oleh: Mohd Nasir Awang
Slogan ‘PAS Ganti Umno’ (PGU) telah menyebabkan para pemimpin Umno ‘tidak lena tidur’. Mereka bagaikan ‘cacing kepanasan’, amat terganggu dan cuba bangkit dengan pelbagai pendekatan menafikan keupayaan PAS mara mengembalikan kekuasaan di Terengganu.
Tekanan terhadap rakyat makin ditambah. Pantang ada peluang bertemu, rakyat akan diberi ‘amaran’ supaya jangan lupakan jasa kerajaan.
- Berjumpa kakitangan kerajaan, mereka diberi ingatan ‘wajar kenang budi’ Barisan Nasional (BN) (BH 14.03.11);
- sambil-sambil beri bantuan dana khas kepada penarik beca, mereka diingatkan supaya jadi agen menceritakan kebaikan kerajaan kepada pelancong (SH 05.09.10);
- wartawan diingatkan supaya tulis laporan yang lebih condong kepada kerajaan;
- penerima bantuan kena ingat kebaikan kerajaan;
- penjawat awam jangan jadi api dalam sekam (SH 28.01.11), memburukkan kerajaan.
Antara kaedah digunakan Umno bagaimana pun seakan meniru PAS. Antara yang agak menonjol ialah program ‘My Geng BN’ yang ditaja Pemuda Umno khusus untuk menarik sokongan golongan muda (UM 15.03.11, SH 07.04.11). Ia bertujuan menyaingi program ‘Orang Mude Geng Kite’ (OMGK) ditaja Dewan Pemuda PAS.
Langkah PAS mempopularkan pemakaian t-shirt sama ada berlogo OMGK atau PGU turut membuahkan idea Umno mengagihkan jaket 1Malaysia.
Program Al-Falah dianjurkan PAS membabitkan gerakerja turun hingga ke peringkat Unit-Unit Peti Undi (UPU) juga merimaskan Umno. Yang paling dicemburuinya bukan sessi ceramah atau kempen dibuat PAS, tetapi agenda kebajikan di dalamnya, seperti membaiki rumah, menghulurkan sumbangan kepada MOSWA dan aktiviti membantu menyempurnakan keperluan penduduk setempat.
Lalu Umno dilihat memperkemaskan program Juara Rakyat dengan turut memasukkan agenda kebajikan. Seolah-olah program kebajikan sedia ada di bawah pelbagai jabatan dan agensi kerajaan (JKM, Maidam, dll) belum cukup menjamin rakyat terus menyokong Umno.
Ia juga secara berasingan menganjurkan program ‘Umno Masuk Kampung’, terutama menerusi Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri, yang turut membabitkan aktiviti kebajikan.
Selain itu, Umno Terengganu turut memanfaatkan kaedah konvensional iaitu pentas ceramah di kampung-kampung untuk menyatakan pandangan dan memperjelaskan sesuatu isu. Seolah-olah segala serangan hampir setiap hari menerusi puluhan saluran media elektronik dan terbitan media cetak masih belum cukup.
Manakala seluruh badan dan pihak yang sealiran Umno dikerah (Perkasa, Warga Felda, Veteran ATM, Mubarak, artis – Eman Manan, trend PAS bawa selebriti, Bob Lokman dll) membantu menjulang kredibiliti BN.
Memahami Peranan Isu
Pada asasnya, maksud isu ialah sesuatu yang pada asalnya ‘biasa’ atau kecil bertukar menjadi ‘luar biasa’ atau besar dan mendapat perhatian umum setelah melalui proses cetusan, olahan dan reaksi.
Ertinya sesuatu yang pada asalnya ‘bukan isu’ boleh menjadi ‘isu’ sekiranya ia menjadi perhatian dan penerimaan umum. Contohnya: Penubuhan Unit Pembangunan Insan (UPI) oleh kerajaan PAS Terengganu, dengan tujuan dakwah dan tarbiyah masyarakat, tetapi di’isu’kan sebagai organ kempen dan propaganda PAS. Lalu segala perbelanjaan kerajaan untuk seluruh pengurusan dan aktivitinya dianggap ‘penyalahgunaan’ untuk parti.
Sebaliknya, sesuatu yang pada hakikatnya memang ‘isu’ boleh saja menjadi ‘bukan isu’ apabila ditenggelam dari perhatian dan percakapan umum. Contohnya: Umno roboh Masjid Bujal, Umno tidak laksanakan Hudud yang telah diwartakan di Terengganu, dll.
Jangan sekali-kali memandang remeh keupayaan sesuatu isu (termasuk yang dianggap kecil) untuk memberikan kesan kepada parti, sama ada positif mahu pun negatif.
Dengan pengolahan, penyampaian dan pendekatan yang berkesan, isu mampu menjadi faktor signifikan menentukan sikap dan pendirian masyarakat, seterusnya mendorong perubahan termasuk di pentas politik.
Sebab itu prestasi pencapaian parti-parti politik dalam mana-mana pilihan raya turut bergantung kepada isu atau perkara-perkara berkaitan permasalahan hidup dalam masyarakat. Sejauh mana keupayaan sesebuah parti memanipulasi isu-isu yang terdapat dalam masyarakat mampu menimbulkan kesan besar kepada corak sokongan para pengundi.
Memahami Hakikat Politik Terengganu
Ada beberapa hakikat perbezaan kedudukan politik antara PAS dan Umno yang sayugia diingati oleh para petugas penerangan parti di dalam usaha menghasilkan penyampaian berkesan dalam masyarakat.
Ia bertitik tolak daripada hakikat utama bahawa Barisan Nasional (BN)/ Umno adalah parti pemerintah yang menguasai segala aspek kehidupan, terutama kewangan dan kuasa pentadbiran. Menerusi kuasa itu ia mampu mencorak dan mengawal agen propaganda (seperti UKOM, Kemas, dsu), media, tenaga petugas, minda rakyat dan sebagainya.
Bersandarkan kelebihan itu juga Umno tidak memerlukan ‘gelombang’ atau perubahan berskala besar untuk mengekalkan kuasa. Ia hanya perlu mengkhususkan sasaran kecil bagi setiap isu, tetapi mengumpulnya menjadi besar menerusi ulangsiar atau munculnya isu-isu lain pula. (Contoh – isu DAP anti Islam, ketuanan Melayu, kafir baca al-Quran, kafir masuk masjid, bukan Islam beri salam, pemimpin PAS bercakap kasar, video seks, dakwaan liwat, pluralisme, penyatuan Melayu dll)
PAS pula parti yang ada hanya ‘gigi dan lidah’, dengan keupayaan serba terbatas (ceramah, akhbar dua terbitan seminggu (berbanding belasan terbitan sehari – BH, UM, NST, Star, Sun, dll) memihak Umno/BN) dan media siber yang capaiannya amat terbatas). PAS memang memerlukan ‘gelombang’ untuk mencipta perubahan besar. Untuk itu, ia perlu banyak bergantung kepada manipulasi isu-isu tertentu secara berterusan.
Bagaimana pun, ada banyak hakikat yang tidak memihak kepada PAS atau mampu menyulitkan kemaraan PAS. Antaranya ialah:
Pertama, perkara yang ‘okay’ dibuat Umno, tidak semestinya tidak mengapa jika dilakukan PAS. Pengalaman lalu: Kerajaan mengarahkan PBT menurunkan bendera parti; pertukaran pegawai kerajaan; memanfaatkan peruntukan jabatan/agensi kerajaan untuk memaut sokongan rakyat kepada parti pemerintah; menghalang pelajar Tabika Kemas – memunggah kelengkapan PASTI/mengunci balairaya; wakil rakyat pamerkan kehidupan mewah (tukar kereta, ubahsuai rumah, pakai kemas dll)
Contoh lain: Penjawat awam bercuti untuk kempen parti (contoh terbaru – PRK Tenang, suami calon PAS); Umno berkawan dengan MCA yang anti- Islam, tolak hudud dan Negara Islam berbanding kes PAS berbaik dengan DAP.
Reaksi PAS: Pertikaikan, “betulkah MCA, bahkan Umno sendiri lebih baik daripada DAP dalam menjaga Islam? Mana lebih anti-Islam, antara DAP dengan MCA? Seburuk-buruk DAP, penyokongnya tidak berdemonstrasi di depan pejabat PAS bantah hasrat laksana Hudud, tapi MCA sudah buat. Lagi pun pendirian DAP (Karpal Singh, secara tepatnya!) sudah berubah – sedia bincang Negara Islam PAS.
DAP dengan Umno bagaimana? Seburuk-buruk DAP, dah tiga tahun perintah Pulau Pinang, dia tak sodok masjid, tapi Umno Terengganu tak dan setahun kuasa semula, sodok dah Masjid Bujal. Kalau DAP buat pun, masih logik sebab dia bukan Islam, tapi Umno apa hal?
Umno nak Islam? Slogan Ulul Albab, tapi bab perintah, tolak Hudud yang telah diwartakan, kekal dengan peraturan lama, dan ambil idea perubahan kerajaan dari slogan ‘Lautan Biru’, idea penulis bukan Islam. DAP yang dikatakan anti-Islam, tak kata nak jadikan Pulau Pinang Ulul Albab tapi isytihar jadikan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai contoh teladan. Tak malu muka Umno?
DAP terima Islam bukti kejayaan PAS, baru beberapa tahun berkawan, sudah ada pemimpin DAP yang seronok berhujah merujuk al-Quran, berbanding MCA, Gerakan, MIC yang sudah puluhan tahun bersama Umno.
Persoalan ini sekadar dilontar agar pendengar berfikir. Jika pun tidak mampu menolak stigma ‘DAP tak mahu Islam’, sekurang-kurangnya timbul persoalan di minda pendengar bahawa MCA, bahkan Umno sendiri pun apa kurangnya jahat terhadap Islam?
Kedua, Umno berupaya menghulurkan berbagai bantuan untuk memaut sokongan rakyat. Justeru, jangan mudah menafikan (terutama secara mutlak) kebaikan dan bantuan Umno kepada rakyat. Penafian itu mudah dipatahkan Umno.
Sebaliknya, akui bantuan dan kebajikan dibuat Umno, tetapi persoalkan apakah memadai apa yang rakyat dapat berbanding yang sepatutnya mereka dapat? (Contoh - isu Felda, peruntukan SMA, sedangkan Umno kerajaan kaya – buat tu ratusan juta, ni ratusan juta.. rakyat apa dapat? Ada kampung baru dapat balairaya, jalan raya. Bagus, tetapi sepatutnya sudah lama...)
Ketiga, kemiskinan amat menghimpit hidup rakyat. Ada yang menangis menerima bantuan RM300, ada yang rasa Umno lah segala-gala apabila diberikan rumah. Contoh: Ibu lima anak sebak terima RM500, wang dalam beg yang dikelek hanya 30 sen sementara menunggu gaji awal bulan – SH 13.03.11, mangsa banjir di Kemasek).
Jadi jangan perlekeh pemberian Umno, terutama menghina dan mengutuk penerima sebagai ‘tidak bermaruah’, ‘menjual harga diri dengan RM300 setahun’ dan seumpamanya. Ia makin meliarkan kalangan tertentu daripada PAS, sedangkan mereka amat dipaksa keadaan untuk terima bantuan berkenaan.
Sebaliknya, persoalkan, ‘duit tu mari kocek Umno ke kerajaan? Kalau kerajaan, zaman PAS perintah dulu pun kita beri juga’.
Namun, ada juga beberapa hakikat yang memberi kelebihan kepada PAS, antaranya:
Pertama, pemimpin/ahli PAS (disebut ‘orang PAS’) lebih beragama berbanding ‘orang Umno’, pada kebanyakannya.
- Kelebihan – menguasai masjid/surau, guru J-QAF, urusan jenazah/tahlil, dsu;
- Pemimpin Umno di kelab malam, karaoke, rasuah, kaki projek, kaki seleweng
- JKKK tidak amanah, pilih kasih (Buku – m/s 14);
Kedua, pemimpin PAS tak berbalah sesama sendiri, Umno bercakaran tak berkesudahan (Buku - m/s 15).
- Sms ugut bunuh ke atas tiga Adun BN. Kes hingga kini belum selesai perbicaraannya.
- Pengkalan Berangan naikkan pemidang di Bandar Marang desak tukar calon (SH 26 & 27.04.11);
- Umno Besut berterusan desak Kompleks Imtiaz untuk Besut sahaja (BH 17.03.11); Sambutan 10 Tahun Imtiaz Besut tak jemput MB;
- Warga Air Putih mahu anak jati jadi wakil rakyat (SH 11.03.11).
Ketiga, zaman pemerintahan PAS kehidupan rakyat jauh lebih aman dan selesa, terutama dalam aspek kehidupan beragama. PAS lebih menjaga Islam berbanding Umno. Buktinya, selepas Umno kembali berkuasa, berbagai gejala merosakkan wujud dalam masyarakat.
- jenayah tidak terkawal (Ops payung pegawai pangkat tinggi PDRM turun sendiri ke tempat awam, terutama pasar dan pasar malam, edar risalah anti-jenayah (SH 04.04.11 & 23.04.11), kempen cegah jenayah ke sekolah (Sh 10.04.11), dll; harta masjid/surau pun tak selamat (peti besi Masjid Kg Raja; beduk Masjid Kg Dusun, Hulu Terengganu – HM 25.04.11)
- maksiat tidak dicegah dengan serius – skuad sukarela berkad dan tidak, dipecat tak diganti, maksiat makin berleluasa, tak cukup tenaga pencegah;
- pergaulan bebas, terutama di kalangan muda-mudi menyebabkan perzinaan. Perangkaan Anak Luar Nikah (Buku – m/s 48). Khusus untuk Terengganu, 2010 seramai 623 orang didaftar di JPN (SH, BH & HM 26.01.11). Bagaimana yang tidak didaftar? Tips of the iceberg – 1/8 yang zahir. Bayangkan betapa banyak kes yang lahir tanpa nyawa, dibuang atau digugurkan. Berapa pula kes perzinaan tidak termengandung? Kes Chukai (SH 25.03.11), anak bawah umur disangka demam rupanya sakit hendak bersalin.
- Kes penyalahgunaan dadah semakin membimbangkan (Buku – m/s 44; SH 13.04.11)
- Ajaran sesat: Ayah Pin hanya didakwa di zaman PAS, kini aktif kembali;
- Kemakmuran: Masjid Jamek Chukai tiada bilal hingga guna azan tv (SH 05.01.11); surau Pasar Sura jadi port minum arak (SH 30.04.11);
- urusan agama diberi perhatian serius: Elaun imam/bilal pertama kali dinaikkan zaman PAS; guru al-Quran baru naik dari RM150 ke RM300; penubuhan UPI, mubaligh dll;
- operasi Ramadhan – PAS lancar Ihya’ Ramadhan, tarawih, tazkirah dll. Operasi tangakp orang tak puasa dipergiat. Kini, remaja berpasangan di taman, orang tidak puasa bebas membeli makanan, tetapi pihak berkuasa kata tiada maklumat. Sedangkan akhbar siar eksklusif restoran beroperasi jual makanan pagi seluruh negeri. Akhirnya Adun BN isytihar ‘rekod bersih’, tiada ditangkap.
- Sikap sama dalam kes khurafat & bidaah. Adun sama (Tepoh) taja pertandingan pelita raya di hujung Ramadhan, bukan ajak rakyat pertingkat amal, ambil peluang cari Lailatul Qadar dsb. Adun Rantau Abang, Dungun taja pemuliharaan Batu Penyu (Buku – m/s 4), RM390,000. Sambutan Raya Enam, berjamu atas kubur yang sudah sepatutnya pupus, kembali dihidupkan).
Di zaman pemerintahan PAS, minat rakyat terhadap agama juga meningkat. Majlis ilmu di masjid dan surau bersemarak. Keadaan itu memupuk minat generasi muda menghayati agama, sehingga tidak cukup peruntukan kerajaan memenuhinya.
Sebaliknya, sekarang pelajar tidak berminat belajar agama. Subjek agama tidak menjadi pilihan di sekolah-sekolah, termasuk di sekolah-sekolah agama sendiri. Sehinggakan apabila dibuka peluang untuk pilih pengajian agama pun, tidak ramai pelajar yang sambut.
Contoh: Menurut satu maklumat (perbetulkan jika silap), Maidam tawar pembiayaan 100 tempat untuk program pengajian ulama pelapis di Timur Tengah dari pelajar-pelajar dengan keputusan terbaik subjek agama dari sekolah-sekolah kerajaan. Namun, yang mohon hanya 70 orang dan katanya hanya 50 yang akhirnya bersetuju pergi, walau pun kesemuanya layak dan lulus.
Kenapa minat terhadap pengajian agama kurang? Kerana Umno sudah burukkan pengajian agama, gambarkan lulusan pengajian Islam tak ‘cerah masa depan’, tak kompeten dari sudut ekonomi dll. Akibatnya, rakyat tidak marah Umno bunuh sekolah agama (SRAB).
Umno memang tidak bersungguh semarakkan minat masyarakat terhadap agama, termasuk menganjurkan program keagamaan di kalangan pelajar. Kes hadiah tilawah al-Quran anjuran JPNT RM10 (Rusila, Marang, SH 29.04.11) menguatkan hakikat bahawa promosi ke arah program agama amat memalukan. Hadiah ditawarkan amat tidak munasabah (Johan RM10, Naib RM7, T3 RM5).
Cuba bandingkan hadiah karnival tarik tali anjuran Pejabat Daerah di Dungun. Pertandingan nak dibuat Julai, 19 April sudah diiklan, hadiah menanti RM50,000 (SH 20.04.11). Pertandingan memancing selalunya tawar hadiah puluhan malah ratusan ringgit. Tanya PAS Cawangan Kg Baruh, Rhu Muda, ramai kanak-kanak turut serta, berapa nilai hadiah? Tentu bukan RM10 untuk Johan? (SH 17.04.11).
Pertandingan mencipta video pendek Liga Remaja Kreatif sekolah menengah anjuran Suruhanjaya Komunikasi & Multi Media (SKMM), hadiah peringkat negeri: Johan RM5K, Naib RM3K, T3 RM2K), beserta telefon bimbit setiap peserta dll.
Sudahlah murid tidak berminat, bersusah-payah pula ibu-bapa dan guru mendorong pelajar sertai tilawah, tiba-tiba hadiah diberikan sangat tidak sepadan, seolah-olah ia dilaksanakan semata-mata sekadar melepaskan arahan supaya ia dibuat.
PAS berusaha serius daulatkan Islam. Umno sekadar hiasan. Contoh: Kes Batu Bersurat. Kerajaan PAS nobatkan tamra itu sebagai bukti sejarah bahawa Terengganu pernah melaksanakan undang-undang Islam.
Umno turut anjurkan Seminar Batu Bersurat pada 28-29 Mac lalu (SH 03.04.11) dikelola Muzium Terengganu. Ia kali ketiga diadakan dan dijadikan acara tahunan. Sejumlah Profesor Dr dijemput membentang kajian dan pendapat. Apa resolusi utamanya? Batu Bersurat sebagai bukti penghayatan tulisan jawi dalam masyarakat Terengganu silam, Batu Bersurat pencetus pertumbuhan dan perkembangan Undang-Undang Melayu Lama (bukan undang-undang Islam?).
PAS dulu ajak rakyat, “Tengok Batu Bersurat, ingat Hukum Islam”. Umno ajar rakyat, “tengok Batu Bersurat, ingat tulisan jawi, ingat undang-undang Melayu Lama”. Itulah bezanya PAS dan Umno!
Keempat, kerajaan PAS tiada rekod perbelanjaan wang rakyat yang besar untuk pembangunan dan projek bermasalah atau cenderung kepada pembaziran, berbanding Umno.
- Stadium SMZA RM260 juta runtuh (Buku – m/s 23)
- Pangsapuri Ladang;
- Parkir Bertingkat Batas Baru RM9.8 juta tidak mendapat sambutan (BH 28.03.11; Buku – m/s 33);
- Kondo Rakyat Kuala Ibai (Buku – m/s 26;
- Jertih Souq (Buku – m/s 36);
- e-Book (mudah rosak, sukar dibaiki, terdedah salahguna: Buku - m/s 28)
- Piala Monsun;
- Itik Angsa suku juta ringgit. Paling murah RM750, hingga RM5,600 seekor (Buku – m/s 34);
- Akuakultur Sungai Como gagal capai tahap sasaran (Buku – m/s 35)
Kelima, Umno tidak hirau dan tidak ambil pengajaran dari kesilapan lalu, terutama dalam menentukan keperluan membelanjakan wang rakyat untuk sesuatu projek kerajaan.
- Tasik Kenyir bakal ulangi nasib pembangunan Pulau Wan Man & Pulau Duyong (Buku – m/s 30): Belanja besar, manfaat untuk rakyat setempat tidak seberapa – contoh keluhan rakyat Pulau Duyong, keadaan ekonomi semasa penduduk Seberang Takir, Pulau Duyong, Pulau Wan Man.
- Projek T-Shoppe & T-Cafe bakal ulangi projek G-Mart. Rangkaian perniagaan kerajaan sering gagal.
- Kilang vitato di Besut, bagaimana Nira Nipah yang tak dapat sambutan, tak capai hasrat? (UM 06.11.10). Dulu kilang gajus.
Keenam, tahap kecaknaan terhadap kemudahan asas dan keperluan rakyat. MB sendiri cakap wakil rakyat BN ramai tak cakna kebajikan rakyat (Buku – m/s 17). Banyak terabai di bawah Umno. Jika dulu kutuk kerajaan PAS gagal buat itu dan ini, sekarang kenapa tak selesaikan.
- Isu bekalan air – Batangan, Marang, sejak enam tahun, tadah air pukul 3 -5 pagi; Kg Laut, KT berminggu mandi di masjid (HM 2.11.2010); guna sup, kuah kari pada kebakaran kantin SK Seb. Marang, bekalan air terputus (BH & HM 23.03.11);
- Lampu limpah: Dipasang di taman & bandar yang sudah ada lampu jalan & lampu bangunan. Di kubur tak bubuh, susah nak kebumi malam (kes Kg Ibok, Kemaman – SH 19.03.11);
- jambatan keperluan penduduk tak dibaiki. Contoh: Kg Jak & Kg Mali, Hulu Trg dah runtuh sejak lima tahun, rakyat jalan kaki ke kebun; jambatan uzur di Kg Bador, Hulu Terengganu, sukar ke kebun. Di Pulau Sekati, usung jenazah 1.5 kilometer, kenderaan terpaksa letak seberang jambatan nak runtuh.
- Masih banyak kampung tak ada balairaya sebagai pusat aktiviti penduduk.
- Muara sungai tak digali, nelayan tak dapat keluar cari rezeki – kes muara Sungai Kuala Baru, Penarik (BH 25.03.11) & Sungai Merchang, Marang (HM 28.05.11).
- Kenaikan harga barangan kepelruan harian rakyat juga bukti kegagalan BN mengambilkira kepentingan dan kebajikan rakyat. SH 01.01.11 – 10.01.11
Ketujuh, tahap kemiskinan rakyat semakin memilukan. Exco Kebajikan, Ashaari Idris kata Terengganu di kedudukan kelima, bukan lagi kedua seperti didakwa PAS. MB dan Exco Yahya Khatib selar dakwaan PAS, Terengganu di tempat kedua (Sh 04.11.10). Nong Chik pula kata Terengganu paling tinggi jumlah keluarga miskin (Buku – m/s 52).
Katanya, Terengganu mempunyai paling ramai keluarga yang termasuk dalam kategori 'miskin tegar, miskin dan menghampiri kemiskinan' iaitu seramai 12, 193 keluarga.
Mana satu betul? Usah persoal kedudukan di tangga ke berapa. Itu tidak penting. Yang kita tahu rakyat memang susah. Ada yang ikat perut tak makan berhari-hari, tak jumpa nasi, makan macam-macam, anak berhenti sekolah kerana tak ada belanja atau terpaksa kerja bantu mak-ayah, ada yang tiap bulan tunggu bantuan, sampai menangis tengok RM300.
Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee mengakui jumlah penduduk termiskin di kawasan Parlimennya bertambah kepada 6,400 orang pada April 2010 berbanding hanya 1,000 orang sebelumnya (SH 04.10.10).
Exco Pelajaran, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman umum peruntukan RM12j beli seragam sekolah kepada 60,000 pelajar miskin (BH 20.12.10).
Kerap disiarkan media penduduk tinggal di pondok usang (beberapa contoh: Di Paka, terpaksa menumpang rumah jiran bila hujan (SH 23 November 2010); di Apek, Setiu, rumah tak ada bekalan air dan elektrik, masih macam zaman 60-an (SH 4 Nov. 2010); kanvas terbuang jadi atap rumah sementara tunggu bantuan (SH 28.10.10, Teluk Bidara) & (SH 20.10.10, Makam Lama, KT);
Kes Batangan, Marang (HM 4 November 2010) pula, suami ditinggalkan isteri & anak kecil yang balik rumah orang tua di Hulu Terenggnau kerana suami tak mampu belanja penyambungan paip air ke rumah, hingga masalah mandi, membasuh dan memasak. Kos RM1,200 tak mampu keluarkan. Gaji hanya RM450 sebulan.
Umno gagal sediakan peluang kerja secukupnya. Kes 2,300 tawaran kerja, tapi 20,070 mohon. Hanya 30 peratus tawaran kerja perlukan diploma ke atas, 80 peratus peluang ditawarkan swasta. (SH 28.11.10). Kes ayah tiga anak dari Kemaman mati berlanggar pergi jahit kasut untuk lapor diri kerja buruh di kilang di Gebeng, Kuantan (HM 30.10.10) amat memilukan.
Rakyat tak ada kerja. Ada jual dadah kerana terdesak tampung perbelanjaan keluarga (HM 20.04.11), malah ada yg sanggup buat apa saja kerja, asal bunyi boleh dapat duit, terus cuba, termasuk masuk hutan cari cicak gekko sampai sesat kerana nak cari duit (MA 19.09.10).
Bolehkah PAS Ganti Umno?
Jawaban kepada soalan itu bergantung sejauh mana keupayaan kita memanipulasi isu-isu yang terdapat dalam masyarakat sehingga mampu membangkitkan kesedaran para pengundi untuk berubah.
Perlu diingat, di samping meuar-uarkan kegagalan pemerintahan Umno, PAS juga perlu tampil dengan ‘cadangan’ atau ‘idea’ penyelesaian meyakinkan. Mungkin sudah sampai masa kita mula melontarkan ceraian-ceraian manifesto parti.
Wajar juga disebut kebaikan dan kerja kebajikan dibuat parti (kutip derma tabung bantu mangsa kemalangan di Cerang Meliling SH 05.12.10); bantu pelajar ke Arab Saudi (SH 20.09.10), walau tidak banyak, PAS gigih membantu dalam serba daif. Yg penting kesungguhan membantu orang susah; Al-Falah turun berbakti kpd masyarakat (SH 16.11.10 & 07.04.11); Nisa’ ABJZ kontra gejala sosial remaja (SH 20.01.11); lebih separuh elaun Adun Sura diberikan semula kepada rakyat (SH 25.01.11). Manakala Tabung Darul Iman diasaskan kerajaan PAS masih berfungsi hingga kini (BH 12.11.10).
Menghasilkan Penyampaian Terbaik
Secara mudahnya, sesuatu penyampaian yang paling berkesan ialah yang menepati kehendak prinsip 4W1H (Who, What, Where, When & How). Dalam ertikata lain pemilihan siapa akan berceramah di mana, membawa isu/tajuk apa dan bila serta bagaimana pelaksanaan majlis itu adalah aspek yang tidak wajar dipandang mudah oleh pihak penganjur.
Selain itu, aspek kesungguhan menjayakan majlis juga perlu ditekankan. Kalau Umno yang sudah berkuasa dan memiliki segala kekuatan pun tidak mengambil sikap sambil lewa mengadakan persiapan majlis-majlisnya, apakah wajar PAS yang berusaha memenangi hati rakyat memandang remeh aspek persiapan majlis? (Contoh: Poster, kalau boleh buat tajuk, tarik minat orang datang, persiapan tempat & alat siaraya biar gah dsb).
Semoga perjuangan ini mendapat keberkatan dan kerahmatan Allah. Hasilnya, kita insya Allah akan dapat merealisasikan impian ‘PAS Ganti Umno’.
(Kertaskerja ini dibentang pada majlis Taklimat Buku Jingga dan Isu-Iu Semasa, pada 14 Mei 2011 di Dewan Dato' Wan Abdul Muttalib, Kuala Ibai, Kuala Terengganu).
No comments:
Post a Comment