Oleh: Mat Zain Mat Isa
Keterlibatan masyarakat negara kita dengan transaksi secara hutang bukan lagi perkara luar biasa. Sama ada ia berlaku atas dorongan bermewah atau dipaksa keadaan, itu suatu hal yang lain. Apa yang pasti tabiat itu sudah semakin menjadi lumrah dan diterima umum.
Pun begitu, tidak ramai yang menyangka atau mudah menerima hakikat jika dikatakan bahawa rakyat negara ini sebenarnya menjadi antara kelompok penanggung hutang paling tinggi di dunia. Mahu tidak mahu, itulah hakikat yang perlu diterima, jika benar bagai didedahkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), minggu lalu.
Penasihat Khas kepada persatuan itu, Dr Michael Lim Mah Hui, dalam kenyataannya kepada media, Selasa (26 April), mendakwa nisbah hutang isi rumah kepada pendapatan boleh guna rakyat negara ini adalah antara yang tertinggi di dunia.
Menurutnya, pada kadar 140 peratus, ia jauh mengatasi negara jiran Indonesia dengan hanya 38 peratus, Thailand (52.7 peratus) dan Singapura (105 peratus). Bahkan turut mengalahkan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (123.3 peratus) dan Korea (101 peratus).
Beliau turut mendedahkan fakta betapa hampir separuh daripada pendapatan isi rumah negara ini digunakan untuk membayar hutang. Katanya, bahagian terbesar hutang isi rumah adalah untuk membayar balik pinjaman perumahan, pinjaman kereta, penggunaan peribadi, pembelain saham dan kad kredit.
“Oleh itu tidak banyak lagi (pendapatan) yang tinggal untuk dibelanjakan bagi makanan, pengangkutan, pendidikan dan kecemasan,” kata Mah Hui.
Ya, dalam keadaan sebegitu, tentu tidak sukar digambarkan betapa terhimpitnya rakyat untuk memenuhi tuntutan kewangan menyelesaikan pelbagai keperluan hidup. Apalah sangat yang dapat disempurnakan apabila separuh gaji bulanan sudah awal-awal lagi diperuntukkan bagi melangsaikan hutang? Tolak tepi hasrat menabung atau menyimpan sebahagiannya.
Justeru, bagaimana mungkin dapat kita terima hakikat jika dikatakan sebarang kenaikan harga barangan keperluan tidak memberi kesan kepada kehidupan rakyat? Sedangkan dalam keadaan serba berjimat pun, rakyat sudah terlalu sukar membebaskan diri dari belenggu kewangan, inikan pula datangnya peningkatan pelbagai kos keperluan hidup.
Malangnya, yang sering kedengaran ialah hujah menafikan kesempitan hidup rakyat itu. Setiap kali berlaku kenaikan harga barangan keperluan harian, termasuk petrol, diesel, gas, gula, tepung, ayam dan sebagainya, rakyat didendangkan dengan ulitan kononnya ia bukan kenaikan yang besar.
Barisan Nasional selaku pemerintah seakan menjadikan ungkapan itu satu klise wajib bagi merasionalkan tindakannya. Kononnya beban hidup rakyat tidak bertambah walau pun berlaku kenaikan harga barang.
Dalam nada lain, ia mendakwa kononnya kenaikan itu tidak dapat dielakkan, samada disebabkan kenaikan harga bahan mentah di pasaran dunia, atau kerana kerajaan mahu menyalurkan peruntukan subsidi barangan terbabit kepada manfaat lebih besar untuk rakyat.
Kemudian, ada pula pihak-pihak lain, yang bercakap sama ada atas kapasiti selaku pakar ekonomi, aktivis masyarakat atau seumpamanya, yang mengukuhkan tindakan BN itu. Di masa sama, mana-mana pihak yang menyuarakan kebimbangan sebaliknya, sebegitu mudah dilabelkan BN sebagai sengaja menghasut rakyat membenci kerajaan.
Itulah fenomena yang berulangkali berlaku dalam masyarakat. Itulah juga persepsi yang cuba dibentuk BN.
Sebab itu ia memandang sinis sebarang suara pembangkang membela kehidupan rakyat. Malah sebarang perancangan dan janji Pakatan Rakyat membebaskan rakyat dari kesempitan hidup diperlekehkan dan diberikan tafsiran negatif.
PAS selaku parti yang menjiwai denyut nadi rakyat sejak sekian lama menunjukkan simpati dengan bebanan hidup mereka. Sebab itu PAS sering ke depan membantah kenaikan harga barangan dan menuntut tindakan lebih bertanggungjawab dari kerajaan BN.
Walaupun dalam usaha mempertahankan ego politiknya, BN kerap menafikan pendedahan PAS bahawa kenaikan harga petrol, diesel, gas dan barangan utama lain membebankan orang ramai, hakikat dialami masyarakat membuktikan PAS berada di landasan yang benar.
Peningkatan hutang isi rumah sepertimana didedahkan CAP tadi antara bukti. Manakala peningkatan pelbagai jenayah dan gejala sosial juga berpunca daripada tekanan hidup yang semakin membukit.
Tuntutan terbaru Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mewakili sektor awam juga menjadi bukti tambahan mengakui apa yang dikatakan oleh PAS selama ini.
Rabu (27 April) lalu, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman dilaporkan memohon kerajaan melakukan pelarasan gaji baru terhadap kakitangan awam tahun ini. Beliau dipetik mengatakan pelarasan itu perlu ekoran peningkatan bebanan hidup ditanggung penjawat awam akibat kenaikan harga barangan kebelakangan ini.
Beliau malah secara spesifik mendakwa kakitangan awam terpaksa mengeluarkan belanja tambahan lebih RM500 sebulan bagi menampung kenaikan kos hidup keluarga.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1636, 2 Mei 2011 di ruangan 'fokus', F21 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment