Oleh: Mat Zain Mat Isa
Kematian Osama bin Laden tidak akan menghentikan keganasan di alam maya ini. Sama ada berita kematian jutawan Arab Saudi yang dianggap ketua rangkaian al-Qaeda itu benar atau rekaan, ia tidak memberikan banyak perbezaan.
Namun berdasarkan reaksi pelbagai pihak di serata dunia terhadap kematian diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu, ia bukan sesuatu yang menjamin pulangan positif terhadap imej dan reputasi negara kuasa besar dunia itu.
Dunia memberikan reaksi agak pelbagai. Insiden itu sendiri dibauri pelbagai tanda tanya dan pertikaian. Antaranya, siapakah yang lebih layak digelar pengganas sebenar, Osama atau AS?
Ada yang mempersoalkan kesahihan kejadian. Gambar didakwa mayat Osama yang paling awal disiarkan media antarabangsa dan disebarkan menerusi internet kemudiannya dibuktikan sebagai palsu. Nampak sangat ia hanya superimposed daripada gambar dalam pose sama sewaktu Osama masih hidup.
Ia meragukan dunia, apakah Osama betul-betul telah dibunuh? Kegagalan AS mendedahkan gambar sebenar melunturkan keyakinan masyarakat antarabangsa. Apatah lagi AS diketahui amat bijak mereka cerita palsu dan mengatur konspirasi.
Cara bagaimana mayat Osama diuruskan juga menambahkan keraguan. Kenapa AS tergesa-gesa menghilangkannya dari tatapan dunia? Mengapa ia memilih dasar laut sebagai tempat persemadian? Apakah ia mahu menyembunyikan kebenaran?
Rentetan tindakan celaru itu sendiri membukitkan pertikaian. AS bukan sahaja gagal meyakinkan dunia untuk menerima berita itu, malah mengelegakkan masyarakat Islam dengan kaedah pengebumian mayat secara amat biadab itu.
Hasilnya, biar pun AS menjulang insiden itu sebagai kejayaan paling besar tenteranya menamatkan riwayat orang yang digelarnya ‘Pengganas Nombor Satu Dunia’ dan mengharapkan sanjungan dunia di atas kejayaan itu, lebih separuh dunia melontarkan reaksi sebaliknya. Imej dan reputasi AS sebagai penegak demokrasi dunia dan pejuang keadilan makin dipersoalkan.
AS dianggap menuduh tanpa bukti. Selama ini pun ia tidak pernah mengemukakan bukti konkrit dan meyakinkan untuk mengaitkan Osama dengan semua siri keganasan disenaraikannya.
Mengaitkan Osama dengan kejadian letupan menara berkembar Pusat Dagangan Dunia di New York dulu pun masih dipertikaikan orang-orang Barat sendiri dari segi logiknya. Apatah lagi AS hanya mengemukakan senarai beberapa penumpang pesawat terbabit yang didakwanya anggota kumpulan al-Qaeda sebagai bukti.
Dengan kekuatan ketenteraan, penguasaan rangkaian maklumat antarabangsa dan cengkaman ke atas media dunia, AS seakan boleh mewajarkan apa saja tindakannya. Manipulasi kuasanya mampu menghasilkan tanggapan positif, kononnya apa juga yang diutarakannya adalah benar dan mesti disokong masyarakat dunia.
Sebab itu AS tidak menghiraukan apa pandangan orang lain terhadapnya. Ia terlalu obses dengan pendiriannya. Sesiapa atau mana-mana negara yang dianggapnya pengganas, ia akan berusaha sedapat mungkin meyakinkan dunia bahawa pihak itu memang ganas.
Beberapa siri tindakan ketenteraan AS sendiri sebelum ini telah membuktikan betapa negara itu sanggup bertindak di luar batas kemanusiaan semata-mata didorong andaian itu. Ia tidak teragak mengarahkan tindakan ketenteraan ke atas sasaran.
Dunia diminta menyokong, kononnya atas dasar menggempur kubu pengganas. Tindakan yang kononnya bagi memastikan dunia aman dan bebas dari keganasan itu pula sering menjadikan negara-negara orang lain sebagai medan perang.
Itulah yang suatu ketika dulu dilakukannya terhadap Vietnam, Nicaragua, Panama, Korea dan lain-lain. Begitu juga Iraq. Semata-mata mahu membuktikan kepada dunia kononnya Saddam Hussein sebagai pengganas, AS akhirnya mendapat lesen menjadikan bumi Iraq sebagai padang jarak padang tekukur.
Alasan utama mewajarkan kerahan tentera ke negara itu ialah kononnya Saddam ada menyimpan senjata penmusnah besar-besaran (WMD) dan berhasrat menghancurkan dunia. Tanpa perlu membuktikan tuduhan itu, hancur lumat bumi Iraq diganyang, lunyai longlai rakyat negara itu dikerjakan AS.
Saddam sendiri diburu macam binatang buas. Namun selepas pemimpin diktator itu berjaya ditangkap dan dibunuh, keganasan tentera AS terhadap rakyat negara itu tidak juga terhenti. Malah, alasan utama kononnya Saddam memiliki WMD itu dibuktikan pasukan penyiasat antarabangsa sebagai karut.
Malangnya, dunia bagaikan merestui tindakan ganas dan tidak bertamadun oleh AS itu. Jangan dikatakan untuk menyaman dan mendakwa negara kuasa besar itu sebagai pengganas di mahkamah antarabangsa, untuk meluluskan resolusi mengutuk tindakan sembrono yang mengorbankan ribuan nyawa itu pun dunia tidak berani.
AS adalah pengganas sebenar. Berkongsi kedudukan sebagai pengganas utama dunia ialah anak emasnya Israel yang tidak pernah berhenti menzalimi dan mengganasi rakyat Palestin. Lebih separuh dunia mengakui hakikat ini.
Malangnya, keganasan dua entiti ini gagal dihayati pemimpin negara kita. Sebab itu apabila AS dan Israel menjadi pihak paling bergembira dengan berita kematian Osama, pemimpin utama negara kita juga berkongsi pendirian sama.
“Dunia diharap lebih aman tanpa Osama”, media memetik reaksi Perdana Menteri, Najib Razak. Ungkapan serupa dituturkan sepupunya, yang juga Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1638, 9 Mei 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment