunia, lama sebelum ia mengarahkan pasukan polis “menangkap” seorang tok guru pondok dan 13 pengikutnya di Kedah.
Umno sering mendakwa ia sentiasa berjuang untuk kepentingan ummah, lama sebelum ia bertindak meroboh masjid, surau dan sekolah rakyat di Terengganu.
Umno atas lambang “dacing” yang sama juga telah datang ke Lundang dan mengaku mahu melaksanakan Islam secara bijaksana. Sedangkan beberapa peraturan Islam yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri sebelum ini, Umno itulah juga yang sangat kecoh menentangnya.
Pengisytiharan 4 Syawal bolehlah dianggap sebagai usaha terakhir Umno untuk mengaburi mata rakyat negara ini, khususnya di Dun Lundang tempohari, kononnya Barisan Nasional juga mahu melaksanakan Islam.
Di kalangan para pemerhati politik dari luar Kelantan, ada yang menyebut bahawa pengisytiharan tersebut khusus distrategikan oleh Barisan Nasional untuk mengimbangi pengaruh hudud di kalangan rakyat Kelantan.
Kerana, antara pemerhati politik tersebut, ada yang berpendapat bahawa yang menjadi calon PAS dalam pilihanraya kecil itu, pada hakikatnya bukan Ustaz Mohd Daud Iraqi “per se”.
Tetapi yang lebih menonjol sebagai calon PAS dan calon kerajaan Kelantan ialah “hudud”. Maka Barisan Nasional sedikit sebanyak terasa bahawa persoalan yang berkumandang di tengah-tengah masyarakat Lundang ialah “menentang hudud bererti menolak Islam”.
Rakyat tahu Barisan Nasional terpaksa melaungkan suara Islam kerana ia tahu pengundi Dun Lundang sejak turun-temurun adalah pencinta dan pengamal ajaran-ajaran Islam yang sangat komited.
Membawa suara-suara selain daripada Islam akan merugikan Umno dan Barisan Nasional. Mempamerkan imej-imej dan syiar yang tidak berkaitan dengan Islam hanya menambah jauhkan pengundi Lundang daripada Barisan Nasional.
Maka buat pertama kalinya, seingatan rakyat negara ini, Barisan Nasional mencetak poster calonnya di Dun Lundang dengan memakai kopiah (lebai putih) sebagai mempamerkan imej Islamnya.
Bahkan, ada yang mendakwa kononnya suatu arahan yang tidak rasmi telah dibisikkan kepada para petugas kempen Barisan Nasional agar menggantikan songkok hitam di kepala mereka dengan kopiah putih sewaktu menemui para pengundi.
Maka dapatlah disaksikan beberapa orang menteri pusat yang sejak berdekad belum pernah mengenakan kopiah putih, turun berkempen dari rumah ke rumah dengan memakai kopiah putih. Seolah-olah Barisan Nasional turut memperakui bahawa “kopiah putih” lebih berimej Islam berbanding “songkok hitam Umno”.
Seolah-olahnya lagi, Barisan Nasional telah menidakkan pendapat dan pendirian Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan sendiri, dalam soal pendekatan Umno Kelantan.
Sewaktu ditemubual oleh wartawan Utusan Malaysia, Senator Annuar Musa pernah menyebut: “PAS memang gunakan Islam untuk politiknya sebagai suatu brand. Tetapi Umno tidak boleh begitu. Kita mesti kekal dengan pendekatan kita bahawa Islam yang hendak kita bawa ialah Islam yang progresif, yang tidak nampak berjubah dan berkopiah, tetapi kita buktikan dengan hasil”.
Dengan itu, Pengisytiharan 4 Syawal 1414 boleh juga dilihat sebagai suatu bukti kebebalan dan kecetekan Barisan Nasional dalam menungkah arus politik. Pengisytiharan itu seolah-olah bahawa para pemimpin BN adalah manusia yang singkat ingatan dan pelupa.
Mereka seolah-olah terlupa bahawa rakyat Kelantan adalah rakyat negara ini yang paling bijak berpolitik, dan telah terbukti sejak turun-temurun mereka paling bijaksana dalam melaksanakan Islam.
Disebabkan kebijaksanaan itulah rakyat Kelantan telah menolak Barisan Nasional secara total dalam Pilihan Raya Umum 1990 lalu.
Sepatutnya keputusan pilihanraya umum itu sudah cukup mengajar Barisan Nasional untuk malu pada diri sendiri. Malu terhadap janji-janji kosong dan “cakap tidak serupa bikin” para pemimpinnya terhadap rakyat selama ini. Malu pada perangai double-standard Barisan Nasional dalam memperkatakan Islam.
Barisan Nasional tidak dinafikan banyak membina masjid, tetapi komponen itu juga tidak boleh menafikan ia banyak “membina” kedai-kedai judi, kelab malam dan tempat maksiat.
Bahkan Barisan Nasional pernah mengambil tindakan undang-undang terhadap orang-orang Islam yang menunaikan solat Jumaat “tanpa tauliah” di Besut. Sedangkan pada waktu yang sama, orang Islam yang langsung tidak menunaikan solat Jumaat dicadangkan pula pergi ke tempat-tempat rekreasi untuk mereka pergi “menenangkan fikiran”. Maka cuti mingguan di sesetengah negeri turut ditukar kepada hari Ahad.
Barisan Nasional memang boleh bangga kerana menganjurkan musabaqah membaca al-Quran setiap tahun hingga ke peringkat antarabangsa, dan Barisan Nasional juga jangan malu untuk berbangga dengan “musabaqah” ratu cantik, pesta pantai dan konsert rock yang ditaja dan digalakkan oleh aspirasi parti-parti komponen mereka.
Menyedari realiti itu, sudah sepatutnya Barisan Nasional tidak turun ke Lundang dengan imej, stail dan penampilan suara Islamnya. Ianya nyata tambah melugarkan rakyat Kelantan terhadap Barisan Nasional dan tambah menampakkan sifat “talam dua muka” parti itu.
Rakyat Kelantan sudah tidak mengharapkan Barisan Nasional untuk melaksanakan Islam. Lebih-lebih lagi yang ditentang Barisan Nasional ialah PAS, sebuah parti yang dianggotai oleh seratus peratus orang Islam. Malah PAS juga adalah satu-satunya parti yang secara sepakat disokong oleh rakyat untuk menegakkan Islam. Sebuah parti yang menerajui sebuah kerajaan yang kini dilambung melaksanakan syariat Islam termasuk hudud.
“Tak Dok Sebab Demo Nak Lawe Kawe” sebenarnya satu amaran bagi Umno dan Barisan Nasional agar jangan bersikap biadap terhadap usaha melaksanakan hudud di Kelantan.
Sebahagian besar masyarakat Lundang berpendapat dalam keadaan Barisan Nasional sendiri tidak pernah bercita-cita untuk melaksanakan hukum Islam di negara ini, adalah amat tidak beradab untuk melawan PAS yang kini berusaha keras menegakkan syariat Islam.
Melawan kerajaan Angkatan Kelantan bererti menentang hudud kerana tidak ada alternatif lain yang mahu melaksanakan hukum itu setakat ini melainkan Angkatan. Menentang hudud bererti menolak Islam.
Pengundi Lundang telah membuktikan bahawa apa jua yang disuarakan oleh Barisan Nasional untuk melawan PAS, termasuk Pengisytiharan 4 Syawal 1414 itu – jelas menggambarkan ketidakberadaban Umno dan komponennya terhadap Islam.
(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala diusahakan Tarmizi Mohd Jam, diterbitkan Rangkaian Minda Publishing, Mei 1994)
No comments:
Post a Comment