Monday, June 30, 2014

Ustaz Latif - Hatinya kekal bersama PAS


Belansungkawa Almarhum Ustaz Abdul Latif Muhammad (1940-2014)

Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

“Orang boleh buang (keahlian) ana dari PAS, tapi orang takkan boleh buang PAS dari dalam hati ana”, demikian penegasan yang pernah dituturkan bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Almarhum Ustaz Abdul Latif Muhammad.

Kata-kata itu sudah cukup menggambarkan kecintaan dan iltizam beliau yang sangat tinggi terhadap parti ini. Pertautan hatinya dengan PAS tersangat erat. Bahkan buat beberapa ketika sewaktu beliau berada di puncak kepimpinan parti, nama beliau seakan sinonim dengan PAS Besut.

Sehinggakan, di ketika isu pemecatan beliau menjuarai bual-bicara masyarakat kira-kira 16 tahun lalu, beliau dikatakan berulangkali menegaskan bahawa “ana adalah PAS Besut, dan PAS Besut adalah ana”.

Kata-kata itu mungkin bunyinya agak egoistik. Namun, bagi yang mengenali beliau secara dekat dan mengkaji susur-galur perjuangan PAS di daerah utara Terengganu ini, ungkapan itu bukanlah suatu yang keterlaluan.

Penulis sendiri dalam beberapa tahun kebelakangan ini agak kerap mengunjungi Ustaz Abdul Latif. Pertama, kebetulan beberapa kali diminta teman-teman pemimpin PAS Kawasan Besut dan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu untuk menjadi “penunjuk arah” ke rumah beliau. Mereka berhasrat memanjangkan undangan kepada Ustaz agar hadir sebagai tetamu di dalam beberapa perhimpunan besar anjuran parti.

Kedua, penulis juga kebetulan dirujuk beberapa pelajar institusi pengajian tinggi untuk membelek sejarah PAS Besut. Makanya, di antara tokoh yang mereka tanyakan ialah Ustaz Abdul Latif. Bahkan, antara mereka ada yang mendakwa pensyarah mereka mensyaratkan mesti dibuat temubual dengan Ustaz. Jika tidak, bual bicara mengenai PAS Besut dianggap tidak sempurna.

Maka, bagi memenuhi hajat mereka itu, penulis turut menjadi “penghubung” antara mereka dengan Ustaz. Di masa sama, hal itu membuatkan penulis berfikir bahawa di luar sana pun rupanya banyak pihak yang memperakui betapa Ustaz Abdul Latif dan sejarah PAS Besut adalah “sinonim”. Justeru, membicarakan sejarah parti di kawasan itu tanpa mengutip komentar daripada beliau dikira tidak lengkap.

Kini, segala catatan itu akan benar-benar menjadi sejarah. Ustaz Abdul Latif sudah tidak lagi bersama kita. Awal pagi Rabu, 25 Jun 2014, beliau dijemput pulang oleh Allah Taala setelah sekian lama menderita akibat serangan angin ahmar.

Abdul Latif Muhammad dilahirkan pada 1940 di Kampung Pulau Berangan, Besut. Ayahnya, Haji Muhammad bin Husin adalah seorang pesawah padi.

Menjadi kebiasaan ibubapa yang memiliki kesedaran hidup beragama ketika itu untuk menghantar anak-anak mereka mendalami ilmu Islam di pondok-pondok. Maka Abdul Latif dihantar ayahnya mengaji di Pondok Tok Guru Haji Abdul Latif, Alor Keladi, Besut (tapak Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah sekarang).

Berbekalkan ilmu ditimba di situ, beliau turun ke tengah masyarakat menyampaikan pengajaran Islam. Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 menjadi titik tolak penting karier politik Ustaz Abdul Latif. Beliau dipilih menjadi calon PAS bagi kerusi DUN Setiu, tetapi tidak menang.

Beberapa tahun kemudian, beliau melanjutkan pelajaran pula ke Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, di Nilam Puri, sebuah institusi pendidikan agama kelolaan kerajaan negeri yang sangat masyhur ketika itu.

Ustaz Abdul Latif tidak bertanding dalam PRU 1974. PAS berada di dalam Barisan Nasional (BN) dan diperuntukkan hanya sebuah kerusi DUN, iaitu di Kuala Besut. Calonnya, Ustaz Husin Jusoh menang selesa ke atas calon PSRM.

Ustaz Abdul Latif kemudiannya mula diberikan amanah kepimpinan dalam parti. Jawatan pertama beliau ialah sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut, yang disandangnya antara 1975 hingga 1977.

Dalam tempoh itu, beliau dikatakan sempat melanjutkan pelajaran ke Universiti Darul Uloom, Deoband, India sebelum memasuki Universiti Al-Azhar, Mesir dalam jurusan Syariah wal Qanun.

Pada PRU 1978, beliau dipertaruhkan PAS menentang calon BN di kerusi DUN Ulu Besut, tetapi kalah. Bahkan, pada pilihan raya itulah buat pertama (dan terakhir) kali PAS gagal menawan sebarang kerusi di Terengganu.

Lebih kurang pada masa sama berlaku ledakan kebangkitan Islam serata dunia. Negara kita turut menerima landaan gelombang kesedaran akidah itu. Umat Islam dilontarkan dengan persoalan batas-batas iman dan kufur. Pembicaraannya yang kurang teliti akhirnya menyeret masyarakat ke dalam polemik isu kafir-mengkafir.

Tokoh utama di tengah-tengah polemik ini di Terengganu ialah Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Rusila), Tuan Guru Awang Nasruddin Abu Bakar (Batu Enam), Ustaz Stimat@Muhammad Jusoh (Kerandang) dan Ustaz Abdul Latif Muhammad (Jertih). Ketegasan mereka menjulang isu akidah ini nyata menggerunkan BN.

Bagi Ustaz Abdul Latif pula, keberaniannya mengusik kejahilan masyarakat mengenai isu itu turut melonjakkan namanya di dalam parti. Beliau diamanahkan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, selama dua penggal (1979-83).

Pada PRU 1982, Ustaz bertanding di DUN Bukit Kenak. Biar pun tewas, semangat juangnya semakin mencanak. Susunatur strategi dan gerakerja parti semakin diperhebatkannya. Hal itu dikatakan amat membimbangkan BN dan dianggap punca utama Ustaz Abdul Latif terpaksa “direhatkan”. Pada 1983, beliau ditahan di bawah Akta Kediaman Terhad dan dibuang daerah ke Sitiawan, Perak.

Jangkaan BN, beliau mungkin akan kendur dan tidak lagi begitu aktif selepas dibebaskan. Amat malang bagi parti “taghut” itu, perkara sebaliknya yang berlaku. Sambutan masyarakat bertambah tinggi terhadap kehadiran Ustaz Abdul Latif. Justeru, pada PRU 1986, parti menggandakan amanah kepada beliau untuk bertanding di dua kerusi – Parlimen Besut dan DUN Kuala Besut.

Sejarah selepas PRU 1982 berulang lagi. Meski pun tewas, kesungguhannya mempertingkatkan gerakerja parti amat mencabar BN. Maka, menerusi Operasi Lalang 1987, Ustaz Abdul Latif ditahan di bawah ISA pula.

Sepertimana “pengurungan” pada 1983, kesan kali ini juga serupa. Semakin ditekan dan dizalimi, semakin dia mendapat simpati dan sajungan masyarakat. Ustaz bagaikan telah “menakluk” jiwa para pejuang di Besut ketika itu.

Maka sejurus dibebaskan dari cengkaman akta zalim itu, Ustaz Abdul Latif diangkat menerajui PAS Kawasan Besut. Beliau menjadi Yang Dipertua kawasan itu selama sedekad (1988-98). Beliau turut aktif sebagai AJK Dewan Ulama PAS Pusat.

Pengorbanan beliau yang begitu tinggi demi menegakkan Islam dikira terbayar pada PRU 1990. Ustaz berjaya menewaskan calon BN di DUN Jertih, sekaligus menamatkan kemarau kerusi selama empat penggal di Besut. Beliau bagaimana pun gagal mempertahankan kerusi tersebut pada PRU 1995.

Tahun 1998 merupakan tahun dukacita buat PAS Besut, terutama Ustaz Abdul Latif sendiri. Disebabkan beberapa faktor tidak dapat dielakkan, PAS Pusat mengambil keputusan menggantung pentadbiran PAS kawasan berkenaan. Sekumpulan ahli yang tidak dapat menerima tindakan itu, terutamanya para penyokong kuat Ustaz Abdul Latif telah melakukan beberapa tindakan yang tambah mengeruh dan menegangkan suasana.

Akhirnya, PAS Pusat tiada pilihan melainkan memecat Ustaz Abdul Latif dan beberapa bekas pemimpin PAS Besut lain. Bermula saat itulah, kariernya di dalam parti terus malap. Beliau malah dilihat muncul di pentas BN beberapa kali, termasuk bagi menjayakan program ‘Selamat Tinggal PAS (STP)’ anjuran Umno Besut.

Namun, bak kata orang-orang tua, “biduk lalu, kiambang bertaut”, begitulah juga perihal Ustaz dan PAS. Hanya sejurus PRU 2004, dan setelah melihat kejatuhan kerajaan PAS Terengganu, mula kedengaran kekesalan yang nyata dari kalangan penyokong luat Ustaz Abdul Latif. Beliau sendiri dikatakan semakin kerap memberi amaran kepada para pengikut setianya agar “jangan gaduh jemerang (menyeberang)”, yakni menyertai Umno/BN.

Alhamdulillah, menjelang PRU 2008, Ustaz Abdul Latif mengisytiharkan dirinya sudah sedia kembali ke pangkuan PAS. Bagi membuktikan kesungguhan itu, beliau malah menjemput kepimpinan tertinggi PAS negeri membuat program ceramah besar di pekarangan rumahnya.

Semangat dan kesetiaan itu dipercayai beliau pegang hingga ke akhir hayatnya. Sekalung doa keampunan dan kerahmatan Allah buat penakluk jiwa pejuang ini.

(Artikel ini adalah versi asal (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil: 1959, bertarikh 2 Ramadhan 1435/30 Jun 2014 di ruangan KOLUMNIS F21 dengan tajuk sama)

Wednesday, June 25, 2014

Perginya seorang pejuang kental - Ustaz Abu Bakar Chik


Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik dalam kenangan (1950-2014)

Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

AWAL pagi Isnin, 23 Jun 2014, negara kita kehilangan seorang lagi pemimpin ummah. Sang murobbi, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik dijemput pulang ke rahmatullah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di KM390 Lebuh raya Pantai Timur laluan Bukit Besi-Ajil jam 3.16 pagi. Dikhabarkan beliau bersama pembantunya, Hasmizi Hassan dalam perjalanan pulang dari program bersama anak muda di Lembah Kelang.

Almarhum merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, badan eksekutif tertinggi dalam parti. Sudah lebih dua dekad beliau menganggotai jawatankuasa itu. Sebelum itu beliau turut terlibat mengobar dan menjulang semangat juang anak-anak muda PAS ketika sama-sama menerajui sayap Pemuda parti beberapa penggal.

Almarhum adalah salah seorang di antara hanya sebilangan “pemimpin serba boleh” yang ada di dalam PAS. Beliau adalah perancang dan pelaksana berbagai program dan kerja jamaah. Ideanya bagaikan tidak pernah kering. Kemampuannya memikul amanah diberikan parti tidak terbatas kepada sesuatu bidang khusus. Beliau cemerlang sebagai pemimpin politik mahu pun tarbiyah. Beliau berjaya menerajui lajnah, sama ada pertanian mahu pun kemanusiaan.

Namanya turut sinonim dengan agenda pendidikan ummah, terutama pendidikan berinstitusi. Ketegasannya dalam menegakkan kebenaran tidak perlu dipertikaikan, sama ada di corong kuliah mahu pun di jalan raya.

Abu Bakar @ Zaid bin Chik dilahirkan pada 18 Ogos 1950 di Kampung Masjid Tepuh, Mukim Kuala Nerus, Kuala Terengganu. Beliau adalah anak yang kedua dari tujuh adik-beradik, dalam sebuah keluarga petani.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Bukit Cempaka, tidak berapa jauh dari rumahnya. Beliau kemudian berpindah ke Sekolah Kebangsaan Bukit Nenas, Kuala Terengganu.

Pada tahun 1963 hingga 1966 Abu Bakar melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang, Kuala Terengganu. Seterusnya beliau menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin di Batu Burok, Kuala Terengganu (1967-1970).

Minatnya terhadap kerja-kerja Islam secara berjamaah terserlah sejak usia belasan tahun ini. Pada tahun 1968 Abu Bakar menjadi salah seorang pengasas penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) cawangan Terengganu.

Pada 1971 Abu Bakar berhijrah pula ke Kolej Islam, Klang. Di sana beliau aktif dengan gerakan pelajar dan memimpin beberapa persatuan.

Pada 1973 Abu Bakar melanjutkan pula pelajarannya ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Di situlah bakat kepimpinannya semakin terserlah. Beliau dipilih menjadi Naib Presiden Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) bagi sesi 1975/76, kemudian diberi kepercayaan memimpin Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) sesi 1976/77.

Abu Bakar berjaya mendapat ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, disamping Diploma Pendidikan di UKM.

Kegigihannya membantu menggerakkan dakwah, dan cita-citanya untuk melahirkan insan yang berjiwa Islam terlaksana, bilamana beliau dan rakan-rakannya berjaya menubuhkan Maahad al-Ikhwan (Institut Berakan), di Kuala Terengganu pada tahun 1977, iaitu sebaik sahaja selesai pengajiannya di UKM. Pusat kaderisasi dakwah itu bagaimana pun diranapkan BN pada 1991.

Di rumahnya di Kampung Tok Jiring, berhampiran Pekan Batu Enam, Kuala Terengganu, Abu Bakar adalah suami kepada Cikgu Zaitun binti Salleh. Hasil perkongsian hidup mereka, lahirlah lapan orang anak. Di kalangan anggota keluarga, Abu Bakar lebih dikenali sebagai ‘Abang Zaid’. Manakala di kalangan rakan-rakan dalam parti beliau lebih terkenal dengan panggilan ringkas ‘ABC’ (diambil dari initial namanya).

Ada catatan menyebut ABC menyertai PAS pada 1981. Bagaimana pun beliau dikatakan mula bergerak aktif dalam PAS jauh lebih awal, iaitu sewaktu Pilihan Raya Umum 1974. Dalam pilihan raya itu beliau berkempen untuk PAS di seluruh negeri Terengganu.

Bermula tahun 1982, ABC muncul sebagai salah satu tenaga terpenting PAS peringkat negeri Terengganu, dan juga Pusat. Beliau diamanahkan beberapa jawatan penting dalam parti, seperti Ketua Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat, Ketua DPP Negeri Terengganu, dan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus.

Kepimpinannya dalam DPP menapak lagi apabila beliau dipilih menjadi Naib Ketua dalam dua era, iaitu era DPP Pusat pimpinan Haji Mustafa Ali dan sekali lagi sewaktu ia dipimpin oleh Ustaz Halim Arshat. Bermula pada tahun 1989, Abu Bakar dipilih pula sebagai Ketua DPP Pusat untuk beberapa penggal seterusnya.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1982 juga ABC diamanahkan untuk mewakili PAS bertanding di kerusi DUN Jeram, menghadapi calon BN, Sufian Mohd Said. ABC berjaya menewaskan calon BN itu dengan kelebihan 208 undi. Beliau mendapat 3,388 undi berbanding Sufian yang memungut 3,180 undi.

Kemenangan itu turut memberi kekuatan “luar biasa” buat PAS Terengganu, setelah sekian lama ketandusan wakil di dalam DUN tersebut. Kebetulan pula, turut menang bersama ABC ialah empat lagi tokoh utama PAS negeri, iaitu Tuan Guru Abdul Hadi Awang (DUN Marang), Cikgu Mustafa Ali (Wakaf Mempelam), Ustaz Harun Taib (Manir) dan Wan Abdul Muttalib Embong (Batu Burok). Kehadiran mereka sering dianggap “lima jari yang dikempal membentuk penumbuk” yang menyakitkan kerajaan BN Terengganu ketika itu.

Penggal perkhidmatan ABC itu bagaimanapun bertukar menjadi mimpi ngeri apabila pada tahun 1984 beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dibebaskan hanya dua tahun kemudian (1986).

Sewaktu tempoh tahanannya itu masih belum tamat, tibalah PRU 1986. ABC dipilih menjadi calon PAS, bertanding menentang BN dari dalam tahanan bagi kerusi Parlimen Kuala Nerus. Calon BN, Ibrahim Azmi Hassan menang dengan majoriti 7,296 undi.

Dalam PRU 1990, ABC bertanding di kerusi Parlimen Setiu, tetapi tewas. Pada PRU 1995, ABC bertanding di kerusi Batu Rakit, salah sebuah DUN dalam kawasan Setiu. Calon BN, Dr Abdul Wahab Ngah menang tipis dengan majoriti 590 undi. Ia menjadikan Batu Rakit salah sebuah DUN sasaran bagi PAS Terengganu dalam perancangan untuk merampas negeri itu daripada BN melalui PRU ke-10.

Pada 29 November 1999 impian itu menjadi kenyataan. DUN Batu Rakit rebah ke pangkuan PAS dengan kelebihan memihak kepada Ustaz ABC sebanyak 1,187 undi. Dalam pembentukan kerajaan Terengganu selepas itu, Ustaz Haji Abu Bakar Chik dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (Exco).

Dalam hierarki parti, terutama di peringkat negeri, Almarhum diberikan kepercayaan lebih besar. Beliau diangkat sebagai salah seorang Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, selain sebilangan tugasan lain di peringkat Pusat. Amanah itu terus dipukulnya beberapa penggal, walau pun selepas tidak lagi bergelar wakil rakyat.

Dalam usianya melintasi 64 tahun, semangat dan komitmennya terhadap kerja-kerja jamaah bagaikan tidak pernah pudar. Bahkan, kesungguhannya menjayakan apa jua program diaturkan parti tidak sukar dinilai, malah mengalahkan para pejuang lebih muda.

Sekalung doa kerahmatan buat sang pejuang kental ini!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil:1958, 29 Syaaban 1435/27 Jun 2014 di ruangan BELASUNGKAWA F21 dengan tajuk sama).

Sunday, June 15, 2014

Menghayati Sunnah dipandang sinis?


Oleh: MOHD NASIR AWANG

Katakanlah saya mempunyai anak perempuan yang sudah remaja. Saya berhasrat menikahkannya, kerana keadaannya saya anggap sudah sesuai untuk berumahtangga. Calon menantu juga telah dikenalpasti, seorang guru sebayanya.

Setelah selesai proses peminangan dan perancangan pernikahan, maka di antara perkara utama diambil keputusan ialah mengenai jumlah maskahwin dan hantaran. Saya difahamkan di beberapa negeri, maskahwin dan hantaran adalah dua perkara berasingan.

Selalunya maskahwin melibatkan hanya beberapa puluh ringgit, sepertimana ditetapkan pihak berkuasa agama negeri masing-masing. Manakala jumlah hantaran terpulang kepada persetujuan kedua-dua pihak dan selalunya ditetapkan pihak pengantin perempuan.

Di tempat saya (Terengganu), telah menjadi amalan bahawa jumlah maskahwin yang ditawarkan semasa akad nikah dikira bersekali dengan wang hantaran. Justeru, jumlah maskahwin yang diisytiharkan jurunikah bernilai ribuan ringgit.

Menurut maklumat terkini, nilai maskahwin di sekitar daerah saya kini tidak kurang daripada RM5,000. Jumlahnya berbeza-beza mengikut persetujuan kedua-dua pihak, terutama mengambilkira status ekonomi dan sosial keluarga, sama ada pengantin lelaki mahu pun perempuan. Semakin tinggi status keluarga, selalunya semakin tinggilah nilai maskahwin ditetapkan.

Andaikan pula keluarga saya tidaklah termasuk dalam kategori miskin, walau pun tidak juga dianggap berada. Status sosio-ekonomi kami adalah sederhana sepertimana kebanyakan masyarakat sekampung. Namun, mengambilkira bakal menantu adalah seorang guru lulusan universiti, dan anak saya pula pemegang ijazah sarjana, maka secara adatnya nilai maskahwin anak saya MESTILAH mengatasi kebanyakan pengantin perempuan lain.

Namun kami memilih untuk tidak meraikan adat dan status tersebut. Katakanlah, anak kami dinikahkan dengan maskahwin hanya RM2,500. Ia bukan sahaja lebih rendah daripada maskahwin kebanyakan pengantin sekampung kami, yang rata-rata hanya berpengajian setakat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia atau lebih rendah, bahkan jauh di bawah nilai minima (RM5,000) yang diterimapakai masyarakat setempat.

Saya kira anda dapat mengagak apa reaksi jiran-tetangga dan masyarakat sekampung mengenai tindakan kami itu. Ya, bagai diduga, ia diterima sebagai kejutan. Kebanyakan mereka menganggapnya tindakan di luar adat kebiasaan. Ada juga yang meremehkan kami sebagai “tidak tahu mengikuti perkembangan zaman” (kerana masih kekal dengan “rate” maskahwin dua-tiga puluh tahun lalu).

Hanya sejumlah kecil yang bersetuju dengan keputusan kami itu. Mereka itu sama ada mempunyai kefahaman agama mengenai keutamaan menawarkan maskahwin yang murah dan mudah, atau sekurang-kurangnya tahu merai dan merasionalkan tindakan kami.


Percayalah para pembaca sekalian, apa yang saya coretkan di atas bukan semata-mata andaian atau rekaan. Ia berasaskan kisah benar yang memang berlaku. Bahawa usaha sebuah keluarga untuk mengembalikan penghayatan Sunnah Nabi saw (yang menekankan soal maskahwin yang mudah) rupanya dianggap suatu yang pelik dan sukar diterima masyarakat.

Sedangkan Rasulullah saw bersabda: Sebaik-baik mahar ialah yang paling mudah. (HR Abu Daud dan disahihkan oleh Al-Hakim)

Diriwayatkan juga dalam beberapa hadith bahawa Rasulullah saw pernah menikahkan seorang lelaki dengan seorang wanita dengan maskahwin hanya sebentuk cincin besi. Nabi saw juga diriwayatkan membolehkan pernikahan bermaharkan sepasang sepatu, atau gandum atau kurma.

Saya melihat apa yang sedang berlaku ke atas umat Islam mutakhir ini sebenarnya menepati apa yang telah dibayangkan oleh Baginda Rasulullah saw dalam hadithnya, “Islam datang dalam keadaan asing, dan akan kembali menjadi asing...”

Ya, kedatangan Islam ke tengah-tengah masyarakat Arab jahiliah dulu memang menjadi suatu “kejutan budaya”. Ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw disambut sebagai suatu yang pelik, yang bercanggah dengan ajaran yang selama berkurun diajar oleh nenek-moyang mereka. Islam yang ditawarkan oleh Nabi Muhammad saw itu sangat asing, sama sekali berlainan dari apa yang telah sekian lama dianuti mereka.

Memang menjadi naluri semulajadi manusia untuk rasa selesa dan berpegang dengan apa yang telah menjadi kebiasaan mereka. Bukan suatu yang mudah untuk seseorang mengubah pegangan atau menukar amalan yang telah bersebati sekian lama.

Namun, ditakdirkan oleh Allah Ta’ala, Rasulullah saw berjaya juga mendorong perubahan itu. Islam yang dibawa oleh Baginda saw diterima dan dikembangkan. Sedikit demi sedikit bumi Arab dinaungi Islam, sehinggalah akhirnya agama suci ini tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Kemudian, setelah berlalu beberapa masa, ajaran dan amalan Islam mula dipengaruhi oleh unsur-unsur yang tidak jelas asal-usulnya, yang diada-adakan. Ia kemudiannya berkembang menjadi suatu penyimpangan yang diterima baik sebahagian umat Islam sendiri.

Kecenderungan ini diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Kini setelah berada pada jarak masa lebih 1,400 tahun dengan kehidupan di zaman Nabi saw, dapatlah kita bayangkan betapa penyimpangan yang bermula mungkin hanya seinci suatu ketika dulu, mungkin kini sudah berada sebatu jauhnya daripada landasan asal.

Akibatnya, umat Islam sendiri dewasa ini sudah tidak mampu membezakan di antara amalan yang benar-benar datang dari Sunnah dan menepati apa yang diajarkan oleh Rasulullah saw, dan mana pula yang sebenarnya diada-adakan sehingga menjadi adat kebiasaan.

Akhirnya, apabila ada pihak mengajak umat Islam supaya kembali menghayati dan meneliti ajaran agama mengikut apa yang secara jelas ditunjukkan oleh Rasulullah saw, usaha ini bertembung dengan terlalu banyak percanggahan dan kesukaran. Ia bukan lagi daripada kalangan penganut agama bukan Islam, tetapi dari masyarakat Islam itu sendiri.

Sesuatu yang bukan dari Sunnah dianggap seolah-olah ajaran Islam dan disebatikan sebagai amalan di dalam masyarakat. Sebaliknya, usaha menegakkan sesuatu yang menepati Sunnah pula dipandang sinis dan pelik, serta dianggap bercanggah dengan adat masyarakat. Islam telah kembali menjadi “asing” di tengah-tengah para penganut agama Islam sendiri!

Kita perlu memperbetulkan keadaan ini. Kembalilah kepada dua sumber asal agama kita, iaitu al-Quran dan Sunnah Nabi saw dalam setiap aspek hidup kita.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Era Muslimah, Bil: 25, terbitan Jun 2014 di ruangan Coretan Ketua Pengarang dengan tajuk sama)