Sunday, May 1, 2011

Solehah terdorong tengok tiga kakak peluk Islam

Oleh: NUWA AITAWA

Dinilai sepintas lalu pada perwatakan lahiriahnya, tiada siapa menyangka wanita berusia 26 tahun ini bukan berketurunan Melayu kebanyakan. Bahkan di kalangan anggota masyarakat sekitar Kampung Sentosa, Besut, yang kerap berinteraksi dengannya saban hari pun, lebih ramai yang menganggap si ibu kepada dua anak ini adalah seorang yang sama keturunan dengan mereka.

Namun sebaik mengetahui nama wanita ini ialah Solehah Brong, terus sahaja ada yang bertanya dalam dialek tempatan, ‘oghe ggapo?’ (orang apa?). Bagi mereka nama keluarganya itu mencadangkan bahawa dia bukan dari keturunan seperti jiran tetangga dan kenalan lain di kejiranan itu. Ertinya, selama ini mereka ‘tertipu’ dengan rupa parasnya yang seakan wanita Melayu.

“Memang pun, saya sendiri waktu mula-mula bertemu dan berkenan kepada dia dulu pun, tak sangka dia bukan orang Melayu. Bila cek (teliti) nama baru tahu,” akui Paizul Insam Ismail, separuh ketawa.

Pemuda berusia 28 tahun itu mengulas perwatakan isterinya, Solehah, yang diakuinya memang tidak menampakkan sebarang perbezaan ketara secara lahiriahnya dengan wanita-wanita Melayu lain.

Solehah dilahirkan sebagai Habis a/p Brong. Beliau adalah anak ketujuh daripada 11 beradik dalam sebuah keluarga Orang Asli suku kaum Semai dari Kampung Terisu, Cameron Highlands, Pahang.

Ayahnya, Brong o.c. Chenabin dan ibunya, Andak a/p Samat tidak menganut apa-apa fahaman. Walau pun kita sering difahamkan bahawa kaum Orang Asli pada asalnya menganut fahaman yang disebut animisme, pada praktiknya mereka seakan tidak mempunyai pegangan aqidah.

“Ada la setengah orang (Orang Asli) percaya pada pokok. Setengah (percaya) pada angin, bukit (dan) macam-macam. Setengah tu tak gitu, tak percaya apa-apa pun,” terang Solehah.

Kekosongan aqidah sebegitulah yang memenuhi kehidupan keluarga mereka sehingga akhirnya seorang demi seorang anak-anak memilih kepercayaan masing-masing. Ada yang memeluk agama Kristian dan ada yang memilih untuk kekal dengan kepercayaan asal ibubapa mereka.

Namun suatu yang menarik, sebahagian besar anak-anak keluarga itu kini bergelar muslimah.

“Tiga orang saja adik-beradik kami tak masuk Islam. Seorang abang jadi Kristian, seorang lagi abang dengan seorang kakak kekal (dengan anutan asal),” ujar Solehah.

Menurutnya, perintis kepada jalan hidayah di dalam keluarganya ialah kakaknya yang sulung, Norlaili. Katanya, kakaknya itu memeluk Islam sewaktu masih di sekolah rendah. Langkah itu disusuli dua kakaknya yang lain, Noraini dan Lijah.

Keputusan tiga kakaknya itu banyak mempengaruhi pendirian Solehah. Dia kemudiannya turut terbuka hati untuk ikut bersama mereka memeluk Islam.

“Bila tengok ramai kakak dah masuk Islam, saya pun semakin terbuka hati nak ikut sama. Lagi pun saya tak ada apa-apa (kepercayaan). Di kampung kami tu pulak dah makin ramai Orang Asli masuk Islam. Mak dengan ayah pun tak marah,” cerita Solehah.

Pergaulan baik antaranya dengan rakan-rakan sepersekolahan yang majoritinya berbangsa Melayu beragama Islam sedikit sebanyak membantu beliau membina persepi positif terhadap agama suci ini. Biar pun beliau menegaskan tidak ada walau seorang pun di antara kawan-kawannya yang mengajak beliau memeluk Islam, rasa senang dengan agama ini datang dengan sendiri ke dalam hatinya.

Beliau akhirnya mengikrarkan syahadah di hadapan seorang ustaz di Sekolah Menengah Raub, Pahang. Ketika itu beliau di Tingkatan Dua dan tinggal di asrama sekolah tersebut.

Empat lagi adiknya, Husna, Sofia, Amira dan Mona kemudiannya turut mengucap kalimah tayyibah. Itu menjadikan lapan daripada 11 beradik mereka memilih Islam. Hanya kedua ibu bapa, dua abang dan seorang kakak mereka yang belum menerima syahadah.

“Mak pun sebenarnya dah tertarik dan bersedia nak masuk Islam, tapi dia kata nak tunggu ayah masuk Islam sama,” ceritanya.

Selepas tamat sekolah menengah, Solehah mengikuti program ‘Petama’ dibiayai Yayasan Pahang di Kuantan. Menurutnya, program pengajian agama Islam itu dikhususkan untuk anak-anak Orang Asli yang memeluk Islam.

Di kesempatan berada di ibu negeri itulah beliau ditakdirkan bertemu jodohnya dengan seorang pemuda dari Besut, Terengganu. Ketika itu suaminya, Paizul bekerja dengan sebuah syarikat yang mengambil kontrak kebersihan di Pelabuhan Kuantan.

Setelah berkenalan buat beberapa ketika, kedua-duanya menyatakan kesediaan untuk mengikat tali pernikahan. Maka pada 2003, Solehah dibawa oleh pihak penyelaras program pengajiannya ke Besut. Di sana mereka diijabkabulkan.

Hasil perkongsian hidup selama 8 tahun mereka kini dikurniakan dua cahayamata. Anak sulung, Mohd Danial berusia tujuh tahun, manakala anak kedua, Mohd Muiz Muhaimin, tiga. Solehah kini sarat mengandungkan anak ketiga mereka.

“Alhamdulillah, saya rasa amat bertuah kerana dipilih Allah untuk menjadi pembimbing kepada seorang Saudara Kita. Sekurang-kurangnya ilmu yang saya belajar dari ustaz-ustaz di surau tu dapat saya ajar balik untuk bimbing isteri faham tentang Islam,” luah Paizul, mengakhiri perbualan kami.

(Artikel ini disiarkan majalah al-Muslimah Bil: 231, Edisi Mei 2011, di ruangan 'hidayah' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment