Thursday, May 15, 2014

Berpada-pada dalam berkasih, bermusuh


Oleh: MOHD NASIR AWANG

SEORANG teman sehari-hari di zaman belia saya dulu mempunyai tabiat yang sangat baik. Dia sering menuturkan kata-kata nasihat yang bagus ketika bersama rakan-rakan. Bersesuaian dengan statusnya sebagai orang paling tua di dalam kelompok kami, dan paling berwarna-warni juga latar belakang perjalanan telaah ilmu-ilmu agamanya berbanding yang lain, tutur bicaranya adalah paling bertertib dan paling berisi.

Justeru pantang ada kesempatan, lebih-lebih lagi di kala berlakunya insiden atau kejadian yang menjadi topik bual bicara dalam masyarakat, nescaya teman saya ini akan melontarkan ulasan atau komentar spontannya. Selalunya apa yang disebutnya akan turut dikaitkan dengan ungkapan-ungkapan sama ada daripada firman Allah SWT, sabda Rasulullah saw, kata-kata para sahabat mahu pun para bijak pandai Islam terdahulu, yang bersesuaian dengan isu semasa dibualkan itu.

Maka banyaklah buah fikir yang bernas dan garapan isu yang mantap saya sempat kutip daripada beliau. Sebahagiannya malah saya jadikan asas perbincangan lebih panjang lebar dalam beberapa komentar saya di media-media cetak ketika itu, terutama berkaitan perkembangan politik dan sosial tanahair. Selebihnya saya jadikan panduan dalam meneruskan langkah kehidupan.

Di antara apa yang pernah dituturkannya yang masih melekat kemas dalam ingatan saya hingga kini ialah suatu rangkap yang bermaksud, “sayanginya orang yang kamu sayang itu berpada-pada, kerana ada kemungkinan kamu akan bermusuhan dengannya suatu hari nanti. Bermusuhlah dengan orang yang kamu musuhi itu berpada-pada, kerana ada kemungkinan kamu akan berkasih-sayang pula dengannya suatu hari nanti”.

Beliau membacakan rangkap ini di dalam teks asalnya (bahasa Arab). Bunyinya sangat sedap didengar. Ia berirama, seumpama susunan bahasa yang sering kita temui dalam sebuah syair atau puisi.

Teman saya ini mendakwa rangkap ini sebuah hadith Nabi saw. Cuma beliau sendiri tidak dapat menyebut siapa perawinya atau dari kitab mana ianya dipetik. “Kawe terimo dari guru kawe maso ngaji ghetu (maksudnya, ‘saya terima daripada guru saya semasa belajar dulu’)”, itu saja hujah beliau mempertahankan dakwaannya.

Namun, apabila saya mohon pencerahan daripada beberapa asatizah, tiada antara mereka yang berani mengesahkan ia sebuah hadith. Kata mereka, ia mungkin hanya kata-kata sahabat atau para ulama. Wallahu a’lam!

Apa pun statusnya, sama ada hadith atau bukan hadith, saya kira tidak salah untuk kita kutip ibrah daripada intipati maksud ungkapan itu. Lagi pun, sudah menjadi kebiasaan orang kita untuk memetik sebegitu banyak kata-kata hikmah atau pesan bestari daripada seseorang (ada kalanya termasuk daripada tokoh bukan muslim) yang kita rasa sangat bersesuaian dengan sesuatu yang ingin kita sampaikan.

Saya sendiri cenderung beramal dengan kebiasaan itu. Maka, mengapa tidak kita terima ungkapan itu seadanya dan hayati pengajaran daripadanya?

Saya masih ingat teman tadi beberapa kali menghuraikan maksud rangkap itu. Hal itu antara faktor utama membantu saya mengingatinya dengan baik. Pengajaran pokoknya ialah agar kita “bersederhana” dalam berhubungan dengan sesama manusia, sama ada ketika berbaik mahu pun bermusuh.

Di kala berhubung baik, atau berkasih sayang sekali pun, kita dinasihatkan agar jangan terlalu berlebihan. Pertama, ia boleh mengundang rasa tidak senang atau ‘meluat’ pihak lain yang tidak terlibat dalam ‘kasih-sayang’ itu.

Kedua, hubungan yang terlalu baik juga kadangkala turut memudahkan tercetusnya rasa kecewa atau kecil hati walau pun disebabkan kesilapan yang kecil oleh mana-mana pihak.

Di satu sudut lain, baik yang “berlebihan” dalam hubungan juga mengundang kesan buruk di kemudian hari. Maksud saya antara kita mungkin ada yang terlalu yakin dengan sesebuah persahabatan di satu peringkat hidup kita. Kita ada kawan-kawan yang sangat dipercayai. Justeru, kepada mereka kita curah atau dedahkan segalanya, sekira-kira tidak ada rahsia lagi antara kita.

Baik-buruk mengenai peribadi kita semua diketahui mereka. Akibatnya, apabila berkelahi atau berlaku sesuatu yang menjejaskan hubungan antara kita, ia akan memberi kesan sangat mendalam kepada kita. Rahsia-rahsia peribadi yang kurang enak itu, dan berada dalam genggaman bekas kawan baik itu, akan menghantui kehidupan.

Sebab itu teman saya tadi menggunakan istilah “kena taruh cadang”, yakni dalam bahasa Inggerisnya disebut “reserve”. Maksudnya, kena simpan separuh-separuh. Jangan lah mentang-mentang kita berbaik, semuanya kita kongsikan dengan kawan. Itulah maksudnya “berpada-pada” dalam ungkapan tadi.

Dalam ertikata lain, berkawan baik perlu ada batasnya. Jangan sampai kawan tahu segala rahsia, kerana tabiat manusia di ketika baik tersangatlah baik, di ketika berkelahi atau bermusuhan pula, sesuatu yang rahsia atau yang tak sepatutnya diketahui orang lain itu akan dijadikan modal atau bahan serangan kembali kepada dirinya.

Begitu juga dalam berkelahi atau bermusuhan. Jangan dibangkit, jangan dicerca semahunya. Jangan diisytihar “bakar jambatan”, atau menuturkan “sampai kiamat aku tak akan berbaik dengan dia”. Jangan dilabelkan si anu dengan gelaran atau momokan begian dan begian.

Kerap berlaku, terutama dalam konteks politik, pihak yang menjadi musuh hari ini boleh menjadi kawan baik keesokannya. Begitulah juga sebaliknya. Maka dapat kita lihat bagaimana hipokritnya sebilangan manusia yang bagaikan terpaksa “menjilat muntah sendiri” apabila perlu duduk semeja, makan sepinggan atau tidur sebantal dengan pihak yang selama ini dicemuh, dicaci-nista dan dihebahkannya dengan segala keaiban dan kebusukan!

Bagi saya, rangkap yang diulangsebut teman saya tadi kena dengan saranan agama agar kita bersederhana dalam banyak hal, termasuk dalam bab ibadah dan berbagai aspek kehidupan ini. Kesederhanaan dalam menjalin hubungan antara sesama manusia juga tidak terkecuali.

Namun, bagi saya konteks perbincangan ini tentu sekali tidak termasuk hubungan antara sepasang suami-isteri yang sememangnya patut dijalin penuh kejujuran, saling mengasihi dan percaya-mempercayai, tanpa perlu ada sekelumit rasa curiga mahu pun berahsia.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Era Muslimah, Bil:24, terbitan Mei 2014 di kolum Coretan Ketua Pengarang dengan tajuk sama)

Monday, April 7, 2014

Cerdiknya BN membelanja wang rakyat!


Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sekali lagi menjadi fokus pertikaian umum, terutama di laman sosial dan medan-medan sembang rakyat di seluruh negeri itu. Agak sukar dipercayai, dalam keadaan rakyat belum pun diberikan penjelasan meyakinkan mengenai kewajaran beberapa projek dan program dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya sebelum, Ahmad tampil pula dengan cerita pembelian dua buah amphicoach (bas dua alam) dengan harga yang amat dipertikaikan.

Akhbar harian Edisi Terengganu, 29 Mac lalu memetik kenyataan beliau bahawa kerajaan negeri bersetuju membeli dua buah ‘bas redah air’ itu dengan nilai RM3 juta sebuah. Kenderaan yang boleh beroperasi di darat dan di air itu dicagarkan menjadi tarikan baru pelancong ke Tasik Kenyir.

Berita itu bagaimana pun tidak disambut baik rakyat. Bagi mereka Ahmad terlalu angkuh dan sewenangan membelanjakan wang rakyat, apabila beliau bagaikan langsung tidak terkesan oleh cemuhan dan kritikan hebat pelbagai pihak sebelum ini terhadap lawatan beliau dan rombongan ke Antartika beberapa bulan lalu. Hingga kini rakyat masih gagal melihat kewajaran pemergian beliau ke benua ais itu, terutama apa manfaatnya untuk rakyat Terengganu?

Kini datang pula kes amphicoach ini. Bagi penulis, pertikaian dilontarkan pelbagai pihak terhadap kerajaan Terengganu, khususnya Ahmad sendiri berhubung perkara ini tidak wajar disepikan begitu saja. Ia ada asasnya. Sebahagian aspek isu ini ada kewajarannya, walau pun sebilangan pihak yang melontarkan kritikan itu agak keterlaluan dan mengaitkannya dengan hujah tidak berasas. Penilaian yang pernah dibuat rakyat terhadap beberapa perancangan BN sebelum ini banyak mempengaruhi persepi mereka terhadap pembelian terbaru ini.

Pertama, cuba lihat dari sudut potensi pulangan pelaburan. Apakah kajian teliti sudah dibuat bahawa perbelanjaan RM6 juta wang rakyat dalam kes ini bakal memberikan pulangan ekonomi yang menguntungkan kerajaan dan rakyat Terengganu? Berbaloikah pelaburan itu, dinilai dari sudut tarikan pelancongan. Apakah ada jaminan ia tidak mengulangi “kesilapan perancangan” beberapa projek mega sebelum ini?

Rakyat Terengganu sudah ada pengalaman. Contohnya, dalam kes kejohanan Piala Monsun dan pembangunan Pulau Duyong yang menelan ratusan (malahan mungkin ribuan) juta wang rakyat. Alasan utama juga untuk tarik pelancong.

Bila dipertikaikan perbelanjaan besar itu manfaatnya tak seberapa, BN mendakwa Piala Monsun memberikan pulangan kewangan. Namun jumlah sebenar tak pernah didedahkan kepada rakyat.

Akhirnya, selepas sudah terbukti tidak menguntungkan, kejohanan itu tidak lagi diteruskan di Pulau Duyong. Secara tersirat BN mengakui, pelaburan berjuta di situ gagal menarik kehadiran pelancong pada tahap yang dicitakan.

Memang ada pelancong datang, sekarang pun ada, tetapi jumlah mereka bukanlah memadai atau berbaloi dengan jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan kerajaan negeri menyediakan prasarana di pulau itu dan juga perbelanjaan berulang saban tahun untuk menjayakan kejohanan itu.

Ini pun sama. Tasik Kenyir cuba dipopularkan sebagai destinasi pelancongan. Berbagai projek “aksesori” bertujuan menarik kehadiran pelancong telah direkawujud di sekitar tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu. Ada taman burung, ada ladang anggur, zon akuakultur, pulau bebas cukai dan lain-lain.

Menilai pada gambaran diberikan BN pada setiap kali mengumumkan setiap satu projek disebutkan itu, seolah-olah Tasik Kenyir akan bersesakan dengan pelancong bila ada tarikan-tarikan itu. Malangnya, selepas beberapa tahun sebahagian projek itu dilaksanakan, ia terbukti gagal memaut kehadiran jumlah pelancong dihasratkan. Hal itu memaksa BN memikirkan produk baru pula sebagai tarikan.

Maka timbullah idea bas redah air ini. Apakah berbaloi pelaburan RM6 juta itu, mengambilkira faktor cuaca yang membataskan akvititi di air beberapa bulan dalam setahun? Kemudian, destinasi untuk dilawati menggunakan bas itu pula tidak dipastikan. Adakah ia semata-mata untuk pusing-pusing tasik? Ataukah untuk ke pulau burung (yang dikatakan sudah tidak mempunyai burung), pulau bebas cukai (yang belum pun siap-siap?) atau ke mana?

Dulu pernah dimasyhurkan projek rivercruise berpangkalan di sekitar muara Sungai Terengganu, di mana pelancong di bawa menaiki bot menyelusuri sungai itu. Sejauh manakah berbaloinya projek tersebut sepatutnya diambilkira, terutama dalam konteks Tasik Kenyir yang letaknya di pedalaman negeri itu.

Kedua, apakah ada ketelusan dan kebijakan dalam pembelian itu? Harga dibeli itu apakah menepati harga pasaran sebenar atau cenderung “berlebihan” daripada sepatutnya?

Menurut maklumat yang boleh dicari dengan mudah di internet, model amphicoach buatan Malta itu dijual di United Kingdom dengan harga £280,000 (lebih kurang RM1.5 juta) sahaja sebuah. Jika itu benar, bermakna harga yang dibayar BN Terengganu adalah dua kali lebih tinggi (RM3 juta sebuah). Apakah ia urusniaga yang bijak?

Rakyat berhak persoalkan hal ini. Ia bukan kerana tak percaya kepada BN atau semata-mata atas dasar “membangkang apa saja dibuat BN”. Kita sudah ada pengalaman dengan kerajaan BN. Ini bukan kali pertama pembelian dibuat dengan harga berkali ganda lebih tinggi daripada sepatutnya.

Kes ini mengingatkan penulis kepada kes pembelian pesawat ambulans oleh Mediair, sebuah “cucu syarikat” kerajaan Terengganu, sekitar 90-an dulu. Mediair ialah anak syarikat kepada TDM Berhad. Penubuhannya secara khusus untuk menjalankan operasi pesawat ambulans, kononnya untuk menyediakan perkhidmatan mengangkut orang-orang sakit dari kawasan pedalaman ke hospital-hospital di bandar secara cepat melalui udara.

Peembelian pesawat itu pula dibiayai Tabung Pendidikan Negeri (TPN), di atas hasrat menyewakannya kepada Mediair.

TPN telah membeli pesawat terpakai (second hand) jenis Piper Chyne dengan harga RM6.9 juta. Sedangkan, sebuah pesawat terpakai jenis sama bernilai hanya USD200,000 atau sekitar RM800,000 sahaja. Manakala harga sebuah pesawat baru jenis itu hanyalah USD1.2 juta atau lebih kurang RM4 juta sahaja.

Ertinya telah berlaku lebihan bayaran dalam pembelian itu lebih RM6 juta. Di manakah cerdiknya BN? Apabila operasi Mediair mengalami kerugian, sewa yang dijanjikan kepada TPN juga ‘hangus’.

Ketiga, rakyat juga mempersoalkan keutamaan perbelanjaan. Apakah sesuai dengan keadaan rumit yang menghimpit hidup rakyat kini, BN berbelanja besar pada sesuatu yang tidak nampak manfaat secara langsungnya untuk meringankan beban hidup mereka?

Tidak adakah aspek atau sektor lain yang lebih perlu diutamakan perbelanjaan itu? Contohnya, menokok pembiayaan pelajar aliran agama ke luar negara (yang dipotong sejak beberapa tahun lalu); atau menambahbaik prasarana pengangkutan awam di darat yang masih lemah dan jauh dari memuaskan.

Atau mewujudkan sistem perparitan dan saliran yang lebih efisien agar tidak berlaku banjir kilat; atau beli sampan dan bot penyelamat lebih banyak/baik bagi digunakan di waktu banjir (ambil pengajaran kelembapan kerja bantuan banjir besar di Kemaman tahun lepas).

Apakah BN hanya tahu membelanjakan wang rakyat sewenangnya? Ataukah ia tunggu diajar rakyat, baru mahu belajar cara lebih ‘cerdik’ menguruskan kewangan negeri?

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1935, 7-10 Jamadil Akhir 1435/7-10 April 2014 di ruangan 'KOLUMNIS F21' dengan tajuk 'Ahmad Said terus bazir wang rakyat')

Tuesday, April 1, 2014

Aurat wanita bukan sekadar tutup kepala


Oleh: MOHD NASIR AWANG

PERSEKUTUAN Persatuan-Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini telah mengambil keputusan membenarkan para pemain memakai penutup kepala semasa perlawanan. Namun kebenaran itu secara jelas hanya ditujukan kepada pihak-pihak yang “memenuhi tuntutan agama” (religious purposes) sahaja.

Justeru, diperincikan di dalam penjelasan itu bahawa dua pihak yang bakal mendapat manfaat daripada keputusan tersebut ialah wanita Islam dan lelaki Sikh.

“Telah diputuskan bahawa pemain wanita boleh memakai tudung kepala ketika bermain”, media pada 1 Mac lalu memetik kenyataan Setiausaha Agung FIFA, Jerome Valcke.

Difahamkan keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB), iaitu badan pembuat undang-undang sukan, di Zurich.

“Telah diputuskan bahawa pemain lelaki juga boleh bermain dengan memakai penutup kepala”, katanya lagi, dipercayai merujuk kepada tuntutan oleh masyarakat Sikh agar dibenarkan memakai lilit kepala.

Difahamkan isu pemakaian penutup kepala bagi pemain bolasepak tercetus pada Kejohanan Bolasepak Olimpik Remaja di Singapura pada 2010. FIFA melarang pemakaian tudung oleh para pemain wanita, tetapi membenarkan mereka memakai topi yang menutup kepala hanya ke pangkal rambut, tanpa menutup telinga dan tengkuk.

Ekoran peraturan itu ramai pemain bolasepak wanita, terutama dari Jordan, Palestin, Bahrain dan Iran tidak dibenarkan bermain sepanjang Pusingan Kelayakan Olimpik 2011. Malah ada negara yang menarik penyertaannya tanda protes terhadap larangan tersebut.

Pemakaian penutup kepala oleh pemain bolasepak diharamkan sehingga 2012. FIFA beranggapan ia berisiko menyebabkan kecederaan, terutama kepada kepala atau tengkuk.

Beberapa persatuan dan aktivis bolasepak wanita kemudiannya membuat petisyen menuntut peraturan itu dikaji semula. Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menyokong tuntutan mereka itu. Masyarakat Sikh dari Kanada pula menuntut agar pemain dari kaum itu turut dibenarkan memakai lilit kepala sewaktu perlawanan.

Pihak IFAB lalu membenarkan pemakaian penutup kepala oleh pemain sebagai percubaan, selama dua tahun. Di akhir tempoh itu, percubaan itu dinilai membuahkan hasil positif.

“Ini adalah satu kelebihan buat mereka, mendapat pengesahan daripada IFAB agar wanita boleh bermain (dengan memakai tudung). Ia tuntutan daripada negara-negara (Islam) ini, yang menyebut ia akan membantu menyokong bolasepak wanita di sana”, ujar Valcke lagi.

Beliau bagaimana pun menyatakan syarat tambahan iaitu, “It will be a basic head cover and the colour should be the same as the team jersey."

Banyak pihak, terutama kalangan umat Islam menyambut baik keputusan terbaru FIFA ini. Secara zahirnya mereka beranggapan ia suatu yang positif terhadap keperluan wanita Islam memenuhi tuntutan agama, termasuk ketika beraksi di padang. Bahkan ada juga yang menganggap badan sukan itu semakin memahami dan meraikan ajaran Islam.

Saya kira kita tidak perlu terlalu keghairahan sampai ke tahap itu. Biar pun kita wajar mengalu-alukan peraturan itu, ia tidak sepatutnya melenakan kita daripada tuntutan sebenar penutupan aurat di sisi ajaran Islam.

Pertama, melihatkan kepada gambar-gambar contoh tudung diluluskan FIFA itu, saya bimbang ia menggambarkan kefahaman yang salah pihak penguasa sukan itu (juga mungkin non-Muslim keseluruhannya?) terhadap konsep menutup aurat di sisi agama kita.

“Basic head cover” yang diluluskan itu hanya melibatkan litupan di kepala atau paras telinga. Ia langsung tidak melibatkan bahagian tengkuk. Dalam ertikata lain, ia hanya sedikit lebih “kemas” berbanding pemakaian topi yang telah dibenarkan sebelum ini.

Maka apabila kita umat Islam bersetuju dengan peraturan itu, ia bagai mengesahkan pemahaman mereka (non-Muslim) bahawa menutup aurat bagi wanita Islam ialah dengan menudung kepala/rambut hingga ke paras telinga sahaja.

Ertinya, konsep menutup aurat yang difahami pihak terbabit hanyalah memadai dengan menutup kepala atau rambut, tanpa menutupi tengkuk. Sementelahan pula bahagian dada. Sedangkan, suatu ajaran yang jelas difahami umat Islam berhubung kesempurnaan tudung kepala wanita ialah menutupi bukan sahaja kepala/rambut, tetapi seluruh bahagian tengkuk dan atas dada. Dalam lain perkataan, ia disebutkan dengan istilah “belahan leher baju” (baca An-Nur 24:31).

Kedua, apa yang diluluskan itu mungkin dianggap banyak pihak, termasuk sebahagian umat Islam sendiri sudah memenuhi tuntutan menutup kepala. Sedangkan wajar difahami bahawa konsep menutup aurat di sisi agama kita adalah jauh lebih luas. Ia bukan sekadar memakai tudung atau menutup kepala sahaja. Aurat bagi wanita Islam ialah keseluruhan tubuhnya, kecuali muka dan tapak tangan.

Sebab itu di dalam pembicaraan mengenai aurat wanita Islam seringkali kita terserempak dengan ungkapan “bertudung tetapi masih tidak menutup aurat”. Maknanya, tuntutan menutup aurat bagi wanita Islam dikira masih tidak sempurna walau pun sudah menutup kepala/rambut, sekiranya bahagian tubuh yang lain masih terdedah atau tidak ditutup dengan sempurna.

Dalam kes ini, walau pun sudah dibenarkan bertudung, bagaimana pula dengan gerak-tingkah pemain wanita sepanjang perlawanan? Berpakaian ketat sehingga mempamerkan bentuk tubuh, atau beraksi dengan berbagai lenggok sambil ditonton sekalian yang ajnabi, tentu sekali bukan riadah yang menepati ajaran agama.

Tambahan pula tabiat permainan bolasepak dipenuhi dengan keinginan memperolehi kemenangan. Para pemain dipasak pemikiran memperdaya dan mengalahkan lawan, termasuk secara fizikal. Aksi-aksi lasak dan “tiada belas kasihan” terhadap lawan sebegitu, diselang-seli pula dengan tempik-sorak dan pekik-lolong di kalangan pemain, amat tidak sesuai dengan keperibadian seorang muslimah yang dititik-beratkan Islam.

Justeru, saya cenderung bersetuju dengan kewajaran sebilangan pihak yang mempersoalkan, apakah permainan bolasepak itu sesuai dengan wanita Islam? Memang Islam membolehkan aktiviti riadah dan sukan, termasuk untuk wanitanya. Namun, ia mestilah di dalam batasan persembahan dan interaksi yang tidak melangkaui syarak.

Jika semata-mata di atas hasrat bersukan dan beriadah, wanita Islam tidak semestinya memilih menjadi pemain bolasepak. Apatah lagi sekiranya permainan itu memang dijadualkan untuk menjadi tontonan khalayak umum!

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan ERA Muslimah, Bil. 23 (April 2014) di kolum Coretan Ketua Pengarang dengan tajuk sama)