Oleh: Mat Zain Mat Isa
Jika Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Razak, berkira pelawaannya kepada PAS agar menyertai Barisan Nasional (BN) yang diucapkannya di Terengganu minggu lalu boleh memberikan imej dan implikasi politik yang positif kepada pihaknya, beliau tersilap besar.
Meski pun pelawaan tersebut dibuatnya dengan iringan senyum selamba dan diberikan tepukan gemuruh para penjuak partinya, Najib mungkin terlupa banyak pihak sebenarnya tersinggung, malah mungkin terguris hati dengan pelawaan “ajak-ajak ayam” nya itu. Ia bukan sahaja membangkitkan rasa benci pendokong parti lawan, malah turut menjeruk perasaan rakan Umno dalam BN sendiri.
Mangsa yang secara jelas menjadi sasaran utama serangan Najib dalam ucapannya ialah DAP. Parti berpaksikan kaum Cina itu digambarkan seburuk kawan bagi PAS. Ia didakwa bukan sahaja tidak pernah berhasrat menerima perjuangan Islam dibawa PAS, malah menjadi penghalang utama usaha PAS melaksanakan agenda Islam.
Pelbagai saluran propaganda BN memperincikan ucapan Najib itu. DAP dikatakan membantah sebarang usaha PAS memperkenalkan peraturan dan program Islam, terutama di negeri-negeri diperintah Pakatan Rakyat. Gandingan PAS di dalam pakatan pembangkang itu dianggap sia-sia. PAS malah dilabelkan tidak lebih sebagai pak turut kepada DAP dalam banyak hal.
Serangan Najib itu bersifat ‘serampang dua mata’. Biar pun beliau seakan membayangkan simpati terhadap nasib menimpa PAS, ia sebenarnya persendaan amat mengguris terhadap parti Islam itu.
PAS digambarkan seolah-olah gagal menilai mana parti lebih baik – antara DAP dan Umno – untuk dijadikan gandingan, terutama dalam menjayakan agenda menegakkan agama.
Namun jangan lupa, di sebalik persendaan Najib terhadap DAP, pelawaannya kepada PAS sebenarnya ikut menyinggung parti rakannya dalam BN, iaitu MCA. Dalam keadaan Najib tahu PAS serius memperjuangkan Islam, bahkan hujah itulah dijadikan sandarannya mempersenda persahabatan PAS-DAP, apakah dia lupa pendirian MCA terhadap perjuangan PAS?
Umum tahu parti pesaing utama DAP meraih sokongan masyarakat Cina itu hingga kini tidak berganjak dari pendirian keras menentang hasrat PAS menubuhkan Negara Islam.
Sikap itu diulangi Presidennya, Dato’ Seri Dr Chua Soi Lek, dalam mengulas pelawaan Najib terhadap PAS itu. Agak ketara perasaan tidak selesanya ketika membayangkan jika benar PAS menerima pelawaan itu. Soalnya, apakah semata-mata kerana kononnya mahu memberi ruang kepada PAS melaksanakan Islam, Najib akan sanggup mengenepikan sentimen anti-Negara Islam dianuti MCA?
Agak malang buat Najib, dia bukan sahaja menyinggung perasaan rakan, malah memilih negeri yang salah untuk menghulurkan pelawaan kepada PAS. Terengganu adalah negeri yang menyaksikan paling banyak kezaliman dan kebodohan Umno dalam menangani pertarungan politik dengan PAS.
Justeru, ajakan untuk PAS menerima Umno adalah suatu persendaan yang sukar diterima rakyat negeri itu. Ia sebaliknya lebih membuatkan rakyat Terengganu, khususnya para penyokong PAS, bertambah meluat dan benci kepada Umno.
Umno Terengganu mempunyai rekod amat jahat terhadap rakyat negeri itu, lebih-lebih lagi para penyokong PAS. Mana ada Umno negeri lain yang tergamak merobohkan rumah Allah, semata-mata kerana tidak dapat menerima pelan susunatur pembahagian lot tanah perumahan yang dibuat kerajaan PAS sebelumnya?
Umno Terengganu adalah manusia paling tidak siuman apabila tergamak merampas semula ribuan lot tanah diagihkan PAS. Bukan itu sahaja, habis segala binaan, termasuk kerangka rumah dan bangunan yang telah siap dibina rakyat disondol tanpa pertimbangan yang waras.
Tangan Umno Terengganu terlalu cemar dan terpalit dosa. Mana mungkin tangan sebusuk dan senajis itu mahu diterima dan dijabat oleh penyokong PAS?
Pelawaan Najib itu sebenarnya mampu membangkitkan semula kehangatan hati rakyat Terengganu terhadap Umno. Ia kembali mengingatkan mereka bagaimana ratusan pendakwah dan pentarbiyah yang memakmurkan masjid dan surau serta menyemarakkan budaya ilmu Islam dalam masyarakat telah sewenangnya dipecat dan dinafikan hak menjunjung agama.
Puluhan imam dan bilal, ratusan petugas Unit Pembanguna Insan, puluhan mubaligh dan guru takmir dilenyapkan kelibat mereka dalam masyarakat sebaik Umno kembali berkuasa di Terengganu.
Kerja-kerja pembanterasan maksiat juga menemui jalan sukar sejak itu. Puluhan pembantu penguatkuasa syariah yang dilantik PAS dipecat. Ia sekali gus menutup ruang ratusan lagi yang bertugas secara sukarela menerusi organisasi parti di peringkat cawangan di seluruh negeri daripada terus menyumbang tenaga menjayakan operasi pencegahan di tempat masing-masing.
Justeru, jika ada yang mendakwa Umno banyak berjasa kepada perkembangan Islam, terutama di Terengganu kebelakangan ini, itulah “jasa-jasa” nya. Ia bertanggungjawab menyuburkan maksiat, memalapkan cahaya Islam dan melemahkan pentadbiran agama.
Maka bagaimana mahu diharap PAS akan ada lebih ruang melaksanakan agenda Islam jika bersatu dengan Umno?
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1637, 6 Mei 2011 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment