Tuesday, April 30, 1991

Titih-Baris dan Jejak Perjuangan Tok Guru


Biografi Ringkas

TUAN Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga ilmuan Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931. Ayahnya bernama Haji Nik Mat bin Raja Banjar, atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Tok Haji Nik Mat Alim’, disebabkan kealiman beliau dalam ilmu-ilmu agama.

Tok Haji Nik Mat Alim ialah seorang ulama dan tok guru yang terkenal di negeri Kelantan dan memiliki serta mengendalikan satu institusi pengajian pondok di Kampung Pulau Melaka itu. Di situlah juga Tuan Guru Nik Abdul Aziz mula mendapat pendidikan awal beliau bersama ratusan pelajar Islam dari serata ceruk rantau Asia Tenggara.

Setelah agak meningkat umurnya, Tuan Guru dihantar oleh ayahnya pergi berguru kepada Tuan Guru Haji Abbas yang memiliki sebuah pusat pengajian pondok di Jertih, Besut, Terengganu.

Kedahagaan Tuan Guru kepada ilmu agama tidak berhenti setakat di Besut itu. Pada tahun 1958, setahun selepas negara Malaysia diisytiharkan merdeka dari pemerintahan penjajah Barat, Tuan Guru mengembara lagi. Kali ini beliau pergi mendalami ilmu agama ke Universiti (Darul Uloom?), di Deoband, India.

Di sana Tuan Guru telah berguru, antara lainnya kepada seorang Sheikhul Hadith dan juga guru tariqat yang terkemuka di India, iaitu Maulana Muhammad Ahmad al-Madani. Maulana Muhammad juga adalah salah seorang pejuang kemerdekaan India yang ternama dan pernah mengalami penyeksaan penjara penjajah nggeris.

Setelah tamat pengajian beliau di India, Tuan Guru tidak terus pulang ke tanahair. Sebaliknya beliau mengembara lagi mencari ilmu ke Universiti Al-Azhar di Mesir. Di sana beliau sempat memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Pengajian Bahasa Arab dan menyambung lagi sehingga dikurniakan Ijazah Sarjana (M.A.) dalam jurusan Perundangan Islam.

Kepulangan perantau ilmu

Setelah selesai pengajiannya di peringkat sarjana itu barulah Tuan Guru pulang ke kampung halamannya menemui ibubapa dan sanak-saudara.

“Berbelas tahun saya tinggalkan kampung halaman. Sehinggakan waktu saya balik, penarik beca yang tinggal dekat rumah saya itu pun sudah tidak mengenali saya. Beliau hanya dapat mengenali saya apabila melihat beg pakaian saya yang ada tertulis nama saya.

“Setiba di rumah, saya sendiri sudah lupa mana satu rumah saya. Hanya yang ada tanda ingatan ialah sepohon rambutan di hadapan rumah. Kemudian kelihatan seorang perempuan tua di rumah tersebut. Saya hanya mengenali dia sebagai ibu saya apabila dia tersengih dan menampakkan giginya yang bersumbi emas. Sahlah dia ibu saya”, cerita Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz.

Setelah merantau lebih sepuluh tahun mendalami ilmi-ilmu agama, maka tibalah pula giliran seorang yang faqeh itu kembali kepada kaumnya dan mengingatkan mereka tentang agama Allah. Itulah (menurut setengah tafsir) apa yang diajarkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya yang membawa maksud:

“Mengapa tidak keluar dari setiap firkah itu suatu ta’ifah, untuk mendalami agama dan mengingatkan kaumnya (tentang agama itu) tatkala mereka kembali kepada kaum mereka.” (Maksud al-Quran Surah at-Taubah ayat 122)

Tidak syak lagi, apa yang dialami dalam hidup Tuan Guru Nik Abdul Aziz begitu menepati landasan hidup yang disarankan oleh Allah SWT itu. Paling tidak, sehingga kini masyarakat menjadi saksi atas kesungguhan dan kegigihan Tuan Guru dalam soal memberi peringatan kepada masyarakat Islam negara ini, khususnya kaum Melayu Kelantan.

Bermula daripada saat-saat awal kepulangan beliau dari Mesir hingga kini, Tuan Guru tidak pernah mengambil cuti daripada memberikan kuliah-kuliah agama, ceramah agama, tazkirah, ta’lim dan sebagainya. Itulah kewajiban bagi seorang yang tahu ilmu agama. Itulah apa yang dituntut oleh agama ke atas seorang yang alim, agar tidak menyembunyikan ilmu yang diperolehinya.

Ayah pengaruhi perwatakan

Sekembali beliau dari Mesir, Tuan Guru terus didesak oleh ayah beliau, Tuan Guru Haji Nik Mat untuk meneruskan kerja-kerja mendidik masyarakat mengenai agama Islam. Adalah diketahui bahawa keperibadian dan keprihatinan Tuan Guru Haji Nik Mat Alim begitu banyak sekali mempengaruhi perwatakan dan keperibadian anaknya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Misalnya, Tuan Guru Haji Nik Mat Alim ini cukup tegas mengenai aurat dan hijab antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Bagaimana diceritakan Tuan Guru Haji Nik Mat jarang sekali memandang perempuan. Bahkan, setiap kali bertembung dengan perempuan, beliau akan menundukkan pandangannya.

Begitu juga dalam hal berpakaian. Tuan Guru Nik Abdul Aziz di waktu-waktu awal kepulangan beliau dari Mesir itu masih terbawa-bawa dengan cara berpakaian orang-orang Mesir. Beliau gemar bertali leher dan berseluar. Tetapi ayah beliau yang menghendaki beliau menjadi seorang ulama tentu sekali tidak menyetujui cara berpakaian demikian.

Dengan ilmu yang ada pada Tuan Guru, beserta harapan dan sambutan daripada masyarakat terhadap keilmuannya, maka Tun Guru Nik Abdul Aziz telah “dipaksakan” oleh ayahnya untuk berserban, berbaju Melayu dan berkain pulikat. Lagi pun cara berpakaian masyarakat setempat itu sememangnya mesti diraikan.

Mencurah ilmu mendidik masyarakat

Sejak kepulangan beliau dari Mesir itu, Tuan Guru sering bergilir-gilir dengan ayahnya memberikan kuliah agama di kampungnya, di Masjid Kampung Pulau Melaka. Bermula dari situlah keilmuan beliau dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.

Di waktu yang sama, Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga mengajar di sebuah sekolah agama rakyat di Kota Bharu. Beliau mengajar di situ untuk beberapa tempoh masa sebelum menjadi tenaga pengajar di Sekolah Agama Maahad Muhammadi, Kota Bharu, yang merupakan sekolah agama rakyat yang tertua dan terbesar di negeri Kelantan.

Tidak cukup sekadar mengajar murid-murid berdaftar di sekolah itu, Tuan Guru turut menambahkan kegiatan dakwahnya dengan menjadi Penyelia Kelas Dewasa Kemas (atau sekarang dipanggil Guru Agama Kemas). Di waktu itulah beliau banyak mengadakan kelas-kelas dan kuliah-kuliah agama untuk orang-orang dewasa.

Diketahui, sepanjang perkhidmatannya sebagai Penyelia Kelas Dewasa Kemas itu, Tuan Guru sering mengemukakan teguran-teguran membina berdasarkan kehendak Islam terhadap pihak pentadbiran Kemas itu sendiri. Begitu juga dengan pihak pemerintah negara yang tidak melaksanakan tuntutan-tuntutan pemerintahan Islam.

Namun, mana ada mawar yang tidak berduri; mengharapkan hasil yang mudah tanpa melalui rintangan adalah suatu yang hampir mustahil. Begitu juga apa yang dialami oleh Tuan Guru.

Apabila teguran demi teguran berkaitan dengan pelaksanaan Islam dalam pentadbiran negeri dan penyeliaan kelas-kelas agama itu tidak diendahkan oleh pihak pentadbir, Tuan Guru mengambil keputusan meletakkan jawatannya sebagai Penyelia Kelas Dewasa Kemas.

Beliau mengakhiri khidmatnya dengan institusi tajaan Umno itu setelah melaksanakan tuntutan ilmu Islam yang ada padanya (menegur pentadbir). Beliau telah menguji komitmen Umno terhadap Islam,melalui penglibatan beliau dengan Kemas. Dan telah terbukti dengan apa yang berlaku ke atas Tuan Guru bahawa sebenarnya tidak ada ruang untuk memperjuangkan Islam dari dalam Umno!

Perjuangan lebih nasional

Selepas berhenti daripada berkhidmat dengan Kemas, pada tahun 1967 Tuan Guru memilih untuk mendaftarkan diri sebagai ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Keputusan beliau memilih PAS sebagai landasan perjuangan sememangnya bertepatan dengan tuntutan Islam dan keilmuan yang ada pada beliau.

Penglibatan beliau dalam arena politik Islam tanahair benar-benar memberikan suatu saham yang besar kepada perjuangan Islam Malaysia, khususnya perjuangan PAS. Bermula dari saat itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz semakin dikenali ramai; oleh kawan dan lawan.

Di tahun yang sama, tidak lama selepas beliau menjadi ahli PAS, Tuan Haji Ahmad Abdullah, atau lebih dikenali sebagai Haji Ahmad Perai, yang merupakan Ahli Parlimen Kawasan Kelantan Hilir, meninggal dunia. Kekosongan kerusi parlimen yang ditinggalkan oleh Almarhum itu rupa-rupanya menjadi tapak permulaan kepada perjuangan yang lebih nasional bagi Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Beliau telah dipilih menjadi calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kelantan Hilir 1967 itu.

Tuan Guru berjaya mengalahkan calon Umno dalam pilihan raya kecil yang diadakan itu. Sejak dari itu, kerusi Parlimen Kelantan Hilir (yang kemudiannya ditukar nama kepada Pengkalan Chepa) kekal di tangan PAS hingga kini. Tuan Guru sendiri kekal menduduki kerusi tersebut untuk beberapa penggal berturut-turut sehingga Pilihan Raya Umum tahun 1986, apabila beliau berpindah untuk bertanding di kerusi Parlimen Bachok.

Dalam pada itu, berlaku pula kematian Ahli Parlimen Pasir Puteh, Haji Hussin Rahimin. Pemergian beliau yang pada ketika itu adalah Ketua Dewan Ulama PAS Pusat merupakan suatu kehilangan besar bagi perjuangan Islam negara ini. Pengganti beliau mesti dicari. Seorang ulama yang sekira-kira setanding dengan beliau mesti dibawa ke hadapan bagi menerajui Dewan Ulama PAS Pusat.

Pencarian itu berakhir dengan kemunculan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz mengambilalih jawatan tersebut, yang ternyata merupakan seorang pengganti yang tepat. Sejak dari tarikh tersebut, Tuan Guru kekal menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat hingga ke saat ini.
                                                         
Memimpin PAS Negeri

Ekoran kekalahan teruk PAS dalam Pilihan Raya Negeri Mac 1978, yang menyebabkan tumbangnya kerajaan PAS Kelantan, Dato’ Haji Mohd Asri Haji Muda selaku Yang Dipertua Agung PAS (sekarang disebut Yang Dipertua PAS Pusat) telah bertindak menukarkan Pengerusi Jemaah Pesuruhjaya Negeri (kini dipanggil Pesuruhjaya) ketika itu, Datuk Ishak Lutfi Omar dengan Ustaz Mohd Amin Yaakob.

Bagaimana pun, memandangkan keadaan-keadaan yang berlaku terhadap PAS memerlukan suatu tindakan peningkatan yang menyeluruh, di samping timbul suara-suara dan pandangan-pandangan dalam masyarakat umum supaya PAS dipimpin oleh golongan intelek dan ilmuan, maka Ustaz Mohd Amin tidak bertahan lama.

Sebagai seorang ahli poltiik yang matang dan seorang pejuang Islam yang lebih mementingkan survival parti, Ustaz Mohd Amin mengundurkan diri dari jawatan Pengerusi Jemaah Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan. Beliau sendiri terus mencadangkan agar Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengambilalih pucuk pimpinan PAS negeri.

Arus Kebangkitan Islam

Dato’ Asri terpaksa menyerahkan jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri kepada Tuan Guru, walau pun di sekelilingnya ada orang-orang harapannya seperti Haji Abdullah Ahmad, Ustaz Haji Solahuddin, Cikgu Abdul Hamid dan beberapa orang lagi, memandangkan arus kebangkitan Islam sedang melanda penyokong-penyokong PAS pada waktu itu.

Keadaan ini jelas dapat dilihat dalam ceramah-ceramah PAS yang sekiranya Dato’ Asri (yang membawa visi nasionalis-sosialis) dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dari Terengganu (yang membawa visi perjuangan Islam) diundang, maka bila tiba saat Dato’ Asri berceramah, akan ramailah yang ‘angkat punggung’ untuk pulang. Sedangkan Dato’ Asri sebelum itu terkenal sebagai seorang ‘crowd-puller’ yang unggul dalam negara ini.

Perkembangan-perkembangan yang berlaku di dalam PAS hasil kebangkitan Islam itu menuntut kepada suatu kepimpinan yang lebih Islamik di dalam semua peringkat organisasi PAS, khususnya di negeri Kelantan, di mana PAS terpaksa membina semula kekuatan dan sokongannya. Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah cadangan yang tepat untuk mengambilalih teraju kepimpinan PAS Negeri Kelantan.

Sebagai seorang yang terkenal warak dan tidak berhasrat mejadi pemimpin parti, cadangan tersebut tidak diterima dengan mudah oleh Tuan Guru. Beliau lebih senang menjadi ahli biasa yang benar-benar menghambakan diri kepada perjuangan PAS. Sehinggalah berlalu beberapa usaha ‘memujuk’ Tuan Guru, termasuk satu rombongan yang terdiri daripada Ustaz Mohd Amin sendiri, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman dan lain-lain pimpinan negeri pergi menemui beliau dan menerangkan peri mustahaknya Tuan Guru menerima cadangan perlantikan tersebut. Lalu rombongan tersebut mengingatkan beliau kepada suatu hadith Nabi SAW yang biasa dibacanya juga, yang kira-kira maksudnya:

“Apabila seseorang itu telah dipilih sebagai pemimpin, sedang ia mempunyai kelebihan atas yang lain, adalah tidak wajar ia menolak pemilihan itu.”

Akhirnya, dengan berat hati dan dengan penuh rasa tanggungjawab Tuan Guru Nik Abdul Aziz menerima cadangan melantik beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan. Samalah bagaimana beratnya hati beliau untuk menerima jawatan Menteri Besar Kelantan setelah PAS berjaya memerintah kembali negeri tersebut pada bulan Oktober 1990 lalu.

Zaman Gerhana PAS Kelantan

Ternyata langkah yang diambil oleh Ustaz Mohd Amin itu suatu yang patut dipuji. Ia bertepatan dengan suasana yang menimpa PAS ketika itu, yang berkehendakkan pimpinan seorang ulama. PAS ketika itu, terutamanya di negeri Kelantan, sedang menempuh masa yang gelap. Sehingga ada di antara penulis-penulis tanahair menyifatkan suasana PAS Kelantan ketika itu sebagai “Purnama Gerhana di Kelantan”.

Banyak sebab atau faktor yang meletakkan PAS dalam keadaan ‘gerhana’ di ketika itu. Antaranya ialah tindakan ‘Kumpulan 20’ Adun PAS Kelantan menggulingkan Menteri Besar, Datuk Haji Muhammad bin Nasir, yang dikenali sebagai seorang pemimpin yang tenang, moderat dan mudah bergaul dengan rakyat jelata.
                                                                                    
Sehinggakan tercetus Demonstrasi Oktober di Padang Merdeka, Kota Bharu, di mana lebih 80,000 rakyat Kelantan dari seluruh pelusuk negeri yang bersimpati dengan Datuk Haji Muhammad Nasir telah hadir. Mereka yang selama ini merupakan ahli dan penyokong kuat PAS begitu ramai sekali terseret oleh arus membenci PAS ekoran tindakan ‘Kumpulan 20’ itu.

Satu lagi sebab kegerhanaan PAS di akhir-akhir tahun 70-an itu ialah apabila PAS kembali semula berjuang bersendirian. Selama kira-kira empat tahun (Januari 1973-Disember 1977) PAS menjadi kerabat Perikatan kemudian turut berada dalam Barisan Nasional (BN), tidak banyak kesukaran yang dialami oleh PAS untuk menggerakkan program-programnya, terutama di segi kewangan. Walau pun tidak semua permintaan PAS dilayan oleh pimpinan BN, namun tentu sekali PAS tidak perlu mengerahkan ahli-ahlinya menderma bagi menjayakan sesuatu majlisnya.

Apabila sudah kembali bersendirian, dan di Kelantan PAS sudah menjadi pembangkang pula, PAS perlu membina kembali tabung kewangannya sendiri. Ahli-ahli PAS yang sudah empat tahun meninggalkan amalan menderma kepada “Tabung Jihad PAS” terpaksa disedarkan kembali bahawa “PAS kini bukan kerajaan lagi”, dan bukan juga menjadi ‘kerabat Kerajaan’.

Seperti yang diketahui umum, PAS hanya mampu bertahan di dua kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan dalam Pilihan Raya Negeri, 11 Mac 1978, iaitu di DUN Sering dan DUN Manek Urai. Dua tapak itulah menjadi nadi penggerak kebangkitan semula PAS di Kelantan. Boleh dikatakan dari situlah usaha-usaha pemulihan PAS di Kelantan digerakkan atau pun didorongkan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kehadiran Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat juga menjadi salah satu faktor pemberangsang kepada usaha pemulihan PAS di Kelantan ekoran kekalahan teruk tahun 1978 itu. Bersama-sama dengan kepimpinan PAS yang sedia ada di Kelantan ketika itu, seperti Haji Nik Abdullah Arshad, Haji Mohd Amin Yaakob, Tuan Guru Haji Zakaria Ismail dan lain-lain, Tuan Guru Nik Abdul Aziz terus membawa PAS selangkah demi selangkah keluar daripada apa yang disifatkan sebagai ‘zaman gerhana’ itu.
                                                                 
Tidak banyak yang dapat diceritakan tentang penglibatan awal Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam menerajui kepimpinan PAS negeri Kelantan. Bagaimana pun, peranan beliau semakin jelas ekoran berlakunya Krisis Asri-PAS pada tahun 1982. Terlalu banyak pandangan dan keputusan beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan telah tidak diambilkira oleh Dato’ Asri, terutama dalam perkara-perkara yang melibatkan hal ehwal PAS Kelantan.

Suatu contoh paling jelas ialah berkenaan pemilihan calon-calon bagi Pilihan Raya Umum, 22 April 1982. Dato’ Asri yang terkenal dengan sikap nepotismenya (mementingkan kekeluargaan) telah bertindak meletakkan calon-calon pilihannya sendiri di beberapa kawasan pilihan raya, dan mengkesampingkan calon-calon yang dikemukakan oleh Tuan Guru selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan ketika itu.

Era Kepimpinan Ulama

Apabila Dato’ Asri mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Yang Dipertua Agung PAS di hari kedua berlangsungnya Muktamar PAS ke-28, pada 23 Oktober 1982, Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah salah seorang di antara ribuan ahli PAS yang merestuinya. Bermula dari saat itu jugalah peranan yang diperlukan oleh PAS daripada Tuan Guru semakin bertambah.

Kerana, detik itulah merupakan bermulanya suatu era kepimpinan baru dalam PAS yang dikenali sebagai ‘Era Kepimpinan Ulama’. Dan, sebagai orang yang diamanahkan mengetuai sayap ulama kepada PAS, peranan dan pandangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di dalam membina kepimpinan baru ini bukan lagi suatu yang kecil.

PAS di bawah kepimpinan ulama menampakkan suatu perubahan yang ketara. Paling ketara sekali ialah proses penggempuran pemikiran assobiyah atau kebangsaan sempit di kalangan ahli-ahli PAS itu sendiri. Suatu yang ketara juga ialah ceramah-ceramah PAS yang selama ini dipenuhi dengan cerita-cerita politik, kecaman dan kritikan terhadap kerajaan BN sedikit demi sedikit bertukar nada menjadi ceramah-ceramah agama.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri, misalnya, lebih dikenali ramai sebagai seorang ulama dan tok guru daripada seorang ahli politik yang petah berpidato. Di mana-mana pun beliau mengadakan ceramah, para hadirin terasa bagaikan sedang mendengar kuliah-kuliahnya.

Dalam banyak ceramahnya, Tuan Guru lebih suka menyentuh soal-soal agama yang membawa hadirin berfikir tentang ayat-ayat Allah dan hadith-hadith Nabi SAW. Bagi hadirin yang mengharapkan suatu ceramah politik yang berapi-api daripada Tuan Guru, akan merasakan kekecewaannya.

Ucapan-ucapan Tuan Guru yang terang, beserta dengan perumpamaan-perumpamaan yang jelas, cukup memudahkan para pendengar memahami setiap penyampaiannya. Inilah cara Tuan Guru mendapat tempat di hati para penyokong PAS.

Sememangnya, sebagai seorang ulama yang sekaligus menjadi pemimpin sebuah parti politik, Tuan Guru mempunyai matlamat perjuangannya yang tersendiri, di samping matlamat perjuangan parti. Beliau ingin melihat pengajaran Islam berkembang biak di negara ini, bahkan di serata dunia.

Sebab itu beliau menyertai PAS, satu-satunya parti di negara ini yang merealisasikan usaha ke arah menegakkan Islam dan pemerintahan berdasarkan Al-Quran dan hadith. Beliau percaya, dengan melibatkan diri dalam politik, perjuangan menegakkan Islam dan pemerintahannya akan terbuka luas.

Segala keyakinan beliau itu terbukti sebagai suatu kenyataan apabila PAS ditakdirkan Allah mengambilalih pemerintahan negeri Kelantan pada 23 Oktober 1990 lalu, dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri dipilih oleh rakyat Kelantan menjadi pemimpin dan Menteri Besar mereka.

(Artikel ini adalah bab kedua daripada buku ‘Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat - Inspirasi Kebangkitan Ummah Serambi Mekah’ yang diterbitkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Bharu, Kelantan, 1991)

No comments:

Post a Comment