Sunday, February 27, 2011

Penubuhan Imtiaz Antarabangsa usik “luka” Umno Besut?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Kerajaan Terengganu hampir pasti akan menubuhkan Sekolah Imtiaz Antarabangsa, suatu pengembangan kepada rangkaian Sekolah Menengah (SM) Imtiaz dikendalikan Yayasan Terengganu (YT) sedia ada.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, pusat pendidikan berkonsepkan sekolah internasional itu diwujudkan bagi memenuhi permintaan tinggi daripada pelajar luar negeri itu dan negara asing yang berminat mengikuti pembelajaran menerusi sistem ditawarkan sekolah berkenaan.

“Setiap tahun kita terima banyak permohonan tapi hanya 400 pelajar yang diterima dan daripada jumlah itu 90 peratus adalah rakyat Terengganu,” media pada Rabu, 23 Februari, memetik kenyataannya.

Beliau mendakwa, disebabkan tempat yang terhad itu ada pihak luar mencadangkan agar kerajaan negeri mewujudkan peluang lain untuk anak-anak mereka. Cadangan itu, katanya, mencetuskan idea penubuhan Imtiaz Antarabangsa.

Sepintas lalu, tiada apa yang luar biasa pada pengumuman itu. Apa lagi yang dapat dikatakan selain memuji dan mengucap tahniah kepada kerajaan negeri dan agensi terbabit atas langkah positif itu. Seluruh anggota masyarakat yang cintakan pendidikan sayugia mengalu-alukan perkembangan baik itu.

Namun, tidak semudah itu nilaian yang segera menerjah benak para pemain dan penggiat politik. Telahan berbeza sudah mula berkumandang di kalangan mereka, terutama di daerah Besut. Mengapa?

Segala yang muluk itu tiba-tiba kedengaran bagaikan ada sesuatu yang tidak kena apabila Ahmad Razif mengumumkan sekolah antarabangsa itu akan beroperasi di Kompleks Imtiaz, Besut.

Sepertimana dimaklumi isu penggunaan kompleks itu sebelum ini sudah pun memarakkan api pertembungan antara Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dengan Ketua Umno Bahagian Besut yang juga bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Rangkaian SM Imtiaz bermula dengan kewujudan Imtiaz Besut diasaskan Idris pada 1999. Beliau dikatakan memanfaatkan kedudukannya sebagai timbalan menteri yang menjaga Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk “meminjamkan” tenaga pengajar Maktab Rendah Sains MARA ke sekolah milik peribadinya itu.

Apabila menjadi Menteri Besar pada 2004, Idris memanipulasi kuasanya dengan menjadikan sekolah peribadi itu sebagai sekolah biayaan kerajaan negeri, menerusi YT. Urustadbirnya bagaimana pun dibuat sebuah anak syarikat yang ditubuhkan, yang memiliki kuasa “autonomi” dalam menentukan berbagai perkara berhubung pentadbiran Imtiaz.

Menggunakan kuasanya juga Idris menukar tiga lagi sekolah milik kerajaan negeri iaitu Kolej Sains dan Teknologi Al-Quran (KOSTAQ) di Dungun, Kolej Sains dan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) di Kuala Terengganu dan Kolej Islam Sains Terengganu (KIST) di Kuala Berang, sebagai SM Imtiaz.

Beliau juga memulakan pembinaan Kompleks Imtiaz di atas kawasan seluas 16 hektar di Bukit Keluang, Besut. Ia belum siap apabila kerusi Idris di Wisma Darul Iman diambilalih Ahmad.

Kini, kompleks yang dilaporkan bernilai RM100 juta itu hampir siap dibina dan dijangka digunakan dalam masa terdekat. Penggunaannya bagaimana pun diura-ura akan diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara YT.

Malah sudah tersebar luas sejak pertengahan tahun lalu kononnya SM Imtiaz Besut tidak akan diberi peluang menghuni kompleks tersebut, sebaliknya ia akan diisi dengan penubuhan sebuah kolej.

Sejak itu isu penggunaan Kompleks Imtiaz Besut menjadi medan paling subur menyemarakkan kecurigaan dan kebencian pendokong Umno Besut (atau lebih tepat disebut, ‘penyokong kuat Idris’) terhadap Ahmad. Mereka melihat isu ini sengaja dicetus menteri besar itu untuk menunjuk kuasanya sekaligus mencabar maruah Idris.

Dipercayai atas pertimbangan itu Umno Bahagian Besut mengambil keputusan mendesak kerajaan negeri menyerahkan kompleks tadi kepada Imtiaz Besut selaras dengan tujuan asal pembinaannya.

Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Besut pada 11 Julai 2010 sebulat suara menyokong usul mendesak kerajaan negeri mengekalkan kompleks itu sebagai premis baru SM Imtiaz Besut dan bukan untuk tujuan lain.

Bahkan, ada cakap-cakap mengatakan tuntutan Umno Besut bukan sahaja agar kompleks itu diserahkan kepada Imtiaz Besut, malah soal pengurusannya juga diserahkan kepada syarikat swasta (yang dikendalikan kroni Idris), bukan lagi di bawah YT.

Dalam reaksinya, Ahmad bagaimana pun memaklumkan keputusan kerajaannya untuk mengekalkan kompleks berkenaan dan Imtiaz Besut di bawah pengurusan YT, sama seperti tiga lagi sekolah jenama itu di negeri ini.

“Saya berpendapat adalah sesuatu yang ganjil kalau (Imtiaz Besut) diletakkan di bawah satu syarikat kerana sekolah lain pun mahu juga berbuat demikian. Kita tubuh unit Imtiaz ini sama saja, dari segi pengurusan adalah di bawah YT,” katanya, sepertimana dipetik media, Julai 2010.

Kes ini bukan saja menyerlahkan pertembungan pendirian antara dua pemimpin itu, malah menyemarakkan lagi sentimen anti-Ahmad di kalangan pendukung Umno Besut. Menteri Besar itu dianggap sengaja mengenepikan idea dan projek utama ditinggalkan Idris.

Sebab itu dibimbangi pengumuman hasrat menggunakan kompleks kontroversi itu untuk Imtiaz Antarabangsa oleh Ahmad Razif minggu lalu juga bakal mengusik kembali “luka” mereka itu.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1618, 28 Februari 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Thursday, February 24, 2011

Seburuk-buruk DAP, sebaik-baik Umno...

oleh: Mat Zain Mat Isa

Isu hubungan akrab PAS-DAP sehingga kini sukar diterima sebagai hakikat politik, terutama oleh pendokong parti lawan. Ia bagaikan tidak pernah terhenti dari menjadi pemanas pentas politik negara. Ia juga tidak ketinggalan dijadikan modal wajib oleh Barisan Nasional (BN), terutama setiap kali menjelang berlangsungnya pilihan raya.

Logiknya, BN melihat sebarang bentuk kerjasama antara dua parti berbeza ideologi itu menyediakan ruang agak baik untuk dimanipulasinya. Hakikat bahawa DAP sekian lama dikaitkan dengan imej cauvinis Cina, manakala PAS dengan prinsip perjuangan Islamnya, menyebabkan sebilangan agenda politik kedua-dua parti itu dilihat tidak seiringan, bahkan bercanggahan.

Memang tidak sukar bagi rakyat negara ini untuk mengakui jika dikatakan bahawa PAS dan DAP tidak mungkin dapat bersatu. Mana mungkin sebuah parti yang mempertegaskan cita-cita menubuhkan Negara Islam yang di dalamnya bakal tertegak hukum dan peraturan Allah mampu berjalan seiring atau duduk semeja dengan sebuah parti berideologi sosialis demokratik?

Kedua-dua parti itu ibarat berada di dua penjuru yang saling bertentangan dan seakan tidak mungkin ada kompromi dalam menegakkan perjuangan masing-masing. Rekod-rekod lampau yang menyaksikan hubungan tegang, termasuk aksi berbalas serangan antara para pemimpin dua parti pembangkang itu mengukuhkan tanggapan sebegitu.

Setakat ini BN agak berjaya memanipulasi perbezaan ini. Hakikat bahawa PAS dan DAP saling bergantung harap kepada sokongan dua kelompok pengundi berbeza kaum dan agama ikut memudahkan kerja-kerja jahat BN. Seakan ada pembahagian tugas di kalangan parti-parti komponennya untuk membina kebencian masyarakat terhadap kedua-dua parti itu.

Apabila berdepan orang Cina yang merupakan pangkalan kekuatan DAP, mereka diberikan gambaran buruk tentang PAS. Pengundi kaum itu ditakutkan dengan dasar dan agenda Islam diperjuangkan parti itu.

Kononnya jika PAS diberi kepercayaan mentadbir negara, dasar Islam dijunjungnya akan menyebabkan orang Cina teraniaya dan sengsara. Juara mewujud dan menyuburkan persepsi negatif terhadap PAS, dan juga Islam, di kalangan masyarakat Cina adalah MCA.

Tatkala berdepan masyarakat Melayu selaku kelompok teras sokongan PAS, BN melontarkan pula segala macam cerita menakutkan mengenai hasrat dan halatuju perjuangan DAP.

Parti itu dilabelkan anti-Islam, ekstremis Cina dan bermaksud menghapuskan berbagai kepentingan orang Melayu. Kerja-kerja memfitnah dan menyemarakkan kebencian terhadap DAP di kalangan orang Melayu ini dijadikan agenda berterusan oleh Umno.

Sebagai konklusi, isu hubungan akrab PAS-DAP diputarbelitkan sebagai bukti kedua-dua parti itu telah menggadai prinsip perjuangan demi mencari kuasa politik. Mengapa PAS mesti ditolak? Umno memperbodohkan orang Melayu kononnya PAS alat DAP.

Mengapa DAP tidak boleh dipercayai? MCA mengelirukan orang Cina kononnya DAP sudah mengikut telunjuk PAS.

DAP memang pernah memiliki rekod buruk terhadap PAS dan Islam. Antara yang sering dipetik dan diulangsebut BN ialah kenyataan masyhur Pengerusi DAP, Karpal Singh. Cabarannya agar PAS melangkah mayatnya dulu sebelum menubuhkan Negara Islam dijadikan sandaran utama percanggahan dua parti itu.

Namun, apakah itu menjadikan DAP selama-lamanya berimej buruk? Atau, secara otomatik menjadikan Umno lebih baik daripada DAP?

Beberapa pemerhatian berikut wajar diperhalusi. Pertama, para pemimpin DAP adalah manusia biasa yang mampu berubah pemikiran dan pendirian. Alhamdulillah, menilai beberapa perkembangan kebelakangan ini, perubahan persepsi mereka terhadap Islam amat positif.

Karpal sendiri sudah menunjukkan perubahan sikap amat ketara. Hujah ‘langkah mayat saya dulu’ itu sudah tidak relevan. Kenyataan itu sudah termansuh dengan sendiri apabila dalam Konvensyen Pakatan Rakyat terbaru beliau mengisytiharkan pendirian sebaliknya. Dia sudah dapat menerima rasional PAS meneruskan agenda menegakkan Negara Islam.

Harus diakui sebelum ini komen DAP mengenai Islam dibuat dalam keadaan amat jahil tentang Islam. Kebenciannya terhadap Islam disemarakkan persekitaran dikuasai BN yang ikut memberikan gambaran sangat buruk terhadap PAS dan Islam.

DAP tidak berpeluang mengenali PAS secara lebih dekat dan mendalami Islam dengan minda terbuka. Persepsi negatif itu tidak kekal tatkala ia diberi peluang mengenali Islam. Buktinya, baru tidak sampai sepenggal menjalin hubungan akrab dengan PAS, nada cakap pemimpin DAP mengenai Islam sudah banyak berubah.

Bahkan, apabila parti itu mendapat peluang memerintah Pulau Pinang, ketua kerajaannya secara terbuka menyatakan hasrat mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz.

Biar pun banyak pihak mempertikai sejauh mana realistik hasrat itu, sekurang-kurang seorang pemimpin Cina bukan Islam sudah tertarik dengan model pemerintahan Islam. Sedangkan Umno yang mengaku Islam dan telah berpeluang memerintah negara lebih separuh abad masih gagal bebruat demikian.


Kedua, parti yang lebih lantang sejak dulu dan bertambah lantang mutakhir ini menentang pelaksanaan Islam bukannya DAP, tetapi MCA selaku rakan akrab Umno.

Justeru, sayugia ditanya Umno yang kononnya pembela dan penegak Islam di negara ini, apakah ia melakukan sesuatu untuk mengubah persepsi amat negatif di kalangan rakan bukan Islam BN terhadap Islam? Maaf cakap, keceluparan para pemimpin MCA yang kebelakangan ini semakin lantang menghina dan memperlekehkan ajaran Islam membuktikan sebaliknya.

Umno ternyata gagal memahamkan rakan baiknya untuk lebih bertoleransi. MCA tergamak berdemonstrasi di depan ibu pejabat PAS menentang pelaksanaan hukum Islam. Presiden MCA mengaitkan Islam dengan kemunduran negara.

Malah sewaktu kerajaan PAS Kelantan berusaha memahamkan masyarakat bukan Islam negeri itu mengenai penyusunan semula lesen premis arak di awal dekad 90-an dulu, MCA lah menjadi juara mencabar peraturan diperkenalkan itu. Ia dengan angkuh sengaja menganjurkan pesta minum arak di Kota Bharu sebagai sindiran terhadap kerajaan negeri. Apakah tidak ada orang Islam di dalam Umno ketika itu, sehingga seolah-olah merestui persendaan oleh MCA itu?

Ketiga, jangan lupa rekod buruk Umno sendiri terhadap Islam. Umno bertegas tidak mahu hudud dilaksanakan. Ia menggunakan kuasanya di kerajaan Pusat menghalang usaha itu. Bahkan bekas perdana menteri pernah memberi amaran kepada Kelantan dipimpin PAS agar tidak menerukan hasrat itu.

Jangan lupa, sebaik-baik Umno (jika betul ia memamg baik terhadap Islam), para pemimpin parti itulah juga yang paling kerap mengeluarkan kenyataan mempersenda hukum Allah. Suatu ketika dulu, seorang Presiden Umno merangkap Perdana Menteri ada menyebut “daripada kita guna batu untuk merejam orang berzina, lebih baik kita gunakan untuk buat jalan raya”.

Pemimpin sama juga membidas kecaman umat Islam terhadap tabiatnya yang suka meminum arak. Antara reaksinya, “apa salahnya jika hanya seteguk (bir)?”.

Pemimpin Umno selepas itu turut menyerang hukum Allah. Antara katanya yang masyhur, “jika dilaksanakan hukum potong tangan (hudud), nescaya ramailah orang Islam akan kudung. Umat Islam akan mundur kerana tidak mampu bekerja”.

Di ketika lain dia mempersenda, “sekiranya dilaksanakan hukum potong tangan, nescaya akan busuklah Sungai Kelantan”.

Janga lupa juga, seburuk-buruk DAP, bukan parti itu yang meruntuhkan masjid di Terengganu dan menyondol beberapa surau di serata negara. Bukan juga pemimpin parti itu yang bertanggungjawab menyuburkan budaya hidup yang menyimpang dari ajaran agama dalam masyarakat negara ini.

Bukan DAP yang menolak mentah-mentah garis panduan hiburan dikeluarkan Jakim, meluluskan lesen arak dan judi, mencadangkan hab hiburan demi mempertingkat ekonomi, menyuburkan budaya rasuah dalam pemerintahan dan masyarakat, membazirkan wang rakyat dan berbagai lagi.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding yang disiarkan tabloid Harakah Bil: 1617, 25 Februari 2011 di ruangan 'kolumnis' F8 dengan tajuk sama)

Sunday, February 20, 2011

Kenapa banyak projek ladang di Terengganu gagal?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said secara terbuka mengakui projek perusahaan ladang limau madu di Lembah Sitrus di Durian Mentangau, Dungun, sebagai gagal.

Tablodi harian edisi Terengganu pada Rabu (16 Februari) dan Khamis memetik kenyataannya yang mengaitkan kegagalan itu dengan faktor serangan penyakit yang terlalu hebat dan tidak boleh diatasi.

Ahmad dilaporkan berkata, kerajaannya tidak mampu lagi mengatasi masalah itu, walau pun sudah memanggil pakar-pakar untuk membuat kajian dan mengemukakan rawatan bersesuaian.

Walau pun pemakluman itu agak mendukacitakan, ia bukan lah suatu yang mengejutkan. Bagi rakyat Terengganu khususnya, kisah kegagalan projek pertanian berskala besar yang diterokai kerajaan negeri bukan lagi perkara baru.

Malah, cerita Lembah Sitrus ini juga bagaikan mengulangi jalan cerita serupa yang pernah kedengaran melanda lain-lain projek tanaman ladang diceburi atau ditaja kerajaan sebelum ini.

Projek ladang limau madu dimulakan pada 1990-an di kawasan seluas 1,500 hektar di Durian Mentangau. Sebanyak lapan syarikat terlibat, dengan masing-masing diberikan sekurang-kurangnya 50 hektar untuk memulakan penanaman.

Kita tidak arif apakah bentuk insentif diberikan kerajaan kepada para pengusaha ladang dan berapa pula jumlah perbelanjaan langsung atau tidak langsung dihabiskan kerajaan untuk menjayakan projek itu. Namun kita rasa bukan sekadar ratusan ribu ringgit wang rakyat lebur di situ.

Walau pun kegagalannya dikaitkan dengan faktor serangan penyakit, faktor-faktor kemanusiaan juga tidak wajar diketepikan. Jika kegagalan beberapa projek kerajaan yang lain dikatakan berpunca perancangan tidak teliti, apakah kelemahan sama tidak berlaku dalam kes ini?

BN memang terkenal dengan sikapnya yang suka ‘tangkap muat’, termasuk dalam perancangan projek membabitkan kepentingan awam. Banyak projek pertanian dilaksanakan yang kononnya demi manfaat rakyat akhirnya gagal diteruskan.

Sesetengahnya tidak dirancang dengan teliti sehingga apabila berjalan dan membelanjakan wang rakyat yang banyak, ia gagal mencapai hasil dimaksudkan. Cerita kegagalan pengoperasian kilang gajus di Kampung Raja, Besut lebih tiga dekad lalu boleh diimbau kembali.

Kerajaan negeri menerusi anak syarikatnya, FIMA Timuran Cashew Industries Sdn Bhd, telah membina kilang memproses biji gajus di Besut pada 1970-an dulu. Tidak dapat dipastikan berapa kos pembinaannya, namun ia tentu sekali bukan sekadar ratusan ribu RM.

Bagi tujuan pengoperasiannya, ratusan hektar tanah beris di antara Benting Lintang, Besut dan Gong Batu, Setiu dijadikan ladang gajus. Namun, oleh kerana ladang gajus itu baru dibuka dan pokoknya belum membuahkan hasil, maka biji gajus untuk operasi kilang itu dikatakan terpaksa diimport dari beberapa negara, terutama India. Hebat bukan perancangan Barisan Nasional (BN)?

Bagai diduga kaedah itu tidak mampu bertahan lama. Bekalan yang tidak tetap beserta kos pengimportan yang tinggi menyebabkan kilang kehabisan stok biji gajus untuk diproses. Kaedah pemasaran yang tidak cekap juga dikatakan menggagalkan usaha memasarkan produk dihasilkan kilang itu.

Setelah hanya beberapa tahun, kilang gajus itu gagal meneruskan operasi. Akhirnya seluruh industri yang menelan belanja entah berapa ratus juta itu gulung tikar. Ladang gajus ratusan hektar itu juga terbiar begitu sahaja.

Selepas itu kerajaan Terengganu memperkenalkan pula tanaman roselle, sejenis tanaman paya dari spesies bunga raya yang menghasilkan buah asam. Berbagai teknologi diuji menjayakan penanamannya.

Tidak sedikit juga langkah promosi dibuat untuk membiasakan rakyat meminum jus roselle, memakan jem roselle dan menikmati berbagai produk tanaman itu. Entah berapa belanja telah dihabiskan, namun hingga kini tahap pengkomersilannya masih mendukacitakan.

Dilema sama kini dihadapi petani yang diminta menanam kenaf, terutama sebagai pengganti tanaman tembakau. Setakat ini para petani mengeluh mengatakan kenaf tidak memberikan pulangan berbaloi. Penanamannya kini bagaikan hidup segan, mati tak mahu.

Di masa sama, rakyat diperkenalkan pula dengan tanaman rock melon. Uniknya, tanaman ini setakat ini hanya diusahakan menerusi ladang teknologi fertigasi dan bukan di atas tanah biasa.

Rock melon juga gagal menjadi tanaman “mesra petani”. Selain buah itu masih asing dalam hidangan biasa rakyat, ia juga bukan tanaman boleh dikomersilkan rakyat terbanyak, terutama mengambilkira kos menyediakan prasarana penanaman yang agak tinggi itu.

Jangan lupa BN Terengganu juga “membazirkan” tidak sedikit wang rakyat semata-mata kerana keghairahan pemimpinnya menguji penanaman strawberry di tanah pamah. Projek itu gagal dan sudah dihentikan.

Malangnya, kegagalan demi kegagalan projek tanaman ladang tadi seakan tidak menyedarkan BN tentang keperluan menyusun keutamaan membelanjakan wang rakyat. Kini giat diperkatakan pula mengenai projek ladang anggur di Tasik Kenyir.

Apakah ia akan berjaya? Semuanya bergantung kepada hasrat sebenar projek itu dicetuskan. Adakah pelaksanaannya untuk mewujud dan menghasilkan manfaat untuk rakyat, atau sekadar memenuhi keghairahan pemimpin di samping memberi ruang kepada beberapa kerat kroni mereka mendapat projek?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1616, 21 Februari 2011 di ruangan 'kolumnis', F22, dengan tajuk sama)

Thursday, February 17, 2011

Apabila Ali Rustam sedia jadi "tukang karut"

oleh: Mat Zain Mat Isa

Pakatan Rakyat, khususnya PAS dijangka tidak mendapat laluan mudah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau, Melaka, bulan depan. Selain kawasan itu secara tradisi menjadi kubu Barisan Nasional (BN), pengalaman politik dilalui pembangkang di negeri itu juga membuktikan betapa parti pemerintah negeri tersebut antara yang paling tidak ‘bertamadun’ dalam tindak-tanduk politiknya.

Justeru, PAS dijangka bakal berdepan suasana kempen yang tegang dan amat tidak selesa, sama sekali berbeza dengan “ketenangan” dilaluinya sewaktu PRK Dun Tenang, dua minggu lalu. Isyarat itu bagaikan terbayang menerusi kesediaan Pengerusi BN negeri merangkap Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam berdebat dengan parti lawan sepanjang tempoh kempen nanti.

“Saya sanggup, saya berani menjawab semua isu dibangkitkan pembangkang mengenai negeri ini, termasuk isu Melaka Maju, Sekolah Harapan dan isu lain yang mengutuk tindakan kerajaan negeri,” media cetak pada Sabtu memetik katanya yang telah pun ‘turun padang’ ke Merlimau.

PRK berkenaan bakal diadakan ekoran kematian penyandangnya, Dato’ Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK itu pada 26 Februari manakala hari pengundian pada 6 Mac.

Pada pilihan raya umum lalu, Mohamad Hidhir mengalahkan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi. Beliau memperolehi 4,981 undi berbanding Jasme yang mendapat 2,827 undi.

Menurut perangkaan 2008, Dun Merlimau mempunyai 10,471 pemilih berdaftar dengan komposisi 64.69 peratus pengundi Melayu, diikuti Cina (21.11%) dan India (14.16%).

Kompisisi pengundi campuran itu sedikit menggarap harapan buat PAS. Biar pun berbekalkan peratusan undi majoriti kekalahan agak tinggi, parti itu sekurang-kurangnya mampu mencongak bahawa BN sebenarnya tidak ada kelompok pengundi khusus yang boleh dijadikan ‘kubu’ kekuatannya.

“Agak menariknya seluruh peti undi di Dun Merlimau mempunyai pengundi campuran, tidak ada pengundi khusus berbanding di Dun Tenang, yang ada peti undi dikuasai Melayu, Cina dan Orang Asli. Bagaimana pun, di Merlimau pengundinya bersifat campuran. Tidak ada kawasan boleh dibanggakan BN yang menjadi kubu kuat mereka,” media cetak pada Isnin (14 Februari) memetik ulasan Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bersandarkan perkiraan itu, beliau yang juga pengarah PRK itu malah menyuarakan keyakinan tidak mustahil PAS berupaya mendapat kerusi pertamanya di Melaka menerusi PRK itu.

Memang tidak ada yang mustahil dalam politik. Namun mengambilkira realiti dan latar politik setempat, secara jujur wajar diakui bahawa keyakinan itu agak ‘ambitious’ buat PAS.

Jangan lupa bahawa BN Melaka diterajui seorang yang terkenal dengan perwatakan keras dan sukar berdiplomasi apabila berdepan pihak lawan. Selain Umno Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Idris Jusoh yang ada rekod menghalau pelajar-pelajar PASTI dari bangunan sekolah mereka, kerja terkutuk seumpama itu dilaporkan hanya turut berlaku di Melaka.

Sebab itu apabila siang-siang lagi Ali Rustam telah melaungkan akan “mengiringi” majlis ceramah PAS dengan hujah balasnya, itu bukan perkara main-main. Pemimpin yang pernah dilucutkan kelayakan bertanding jawatan utama Umno itu tidak sekadar bercakap apabila menyatakan kesediaannya “berdebat” mengikut caranya tersendiri.

“Lebih baik jika program itu (debat dengan pembangkang) dilakukan dalam satu kawasan, bukan di pentas sama. Cuma saya di sebelah kiri, dia (pembangkang) di sebelah kanan dan setiap kali dia bertanya, saya akan menjawab masa itu juga,” kata Ali Rustam.

Harus diingat pemimpin ini pernah mempraktikkan cara beliau maksudkan itu beberapa tahun lalu. Sebilangan kita barangkali masih ingat insiden di mana beliau seakan seorang yang hilang akal tergamak mewujudkan kacau-ganggu sedemikian pada ceramah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Melaka.

BN sengaja mengadakan ceramah di seberang jalan bersetentang pentas ceramah PAS yang telah dirancang lebih awal. Lalu pada malam itu Ali Rustam tampil di pentas seumpama seorang ‘tukang karut’ dalam persembahan dikir barat.

Setiap kali Tuan Guru Abdul Hadi menyatakan hujahnya, kedengaran suara pemimpin Umno itu mengulas dari seberang jalan, dalam nada menyergah dan mempersenda. Kita percaya tindakan sebegitulah yang dimaksudkan untuk diulanginya di Merlimau nanti.

“Tidak kisah siapa akan berada di pentas sebelah kanan, sama ada Nik Aziz, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng atau Lim Kit Siang. Semua saya sanggup berdepan,” katanya.

Kita bimbang jika hasrat itu diteruskan atau Ali Rustam dibenarkan oleh pihak keselamatan untuk menjadi ‘tukang karut’ lagi, ia akan mengundang suasana tegang dan tidak terkawal.

Suhu sepanjang tempoh kempen PRK tidak sama dengan hari-hari biasa. Waktu itu penyokong dan jentera pilihan raya PR, khususnya PAS yang hadir bukan sahaja orang Melaka. Mereka dari serata negara. Kita bimbang tidak semua mereka mampu mengawal perasaan, terutama apabila majlis parti mereka diejek dan dikacau-ganggu secara berterusan.

Justeru, semua pihak yang mahu melihat kempen PRK Dun Merlimau berjalan secara baik harus memandang serius hasrat pemimpin Umno itu!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1615, 18 Februari 2011 di ruangan EDITORIAL, N4 dengan tajuk sama)

Sunday, February 13, 2011

Teraju sekadar banyakkan ‘pinggan mangkuk’?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Kerajaan Barisan Nasional (BN) seakan ketandusan idea mengisi agenda pemerintahan apabila sekali lagi terpaksa memanipulasi keterbelakangan bumiputera di sektor ekonomi untuk manfaat politiknya. Malah langkah parti itu memperkenalkan pakej demi pakej dan modul demi modul dalam beberapa tahun kebelakangan ini seolah-olah diatur semata-mata untuk dilihat ia sentiasa ada perancangan baru untuk rakyat.

Penilaian awal terhadap pelancaran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) minggu lalu serta fakta-fakta melatari penubuhannya tidak terkecuali dari andaian sedemikian. Dalam keadaan wibawanya memacu pembangunan dan mengurus kewangan negara semakin dipertikai rakyat, BN semakin terdesak memperbaiki imej itu.

Sedangkan cakap-cakap mengenai pilihan raya umum baru semakin rancak kedengaran. Banyak pihak menjangkakan dalam masa tidak berapa lama lagi BN bakal berhadapan dengan mahkamah rakyat. Justeru, sudah tentu ia tidak mahu diadili bersama tanggapan kegagalannya atau tahap pencapaian pemerintahannya yang tidak memberangsangkan.

Selaku tunjang BN, Umno pula kini dipaksa keadaan untuk kembali kepada agenda bumiputera, khususnya hal-hal berkaitan Melayu. Demi mempertahankan kepercayaan pengundi Melayu selaku tonggak kekuatannya, parti itu perlu secara berterusan menonjolkan agenda yang menampakkan kesungguhannya membela kaumnya sendiri.

Maka mahu tidak mahu orang Melayu sekali lagi perlu diperdengarkan dendangan terbaru berlirikkan agenda mempertingkatkan pencapaian ekonomi bumiputera. Kita menilai penubuhan Teraju dilancarkan Perdana Menteri, Selasa (8 Februari), tidak terlepas dari perkiraan politik itu.

Walau pun kemunculan unit baru itu pada zahirnya semata-mata bersifat ekonomikal, kata sambutan dari pelbagai badan dan pertubuhan serta cara gaya manipulasi media arus perdana talibarut BN berhubung kewujudannya menjurus menjadikan Teraju satu lagi modal politik pemerintah.

Apa pun harapan dilontarkan kerajaan menerusi kelahiran unit itu, ia telah mengundang beberapa pemerhatian. Selain menampakkan keadaan terdesak Umno memaut sokongan Melayu, ia sebenarnya turut menyerlahkan kegagalan agenda perjuangan parti itu selama ini.

Umno adalah parti Melayu. Perjuangannya, saf kepimpinannya dan segala yang ada padanya dikatakan Melayu. Tidak ada yang tidak Melayu, melainkan semuanya Melayu.

Bayangkan betapa malangnya nasib orang Melayu dengan tahap pencapaian ekonomi mereka kini. Sudah lebih separuh abad mereka meletakkan kepercayaan kepada Umno untuk menyelesaikan kepentingan bangsa.

Alih-alih kita dikejutkan dengan penubuhan satu unit baru bertujuan menerajui dan memacu penyertaan bumiputera di sektor ekonomi. Apakah Teraju perlu diwujudkan sekiranya orang Melayu sudah mampu bersaing dan mencapai kejayaan?

Tempoh diberikan kepada Umno untuk merealisasikan matlamat itu sebenarnya sudah terlalu panjang. Ia lebih dari cukup bagi sebuah parti yang tidak pernah putus dari menerajui kerajaan untuk menjayakan agenda perjuangannya, jika ia benar-benar mahu. Justeru, selepas diberi peluang lebih 50 tahun Umno sepatutnya malu untuk berterusan bergayut pada agenda yang tidak kunjung selesai.

Lagi pun kita bimbang, oleh kerana Umno mengambil masa sepanjang itu membuahkan idea penubuhan Teraju, tidak mustahil nantinya rakyat perlu menunggu tempoh sama juga untuk melihat hasil atau keberkesanan pelaksanaannya. Jangan-jangan selepas ini Umno sekali lagi akan memaksa rakyat menerima rayuan basinya, “perjuangan belum selesai”?

Teraju ditubuhkan antara lain bertujuan mempertingkatkan nilai modal pasaran dimiliki bumiputera. Bukankah soal pemilikan ekuiti ini sudah jenuh diperkatakan? Ya, sudah hampir tepu telinga rakyat diterjah dengan berbagai perancangan dan modul ekonomi dikemukakan kerajaan.

Kita pernah laksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang antara lain untuk mencapai matlamat sama. Kemudian ada berbagai lagi unit dan inisiatif diperkenalkan bagi memantapkan pelaksanaan DEB. Namun selepas berdekad ia dilaksanakan dan setelah entah berapa bilion duit rakyat dibelanja menjayakannya, sasaran DEB gagal dicapai.

Lalu diperkenalkan pula Model Baru Ekonomi (MBE). Berbagai unit dan institusi turut diwujudkan, terutama di bawah beberapa kementerian terbabit sektor ekonomi.

Serentak itu juga kumpulan demi kumpulan tokoh Melayu mewujudkan beberapa pertubuhan dengan berbagai nama. Semuanya seakan berkongsi matlamat sama, memikir dan merencana tindakan lebih mantap dan efektif ke arah mempertingkat pencapaian ekonomi bumiputera.

Melihatkan sebegitu banyak badan dan institusi sedia yang bercakap dan bertindak ke arah sama, tidakkah penubuhan Teraju sekadar menambahkan satu lagi ‘pinggan mangkuk’? Ia seakan-akan mengambilalih fungsi entiti sedia ada atau mengulangi agenda sama yang pernah diajukan entiti terbabit.

Kebimbangan ini bukan sekadar pesimisme atau didorong sentimen menilai segala yang didatangkan BN secara negatif. Ia malah turut tergambar menerusi aspek dan dimensi pelaksanaan Teraju, sepertimana dimaklumkan Perdana Menteri.

Antara lain katanya, unit baru itu berfungsi mengkaji sebarang kemungkinan terdapat pertindihan dengan pelbagai badan dan institusi sedia ada, terutama yang ditubuhkan kerajaan sebelum ini.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil. 1614, 14 Februari 2011 di ruangan 'kolumnis F21' dengan tajuk sama).

Friday, February 4, 2011

Pengorbanan Cikgu Mala ibarat lilin

oleh: Mat Zain Mat Isa

Bukan sekadar menenangkan perasaan kecewa dan sedih rakan-rakan petugas PAS dan Pakatan Rakyat di Tenang, kerja keras mereka memberikan tentangan sengit kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil kawasan itu Ahad lalu sebenarnya membuka ruang amat luas untuk penduduk setempat menikmati limpahan bantuan dan kemudahan, terutama daripada parti yang menguasai kerajaan negeri dan Pusat.

Calon PAS, Puan Normala Sudirman atau lebih popular dengan panggilan Cikgu Mala gagal dalam misi menempa sejarah untuk partinya merampas kerusi berkenaan dari genggaman BN.

Beliau memungut hanya 2,992 undi berbanding calon BN, Mohd Azahar Ibrahim yang mengutip 6,699 undi. BN menang dengan majoriti 3,707 undi, menokok 1,215 undi berbanding majoriti diraihnya 2008.

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya daripada BN, Dato’ Sulaiman Taha, 17 Disember lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan komplikasi kencing manis.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Sulaiman mengekalkan kerusi berkenaan untuk penggal keduanya setelah mengalahkan calon PAS, Mohd Saim Siran, dengan majoriti 2,492 undi. Walau pun kalah, calon PAS itu berjaya mengurangkan majoriti kemenangan BN lebih separuh. Pada 2004, BN menang dengan majoriti 5,517 undi.

PAS turut menawan tiga daripada 12 peti undi, kesemuanya di kawasan majoriti pengundi Cina. Peningkatan prestasi itu memberikan harapan agak tinggi untuk PAS menapak lebih yakin dalam pilihan raya kecil minggu lalu.

Berbekalkan keyakinan itu, PAS mempertaruhkan Cikgu Mala. Pemilihannya, yang juga Penyelia Pusat Aduan Rakyat Dun Tenang, bagaikan mencetus dimensi baru politik tanahair. Ia bukan sahaja dianggap kejutan dari PAS yang buat pertama kali menampilkan calon wanita dalam sebuah pilihan raya kecil, malah turut menjadi tamparan buat Wanita Umno.

Ketuanya, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil bagaikan mati hujah apabila diterjah mengenai pemilihan Cikgu Mala. Lalu dalam keadaan seakan tergamam beliau dipetik sebagai “berbangga” dengan pilihan PAS itu.

Kita tahu reaksi itu lebih sekadar menenangkan perasaan sendiri. Pergerakan itu sebelum ini amat beriya-iya mengemukakan calon dari kalangan mereka disertai berbagai hujah meyakinkan.

Lalu bagi mengubati kekecewaan apabila pucuk pimpinan BN tidak melayan desakan mereka, Shahrizat akhirnya terpaksa mendakwa kononnya pemilihan Cikgu Mala sebagai calon PAS adalah bukti pengiktirafan terhadap perjuangan Wanita Umno. Pulak dah?

Biarkanlah Shahrizat dengan madah berhelahnya. Itu hak beliau untuk mendakwa dan mengakui. Namun suatu yang sukar disembunyikan para pemimpin BN sendiri, khususnya di kalangan pemimpin Wanita Umno ialah kemunculan Cikgu Mala di pentas pilihan raya negara mewakili PAS adalah suatu yang mencabar wibawa wanita BN.

Ketua Wanita Umno Baling, Dato’ Dr Mashitah Ibrahim misalnya, secara terbuka memberi ingatan kepada pucuk pimpinan BN agar jangan memandang remeh tindakan PAS mengemukakan calon wanita dalam pilihan raya. Apatah lagi dalam kes Cikgu Mala ini, Mashitah difahamkan mengakui kemampuannya berpidato dan memikat kalangan generasi muda menjadi unsur amat penting melengkapkan ciri kepemimpinan masa kini.

Tidak mustahil kebimbangan itu turut dikongsi para pemimpin BN lain, terutama kalangan wanitanya. Bagaimana pun kegusaran itu sedikit terubat apabila keputusan pilihan raya kecil Ahad lalu tidak memihak kepada Cikgu Mala.

Kini persepsi umum lebih didorong menilai kekalahan PAS di Tenang sebagai kegagalan parti itu menangani isu sebenar dikehendaki rakyat. Media massa talibarut BN tidak syak lagi akan menyebarluaskan berbagai ulasan dan analisa pilihan raya itu ke arah menjustifikasikan betapa rakyat sudah bijak dan masak menilai apa juga isu dibangkitkan pembangkang.

Sebaliknya, BN didakwa berjaya mengemukakan program dan dasar pemerintahannya yang diterima rakyat. Peningkatan undi diperolehinya dianggap bukti rakyat selesa dan kekal setia bersama parti itu, sama ada di peringkat negeri mahu pun Pusat.

Segala ketempangan demokrasi yang dilalui parti pembangkang sepanjang tempoh kempen seakan tidak berbangkit lagi. Berbagai penderitaan rakyat menerusi segala macam agenda pemerintahan BN seolah tidak memberikan sebarang bekas kepada pemikiran lebih kritis dalam masyarakat.

Sebaliknya, tidak mustahil nanti akan ada lontaran sinis dan negatif terhadap Cikgu Mala dan keluarga, terutama suaminya. Mungkin akan ada yang mempermain komitmen dan pengorbanan dibuatnya. Kononnya ia perjudian nasib hidup yang sia-sia.

Cikgu Mala telah melepaskan jawatannya. Suaminya juga berkemungkinan terpaksa berfikir ke arah yang sama selepas ini, terutama setelah menjadi fokus pertikaian umum ekoran cuti sakit diambilnya.

Sudah tentu hidup mereka sekeluarga nanti tidak setenang sebelum ini. Namun wajar diakui bahawa kesanggupan Cikgu Mala meninggalkan kerja asasinya itu adalah pengorbanan amat besar. Lebih besar lagi, disebabkan kesanggupannya menjadi taruhan PAS menyebabkan rakyat di seluruh Dun Tenang dibanjiri berbagai “nikmat” dan “kebaikan” luar biasa daripada BN.

Cikgu Mala kalah undi, tetapi menang jasa dan bakti. Beliau ibarat lilin yang sanggup membakar diri demi menerangi orang lain. Tahniah Cikgu!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1611, 4 Februari 2011 dengan tajuk sama di ruangan 'kolumnis', F21)

Tuesday, February 1, 2011

Pasangan Mohd Loh – Aishah Wongkham “Islam selamatkan kami dari sengsara hidup”

Oleh: Nuwa Aitawa

Bukan semua orang tertarik atau sedia menerima Islam didorong oleh sebab-musabab yang sama. Islam itu luas. Maka keindahan dan keistimewaan Islam yang mampu memaut minat bukan Islam kepada agama suci itu juga seluas dan selebar Islam itu sendiri.

Menyorot sepintas lalu beberapa kes dipaparkan penulis di ruangan ini sebelum ini mungkin memperjelaskan maksud tersebut. Sebab-musabab yang membawa beberapa Saudara Kita melafazkan syahadah adalah pelbagai.

Ada yang menerima Islam disebabkan naluri ingin tahu, sehingga mereka membandingkan beberapa aspek ajaran agama asal mereka dengan Islam.

Ada yang didorong rakan atau kenalan. Ada juga yang didatangi mimpi sehingga membawanya mengucap syahadah. Ada pula yang disebabkan perasaan kurang selesa dengan beberapa aspek ajaran agama asalnya, lalu akhirnya melihat keadaan lebih baik di dalam Islam.

Sorotan kali ini pula menemukan kita dengan satu lagi jalan cerita yang sama sekali berbeza berbanding kes-kes terdahulu. Sepasang suami-isteri yang pada asalnya menganut Buddha, tetapi mengakui menjalani hidup sebagai orang tidak beragama, akhirnya menemui cahaya Islam.

Si suami, Loh Kam Wah, adalah rakyat Malaysia. Manakala si isteri, Khammoon Wongkham berasal dari Thailand.

Loh dilahirkan pada 1957 di Bentong, Pahang. Bapanya, Loh Siew, berhijrah dari China sebelum Perang Dunia II. Ibunya, Cheong Liew pula rakyat tempatan.

“Bapa memang Buddha, tapi dari dulu tak benar (kami) makan itu ‘ampat kaki’ (khinzir)”, cerita Loh, apabila ditanya mengenai agama asalnya.

Pengalaman hidupnya bagaimana pun tidak banyak ditimba di tanahair sendiri. Beliau membina alam dewasanya di Thailand.

Pada usia 35 tahun Loh memulakan perniagaan kilang air batu di bandar Chieng Rai, utara Thailand. Di sanalah beliau bertemu jodohnya, Khammoon. Perniagaannya juga berjalan dengan baik.

Namun, beberapa tahun selepas mendirikan rumahtangga, mereka ditimpa sengsara yang tidak tertanggung.

“Ada orang sudah taruk itu benda, warna banyak hitam, di belakang kilang (ais). Banyak kuat dia punya itu (kuasa), sudah bikin rosak saya punya niaga,” terang Loh.

Beliau percaya ada pihak menggunakan ilmu sihir ke atasnya. Akibat perbuatan itu beliau mendakwa perniagaannya semakin merosot dan akhirnya mengalami kerugian lebih RM1 juta.

Ibarat sudah jatuh, ditimpa tangga. Tidak cukup sekadar kilang aisnya terpaksa gulung tikar, isterinya juga turut diganggu penyakit misteri.

“Lapan tahun dia (Khammoon) tak boleh tidur. Ada macam benda gigit di kepala. Hari-hari dia (gangguan) datang. Pukul ‘anam’ (enam) dia mesti datang, malam pukul sembilan baru ada sikit kurang. Lapan tahun itu macam ooo!,” cerita Loh lagi dengan nada bersungguh.

Kesengsaraan berganda itu benar-benar membuntu kehidupan mereka. Di masa sama, bermacam ikhtiar telah mereka ambil untuk memulihkan kesihatan si isteri. Mereka mencuba perubatan moden, tidak kurang juga rawatan tradisional. Namun semuanya tidak berhasil.

“Suatu hari dia (Khammoon) punya kakak, Aminah, sudah ada sini (Malaysia). Dia cakap, mari Malaysia sini. Mana tahu sini ada baik untuk kamu (kami),” sambungnya.

Dipaksa keadaan, pasangan itu nekad meninggalkan Chieng Rai, pada 2010 lalu. Mereka bergerak ke selatan dan bermukim di Yala selama dua minggu. Menurut Loh, sepanjang tempoh itu mereka tidak jemu berusaha mengubati gangguan misteri dihidapi Khammoon.

Ketika itu juga, katanya, ada sami Buddha menawarkan diri untuk mengubati penyakit itu. Mereka juga menyarankan agar pasangan ini kembali mengamalkan ajaran agama itu.

Ada juga ajakan serupa daripada kenalan beragama Kristian. Namun hati mereka semacam tidak menemui keserasian untuk memenuhi pelawaan-pelawaan itu.

Sebaik memasuki Malaysia, Loh membawa isterinya ke kampung halamannya di Bentong. Di sana beliau menemui bapa saudaranya, Liew Wah @ Mat Hussin, seorang Muslim dari tanah besar China.

“Dia (Mat Hussin) cakap, cuba masuk Islam la. Kamu sembahyang lima kali sehari, sebut nama Tuhan Allah banyak-banyak, hati banyak senang, itu ‘kacau-kacau’ insya Allah boleh hilang, kata dia,” cerita Loh lagi.

Entah bagaimana hatinya mudah pula menerima cadangan itu. Perasaannya ketika itu sama sekali berbeza berbanding ketika diajak kembali mengamalkan ajaran Buddha atau memasuki Kristian sebelum itu.

Loh lalu merujuk perkara itu kepada isterinya. Apabila isterinya juga bersetuju, mereka lantas melafazkan syahadah. Mereka juga menjalani akad-nikah semula menurut ajaran Islam.

Kini mereka dikenali sebagai Mohamad Loh Abdullah dan Aishah Wongkham Abdullah. Loh mengakui kesengsaraan dialami Aishah beransur hilang selepas itu.

“Sembahyang lima kali sehari, hati banyak senang. Ustaz pula ada kasi itu air sembahyang (hajat), kasi sapu (pada badan), mandi, banyak baik,” terang Loh, merujuk kepada penyakit isterinya.

“Kito ‘semaye’ (sembahyang), Allahu Akbar, Allahu Akbar, banyak baik. ‘Pallo’ (kepala - maksudnya kesakitan di kepalanya) banyak baik, hati banyak baik, ‘Isle’ (Islam) baik,” celah Aishah pula, dalam bahasa ‘trengkas’, diselang-seli kalimah bahasa asalnya yang tidak difahami penulis.

Kini pasangan Saudara Kita ini menetap di Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut, Terengganu. Mereka mendakwa amat selesa tinggal di daerah ini, terutama dua kakak Aishah yang telah terlebih dahulu memeluk Islam, juga menetap di sekitar pekan sama.

Beliau dan isteri mengakui sangat taat mengerjakan sembahyang, fardhu dan sunat. Apatah lagi menerusi amalan itu, beliau ditakdirkan Allah menemui ‘rawatan’ paling mujarab untuk kesengsaraan yang mengganggu isterinya sejak bertahun.

Itulah yang penulis maksudkan di awal tadi, bahawa keindahan dan keistimewaan Islam yang mampu memaut minat bukan Islam kepada agama suci ini juga seluas dan selebar Islam itu sendiri.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah Bil. 228 Edisi Februari 2011 di ruangan Hidayah dengan tajuk sama).

Tangani stress secara profesional, hilangkan stigma malu jumpa kaunselor

Oleh: Mohd Nasir Awang

DUNIA semakin maju dan membangun. Seiringan itu, tahap pemikiran dan taraf kehidupan penghuninya juga semakin meningkat.

Bagaimana pun, tidak semua manusia berkeupayaan menyesuaikan diri dengan tuntutan perubahan persekitaran. Arus pemodenan sebaliknya menghasilkan kesan-kesan yang sukar ditangani dalam kehidupan mereka.

Bagi golongan sebegini, usaha memenuhi tuntutan hidup sudah bertukar menjadi bebanan. Akibatnya tidak sedikit juga yang gagal menangani tekanan hidup lalu memilih kaedah penyelesaian tersendiri.

Justeru agak kerap kita dengar atau baca berbagai kes melibatkan tindakan agresif yang dikaitkan sebagai kesan kegagalan itu. Ada suami nekad membunuh diri apabila terlampau bosan dileter isteri gara-gara kesempitan hidup, sedangkan si suami sudah putus asa mendapatkan kerja.

Ada pula kes di mana si isteri yang mengambil tindakan serupa. Kes seorang surirumah bersama dua anak kecilnya yang terjun ke landasan di waktu keretapi sedang bergerak laju di Stesen Sungai Gadut, Seremban beberapa tahun lalu adalah contoh paling menggemparkan.

Tekanan hidup tidak hanya berlaku disebabkan himpitan kewangan. Kes seorang suami yang membakar rumah mentuanya di Kuala Terengganu, misalnya, adalah disebabkan masalah rumahtangga. Begitu juga beberapa kes pelajar menggantung diri, yang lebih dikaitkan dengan kegagalan dalam akademik.

“Sebenarnya terlalu banyak kes dipaparkan akhbar, hampir setiap hari di’highlight’kan benad-benda (tindakan agresif) macam ini. Saya sendiri tak bagi anak-anak baca paparan sebegini sebab benda ini (boleh menyebabkan) dia jadi takut dengan kehidupan,” ulas Encik Mohd Syafiq Densen Abdullah.

Sikap berhati-hati Pegawai Psikologi di Jabatan Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu ini sekaligus menggambarkan betapa paparan media turut mempengaruhi tindakan seseorang.

Sebagai seorang kaunselor yang mengendalikan banyak kes melibatkan kejadian yang seram, keadaan trauma dan fobia, beliau secara profesional berharap kes-kes sebegitu tidak dijadikan tatapan utama dalam masyarakat.

Pun begitu, beliau mengakui faktor lebih penting menangani tekanan hidup atau ‘stress’ ialah persepsi diri seseorang itu sendiri. Bagi lulusan Sarjana Muda Kaunseling dari Universiti Malaysia Terengganu ini, keupayaan diri mengurus persepsi memainkan peranan amat penting menangani ‘stress’.

“Perangai ini hasil daripada persepsi kita, tanggapan kita terhadap benda yang berlaku. Contohnya kalau kita ada masalah kewangan yang serius, menyebabkan kita agresif, malah berhenti kerja dan sebagainya. So, bukan kewangan, bukan gaji itu yang kita kena tambah. Kita kena sesuaikan pandangan kita, penerimaan kita terhadap gaji.

“Misal kata, dia bergaduh dengan isteri sebab kewangan tak cukup. Jadi kita ‘highlight’ di situ masalah kewangan. Adakah kita kata, ‘oh... kita kutip derma, kita bagi dia duit’. Kalau orang derma pun, adakah masalah selesai? Tak akan selesai juga sebab itu melibatkan tabiat dan perangai dia”, hurainya lagi.

Ertinya, bagi anak muda Iban berasal dari Serian, Sarawak ini, dalam kes-kes sebegitu adalah amat penting individu terbabit mengubah persepsinya terhadap duit. Dia perlu membina tanggapan bahawa duit bukanlah segala-galanya, tetapi hanya benda sampingan.

Mohd Syafiq malah membawakan analogi menarik mengenai kesederhanaan hidup tok-tok guru pondok di Kelantan.

“Tok Guru pondok, dia tak melihat peredaran zaman, kemajuan moden sebagai ancaman kepada dia. Tapi bagi kita yang duduk dalam kemodenan ni, kalau ‘aku’ tak macam orang lain, dah rasa kurang. Jadi (ada) perlumbaan membandingkan diri dengan orang lain.

“Di sinilah psikologi dia, persepsi dia melihat kemajuan itu. Kita kena maju juga, kalau tak maju, ‘stress’. Ada pun tok guru kita, dia tak. Maju tak maju pun, dia sentiasa bertahan. Jadi dia tak akan ‘stress’, ulasnya dengan yakin.

Ertinya persepsi hidup positif sebegitu tidak sukar dibentuk, malah telah pun dipraktikkan sebilangan anggota masyarakat. Namun keupayaan seseorang membina kekuatan diri ke tahap itu diakui tidak semudah diharapkan.

Apatah lagi menjadi kebiasaan masyarakat kita untuk memendam perasaan dan tidak gemar meluahkan masalah peribadi kepada pihak lain. Kesedaran mereka untuk menyelesaikan masalah yang menekan pemikiran melalui saluran yang sepatutnya masih terlalu rendah.

“Masyarakat perlu kembali kepada pendirian orang tua-tua dulu, ‘respect’ orang yang ada ilmu, ada autoriti dalam masyarakat. Contohnya, zaman tradisional, pak imam. Kalau zaman sekarang yang ada autoritinya siapa? Kita mesti jumpa dengan konsultan, pegawai psikologi ke, kaunselor ke, atau pun badan yang boleh memberi sumbangan kepada kita, dari segi idea dan juga penilaian terhadap kehidupan kita,” jelasnya lagi.

Beliau turut mengakui kesedaran masyarakat untuk membuat pertimbangan bijak sebegitu masih rendah. Beliau membawakan perbandingan mudah bagi menggambarkan sikap berbeza orang kita dalam menangani kecederaan fizikal berbanding mental.

“Bila kita sakit tangan, sakit perut, kita jumpa doktor. Kalau kita serabut (fikiran) kita jumpa siapa? Itu masalah sekarang. Kita nak pergi psikiatri kita malu, kan? Kita nak pergi jumpa kaunselor kita malu. Tekanan semakin hari semakin banyak.

“Jadi itulah kita nak timbulkan kesedaran di kalangan masyarakat, hilangkan stigma malu jumpa kaunselor. Sebab (kononnya) orang yang bermasalah saja jumpa kaunselor, malu pergi psikiatri sebab orang pergi psikiatri ni orang gila, itu stigma kita kena buang. Sebab hakikatnya kita mengalami benda tu, kita mengalami tekanan, masalah mental,” tegasnya.

Justeru, beliau amat berharap agar anggota masyarakat tampil memanfaatkan khidmat-khidmat kaunseling dan psikologi yang disediakan kerajaan. Beliau yakin menerusi sesi kaunseling seseorang itu boleh ‘highlight’ potensi diri masing-masing. Hal itu banyak membantu meransang fikiran seseorang supaya bersikap positif kepada diri, sekali gus memadamkan rasa ‘stress’ yang membelenggu perasaan.

“Macam ada orang kata, ‘saya tak nak pergi kaunseling la, sebab kaunseling tu untuk orang bermasalah’. Kan ada orang bertanggapan macam itu? Tapi sebenarnya itu tanggapan yang kita rasa dah kebelakangan. Di zaman sekarang ni, kalau ‘stress’ tidak ditangani secara profesional, ini yang banyak berlaku bunuh diri, gila, dan sebagainya,” sambung Mohd Syafiq lagi.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah Bil. 228 Edisi Februari 2011 di ruangan TOPIK dengan tajuk serupa).