Oleh: Mat Zain Mat Isa
Saban tahun kedatangan 16 Mei menjadi antara tarikh dinantikan warga sekolah. Biar pun ia bukan cuti umum yang sangat disenangi para penjawat awam, mahu pun para pelajar, hari tersebut selalunya menyediakan peluang kehadiran lebih santai para guru dan murid ke sekolah.
Pada hari tersebut masyarakat negara meraikan sambutan Hari Guru. Selalunya ia diisi dengan acara ringan, lebih kepada persembahan pentas, pertandingan atau mungkin acara sukaneka.
Ertinya pelajar tidak perlu menekuni pembelajaran di dalam kelas. Mereka juga tidak dibebani galasan beg yang melenguhkan bahu. Manakala guru-guru tidak perlu bersusah payah merangka dan mempersiapkan silabus yang mahu diajar.
Tahun ini tema dipilih ialah “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”. Ia bukan tema agak asing, memandangkan sejak sedekad lalu tema-tema dikemukakan kerajaan hanya berkisar pada memartabatkan guru sebagai penjana, pembina, pemangkin dan aspirasi terhadap sesuatu unsur positif diperlukan negara.
Contohnya, untuk dua tahun berturut sebelum ini, temanya ialah ‘Guru Pembina Negara Bangsa’. Pada 2007, ada tema ‘Guru Penjana Modal Insan Gemilang’. Sebelum itu, pada 2004 dan 2005, digunakan tema ‘Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan’. Manakala untuk dua tahun sebelumnya ‘Guru Berkualiti Aspirasi Negara’.
Justeru memilih untuk mengiktiraf guru sebagai penjana sekali lagi kali ini bukan suatu yang luar biasa. Apatah lagi tema itu turut menggabungkan ‘tranformasi’, yang merupakan istilah paling diminati pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.
Ia seakan mengajak warga pendidik untuk sama-sama menghayati agenda transformasi yang laris diperkenal dan diperkatakan kerajaan. Antaranya, Program Tranformasi Ekonomi (ETP) dan Program Tranformasi Kerajaan (GTP).
Kini, menerusi tema Hari Guru 2011, kerajaan berhasrat mengembangkan idea transformasi ke bidang pendidikan pula. Untuk itu, guru selaku pemain utama sektor pendidikan diberi tugas menjananya.
Malangnya, sama ada label ‘penjana’ itu suatu amanah yang mesti dipikul atau pengiktirafan diberikan kerajaan terhadap keupayaan warga pendidik menjayakan misi dan visi dipacak kerajaan, layanan diterima para guru masih agak mendukacitakan.
Pulangan kepada komitmen dan pengorbanan mereka mendidik anak bangsa agar menjadi warga berguna seakan tidak setimpal. Isu-isu yang melatari sektor pendidikan mengisyaratkan betapa mereka sebenarnya masih dibelenggu peraturan yang tidak begitu membela kebajikan dan kepentingan mereka.
Para guru sering menjadi mangsa kecaman dan salah tanggapan masyarakat setiap kali kes-kes terpencil membabitkan murid dikenakan hukuman fizikal disensasikan media massa. Walau pun dalam kes-kes tertentu kesilapan agak melampau memang diakui berlaku di pihak guru, namun dalam kebanyakan kes, yang sebenarnya teraniaya dan tertekan ekoran peraturan yang terlalu membela pelajar ialah guru.
Akibatnya tidak sedikit guru terpaksa berdepan tindakan dispilin pihak pentadbiran. Ada juga yang dihadapkan ke mahkamah gara-gara mahu mendidik anak-anak murid menjadi insan bertanggungjawab.
Di masa sama, isu pemotongan peruntukan kerajaan membiayai berbagai program dan aktiviti sekolah juga sebenarnya suatu bebanan yang terpaksa dipikul para guru. Demi memastikan kelangsungan aktiviti ko-kurikulum dan pembelajaran tambahan, khususnya bagi menjana kecemerlangan murid dalam peperiksaan awam, tanggungjawab mengadakan dana juga terletak di bahu guru.
Selain itu, di saat penjawat awam lain menikmati kemudahan elaun perbatuan untuk mana-mana perjalanan atas urusan kerja, para guru rupanya masih dibelenggu peraturan tuntutan tambang teksi satu tempat duduk bagi yang keluar berkursus.
Menyedari beban tanggungjawab yang berat dipikul para guru dan perbezaan layanan diterima mereka daripada kerajaan, maka kita rasa sudah selayaknya nasib golongan pendidik ini diberikan pembelaan.
Barangkali faktor itu turut diambilkira Pakatan Rakyat dalam merangka Buku Jingga. Justeru, salah satu janji yang dimuatkan sebagai agenda 100 hari ditakdirkan memerintah negara ialah menaikkan gaji bulanan guru sebanyak RM500.
Mengapa guru yang diutamakan berbanding penjawat awam lain? Barangkali mengambilkira betapa mereka membentuk kumpulan penjawat awam paling besar. Dianggarkan lebih 500,000 daripada 1.2 juta kakitangan awam adalah guru. Maka sudah tentu kesan perubahan paling awal itu (ditakdirkan Pakatan memerintah negara) akan lebih mudah dirasai sekiranya dibuat membabitkan kumpulan paling besar.
Selain itu, mereka bergelar guru wujud di seluruh negara, di segenap pelusuk tanahair. Di mana ada sekolah atau institusi pendidikan, di situ ada manusia bergelar guru. Ia berbeza dengan pejabat-pejabat kerajaan lain yang wujud hanya di pekan atau bandar tertentu. Maka sebarang perubahan kepada pembelaan nasib guru akan menghasilkan kesan menyeluruh di serata negara.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1641, 20 Mei 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment