Oleh: Mat Zain Mat Isa
Para peserta majlis Taklimat Buku Jingga dan Isu-Isu Semasa anjuran Badan Perhubungan PAS Terengganu di Kuala Ibai, Sabtu, 14 Mei lalu didedahkan dengan berbagai kegagalan Umno menerajui pemerintahan negeri dan negara.
Senarai kepincangan kerajaan Barisan Nasional (BN), Pusat mahu pun negeri, agak panjang. Berlambak fakta dan angka dibekalkan kepada hadirin untuk mengukuhkan dakwaan-dakwaan itu.
Di antara kelemahan dan kepincangan agak ketara oleh kerajaan BN negeri ialah dalam aspek urustadbir hal ehwal agama. Isu-isu berkaitan agama bukan sahaja berkisar atas faktor kegagalan Umno selaku teras pemerintahan membendung penghakisan nilai agama, termasuk kelemahannya mencegah peningkatan maksiat, tetapi turut membabitkan ketidak upayaan kerajaan mempromosi agenda Islam.
Bukan tidak ada langsung program dan aktiviti berunsur keagamaan dalam kalendar tahunan kerajaan negeri. Tidak sedikit juga susah-lelah dan peruntukan kewangan dihabiskan bagi menjayakan majlis-majlis dimaksudkan.
Namun, jangan dikatakan untuk meninggalkan bekas dan impak besar kepada tahap penghayatan Islam dalam masyarakat, untuk mendengar anggota masyarakat umum memuji dan menyanjung Umno atas kerja-kerja Islam dibuatnya itu pun suatu yang agak sukar.
Hasrat Umno meraih imej positif menerusi program agama anjuran kerajaannya tidak berhasil. Rakyat tidak dapat melihat keikhlasan dalam diri pemimpin Umno, termasuk tatkala mereka menganjurkan aktiviti bersifat keagamaan. Sebaliknya, ia dinilai sekadar memenuhi kalendar tahunan yang menuntut diadakan program itu dan ini.
Atau, ia setakat tindakan populis bertujuan meraikan kehendak kelompok tertentu dalam masyarakat yang dahagakan aturcara agama. Atau mungkin didorong perkembangan semasa yang menyaksikan rakyat semakin meminati kuliah agama menampilkan para asatizah yang bercakap secara terus-terang, termasuk mengkritik apa-apa kepincangan dalam masyarakat ‘tanpa takut atau malu alah’.
Justeru, untuk tidak dilihat ketinggalan dalam mengetengahkan aktiviti-aktiviti digemari masyarakat, maka kerajaan dipimpin Umno terpaksa juga menyelitkan program bercorak agama dalam kalendar tahunannya yang secara tradisinya disarati aktiviti hiburan, sukan, pelancongan, pesta-pestaan dan seumpamanya.
Biar pun pada zahirnya Umno kelihatan (dan memang ia mahu dilihat) bersungguh melonjakkan imej Islam menerusi beberapa aktivitinya, natijah perbuatannya yang tidak ikhlas mendatangkan akibat sebaliknya.
Mungkin kerana niat asal ia menganjurkan sesuatu itu bukan kerana cita-cita melihat Islam disanjung dan hukum Allah dijunjung, maka ‘lakonannya’ ditakdirkan Allah tidak menjadi. Perangai hodoh Umno yang cuba disembunyi di sebalik warna dan rupa Islam terdedah dan memburukkan lagi imej parti itu.
Contohnya, bagaimana kerajaan negeri menganjurkan pertandingan tilawah, hafazan dan penceritaan al-Quran, April lalu. Difahamkan program melibatkan penyertaan pelajar sekolah negeri itu dianjurkan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT).
Malangnya, ia bukan sahaja tidak berjaya menyemai rasa minat pelajar, khususnya para peserta, terhadap aktiviti agama terutama membabitkan al-Quran, sebaliknya meninggalkan kesan negatif pula.
Bayangkan, setelah berakhir pertandingan di peringkat daerah, johan tilawah diberikan hadiah hanya RM10? Manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing RM7 dan RM5. Ini bukan fiksyen atau cerekarama!
Hal itu hanya terbongkar apabila salah seorang bapa kepada pemenang pertandingan di peringkat daerah Marang mendedahkan rasa terkilannya kepada akhbar tempatan Terengganu pada 29 April lalu.
Ya Rabbi, bangsat sangatkah kerajaan Umno sehingga tidak mampu menawarkan hadiah lebih munasabah kepada para peserta? Sepertimana ditegaskan si bapa itu, ini bukan soal mahukan hadiah lebih lumayan, tapi sekadar meluahkan kecewanya melihat kerajaan terlalu sambil lewa dalam menganjurkan aktiviti sedemikian.
Cuba bandingkan hadiah pertandingan mencipta video pendek Liga Remaja Kreatif, juga melibatkan pelajar sekolah menengah. Pertandingan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) yang menggamit penyertaan sekolah-sekolah seluruh Terengganu itu menawarkan hadiah ratusan kali ganda nilainya berbanding hadiah tilawah tadi.
Difahamkan pertandingan peringkat negeri menawarkan hadiah kepada johan sebanyak RM5 ribu, diikuti RM3 ribu (tempat kedua) dan RM2 ribu (ketiga). Kesemua hadiah itu pula disertakan sebuah telefon bimbit untuk setiap peserta. Lumayan, bukan?
Sudahlah murid tidak berminat, bersusah-payah pula ibu-bapa dan guru mendorong pelajar sertai tilawah dan hafazan, tiba-tiba hadiah diberikan sangat tidak sepadan, seolah-olah ia dilaksanakan semata-mata sekadar melepaskan arahan supaya ia dibuat.
Sikap ‘melepas batuk di tangga’ sebegitu turut terserlah dalam beberapa kes lain. Mungkin di kesempatan lain dapat penulis huraikan kes-kes Batu Bersurat, operasi Ramadhan, tindakan terhadap ajaran sesat ‘Ayah Pin’ dan lain-lain.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1642, 23 Mei 2011 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment