Oleh: Mat Zain Mat Isa
Buat kali yang entah ke berapa ratus, rakyat negara ini dihadapkan lagi dengan kenaikan harga barangan keperluan utama mereka. Terbaru ialah pengumuman kerajaan mengenai kenaikan harga petroleum RON97, diikuti harga runcit gula.
Minggu lalu, harga petrol RON97 dinaikkan lagi sebanyak 20 sen menjadi RM2.90. Ia bagaimana pun sudah tidak menjadi kejutan dan bagai tidak dipedulikan orang. Ia terlalu kerap dinaikkan. Rakyat pun sudah tidak upaya menghitung, entah berapa kali harga bahan bakar itu dinaikkan sebelum ini.
Keadaan sedikit berbeza apabila tiba-tiba rakyat dimaklumkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen, menjadikannya RM2.30 sekilogram berkuatkuasa 10 Mei. Kenaikan harga gula kali ini adalah yang keempat selepas kerajaan berbuat demikian sebanyak tiga kali pada tahun lalu iaitu pada Januari (20 sen), Julai (25 sen) dan Disember (20 sen).
Seperti biasa setiap kali kerajaan mengumumkan kenaikan harga apa-apa barangan, ia disusuli dengan kenyataan-kenyataan memperbodohkan rakyat. Liriknya sama saja, bagaikan lagu yang diulangputar di corong radio. Pertama, harga di negara kita masih rendah berbanding beberapa negara dunia, termasuk negara-negara tetangga.
Kedua, rasionalisasi subsidi dibuat kerajaan untuk menjimatkan perbelanjaan negara. Penjimatan itu nanti boleh digunakan untuk biayai projek lebih bermanfaat untuk rakyat.
Manakala ketiga dan paling keramat, kenaikan harga barang ini “tidak akan membebankan rakyat, termasuk golongan berpendapatan rendah”.
Kemudian, selain kerajaan, tampil pula beberapa pihak berkaitan sektor perniagaan bahawa harga barangan makanan, minuman dan segala berkaitan tidak akan dinaikkan. Ekoran kenaikan harga bahan api dan bahan pemanis kali ini juga, dendangan sama turut kedengaran.
Malangnya, apa yang seringkali berlaku adalah sebaliknya. Belum pun berlalu seminggu dari pengumuman kenaikan harga gula, sudah ada laporan media mengenai tindakan para peniaga di negeri tertentu menaikkan harga minuman dan kueh-mueh. Malah minuman teh tarik yang memang diketahui tidak menggunakan gula untuk membancuhnya pun dilaporkan sudah ada peniaga menaikkan harganya.
Itulah realiti himpitan kehidupan yang terpaksa dilalui rakyat.
Sementara sebahagian anggota masyarakat nampaknya semakin mangli dan kalih dengan kenaikan demi kenaikan harga barangan keperluan harian itu, jangan lupa bahawa peningkatan bebanan dan tekanan hidup itu sebenarnya ikut mendorong semakin berlakunya berbagai gejala sosial dan jenayah dalam masyarakat. Bukan semua orang mampu menangani peningkatan tekanan hidup dan menyerapnya dengan baik.
Apa pun, tentu ada hikmah sangat besar mengapa Allah Ta’ala mentakdirkan seluruh negara berhadapan reaksi dan keluhan sedemikian pada tanggal 11 Mei. Itulah juga tarikh Umno meraikan ulangtahun ke-65 kelahirannya.
Mungkin ada rakyat yang sudah terlalu taksub dengan Umno dan melihat apa juga keputusan didatangkan kerajaan pimpinan parti itu sebagai betul. Lalu orang sebegini tidak syak lagi akan mewajarkan apa juga kenaikan harga dibuat kerajaan dan menyokongnya tanpa belah bahagi.
Maka di saat parti itu merayakan ulang tahun usianya ke-65, akan ada pihak mengucapkan tahniah kepada Umno kerana berjaya membangunkan negara dan membawa kehidupan makmur kepada rakyat.
Namun bagi yang menyedari satu hakikat yang bersarang dalam benak fikir masyarakat umum, setiap kali berlakunya penambahan beban hidup ke atas rakyat tidak ubah seumpama suatu isyarat kegagalan parti tua itu memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat terbela.
Maka apakah ia boleh dibanggakan sebagai kejayaan Umno setelah usianya mencecah 65 tahun? Dalam keadaan Umno sendiri kerap mengakui nasib bangsa Melayu yang menjadi teras perjuangan parti itu belum cukup terbela, apakah mereka semakin terbela dengan kenaikan kos sara hidup?
Dari satu sudut, memang tepat kata-kata Najib Razak sewaktu meraikan ulangtahun partinya, bahawa Umno adalah jenama yang sangat tinggi nilainya di kalangan rakyat negara ini. Ada sekurang-kurangnya dua sandaran mengiyakan kenyataan Presiden Umno itu.
Pertama, semakin tua usia Umno, semakin ‘berjasa’ ia dalam mempertingkatkan bebanan rakyat. Nilai pengorbanan rakyat semakin tinggi untuk menjulang kelangsungan pemerintahan Umno.
Kedua, jika nilai tinggi itu merujuk kepada betapa sukar dan mahalnya harga yang terpaksa dibayar parti itu dalam menyempurnakan proses pemilihannya di semua peringkat setiap tiga tahun, maka ia juga suatu hakikat yang mengesahkan betapa sangat tinggi nilai Umno.
Bayangkan sahaja, jika untuk memenangi jawatan di peringkat cawangan Umno pun, seorang calon terpaksa menghabiskan ratusan ribu ringgit, congak sahaja lah berapa nilainya pertarungan merebut kesemua jawatan di peringkat cawangan Umno seluruh negara?
Harga memenangi jawatan di peringkat Bahagian pula mungkin tiga atau sepuluh kali ganda lebih tinggi. Darab pula dengan jumlah jawatan dipertandingkan di setiap Bahagian. Kemudian darab lagi dengan jumlah Bahagian Umno di seluruh negara.
Ya, entah berapa ratus juta duit yang tercurah dan beralih poket semata-mata mahu menyempurnakan proses pemilihan itu. Bagaimana pula dengan peringkat Pusat?
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1640, 16 Mei 2011 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment