Oleh: Mat Zain Mat Isa
Memang tepat penegasan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa sudah sampai masanya Barisan Nasional (BN) berundur secara terhormat daripada teraju pemerintahan negara. Biar pun sebelum ini ada pihak mempertikai, malah mempersenda terjahan Presiden PAS itu, perkembangan mutakhir menampakkan betapa BN sememangnya makin kehilangan wibawa selaku pentadbir negara.
Nampak sangat BN semakin menggelabah dalam mengurustadbir kerajaan. Parti itu semakin kelam-kabut mencari jalan penyelesaian terhadap berbagai permasalahan hidup rakyat. Pentas politik semakin bercelaru, sektor ekonomi kian membebankan dan aspek sosial tambah tidak terkawal.
Kes kenaikan pangkat dan gaji kelompok guru tertentu sepertimana diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, minggu lalu adalah contoh yang telah banyak diulas. Walau pun BN menjangkakan pengumuman itu bakal memberikan mileage politik kepadanya, reaksi menyusul adalah sebaliknya.
Kerajaan dianggap mengenepikan kebajikan majoriti para guru. Nampak sangat apa yang diumumkan itu tidak diputuskan dengan teliti. Ia seakan tidak mengambilkira rungutan dan tuntutan kesatuan atau kumpulan guru-guru selama ini.
Akibatnya, mereka bangkit meluahkan rasa tidak puas hati. Malah ada kalangan mereka secara terbuka membandingkannya dengan tawaran diutarakan Pakatan Rakyat menerusi Buku Jingga.
Kata mereka, hasrat Pakatan menaikkan gaji guru RM500 sebulan dalam tempoh 100 hari memerintah negara adalah jauh lebih baik kerana melibatkan semua guru.
Perkembangan itu memaksa Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran segera merayu dan ‘melutut’ meminta para guru bersabar. Kononnya apa yang diumumkan PM itu belum mutlak dan masih boleh dipinda atau ditokok-tambah sebelum dilaksanakan awal tahun depan. Lalu beliau berjanji untuk meluaskan kategori guru yang bakal mendapat manfaat daripada kebaikan diumumkan itu.
Di manakah wibawa BN selaku pemerintah, sehingga perkara sepenting itu pun masih boleh menjadi bahan ‘sorong-tarik’? Apakah logik perkara sebegitu besar, melibatkan kepentingan hampir setengah juta penjawat awam, seorang Perdana Menteri boleh terlepas pandang?
Belum pun reda isu tersebut, datang pula isu pengurangan subsidi. Ia sebenarnya bukan isu baru. Sejak sekian lama menteri yang bertanggungjawab menjaga soal turun-naik harga barang ini sudah membayangkan kemungkinan harga barangan keperluan utama, termasuk gula, petrol dan seumpamanya akan dinaikkan lagi dan lagi.
Rakyat sudah lama diingatkan agar tidak selamanya bergantung kepada subsidi kerajaan. Rakyat juga dipujuk dengan andaian bahawa penjimatan oleh kerajaan ekoran pengurangan subsidi ke atas barangan tertentu akan disalurkan untuk projek atau peancangan lain yang jauh lebih bermanfaat untuk mereka.
Di masa sama, tidak sedikit pemimpin BN mempersenda tabiat pemakanan dan gaya hidup rakyat. Fakat-fakta sosial dan kesihatan yang menjurus memperkuatkan hujah betapa rakyat perlu mengurangkan pengambilan bahan keperluan tertentu yang dinaikkan harga oleh BN turut dilambakkan untuk tatapan umum.
BN turut menggunakan taktik menakutkan rakyat dengan kemungkinan keadaan ekonomi yang semakin buruk. Kononnya negara akan mengalami defisit lebih teruk atau mungkin boleh jatuh bankrap sekiranya tabiat mengharapkan subsidi kerajaan tidak dihentikan.
Inilah durjananya BN. Nampak sangat ia semakin terdesak menyelesaikan kebuntuan kewangan negara sehingga sanggup mengugut dan menakutkan rakyat dengan andaian sedemikian buruk.
Mana ada sebuah kerajaan berwibawa sanggup menyalahkan rakyat di atas kesukarannya mengurus kewangan negara? Di manakah wibawa seorang pemimpin jika meletakkan rakyat sebagai punca negara mengalami defsit atau menuju bankrap?
Sebaliknya, apa yang sering kita saksikan di mana-mana negara yang menghadapi keadaan sedemikian, rakyat mereka akan bangkit menyalahkan kerajaan kerana gagal mengurustadbir kewangan negara sehingga terjerumus kepada defisit melampau atau bankrap.
Malangnya, di negara kita keadaan sudah terbalik. Sebab itu para menteri sanggup memarahi rakyatnya sendiri sebagai manusia yang tidak tahu berterimakasih kepada kerajaan semata-mata kerana mereka mengkritik atau membantah kenaikan harga barangan.
Lebih teruk lagi, rakyat diperbodoh dan diletakkan pada taraf sangat rendah apabila disifatkan seumpama ‘ketagih candu’ semata-mata kerana mereka menuntut subsidi barangan tertentu dikekalkan.
Dalam satu kenyataan di London, 16 Mei lalu, Najib berkata, subsidi bahan api ibarat “candu” kepada ekonomi Malaysia dan perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat untuk mengawal defisit bajet.
“Subsidi, pada keseluruhannya, seperti candu. Sekali anda ambil candu sukar untuk mengikis tabiat buruk; sekali anda memberi subsidi, sukar untuk diambilnya tanpa beberapa kos politik,” media memetik katanya.
Ketara benar BN semakin hilang punca dan mati akal memikirkan kaedah menyelamatkan kewangan negara. Yang mereka tahu nampaknya hanya menyalahkan rakyat, lalu memaksa rakyat menanggung beban itu.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1643, 27 Mei 2011 di ruangan 'fokus', F21 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment