SELURUH alam buana ini adalah milik Allah Subhanahu Wa
Ta’ala semata-mata. Manusia hanya berperanan mentadbir dan memakmurkan dunia
ini, sebagaimana yang diarahkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya yang bermaksud:
Dan apabila
telah berkata Tuhanmu kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku akan jadikan di
atas mukabumi itu khalifah (pentadbir). (Maksud al-Quran Surah Al-Baqarah ayat 30)
Bahkan istilah khalifah itu mengandungi makna yang jauh
lebih luas daripada sekadar ‘pentadbir’. Di antara pengertian khalifah yang
diberikan oleh beberapa ulama Islam ialah: Menggalang-ganti
pengutusan para anbiya’ dalam menegakkan agama dan mentadbirkan dunia dengannya
(agama).
Ertinya, bagi memenuhi tugas dan tanggungjawab manusia
sebagai khalifah di atas mukabumi ini, seseorang yang diamanahkan untuk
mengurus dan mentadbir itu mestilah tahu selok-belok hukum dan peraturan agama.
Bahkan, bukan sekadar tahu sahaja, malah dia mestilah bersedia dan berupaya
untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan agama itu.
Di antara tugas dan peranan manusia yang mentadbir atau
memerintah itu dinyatakan oleh Allah di dalam firman-Nya yang bermaksud:
Mereka yang
Kami menangkan di atas mukabumi, mereka itu mendirikan sembahyang, mengeluarkan
zakat, menyeru kepada perkara maaruf dan mencegah daripada perkara mungkar. (Maksud Al-Quran Surah Al-Hajj ayat 41)
Allahyarham Professor Zulkiflee Muhammad, bekas Timbalan
Yang Dipertua Agung PAS, sewaktu memberikan ‘Amanat
Terakhir’ beliau kepada Anggota-anggota Kerajaan PAS Negeri Kelantan
yang baru dipilih dalam Pilihan Raya Umum Mei 1964, ada menghuraikan ayat di
atas. Antara lain, beliau mengemukakan pengertian yang lebih luas terhadap
ungkapan ‘mendirikan sembahyang dan
mengeluarkan zakat’ yang disebutkan itu. Beliau menyebutkan:
“Dengan ayat-ayat ini dapatlah tuan-tuan
membayangkan bahawa orang yang telah ditolong (diberi kemenangan) oleh Allah
SWT itu tugasnya telah dinyatakan oleh Al-Quran - menjaga kedaulatan agama;
menjaga khidmat-khidmat masyarakat; melakukan sesuatu yang baik dan mencegah
sesuatu yang jahat”.
Semua ini, terutama dalam hal menjaga kedaulatan agama,
tidak akan dapat dilaksanakan kecuali dengan penuh keimanan dan ketaqwaan
kepada Allah SWT. Dan, jika ia dapat dilaksanakan, nescaya bantuan daripada
Allah SWT akan sampai. Itulah apa yang dijanjikan oleh Allah SWT di dalam
firman-Nya yang bermaksud:
Dan kalau
sekiranya penduduk sesuatu negeri itu beriman serta bertaqwa, pasti akan Kami
bukakan kepada mereka (pintu kurniaan yang melimpah-limpah) berkatnya dari
langit dan bumi. (Maksud al-Quran Surah
Al-A’raf ayat 96)
Ternyata Allah SWT itu amat menepati segala apa yang
dijanjikan-Nya. Perkara ini jelas kelihatan jika kita perhatikan
keadaan-keadaan yang berlaku di negeri Kelantan, terutama sejak wujud
perpecahan dalam parti Umno yang akhirnya membawa kepada pengharaman parti itu
pada 4 Februari 1988 lalu. Perubahan dalam masyarakat negeri ini lebih
menyerlah lagi bilamana wujudnya perpaduan berteraskan Islam di kalangan
rakyatnya, yang diterajui oleh PAS.
Banyak perkara yang tidak disangka-sangka, dan di luar perancangan manusia, berlaku tatkala Allah
mula menurunkan berkat-Nya kepada manusia. Segala-galanya bermula apabila
penduduk negeri berkenaan menzahirkan kesediaan mereka untuk bersatu di bawah
kepimpinan ulama, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.
1.
Kemenangan ‘sapu bersih’
Tidak siapa menyangka PAS beserta rakan-rakannya dalam
Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) berupaya menang secara ‘sapu bersih’ di Kelantan
dalam Pilihan Raya Umum (PRU), 21 Oktober 1990 lalu. Walau pun sudah ada
tanggapan dan agakan bahawa Barisan Nasional-Umno akan kecundang di negeri itu,
tetapi hasil siasatan dan kajiselidik manusia menjangkakan parti pemerintah
Umno-BN masih berupaya bertahan di beberapa buah kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun)
dan juga Parlimen.
Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad sendiri dalam
kempen pilihan raya umum lalu ada menyebutkan kepada para pemberita bahawa
partinya Umno-BN dijangkakan tidak dapat bertahan di Kelantan. Namun, beliau
berkeyakinan partinya itu masih mampu memenangi beberapa kawasan.
Tetapi apa yang berlaku benar-benar di luar dugaan semua
pihak, kecuali Allah SWT Yang Maha Mengetahui. Mursyidul Am PAS, Tuan Haji
Yusof Rawa sewaktu memberikan komentar tentang kejayaan Angkatan di Kelantan
dalam PRU, Oktober 1990 lalu menyebutkan:
“Kemenangan ini adalah kemenangan yang
tidak disangka-sangka dan juga merupakan kemenangan dari Allah SWT bagi menguji
sejauh mana tingkat kesyukuran dan keinsafan kita atas nikmat yang
dikurniakan.”
Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, yang juga Ketua Dewan
Ulama PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri turut tidak
menyangka keputusan pilihan raya umum tersebut sedemikian rupa (sapu bersih).
“Kemenangan itu satu pertolongan dari Allah.
Seperti ada kuasa ghaib yang menolong kita. Kerana sebelum (pilihan raya) ini
penyokong-penyokong kita menunaikan sembahyang hajat dan membaca qunut nazilah,
dan Allah telah mewujudkan kerjasama antara malaikat di langit dengan para
pengundi di bumi”, jelas Tuan Guru.
Rakyat Kelantan semacam sudah tidak sabar lagi untuk
mengecapi nikmat hidup di bawah naungan Islam dengan diterajui oleh seorang
ulama dan tok guru mereka, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mereka telah
menzahirkan keinginan hati mereka itu dengan menolak kepimpinan Umno-BN secara
total pada 21 Oktober 1990 lalu dan memilih untuk hidup di bawah kepimpinan
ulama.
2.
Sindiran Jadi Kenyataan
Dalam kempen pilihan raya, hatta sebelum diisytiharkan pilihan
raya lagi, para pemimpin, ahli dan penyokong Angkatan – khususnya daripada PAS
– sentiasa menyebutkan kepada masyarakat bahawa mereka bercita-cita untuk
mendaulatkan Islam. Untuk itu, mereka mengajak masyarakat bersama-sama Angkatan
menukarkan kerajaan yang ada bagi digantikan dengan sebuah kerajaan baru yang
berhasrat dan bersedia melaksanakan tuntutan-tuntutan pentadbiran secara Islam.
Berbagai reaksi dari segenap lapisan masyarakat timbul.
Rakyat Kelantan yang sudah semakin jemu dengan tindak-tanduk Kerajaan BN
pimpinan Umno di negeri mereka, mula menampakkan bunga-bunga perubahan. Semakin
lama bunga-bunga perubahan itu semakin menampakkan putik-putik hasilnya.
Sehinggalah hasil itu masak dan dipetik buahnya pada 21 Oktober 1990 lalu.
Dalam pada itu, kedengaran juga suara-suara sumbang terhadap
seruan-seruan Islam yang diutarakan oleh para pendakwah PAS itu. Seruan
mengajak mereka kembali kepada Islam dan tampil ke hadapan bersama-sama Angkatan
bagi menjayakan cita-cita Islam diterima dengan penuh ejekan dan sindiran.
Golongan ini tidak menyedari bahawa yang mereka
sindir dan ejek itu bukanlah PAS, atau Semangat 46 atau Angkatan Perpaduan
Ummah. Yang mereka sindir itu ialah risalah yang dibawa oleh gagasan tersebut.
Menyindir dan mengejek risalah itu, secara sedar atau tidak, bererti menyindir
dan memperkelehkan Islam itu sendiri.
Di antara suara-suara sumbang yang kedengaran di kalangan
rakyat Kelantan sebelum dan sepanjang tempoh pilihan raya umum lalu ialah: “Kalau Islam memerintah, kayalah negeri kita
ini!”, “Kalau PAS menang, kenduri besarlah rakyat negeri ini!”, “Kalau Islam
memerintah, nyiur (kelapa) kita naik hargalah!” dan lain-lain lagi.
Kata-kata sedemikian, jika ia datangnya daripada para
penyokong Angkatan, tentu sekali menggambarkan keghairahan dan kegembiraan
mereka untuk menerima kemenangan. Yang mendukacitakan ialah kata-kata tersebut
lahir daripada mereka yang diketahui dan dikenali umum sebagai ‘orang kuat
Barisan’.
Sebab itulah amat sukar untuk ditolak hakikat bahawa
kata-kata itu sebenarnya mengandungi maksud menyindir, memperli dan mengejek
kewibawaan Islam mentadbir negeri. Mereka yang mengatakan itu agaknya merasa
yakin bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh Angkatan tidak akan berupaya
menundukkan parti dan pemerintahan kesayangan mereka (BN-Umno) di Kelantan.
Suara-suara sedemikian amat pahit untuk diterima oleh
telinga-telinga para penyokong Angkatan. Namun, mereka menerimanya juga dengan
penuh kesabaran, sambil mengharapkan agar Allah Ta’ala menunjukkan sesuatu kepada
si pengucap berkenaan. Mereka bersembahyang hajat dan membaca qunut nazilah
memohon pertolongan daripada Allah.
Islam adalah milik Allah. Perjuangan Islam sudah
dijanjikan kemenangan oleh Allah. Pejuang kebatilan dan pencela kebenaran
lambat-bangat akan menerima padahnya. Siapa menyangka
apabila Islam benar-benar diberi pertolongan oleh Allah dengan kemenangan yang
dicapai pada Oktober 1990, maka segala yang diejek dan diperlikan itu
benar-benar berlaku sebagai suatu kenyataan. Semacam suatu amaran dari
Allah SWT agar manusia jangan terlalu ‘celupar’ dengan agama Allah.
Antara perkara yang benar-benar berlaku ialah kenaikan mendadak harga buah kelapa. Diketahui umum
bahawa harga untuk seratus (100) biji kelapa di negeri Kelantan sebelum
daripada pilihan raya umum lalu ialah hanya di sekitar $7.00. Selepas
kemenangan Islam di negeri tersebut, Allah Ta’ala takdirkan harga kelapa
melambung naik secara mendadak.
Dalam masa seratus hari pemerintahan Angkatan di bawah
kepimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, harga seratus biji kelapa
meningkat kepada antara $35 hingga $58 ringgit. Sindiran bahawa, “kalau Islam memerintah, nyiur (kelapa) kita
naik hargaklah!”, nampaknya kembali menyindir orang yang mengatakan
demikian itu.
Begitu juga dengan kenduri-kendara
yang diejek-ejekkan itu. Dalam masa sebulan-tengah
sejak Angkatan memerintah Kelantan, hampir setiap hari ada-ada sahaja kerbau
dan lembu yang ‘tumbang’. Tanpa disuruh, tanpa dipaksa rakyat yang agak berada
berlumba-lumba tampil ke hadapan menganjurkan majlis dan jamuan kesyukuran atas
kemenangan parti kesayangan mereka.
Bahkan, ada juga berlaku perkara-perkara yang ganjil dan
melucukan. Di mana ada di antara ‘orang kuat’ Umno bernazar (secara menyindir)
semasa pilihan raya umum berlangsung dahulu bahawa “kalau kalah calon Umno di sini (di kawasannya), aku akan potong
lembu”. Percaya atau tidak, orang kuat Umno itu benar-benar telah membayar
nazarnya itu bilamana calon Umno betul-betul kalah di tempat tersebut. Sekali
lagi sindiran itu telah menjadi kenyataan.
3.
Peningkatan Industri Pelancongan/Perhotelan
Negeri Kelantan terkenal sebagai salah sebuah destinasi
pelancongan yang terbaik di negara ini. Panorama semulajadinya yang indah dan
kesenian budaya rakyat yang berbagai-bagai cukup untuk menarik minat para
pelancong dalam dan luar negeri ke Kelantan. Tempat-tempat menarik untuk
istirehat antaranya ialah Pantai Cinta Berahi, Pantai Bisikan Bayu, Jeram
Linang dan Jeram Pasu. Manakala tempat-tempat menarik untuk kunjungan pula amatlah
banyak. Antaranya yang termasyhur ialah Balai Besar, Istana Jahar (Muzium
Negeri), Gelanggang Seni, pusat-pusat batek, songket dan kraftangan dan
lain-lain.
Kemudahan penginapan dan pengangkutan juga menjadi faktor
utama menarik para pelancong ke Kelantan. Begitu juga dengan pertunjukan
kebudayaan yang beraneka corak dan permainan rakyat yang berbagai-bagai.
Tambahan pula, kedudukan negeri Kelantan yang berjiran
dengan negara Thailand banyak membantu perkembangan perniagaan yang sekaligus
menjadi daya penarik para pelancong ke negeri Kelantan. Thailand sememangnya
terkenal dengan penjualan barangan dan pakaian yang jauh lebih murah harganya
berbanding dengan mana-mana bandar dalam negara ini. Barang-barangan dan pakaian
yang murah harganya itu dibawa masuk ke negara ini melalui Kelantan. Urusniaga
ini membantu menarik ramai pengunjung ke negeri itu.
Apabila Angkatan mengambil alih pemerintahan negeri
Kelantan, industri pelancongan nampaknya tidak pula merosot. Sebaliknya, ia
menampakkan suatu peningkatan yang membanggakan.
Islam tidak menentang pelancongan. Cuma beberapa aspek
pelancongan itu yang perlu diubahsuai agar tidak mencanggahi hukum dan
peraturan Islam. Maka tiada sebab industri pelancongan perlu dibekukan atau
disekat.
Apa yang nyata, sepanjang seratus hari pemerintahan
Angkatan di Kelantan, jumlah para pelancong yang mengunjungi negeri tersebut telah
mencapai angka 30,000 orang. Angka tersebut sebenarnya suatu yang di luar
jangkaan dan jauh lebih tinggi berbanding dengan mana-mana tempoh yang sama
semasa pemerintahan BN sebelum itu.
Itu pun hanya diambil kira mereka yang mendaftar dengan
pihak Kerajaan Negeri dan belum dikira entah beberapa puluh ribu lagi yang
mungkin telah datang secara tidak rasmi dan tidak mendaftarkan diri dengan
pihak Kerajaan Negeri.
Adalah dipercayai bahawa antara faktor utama yang membawa
begitu ramai pelancong ke negeri Kelantan dalam masa yang singkat selepas
kemenangan Angkatan ialah faktor ‘fitnah Umno’
yang tolong digembar-gemburkan oleh media massa.
Misalnya, seorang pemandu teksi (di Kelantan) menceritakan
bagaimana serombongan daripada Perak dan Kedah memberitahunya bahawa tujuan
utama mereka (rombongan) datang ke Kelantan ialah untuk melihat sendiri ‘kebuluran’ yang dialami oleh rakyat Kelantan. Kerana,
kata mereka, telah dikhabarkan kepada mereka bahawa Kelantan kini (di bawah
pemerintahan Angkatan) sudah kehabisan wang dan tidak dapat membekalkan beras
yang cukup untuk rakyatnya.
Ekoran daripada tersebarnya fitnah sebegitu, maka rakyat
Malaysia yang berperi kemanusiaan terdorong untuk hadir dan melihat sendiri
keadaan sebenarnya. Itu hanyalah satu contoh yang menjadi faktor atau daya
penarik pelancong. Manakala faktor ‘Kemenangan Islam’
dan ‘Ulama
jadi MB’ juga banyak mendorong para pelancong dari luar Kelantan
untuk hadir berduyun-duyun ke negeri tersebut.
Serentak dengan peningkatan kunjungan para pelancong itu,
maka permintaan terhadap penginapan, makanan dan barang-barangan ‘tandamata’
juga turut bertambah. Beberapa hotel dan hostel memperkemaskinikan perkhidmatan
mereka. Di samping itu, rumah-rumah tumpangan yang mengenakan kadar bayaran
yang rendah juga turut dibuka di beberapa tempat sekitar Kota Bharu bagi memenuhi
keperluan penginapan para pelancong.
Manakala kuih-muih dan makanan ringan tradisi rakyat
Kelantan yang biasa dijadikan ‘buah tangan’ oleh para pelancong seperti dodol,
gelembung buaya, putu kacang dan bepam juga turut mendapat pasaran yang baik.
Satu tinjauan yang dibuat di kalangan para peniaga di pasar Kota Bharu
menunjukkan bahawa dalam masa seratus hari pemerintahan Angkatan di negeri itu,
bekalan makanan ringan yang disebutkan itu sering terputus. Sebab utamanya
ialah permintaan untuknya yang lebih tinggi daripada jumlah yang biasa dibekalkan,
ekoran kehadiran jumlah pelancong yang berlipat kali ganda.
Peningkatan drastik dalam industri pelancongan,
penginapan dan juga perniagaan itu tentu sekali di luar perancangan manusia.
4.
Penemuan Galian Minyak
Allah Ta’ala telah menjanjikan bahawa apabila penduduk
sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa kepada-Nya, maka Dia akan membuka
pintu berkat dari langit dan juga bumi. Begitu juga, melalui ayat yang dikenali
sebagai ‘Ayat Seribu Dinar’, Allah Ta’ala menjanjikan jalan keluar
(penyelesaian kepada masalah yang dihadapi) dan rezeki dari punca yang tidak
disangka-sangkakan kepada sesiapa di kalangan hamba-Nya yang bertaqwa
kepada-Nya.
Selama ini rakyat negara ini, termasuk rakyat negeri
Kelantan dimomokkan bahawa jika Islam memerintah maka negara akan huru-hara,
rakyatnya akan kebuluran dan sebagainya. Kebetulan pula negeri Kelantan Darul
Naim terkenal sebagai salah sebuah negeri yang dikira miskin di negara ini.
Sebahagian besar rakyatnya bergantung hidup kepada
pekerjaan tradisi seperti bertani, bersawah, berniaga kecil-kecilan, menangkap
ikan, menoreh getah dan seumpamanya. Manakala lain-lain hasil negeri seperti
kayu balak, industri pembuatan dan juga pelancongan masih tidak berupaya
menampung Belanjawan Negeri.
Namun begitu, apabila rakyat Kelantan mula menampakkan
hasrat mereka untuk hidup di bawah naungan Islam, kemudiannya mereka
membuktikan kesungguhan mereka dalam hal itu pada 21 Oktober lalu, maka Allah
Ta’ala “mencampakkan” rezeki kepada mereka dari dalam perut bumi negeri mereka.
Hasil carigali di beberapa daerah dalam negeri Kelantan
menunjukkan bahawa perut bumi Kelantan kini mempunyai simpanan galian minyak
yang agak banyak. Penemuan galian yang bernilai tinggi ini jika berjaya dipam
keluar tentu sekali akan merubah corak pembangunan negeri Kelantan dalam dekad
akan datang. Berapa pun jumlah royalti yang akan diterima oleh kerajaan negeri
nanti, paling tidak ia sudah tentu akan dapat menampung kos pembangunan negeri
berkenaan.
5.
Pelabuhan Sungai Pengkalan Petah
Apa yang berlaku terhadap pelabuhan sungai Pengkalan
Petah, Bachok juga merupakan satu lagi pembangunan yang di luar perancangan
manusia. Ahli Dewan Undangan Negeri Tawang, yang juga Anggota Exco Kerajaan
Negeri Kelantan, Ustaz Idris Ahmad sewaktu menceritakan tentang pembangunan
mendadak di Pengkalan Petah menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai suatu ‘pembangunan tidak dirancang yang paling pesat’ sejak
kepimpinan ulama mengambilalih teraju pemerintahan negeri Kelantan.
Faktor utama kepada pembangunan pelabuhan sungai tersebut
ialah kedalaman air sungainya. Ia memudahkan kapal-kapal kecil untuk
keluar-masuk atau berlabuh. “Sehinggakan
kapal-kapal seberat 70 hingga 120 tan tidak akan kandas”, tambah Ustaz
Idris Ahmad, menceritakan perihal pelabuhan Pengkalan Petah itu.
Tambahan pula, di masa yang sama, beberapa pelabuhan
nelayan di utara Pantai Timur dikatakan mengalami proses timbunan pasir.
Misalnya, Pelabuhan Kuala Besut dan Beting Lintang di Terengganu, begitu juga
Kuala Tak Bai di Selatan Thailand, dan beberapa pelabuhan sungai di pantai
Kelantan sendiri, yang selama ini menjadi kunjungan kapal-kapal Perikanan Laut
Dalam sudah semakin menyulitkan lalulintas bot-bot nelayan ekoran keadaan air
sungainya yang semakin cetek.
Maka bot-bot nelayan dan kapal-kapal Perikanan Laut Dalam
sudah banyak mengalihkan urusan jual-beli tangkapan mereka ke Pengkalan Petah,
Bachok. Kehadiran mereka itu secara tidak langsung menyediakan permintaan untuk
para peraih yang lebih ramai. Begitu juga dengan keperluan kepada gerai-gerai
makanan dan minuman untuk, bukan sahaja para peraih di daratan, tetapi juga
awak-awak nelayan yang mendaratkan tangkapan mereka di situ.
Keperluan kepada jeti dan tambatan juga bertambah dengan
bertambahnya jumlah kapal dan bot yang berlabuh di situ. Seterusnya, apabila
ada jentera berenjin, maka keperluan kepada bengkel pembaikian dan juga kedai
tempat jual minyak juga perlu dipenuhi.
“Jeti
bercambah, kedai tempat jual minyak dan bengkel membaiki motor (bot) juga
bercambah. Ringkasnya, Pengkalan Petah sudah membangun menjadi sebuah kawasan
perniagaan yang pesat”, jelas Ustaz Idris lagi.
Menurut beliau lagi, pembangunan pelabuhan sungai itu
bukan sahaja membantu membangunkan kawasan berkenaan, tetapi sekaligus
menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada beberapa pihak yang terlibat.
Kesimpulan
Sudah agak sukar untuk dinafikan lagi bahawa segala
perubahan dan pembangunan yang tidak dirancangkan itu adalah bertitik-tolak
daripada hasrat murni rakyat negeri Kelantan untuk melihat Islam didaulatkan
dalam negeri mereka. Rakyat Kelantan telah diinspirasikan oleh ucapan-ucapan
dan pengajaran-pengajaran yang disampaikan oleh para alim-ulama pimpinan Tuan
Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mereka sedar dan yakin bahawa pertolongan
Allah akan bersama-sama mereka sekiranya mereka beriman dan bertaqwa
kepada-Nya.
Lagi pun, dua belas tahun pemerintahan sebuah kerajaan yang
tidak mendaulatkan Islam dalam negeri mereka terbukti tidak berupaya memberikan
mereka kemewahan yang jauh lebih baik dari apa yang sebelum itu mereka kecapi
(di bawah pemerintahan PAS dahulu). Sebaliknya, sebahagian rakyat menjadi
mangsa tindasan dan pilih kasih politik.
Rata-rata rakyat Kelantan, terutama mereka yang ditindas
dan dizalimi oleh pemerintahan BN-Umno, sentiasa ingat akan pesanan dan ingatan
yang diberikan oleh pemimpin mereka. Mereka berkeyakinan bahawa sebuah
pemerintahan yang zalim tidak akan bertahan lama. Itulah yang dijanjikan oleh
Allah Ta’ala dan itulah yang dinyatakan oleh pemimpin mereka.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam ucapannya sejurus selepas
Peristiwa Pembunuhan di Memali mengingatkan ratusan rakyat Kelantan di Dewan
Zulkiflee Muhammad, Kota Bharu dengan satu ayat al-Quran yang diterjemahkan
sebagai:
Tak lama
lagi orang yang zalim itu akan tahu di mana lurah dan lubangnya dia akan
terjun! (Maksud al-Quran surah asy-Syu’ara ayat 227)
Ucapan tersebut disambut dengan laungan takbir yang
bertalu-talu oleh para hadirin. Rakyat Kelantan sentiasa tertunggu-tunggu akan
saat dan ketika untuk sama-sama tampil ke hadapan menumbangkan sebuah
pemerintahan yang zalim itu.
Lebih meyakinkan mereka untuk menumbangkan kerajaan itu
ialah melihatkan kemurnian hati seorang pemimpin yang sejak sekian lama mereka
kenali, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Seorang ulama yang sudah
dikenali warak dan berhemah tinggi itulah yang telah mereka angan-angankan
sebagai pengganti kepada pemimpin Umno yang sedang memerintah ketika itu.
Mereka yakin keberkatan dari Allah akan melimpah ruah ke atas mereka di bawah kepimpinan
seorang ulama.
(Artikel ini
adalah bab pertama atau pendahuluan daripada buku ‘Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
- Inspirasi Kebangkitan Ummah Serambi Mekah’ yang diterbitkan oleh Urusetia
Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Bharu, 1991.)