Oleh: Mat Zain Mat Isa
Tidak logik! Memang tidak logik jika dikatakan DAP mengambil bahagian aktif, atau sekurang-kurangnya bersekongkol dengan mana-mana pihak, menukar agama rasmi negara daripada Islam kepada Kristian.
Selain penafian tegas menerusi reaksi segera Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng, pada Sabtu (7 Mei), ada terlalu banyak sebab dan kewajaran lain boleh difikirkan untuk menolak dakwaan tersebut.
“DAP banyak kali tegaskan Islam adalah agama rasmi negara dan kami tidak pernah pertikaikannya apatah lagi mahu mendesak agar ia ditukar kepada agama Kristian mahu pun Hindu atau Buddha,” media pada Ahad memetik kekesalan Guan Eng.
Kenyataan itu menempelak laporan muka depan sebuah akhbar arus perdana berbahasa Melayu pada Sabtu yang mengaitkan DAP dengan apa yang didakwanya perancangan pihak tertentu menjadikan Kristian agama rasmi negara dan melantik Perdana Menteri daripada kalangan penganut agama itu.
Laporan itu bagaimana pun sekadar bersandarkan apa yang disiarkan dua laman blog. Ia hanya andaian penulis terbabit yang kelihatan amat negatif terhadap DAP. Komen-komennya secara jelas cuba menggambarkan kononnya DAP sedang mengembangkan strategi politik cauvinisnya “ke satu tahap perubahan dan sensitiviti yang sangat tinggi”.
“Ini merupakan lembaran baru dalam politik yang mana kaum minoriti memainkan peranan sebagai kaum majoriti di samping strategi cauvinis DAP menyemai politik kebencian. Sesuatu yang pasti, ia bergerak pada landasan yang sangat berbahaya,” dakwa penulis blog itu.
Betulkah DAP sebegitu tidak sensitif terhadap perkara yang menjadi pantang-larang dalam masyarakat kita? Apakah sebuah parti digerakkan kebanyakannya oleh para profesional, seperti peguam, doktor, jurutera dan kalangan terpelajar tiba-tiba ‘hilang kecerdikan’ untuk mengusik sensitiviti kaum dan agama lain?
Tentu sekali tidak logik, bukan? Bagaimana mungkin sebuah parti ‘minoriti’ tergamak menyuarakan cita-cita sebesar itu tanpa mengambilkira keupayaannya sendiri?
DAP pastinya dapat mencongak ia memerlukan kekuasaan mutlak di peringkat Pusat. Sedangkan keupayaan DAP menguasai majoriti kerusi adalah mustahil berdasarkan realiti politik Malaysia.
Akuilah bahawa DAP sebuah parti yang sangat realistik dengan keadaan politik. Sejarah penyertaannya dalam pilihan raya membuktikan ia tidak gopoh bertanding di banyak kerusi. Ia hanya akan bertanding di tempat yang ada peluang untuk menang.
Parti itu hanya wujud dan berakar di kawasan majoriti pengundi Cina. Mana mungkin ia menjadi peneraju pemerintahan jika pun Pakatan Rakyat menguasai negara?
Justeru, mana mungkin dalam keadaan yang ada, parti itu tidak dapat menilai sejauh mana kekuatannya sebagai anggota gabungan Pakatan Rakyat. Apakah DAP fikir KeADILan dan PAS akan bersetuju dengan cadangan menukar agama rasmi negara itu? Apakah PAS sudah hilang kewarasan dan maruah diri sehingga sanggup menggadai kesucian agama semata-mata untuk menjaga hati kawan?
Kedua, sesiapa juga yang mengikuti sejarah hubungan politik antara DAP dan PAS tentu tidak sukar mengakui betapa DAP amat kuat mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Itulah antara akar umbi perselisihan berlarutan antara dua parti itu sejak dulu.
Para pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya Umno amat gemar melaga-lagakan pemimpin DAP dan PAS. Mereka tahu kedua-dua parti tidak sehaluan dalam dasar perjuangan.
Malangnya, pemimpin BN sering buat-buat terlepas pandang hakikat bahawa hujah utama Pengerusi DAP, Karpal Singh menolak matlamat PAS menubuhkan Negara Islam ialah kerana mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Beliau beberapa kali berhujah bahawa cita-cita PAS itu tidak akan dapat direalisasikan kerana ia bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan.
Ertinya, jika cita-cita PAS mempertegaskan kedudukan Islam sebagai agama rasmi secara lebih praktikal pun DAP sudah bermatian pertikaikannya, di mana logiknya ia tak semena-mena boleh bersetuju untuk menukar terus Islam dengan Kristian dalam peruntukan Perlembagaan?
Ada banyak lagi hujah di luar sana untuk menyangkal dakwaan terhadap DAP itu. Penilaian isu ini hanya pada dua kemungkinan. Pertama, DAP memang tidak mengendahkan sensitiviti kaum dan agama sehingga sanggup menggodek sesuatu yang diketahuinya menjadi pantang larang. Justeru, parti itu layak dinyahkan.
Atau kedua, DAP tidak seburuk yang dilapor dan cuba digambarkan media itu. Sebaliknya, media itulah yang terdesak mencari populariti dan memperbaiki kedudukannya yang sudah semakin tidak relevan. Barangkali ia berdepan masalah kemerosotan teruk dalam edaran, lalu menonjol diri sebagai jaguh agar kembali dibeli orang?
Namun seperkara agak pasti, ia sejak sekian lama memang menjadi agen penyemarak sentimen kebencian di kalangan orang-orang Melayu/Islam terhadap DAP.
Agak tepat komen Guan Eng, “walau pun mereka (media terbabit) hanya mengambil sedutan dari beberapa blog tanpa sebarang bukti yang kukuh, akhbar itu tetap mahu memainkan isu ini bagi membangkitkan kemarahan”.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah, Bil: 1639, 13-15 Mei 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk serupa)
No comments:
Post a Comment