Oleh: Mohd Nasir Awang
Sukar dipercayai, bagaimana seorang ibu berupaya menangani kerenah 19 orang anak dengan perasaan tenang dan wajah tersenyum, tanpa sekelumit keluh kesah mahu pun sepatah rungutan. Jangan dikatakan mengambil tindakan fizikal terhadap anak-anak, suara herdikan atau sergahan sang ibu ini pun suatu yang tidak pernah didengari mereka.
Menakjubkan, bukan? Namun itulah realiti diakui anak-anak kepada Puan Hajjah Khadijah Ali dari Kampung Alor Lintang, Besut, Terengganu. Menurut mereka, walau setegang mana pun keadaan di rumah itu, terutama ekoran “salah laku” mana-mana anak, sang ibu ini akan hanya mengusap dan membisikkan kata-kata nasihat penuh lembut kepada si anak terbabit.
Subhanallah, berapa ramaikah para ibu dewasa ini yang mampu mempamerkan sikap sedemikian? Tidak syak lagi sang ibu secemerlang itu memiliki tahap ketabahan hati dan kesabaran yang amat menggunung.
“Mak memang tersangat baik, tak ada bandingannya. Tak pernah Mak meninggikan suara kepada kami. Jauh sekali nak cubit, nak pukul anak-anak,” luah Puan Laila Ismail, ketika sesi temubual di rumah ibunya.
Guru agama berusia 52 tahun ini adalah anak ketiga daripada 19 anak Puan Khadijah bersama suami, Almarhum Haji Ismail Deraman. Beliau yang menetap di kampung suaminya di Pasir Putih, Kelantan, kebetulan balik menjenguk ibunya pada hari tersebut.
Sepanjang perbualan kami, Kak Laila tidak putus-putus memuji keluhuran peribadi ibunya yang dianggapnya memberikan kesan amat mendalam ke atas pembentukan peribadi anak-anak.
“Mak tak bekerja, sepenuh masa mendidik anak-anak di rumah. Dialah yang ajar semua anak-anak mengaji al-Quran, dia juga lah yang pastikan kami mematuhi peraturan di rumah. Hebatnya, sepanjang dia mengasuh kami saya tak tahu masa mana Mak marah kepada anak-anak,” ujarnya berterus-terang.
Puan Khadijah, atau lebih dikenali sebagai Maksu Jah, yang turut berada di sisinya hanya tersenyum silu dan ketawa lembut. Sebelum itu Maksu Jah sendiri bercerita agak panjang lebar bagaimana arwah suaminya, yang dipanggil Paksu Wail, dianggapnya sebagai faktor utama membentuk keperibadian positif di kalangan anak-anak.
“Maksu ni macam mak-mak lain je (tiada yang istimewa). ‘Gemulah’ (Almarhum) Paksu ni la ‘hak’ (yang) banyak ajar anak-anak, dia memang tegas jaga anak-anak,” ujarnya, merendah diri.
“(Antaranya) dia tak bagi anak-anak ‘berderap’ (berpeleseran di luar rumah) langsung. Balik sekolah, anak-anak memang kena duduk di rumah,” beliau mengimbau ketegasan suaminya.
Katanya, anak-anak akan hanya dibenarkan keluar sekiranya dapat meyakinkan arwah Paksu bahawa mereka memang ada urusan sangat penting. Bahkan, dalam kes bilamana anak-anak dikehendaki hadir menjayakan aktiviti sukan di sekolah sekali pun, ayah mereka akan hanya membenarkan mereka pergi dengan disertakan kebenaran bertulis.
“Che (ayah) memang tegas, sangat tegas dengan anak-anak. Dia sangat ambil berat soal sekolah (pelajaran) kami. Dia tahu A sampai Z perkembangan anak-anak,” Kak Laila memperakui cerita ibunya.
Beliau turut memperincikan bagaimana arwah ayahnya akan keluar mencari mereka sekiranya mereka lewat tiba ke rumah. Ketika itu mereka adik-beradik hanya berjalan kaki ke Sekolah Rendah Tengku Mahmud (SRTM) yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah.
“Begitu juga bila dah ada di rumah, tiba-tiba kami hilang dari pandangan dia, tak ada di rumah, Che akan pergi cari. Anak perempuan lagi ‘strict’,” sambungnya.
Mereka adik-beradik juga, kata Kak Laila, diasuh mengutamakan kepentingan keluarga. Contohnya, sejak kecil mereka dibiasakan turun ke sawah membantu Paksu. Di musim penanaman padi, mereka bekerjasama membajak, mencedung, meracun dan menuai. Di luar musim pula, mereka mengusahakan tanaman sayur-sayuran.
“Tradisi bersepakat adik-beradik ni berterusan sampai kami dewasa. Tak kira (adik-beradik) hak jadi doktor ke, pensyarah ke, cikgu, hak duduk di ‘U’ (universiti), jadi apa sekali pun, hak mana ada di rumah semua pakat ‘gi baruh’ (turun ke sawah) tolong Che,” Kak Laila mengimbau kesepakatan mereka.
Sebelum itu Maksu Jah memperincikan kepada penulis mengenai profesion anak-anaknya. Yang sulung, Che Mat menjadi pensyarah universiti. Selain Kak Laila, empat anak lain juga menjadi guru. Mereka ialah Che Mat Rudin (anak kedua), Che Hasnah (ke-7), Che Rohani (ke-8) dan Che Rohana (ke-9).
Anak ke-4, Che Samsuri menjadi juruteknik pergigian, Che Faridah (ke-6) seorang doktor, manakala Che Norkhazami (ke-12) juruteknologi makmal perubatan.
Anak-anak yang lain ada yang terlibat di sektor industri, ada yang menjadi surirumah sepenuh masa dan ada yang menjadi penjawat awam. Manakala tiga beradik yang kini menemani Maksu Jah di rumah, iaitu Che Nursuraya (ke-16), Che Mohd Abdul Hadi (ke-18) dan Che Mohd Sauki (ke-19) ditugas menguruskan perniagaan milik mereka adik-beradik.
“Alhamdulillah, Maksu senang hati lah tengok anak-anak semua ‘sejueng’ (sealiran, sepakat) belaka. Apa-apa hal pun, kalau panggil balik, semua pakat balik. Arwah Paksu ni pandai ajar anak-anak jadi taat sungguh,” ujar Maksu Jah, sekali lagi memuji arwah suaminya.
Selain kesepakatan itu, anak-anak juga katanya ditekankan adab sopan dalam kehidupan seharian mereka. Antaranya, mengutamakan sikap hormat kepada yang tua, tidak meninggikan suara ketika bercakap walau pun sesama sendiri, tidak menganggu atau membuat bising ketika ‘Che’ sedang makan dan tidak berebut makanan.
“Tapi Che tak berleber (membebel) secara membabi buta, dia tak marah anak-anak. Kalau dia tak suka, anak-anak boleh faham dengan tengok bahasa badan dia je. Dia tak berkasar, tak sergah anak-anak,” cerita Kak Laila pula.
Beliau menyebut contoh bagaimana kesemua mereka akan dipanggil setiap kali ada mana-mana anak melakukan kesalahan.
“Seorang anak buat salah, Che akan panggil semua anak yang boleh berfikir (sudah aqil baligh), berhimpun, buat bulatan. Che akan maklum apa (kes) kesalahan. Dia bersyarah, “ini Che tak berkenan”. Jadi bukan saja hak buat salah tu dengar, semua kami adik-beradik pun ambil pengajaran, tak akan ulangi kesalahan serupa,” ulasnya.
Walau pun ketegasan Paksu menjadi asas utama mendisiplin anak-anak, bagi Kak Laila, yang memastikan anak-anak patuh dengan apa yang ‘Che’ mereka suka dan tidak suka ialah ibu mereka.
“Dah habis Che bersyarah, Mak gosok anak (terbabit kes), bisik dengan lembut, ‘jangan buat gitu bila-bila (lain kali), Che mu tak suka’. Demi Allah, sentuhan ajaib Mak itu lah yang meninggalkan kesan lebih mendalam di hati anak-anak,” Kak Laila konsisten memuji ibunya.
“Barangkali mak banyak berzikir dan berdoa ketika menyediakan makanan kami. Mungkin Mak ada doa, wirid tertentu semasa memasak, hembus (doa) sambil kacau air untuk kami sehingga hati-hati kami adik-beradik semua jadi lembut,” beliau secara berlapik mendedahkan resepi rahsia ibunya.
(Artikel ini disiarkan majalah al-Muslimah Bil: 231, Edisi Mei 2011 di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama)
Semoga mereka berdua dlm rahmat Allah
ReplyDelete