Saudara Pengarang,
Sindiket besar-besaran untuk
memindahkan pengundi-pengundi PAS dari kawasan-kawasan mengundi mereka di
Terengganu baru-baru ini sedikit menggegarkan dunia. Ianya jelas menggambarkan bahawa
pihak pemerintah kerajaan Barisan Nasional, khususnya parti Umno Mahathir
pimpinan Wan Mokhtar sudah ketandusan idea dalam langkah menggagalkan suatu
kejayaan yang hampir pasti bagi PAS di negeri berkenaan.
Suatu perkara yang jelas,
sindiket pemindahan pengundi tersebut tidak melibatkan secara besar-besaran
para pengundi dari Umno Lama atau yang condong kepada Semangat 46 kini.
Begitulah apa yang dilaporkan oleh Harakah
beberapa keluaran yang lalu.
Apakah kerana para penipu Umno
sendiri gagal membezakan siapa pengundi yang condong kepada ‘DACING’ dan siapa
condong kepada ‘NOMBOR’, lalu langkah selamatnya biarlah pindahkan pengundi
‘BULAN’ sahaja?
Ataukah kerana risikan Umno
mendapati angka pengundi kumpulan berkenaan tidak begitu besar atau tidak penting,
maka mereka tidak perlu sangat dipindahkan?
Mungkinkah juga kerana Umno
masih yakin mereka yang condong kepada Semangat 46 ini mesti berjaya ‘dibeli’
di saat akhir pilihan raya? Saya tidak pasti tentang hal-hal di atas itu.
Atau mungkinkah kerana pemimpin
Umno merasakan pemimpin PAS tidak searif pemimpin 46 dalam hal tipu-menipu
pilihan raya ini, maka jika para pengikut PAS yang menjadi sasaran, tentu tiada
apa-apa reaksi? Kalau itulah peranggapan para pemimpin Umno Wan Mokhtar
terhadap PAS, maka ternyata sangkaan mereka amat meleset.
Bukan sekadar pemimpin PAS yang
bangkit membantah. Bahkan para pengikut bawahan yang non-profesional juga turut
menyedari tipu daya Umno itu. Saya difahamkan di antara pembantah utama di
Besut, misalnya adalah buruh am dan pesara guru.
Ertinya seluruh dunia Malaysia
kini sudah arif dan waspada terhadap sandiwara tipu mainan Umno. Apakah lagi
yang boleh dilakukan oleh BN untuk mengaburi mata rakyat?
BN ternyata sudah kehabisan
modal dan ketandusan taktik untuk menipu rakyat. Maka, dalam keadaan begini,
saya kira yang paling baik bagi BN ialah mengembalikan kuasa pemilihan secara
adil kepada rakyat. Bukankah nanti BN juga mahu kesalahan-kesalahannya yang
sudah-sudah itu diadili secara yang adil?
Abang Jak,
Air Tawar, Besut.
(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, edisi 20 Rejab 1410/16 Februari 1990
di ruangan ‘Assalamu’alaikum’ dengan tajuk
sama)
No comments:
Post a Comment