Saturday, April 10, 1993

Besut Pintu Tawan Terengganu?

Oleh: Mohd Nasir Awang
Sejak awal-awal pagi lagi pada 20 haribulan Mei 1959, deretan beca roda tiga sudah kelihatan ‘menghiasi’ sudut-sudut utama di Pekan Jerteh, Terengganu. Di pekan yang menjadi pusat perdagangan bagi masyarakat daerah utara Terengganu itu, beca roda tiga dikenali sebagai ‘teksi’. Ia merupakan kaedah pengangkutan jarak dekat paling popular sehingga pertengahan tahun 70-an lalu.
Kehadiran ‘teksi-teksi’ berkenaan pada pagi itu, bagaimanapun bukan sekadar menyediakan perkhidmatan sebagaimana di hari-hari biasa. ‘Teksi-teksi’ itu sebenarnya membawa bersama mereka suatu manifestasi sokongan mereka terhadap perjuangan menegakkan pemerintahan Islam di negara mereka; Persekutuan Tanah Melayu.
Di hari berkenaan semua ‘teksi’ yang berada di Pekan Jerteh mengibarkan bendera Parti Islam Se Tanah Melayu (PAS). Tindakan yang mereka buat secara sepakat itu nyata ‘menghangatkan’ suasana pagi hari pembuangan undi itu. Ia melahirkan suatu ‘kejutan’ yang tambah menyemarakkan daya juang ahli-ahli PAS, dan di masa yang sama ‘membunuh’ semangat kerja ahli-ahli Parti Perikatan yang menjadi saingan utama PAS dalam meraih sokongan rakyat.
Pergerakan ‘teksi-teksi’ itu yang bertali arus dan mundar-mandir dari pusat pekan ke tempat pembuangan undi di sebuah sekolah berdekatan sekaligus menjadi suatu kaedah kempen dan rayuan undi yang sangat berkesan bagi PAS.
Buat pertama kali sejak Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan rakyat negara ini berpeluang memilih wakil-wakil mereka ke Dewan Perundangan Persekutuan (Parlimen) dan Dewan Undangan Negeri.
Di kesempatan itu, Parti Islam Se Tanah Melayu (PAS) telah memberi penghormatan yang tinggi kepada rakyat di Daerah Besut dengan meletakkan pemimpin nombor satunya, Dr. Burhanuddin Mohd Noor Al-Helmi sebagai calonnya bagi kerusi Parlimen Besut.
Dalam Pilihanraya Umum Pertama itu PAS menang besar di Parlimen Besut dan seterusnya berjaya membentuk kerajaan negeri Terengganu. Dr. Burhanuddin Al-Helmi telah berjaya menewaskan calon Perikatan di Peringkat Parlimen. Manakala di peringkat negeri, calon-calon PAS berjaya mengalahkan calon-calon Perikatan di lima daripada enam kerusi DUN.
Ustaz Husin Jusoh telah menang di DUN Hulu Besut, Haji Wan Said Wan Mohd Noor di DUN Kuala Besut, Haji Mohamad Ismail di DUN Besut Tengah, Encik Senari Yunos di DUN Kampung Raja dan Haji Daud Samad di DUN Setiu. Hanya kerusi DUN Hulu Nerus yang tidak berjaya ditawan oleh PAS di Besut.
Kejayaan yang mengejutkan itu seterusnya meletakkan Besut sebagai sebuah kawasan yang menjadi kubu kuat PAS di Terengganu. Suara PAS Besut bergema di Parlimen buat beberapa tahun. Dan yang lebih menarik suara itu adalah suara Yang Dipertua Agong PAS sendiri.
Di peringkat negeri Terengganu pula, wakil-wakil rakyat dari Besut turut memainkan peranan yang signifikan dalam pembentukan kerajaan PAS yang pertama di negara ini.
(PAS juga menang besar di Kelantan beberapa hari kemudian dan membentuk kerajaan PAS yang kedua di negara ini). Peranan paling menyerlah ialah dengan pemilihan ADUN Setiu, Besut iaitu Haji Daud Samad sebagai Menteri Besar Kerajaan PAS Terengganu.  Sejarah merakamkan bahawa Menteri Besar Pertama (dan satu-satunya hingga kini) bagi kerajaan PAS di Terengganu adalah pemimpin PAS Besut.
Setelah berlalu beberapa masa, berbagai-bagai perubahan dan pertukaran suasana politik melanda daerah Besut. Dalam diari pilihanraya-pilihanraya umum selepas itu, PAS telah mengalami beberapa keadaan ‘jatuh-bangunnya’.
Secara umumnya, keadaan-keadaan itu memperlihatkan suatu ‘kemerosotan’ undi yang ketara terhadap calon-calon PAS di Besut. Di samping gagal mempertahankan kerusi Parlimen Besut sejak Pilihan Raya Umum 1969.
PAS juga tidak berjaya memenangi sebarang kerusi DUN di Besut sejak Pilihan Raya Umum 1974 (PAS bertanding atas tiket Barisan Nasional pada tahun itu).
Ledakan pembebasan ummah yang melanda umat Islam seluruh dunia di akhir 70-an dan awal 80-an nyata membawa kesan yang amat signifikan terhadap rentak perjuangan PAS.  Kejatuhan kerajaan PAS di Kelantan beserta kehilangan sebahagian besar kerusi di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum 1978 bagaikan tidak sempat mendatangkan sebarang ‘kelumpuhan’ kepada perjuangan PAS.
Kebangkitan Islam seluruh dunia telah memberi aspirasi kepada semua gerakan Islam, termasuk PAS di Malaysia. Melalui gelombang ‘pembersihan akidah’, PAS bagaikan mendapat nafas baru untuk turun ke tengah-tengah masyarakat memberi penerangan ‘batas-batas iman dan kufur’.
Pihak yang paling tertekan dan terpukul dengan penerangan isu akidah ini tentu sekali dari kalangan orang-orang Melayu/Islam yang tidak menganggotai parti/kumpulan Islam. 
Dalam hal ini, Umno menjadi satu contoh yang paling baik untuk disebut oleh PAS betapa memang ada kumpulan orang-orang yang mengaku Islam, tetapi perancangan dan tindakannya tidak menepati lunas-lunas Islam. Malah sebahagian tindakan Umno nyata ‘terbabas’ melewati batas-batas iman dan kufur.
Dalam keadaan takutkan bayang-bayang sendiri begitu, tiada langkah politik paling wajar bagi Umno (yang menjadi tulang belakang kerajaan), melainkan untuk mengembalikan segala ‘kegerhanaan politik’ yang timbul ekoran isu itu kepada PAS sebagai ‘mengkafirkan orang Islam’ dan ‘memecah-belahkan perpaduan masyarakat’.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Musa Hitam di dalam kata-kata alunan beliau pada Kertas Putih terbitan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada awal November 1983 secara terus-terusan menghukum PAS sebagai ‘mengkafirkan orang Islam. Beliau menyebut:
There are also certain groups and individuals, especially members and supporters of the Parti Islam Se Malaysia (PAS), who have formulated, issued, and disseminated what they claimed to be ‘fatwa’ which branded those Malaysian/Muslims outside their party as ‘kafir’.  This activity is serious, harmful and dangerous”.
Salah tanggapan yang dilemparkan terhadap PAS oleh Menteri Dalam Negeri itu bagaimanapun terus diperbetulkan oleh seorang penulis politik seminggu kemudian.  Saudara Abdul Razak Ayub yang menghabiskan beberapa masa di Terengganu dan Kelantan bagi menyelidik persoalan akidah dan politik masyarakat Melayu mendapati keadaan sebenar yang berlaku tidak sebagaimana yang digambarkan oleh Menteri berkenaan.
Sebaliknya, secara sinis beliau meletakkan segala yang berlaku (antara orang-orang PAS dan Umno) adalah sebagai manifestasi rasa ‘keterasingan’ orang-orang Melayu ekoran amalan diskriminasi dan penindasan politik Umno. Di dalam bukunya bertajuk ‘Perpecahan Bangsa Melayu’, beliau menyebutkan:
“Adapun fitnah kafir mengkafir yang membabitkan soal iman-Islam-kufur seperti yang digema-riuhkan oleh sebaran am tempatan khususnya, dari kajian dan penyelidikan saya dapati perkara ini tidak terjadi…
“..Apa yang sebenarnya berlaku ialah diskriminasi dan penindasan politik Melayu yang berkuasa ke atas Melayu yang tidak berkuasa. Hal inilah yang bertanggungjawab secara langsung hingga menyebabkan rasa keterasingan sebahagian besar orang Melayu.  Manakala kafir mengkafir adalah semata-mata tuduhan Umno terhadap PAS dan sehingga kini tuduhan itu masih tidak terbukti……”
Klimaks kepada gelombang pembersihan akidah sebagaimana yang disebutkan di atas telah ditakdirkan berlaku di daerah Besut.  Beberapa ‘ketegangan dan perpecahan’ dalam masyarakat telah sekali lagi menjulang nama ‘Besut’ dalam arena politik negara, terutama di kalangan pemimpin Umno dan juga pasukan keselamatan.
Kertas Putih terbitan KDN pada November 1984 di beberapa bahagian dalam laporannya mencatatkan kejadian-kejadian ‘yang tidak pernah diingini’ yang melanda daerah Besut.  Antaranya, pemulauan kenduri-kendara, pernikahan semula, penceraian politik, sembahyang berasingan, tidak mengeluarkan zakat kepada amil kerajaan, kubur berasingan, tidak makan sembelihan orang Umno dan ‘mengkafirkan’ Umno.
Satu senarai kelab-kelab PAS yang dijadikan tempat Jumaat juga dilampirkan dalam Kertas Putih berkenaan. Dan suatu keadaan yang menarik ialah daripada sejumlah 33 buah kelab, surau dan masjid yang disenaraikan di seluruh negara itu, sebanyak 22 buah adalah dari daerah Besut.
Dengan kata lain, bolehlah agaknya dikatakan bahawa dua pertiga ‘ketegangan’ politik Melayu/Islam antara PAS dan Umno di seluruh negara pada akhir 70-an dan awal 80-an telah berlaku di daerah Besut.
Berikutan ketegangan yang meledak di Besut, beberapa pimpinan dan ahli PAS Besut telah ditahan di bawah Enakmen Kediaman Terhad, Seksyen 39. Mereka ialah Ustaz Mohamad@Stimat bin Jusoh yang dibuang daerah ke Kampar, Perak; Ustaz Abdul Latif bin Muhammad ke Setiawan, Perak; dan Haji Jusoh bin Besar ke Kluang, Johor.
Manakala sebilangan pemimpin dan ahli yang lain turut menerima hukuman penjara atau denda beribu-ribu ringgit atas ‘kesalahan-kesalahan’ di bawah Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak, seperti mendirikan Jumaat tanpa tauliah, mengeluarkan zakat kepada orang yang tidak bertauliah dan mengeluarkan ‘fatwa’ tanpa tauliah.
Ada pun ahli-ahli PAS di Besut yang menanggung akibat diskriminasi dan penindasan Umno seperti ditukar tempat kerja, dinafikan hak mendapat subsidi, disisih daripada mendapat lesen, permit, tanah, biasiswa dan seumpamanya, jumlah mereka hampir tidak terhitung. 
Namun, sebagaimana besi yang pejal, semakin dibakar dan diketuk, semakin runcing dan tajamlah ia. Maka tidak keterlaluan jika dikatakan begitulah komitmen ahli-ahli PAS Besut terhadap perjuangan Islam.
Mungkin segala kesengsaraan dan penderitaan hasil ‘sepak-terajang’ politik Umno itu telah mendidik mereka untuk menjadi lebih cekal dan tabah menghadapi dugaan hidup.  Segala sekatan dan penafian terhadap hak-hak mereka mendapat subsidi dan seumpamanya telah mengajar mereka untuk berdikari dalam menjayakan perancangan dan gerakerja mereka. 
Sepatah kata Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Abdul Latif Muhammad, mungkin menepati sikap dan pendirian ahli-ahli PAS Besut. Beliau menyebutkan:
“Dengan kesungguhan, insya Allah kita boleh mencapai apa jua kemajuan yang dihajati.  Kita tidak perlu tunggu menang (pilihan raya) dan memerintah untuk memulakan program pembangunan atau ekonomi. Orang Umno adalah manusia, kita juga manusia serupa dengan mereka. Kalau mereka yang sekular boleh berjaya mengapa kita yang berjuang Islam ini tidak boleh berjaya?”
Tahun-tahun pertengahan 80-an memperlihatkan perkembangan PAS Besut secara positif dalam aspek pembangunan infrastruktur. Pusat Tarbiyyah PAS Besut di Padang Luas telah berjaya dibina hasil sumbangan dan titik peluh ahli-ahlinya.
Begitu juga dengan bangunan pentadbiran setinggi empat tingkat yang menjadi salah sebuah mercu tanda Bandar Jerteh hari ini.
Manakala di hampir setiap cawangan di seluruh kawasan Besut dibina pusat-pusat kegiatan yang memuatkan pejabat cawangan, ruang sembahyang dan bilik mesyuarat. Kini terdapat tidak kurang 40 buah pusat seumpama itu di seluruh kawasan Besut. 
Agaknya fakta inilah yang mendorong Haji Mohamad bin Sabu, pemimpin pemuda PAS yang sangat disanjungi masyarakat, mengisytiharkan PAS Kawasan Besut sebagai kawasan yang terkaya di seluruh negara. Dalam satu majlis anjuran Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar, Haji Mohamad menyatakan:
“Tuan-tuan tahu tak kawasan PAS mana yang paling kaya di seluruh Malaysia? Kalau saya tanya begitu, tentu tuan-tuan akan kata: “PAS Kawasan Bukit Bintang! Sebab ahli-ahli PAS Kawasan Bukit Bintang ramai yang bergaji empat angka!”. Ada pula yang berkata: “PAS Kawasan Batu! Sebab ahli-ahli PAS Kawasan Batu ada doktor, ada cikgu, pensyarah, jurutera!,” Bukan, tuan-tuan! PAS kawasan paling kaya ialah Besut!”
Walaupun orang-orang PAS Besut tidak pernah mengharapkan mereka diberi pujian sebegitu, tetapi mereka ada sebab yang wajar untuk berbangga dengan ungkapan tersebut.  Sebab yang wajar itu ialah keikhlasan dan kesungguhan mereka dalam perjuangan, sehingga mereka menempa kejayaan yang cemerlang dalam pembangunan infrastruktur.
Bukan setakat pembangunan itu sahaja, PAS Besut juga telah disifatkan oleh Setiausaha Agung PAS, Ustaz Halim Arsyad sebagai salah sebuah kawasan yang paling awal ‘mencium’ bau perubahan politik ke arah perpaduan ummah. Di mana apabila batang-tubuh Umno ‘terbelah dua’ ekoran pemilihan pucuk pimpinan parti itu pada 1987, maka antara pihak paling awal mengadakan program ‘damping’ dengan kumpulan Team B Umno (kemudian dikenali sebagai Semangat 46) ialah PAS Kawasan Besut.
Bagi sebilangan pemerhati, terutama mereka yang terpengaruh dengan idea kumpulan Islah PAS, mereka berpendapat sepatutnya PAS Besut menjadi antara kawasan yang paling lantang ‘menentang’ perpaduan dengan bekas ahli-ahli Umno itu. Kerana, kata mereka ahli-ahli PAS Besut adalah antara manusia yang paling teraniaya oleh diskriminasi dan penindasan politik Umno.
Antara ahli-ahli PAS Besut, ada yang masih ‘belum hilang’ bekas gari di pergelangan tangan, ada yang masih belum hilang kesan gas pemedih mata, dan ada yang masih belum selesai perbicaraan mahkamah atas ibadat-ibadat mereka yang dikira ‘kesalahan’ di sisi kerajaan Umno. Sedangkan para pemimpin Umno yang bertanggungjawab atas segala ‘kedurjanaan’ politik itu sebahagian besarnya berada dalam kumpulan Semangat 46 kini.
Untuk golongan yang berfikiran begitu, mungkin seungkap kata-kata Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Dewan Ulamak PAS ini boleh dijadikan panduan. Beliau menyebut bahawa “perbalahan kita dengan pihak pimpinan Barisan Nasional khususnya Umno bukan berbalah body, bukan berlaga tubuh. Tetapi balah kita berkenaan dengan kefahaman dan akidah.
“Dengan erti kalau mereka itu sedar bahawa akidah yang mereka pegang boleh diubahkan, maka tidak ada masalah di antara kita dengan mereka. Sebagai contoh, telah kita tunjukkan antara kita dengan ahli Semangat 46. Walaupun 46 dulu sebelum daripada jadi 46 mereka itu bertengkar, berbalah dan berselisih, bersungguh-sungguh menyusahkan kita tetapi bila mereka itu menukarkan akidah mereka daripada sekular menjadikan Islam sebagai ad-Deen, maka kita membuktikan kepada masyarakat seluruh bahawa tidak ada perbalahan di antara kita dengan mereka.”
Berbekalkan keikhlasan dalam menempa perpaduan ummah itu, PAS Besut sekali lagi berjaya ‘menguak pintu-pintu kampung’ yang selama ini bagaikan dipateri daripada dimasuki suara-suara PAS.
Tanpa hipokrit, PAS Besut memperakui betapa signifikan kehadiran Semangat 46 dalam meraih sokongan rakyat Besut semasa Pilihan Raya Umum 1990 lalu. Kewujudan ahli dan penyokong Semangat 46 telah membantu PAS menawan kerusi DUN Jerteh dan menyempitkan jurang perbezaan undi dengan BN di semua DUN seluruh Besut.
Dalam pilihan raya itu, BN hanya menang dengan majoriti 202 undi di Kuala Besut, 340 undi di DUN Kampung Raja dan hanya 251 undi di DUN Hulu Besut. Manakala bagi kerusi Parlimen Besut pula, Datuk Zakaria Abdul Rahman (S 46) tewas kepada Datuk Dr. Yusof  Noor (BN) hanya dengan majoriti 994 undi.
Dengan catatan majoriti undi yang begitu kecil bagi BN, ketiga-tiga kerusi DUN di kawasan Besut itu kini berada di dalam senarai ‘mesti dimenangi’ dalam usaha-usaha PAS –S46 untuk menawan negeri Terengganu. Ungkapan ‘kita mesti menang keempat-empat kerusi DUN di Besut’ sudah menjadi semacam ratib bagi para pemimpin PAS apabila mereka berdiskusi soal ‘menawan Terengganu’.
Sementara itu PAS sentiasa mengharapkan anugerah Allah menawan negeri Terengganu.  Dan menjadi kebiasaan orang ‘berperang’, segala perancangan dan aturan strategi bagi menyerang kawasan target dibuat berpangkalan di kawasan yang telah dimenangi. Sebab itu BN menjadikan Besut (Terengganu) sebagai ‘Pangkalan Tawan Kelantan’.
Dalam konteks PAS pula, oleh kerana negeri Kelantan telah pun berjaya ditawan, maka pangkalan ‘serangan’ tentulah paling sesuai diadakan di Kelantan. Dan, untuk itu, Besut sebagai jalan masuk dari Kelantan sewajarnya menjadi ‘pintu’ untuk gerakerja menawan Terengganu.
Beberapa fakta semasa tambah mewajarkan Besut untuk dijadikan ‘Pintu Tawan Terengganu’ sama ada bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang atau selepasnya:
Pertama:  Faktor kekuatan PAS Besut seperti mana yang dihuraikan secara panjang lebar di atas, termasuk sejarah kegemilangan 1959, ketabahan ahli-ahli PAS Besut yang telah teruji berupaya menghadapi tribulasi pemerintahan, kesungguhan ahli-ahli dalam melaksanakan tuntutan pembangunan infrastruktur dan keikhlasan ahli-ahli PAS dalam menangani era perpaduan ummah.  Faktor ini merupakan aset terpenting bagi kekuatan PAS di Besut.
Kedua: Faktor Kelantan, iaitu advantage kedudukan Besut sebagai jiran Kelantan yang akan memberi ruang yang mudah untuk menerima sebarang ‘tempias’ kebaikan-kebaikan perlaksanaan Islam di Kelantan. Tambahan pula hakikat sosio-budaya masyarakat Besut yang terlalu banyak menyamai rakyat Kelantan, yang tentu sekali memudahkan kaedah komunikasi antara pengkalan (Kelantan) dengan ‘pintu’ (Besut).
Ketiga: Faktor kelemahan BN di mana slogan ‘Ke Arah Pembangunan Besut Baru’ yang dicanangkan oleh BN rupanya dipenuhi oleh projek-projek membazir dan merugikan rakyat. Antaranya ialah Dataran Ketara, Gerai, Padang Golf di Empangan Jajar, dan Pentas Budaya di Air Tawar. Maka slogan itu lebih sesuai disebut ‘Ke Arah Pembaziran Bentuk Baru’.
Tidak syak lagi, faktor-faktor sokongan di atas mampu menjadikan Besut sebagai medan paling strategik bagi pertembungan antara PAS dan Umno/BN. Apakah Besut akan benar-benar menjadi ‘pintu tawan Terengganu’ bagi PAS, ataukah ia akan bertukar menjadi ‘pangkalan tawan Kelantan’ bagi BN? Maka pilihan raya umum akan datang rasanya menjadi saat yang sangat-sangat dinantikan bagi memastikan jawapannya.

(Artikel ini disiarkan makalah isu 'Nafikan Tahun Sapu Bersih Umno - Terengganu Milik Angkatan, 1994", kolaborasi diketuai Tarmizi Mohd Jam, diterbitkan sekitar April 1993).

No comments:

Post a Comment