Sunday, May 29, 2011

Umno perlu diganti kerana khianati agama

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Isu-isu berkaitan hal ehwal agama Islam sememangnya menjadi fokus utama persaingan politik di Terengganu. Sejak sekian lama percanggahan pendirian PAS dan Umno berhubung peranan Islam dalam pemerintahan sering menghangatkan pentas politik negeri penyu itu.

Sehingga kini Umno masih belum berjaya mematahkan hujah dikemukakan PAS, terutama dalam menghuraikan batas-batas iman dan kufur. Kemuncak gelombang kebangkitan akidah yang meletus akhir 70-an itu menghasilkan isu kafir-mengkafir.

Umno dilihat sangat berlunak dengan teras politik kuffar. Ia tidak menzahirkan sikap mahu menerima Islam sebagai dasar pemerintahan. Jika pun ada ketika Umno cuba menampakkan wajah dan suara Islam, ia terbukti hanya hiasan luaran.

Umno hingga kini gagal mengikis pemahaman yang bertapak kejap dalam masyarakat itu, biar pun betapa serius ia cuba memurnikan imejnya terhadap agama.

Maaf cakap, di antara punca utama menggagalkan usaha parti Melayu itu memperbetulkan persepsi masyarakat ialah sikap Umno sendiri yang tidak berubah terhadap isu-isu agama. Umno sendiri tidak serius memperbaiki imej dan wajahnya yang tidak Islamik, sehingga masih dilihat tidak berminat terhadap Islam.

Malah, di masa sama parti itu sebaliknya menaja program dan aktiviti yang bercanggah dengan hukum agama, termasuk maksiat dan khurafat, atau sekurang-kurangnya dikategorikan syubahah.

Mengambilkira hakikat itu barangkali maka Jabatan Penerangan PAS Terengganu memilih tajuk ‘Umno Khianat Agama Islam’ sebagai isu utama risalah terbarunya. Bahan bacaan yang mula diedarkan minggu lalu itu merupakan siri pertama menjelaskan kepada rakyat mengapa PAS perlu mengganti Umno sebagai pemerintah.

Risalah itu secara ringkas menyenaraikan sembilan subtopik yang mengaitkan Umno sebagai pengkhianat terhadap kedaulatan agama Islam. Mendahului senarai itu ialah ‘Umno Roboh Masjid’, merujuk tindakan bangang dan tidak waras pemimpin kerajaan Terengganu meranapkan rumah Allah di Kampung Bujal, Kemaman, 26 Mei 2006.

Episod memalukan itu akan diratib PAS sampai bila-bila sebagai bukti paling jelas betapa Umno sanggup menodaikan kesucian agama semata-mata mahu memuaskan serakah politiknya. Ia mengukuhkan lagi persepsi yang sedia wujud dalam masyarakat bahawa soal menjaga kepentingan agama tidak menjadi urusan utama bagi parti itu.

Persepsi itu diburukkan lagi dengan tindakan rakus Umno membunuh kemakmuran masjid dan surau di Terengganu. Sebaik mengambilalih pemerintahan daripada PAS pada 2004, parti itu memecat berpuluh imam dan bilal serta membubarkan Jawatankuasa Masjid Mukim sedia ada. Majlis-majlis ilmu melibatkan para mubaligh, guru takmir dan pegawai Unit Pembangunan Insan ditubuhkan PAS turut dihentikan.

Sebaliknya, Umno menggantikan aktiviti masjid itu dengan penajaan program maksiat. Gambar-gambar beberapa pemimpin Umno sedang berjoget dan berkaraoke turut dipaparkan risalah tadi sebagai bukti kebobrokan akhlak mereka.

“Bagaimana gejala sosial dapat dikurangkan sedangkan pemimpin Umno sendiri yang menaja dan mengajar rakyat untuk berhibur secara berlebihan dan di luar batas syariat?”, soal risalah itu.

Keakraban para pemimpin Umno dengan aktiviti maksiat turut tergambar menerusi kenyataan seorang anggota Exco Kerajaan Negeri yang secara terbuka menyokong penubuhan zon hab hiburan. Sedangkan operasi hub itu dikaitkan dengan penularan budaya Barat yang menjuruskan negara kepada pelbagai penyakit sosial dan keruntuhan moral masyarakat.

Segala perkembangan itu secara langsung membuktikan bahawa Umno tidak peduli untuk mengambil pertimbangan agama di atas apa yang mahu diputus atau dilaksanakannya. Selain huraian tadi, kes pemuliharaan ‘berhala’ penyu di Rantau Abang adalah satu lagi contoh ketara.

Kemerosotan suasana meriah di pantai pendaratan penyu itu telah dimaklumi. Kini semakin sukar untuk melihat penyu bertelur lantaran kawasan itu sudah tidak lagi menjadi destinasi popular kepada reptilia itu.

Ada kepercayaan mengaitkan kedatangan penyu ke pantai itu dengan kewujudan bungkah batu yang dinamakan Batu Penyu di puncak Bukit Che Hawa, tidak jauh dari situ. Bungkah itu memang menyerupai bentuk seekor penyu.

Kononnya penyu tertarik datang ke Rantau Abang kerana Batu Penyu itu menjadi ‘ibu semangat’ yang memanggil mereka. Sebab itu apabila batu itu mulai rosak dan hilang bentuk sejak beberapa tahun lalu, ia dipercayai menjadi punca kemerosotan kedatangan penyu ke situ.

Berbekalkan kepercayaan khurafat itu, Majlis Perbandaran Dungun (MPD) membelanjakan hampir RM390,000 memperindahkan persekitaran lokasi batu itu. Ia termasuk kerja mengembalikan rupa asal penyu pada batu itu. Individu utama di belakang projek itu tidak lain daripada wakil rakyat Umno kawasan itu sendiri.

Sekali lagi Umno tidak peduli untuk meninjau pandangan ulama dan ilmuan Islam  sebelum kerja membaikpulih Batu Penyu dibuat. Soal apakah kepercayaan sebegitu menyimpang dari ajaran Islam, nampaknya tidak menjadi perkiraan Umno. Yang difikirkannya hanya bagaimana memajukan kembali sektor pelancongan di pantai itu.

Dalam ertikata lain, Umno berkepercayaan bahawa andai nanti ditakdirkan penyu kembali membanjiri Rantau Abang, maka itu adalah dengan kuasa ajaib yang ada pada Batu Penyu itu.

Oh, betapa khurafatnya mereka?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1644, 30 Mei 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk serupa)

No comments:

Post a Comment