Saturday, December 1, 2007

Menilai Generasi Pewaris Negara


Oleh: Mohd Nasir Awang

USIA kemerdekaan negara kita telah melangkau separuh abad bermula 31 Ogos lalu. Rakyat seluruh negara telah dibawa mengimbau detik keramat kemerdekaan Malaysia lima dekad lalu, sekali gus menandakan bermula pula fasa kedua perjalanan negara untuk 50 tahun akan datang.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengajak seluruh rakyat bersama-sama bersumpah setia untuk tidak membenarkan bumi Malaysia dan minda rakyatnya dijajah semula.

“Hari ini saya berdiri di pentas negara, memikul amanah untuk membawa negara dan warga melangkah perjalanan memasuki fasa 50 tahun kedua kemerdekaan negara. Bersamalah kita membara puntung-puntung perjuangan, untuk kita himpunkan, untuk kita terus menyemarakkan semangat kemerdekaan, untuk kita terus nyalakan obor kemerdekaan,” katanya pada acara kemuncak Persembahan Perayaan Raksasa Merdeka di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, 31 Ogos lalu.

Kebetulan pula, dalam minggu-minggu terakhir sebelum sambutan kemerdekaan itu, sebahagian rakyat di seluruh negara memberikan tumpuan kepada persiapan menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Untuk itu, berbagai acara persiapan diri para pelajar Tahun Enam dianjurkan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Ada yang dinamakan majlis temu mesra, ada yang dipanggil seminar keibubapaan, kem motivasi dan berbagai lagi.

Matlamat utama dianjurkan pelbagai program itu ialah bagi mempertingkatkan kesedaran dan kerjasama ibu bapa dalam memastikan kejayaan anak-anak mereka. Sehinggakan timbul persoalan di kalangan sesetengah pihak, apakah selama ini ibu bapa tidak begitu mengambil pusing soal pendidikan anak-anak mereka sehingga perlu diberikan peringatan oleh pihak sekolah mengenainya?

Mengapa pihak sekolah begitu mengambil berat soal kejayaan anak-anak itu tidak sukar difahami. Sebabnya, sebarang kejayaan diraih anak-anak dalam UPSR juga bakal memberi saham dan nama baik kepada sekolah masing-masing. Sebab itu, pihak sekolah dengan bantuan PIBG selalunya sehabis daya memastikan kejayaan akademik anak didik masing-masing. Dalam usaha itu, pertemuan demi pertemuan diadakan dengan ibu bapa. Berbagai kursus, kem dan latihan turut dipaksakan ke atas para pelajar.  

Namun, sejauh manakah persoalan pembentukan peribadi, akhlak dan agama murid-murid terbabit diambil berat sebagaimana diambil beratnya soal pencapaian akademik mereka? Apakah tanda ambil berat itu cukup dibuktikan hanya dengan penganjuran majlis solat hajat di saat menjelang peperiksaan?

Dalam hal ini, kisah diceritakan seorang ustaz dari Terengganu boleh dijadikan iktibar. Ogos lalu ustaz tersebut diundang memberikan ceramah motivasi keibubapaan sempena persediaan UPSR di salah sebuah sekolah di negeri itu. Majlis tersebut dihadiri kesemua murid yang bakal menduduki UPSR beserta ibu bapa mereka. Dalam ceramahnya, ustaz itu mengambil kesempatan bertanyakan calon UPSR di sekolah tersebut, berapa ramai antara mereka yang menunaikan solat Subuh pagi itu?

Jawapan yang diterima amat mendukacitakan. Hanya 33 orang daripada seramai 138 calon itu mengaku menunaikannya. Ustaz tersebut tidak pula menanyakan mengenai waktu-waktu lain sepanjang hari. Cuma beliau kesal kerana 33 daripada 138 adalah tidak sampai seperempat.  Beliau lalu menyimpulkan bahawa murid-murid itu masih belum diajar tanggungjawab terhadap Tuhan. Maka bagaimana mereka mengharapkan Tuhan akan merestui hasrat yang ingin mereka capai?

Beliau lalu mengingatkan ibu bapa yang hadir dengan katanya, “sebelum puan-puan dan tuan-tuan meletakkan harapan agar anak-anak mendapat 5A (dalam UPSR), tolong selesaikan dulu soal lima waktu anak tuan puan ini!”. Beliau menambah, tidak ada gunanya kejayaan akademik semata-mata jika anak-anak tidak turut diasuh dengan keinginan menegakkan agama dalam diri mereka. Solat adalah tiang agama. Tidak tertegak agama tanpanya.

Kebimbangan ustaz tadi ada asasnya memandangkan pemahaman murid-murid sekolah di negeri itu berkaitan solat amat mendukacitakan. Pernah dilaporkan sebelum itu betapa lebih 51,000 atau kira-kira 34 peratus daripada 149,000 pelajar tahun dua hingga enam di Terengganu tidak tahu jumlah rakaat setiap solat lima waktu.

Perangkaan itu didedahkan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, Mohd Nasir Harun, Mei 2006. Menurutnya, angka itu berasaskan kajian oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu awal tahun lalu, “Menakutkan, tetapi inilah realiti yang perlu diakui. Selain tidak tahu rakaat setiap solat lima waktu, sebahagian besar murid sama ada tidak tahu langsung atau tergagap-gagap ketika diminta membaca ayat asas solat termasuk al-Fatihah. Tidak tahu bilangan rakaat dan tidak pandai baca al-Fatihah, maknanya tak tahu solat,” katanya.

Di Terengganu juga, hanya 2,824 orang daripada 61,956 murid sekolah rendah dilaporkan mampu menguasai pembacaan al-Quran dengan baik. Perkara itu didedahkan Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Mohd Zulkifli Abu Bakar, Jun lalu.

Penulis sengaja membawakan contoh-contoh yang berlaku di Terengganu. Dalam konteks negara kita, diakui semua pihak bahawa masyarakat negeri itu adalah antara rakyat yang lebih menitikberatkan soal agama berbanding sebilangan negeri lain. Justeru, jika negeri sebegitu pun jumlah generasi muda yang menghayati ajaran dan tuntutan agama masih mendukacitakan, bagaimana agaknya di negeri-negeri lain?

Tapi, apa pula kaitannya soal kegagalan murid-murid sekolah menunaikan solat dan membaca al-Quran dengan kemerdekaan negara yang diperkatakan tadi? Bagi manusia, usia 50 tahun sering dikaitkan dengan kematangan dan kejayaan hidup. Seseorang di usia itu selalunya telah mula memikirkan tentang pelapis yang bakal meneruskan apa jua yang dilakukan atau mewarisi apa yang dimilikinya.

Dalam konteks itu, pesanan PM mengenai fasa kedua perjalanan negara tadi sebenarnya sangat berkait rapat dengan agenda pembinaan generasi masa depan negara. Kanak-kanak dan remaja hari ini adalah bakal pemimpin di masa akan datang. Maka apakah, dengan keperibadian remaja dan kanak-kanak yang ada kini, segala kemakmuran yang kita kecapi hari ini mampu dikekalkan hingga ke masa depan?

Beberapa kes salah laku sosial dan jenayah berat membabitkan remaja, terutama kanak-kanak di usia mentah yang kerap dilaporkan media kebelakangan ini menghidangkan suatu gambaran menakutkan tentang masa depan negara.

Sebagaimana contoh kes UPSR tadi, kebanyakan kita nampaknya terlalu menekankan soal kejayaan akademik anak-anak. Sedangkan terbukti betapa seseorang yang cemerlang akademiknya belum tentu cemerlang juga peribadinya. Sedangkan di bahu mereka ini bakal disandarkan masa depan negara.

Kita pernah didedahkan dengan pengakuan para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang bersedia menerima rasuah sekiranya diberi peluang berbuat demikian. Ada pula siswi IPT tempatan yang hidup mewah ditaja ‘sugar daddy’. Manakala satu kajian lain menemukan pengakuan sejumlah besar siswi IPT bahawa mereka lebih cenderung memilih lelaki yang berharta, biarpun jauh lebih tua daripada mereka.

Mereka ini adalah generasi pemimpin di fasa kedua kemerdekaan negara. Sebagai golongan terpelajar, kejayaan akademik mereka tidak dipertikaikan. Malangnya, kemuliaan peribadi mereka tidak seimbang dengan pencapaian akademik itu. Mereka menjadi terlalu materialistik. 

Di masa sama, soal dosa-pahala bagaikan tidak langsung menjadi perkiraan. Dengan keperibadian sebegitu, apakah mereka ini boleh diharapkan untuk meneruskan cita-cita PM tadi, iaitu “tidak akan membenarkan bumi Malaysia dan minda rakyatnya dijajah semula”?

Tiada siapa menginginkan masa depan negara yang haru-biru. Justeru, menjadi tanggungjawab semua memastikan ia tidak berlaku. Setiap kita ada peranan masing-masing kerana Rasullullah s.a.w. berpesan, “setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin itu akan dipersoalkan tentang orang yang kamu pimpin”.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Disember 2007 di ruangan ‘Pendapat’ dengan tajuk sama)