Oleh: Mohd Nasir Awang
Bersungguh benar nampaknya Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, memastikan cetusan ideanya mengenai kedudukan wakil masyarakat Cina dalam kerajaan diberikan perhatian.
Biar pun pendirian kontroversi itu pernah mendapat reaksi negatif termasuk oleh para pemimpin parti-parti rakan komponen Barisan Nasional (BN) sendiri ketika beliau pertama kali menyuarakannya ekoran keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, 16 April lalu, itu sedikit pun tidak menumpulkan hasratnya terus menjulang ideanya itu.
Kini pendirian sama diulangnya lagi. Dalam kenyataan kepada media pada Jumaat, Soi Lek dilapor mempertegaskan bahawa sikap itu kini menjadi keputusan sebulat suara Majlis Mesyuarat Presiden partinya yang diadakan pada hari sama. Ertinya ia kini menjadi pendirian rasmi MCA dan bukan lagi pandangan peribadi Soi Lek.
Menurutnya, MCA tidak akan menerima sebarang jawatan di peringkat Pusat dan negeri jika parti itu gagal meraih sokongan masyarakat Cina terhadap BN. Katanya, penolakan tersebut bukan sahaja membabitkan jawatan Kabinet dan Exco negeri, tetapi turut melibatkan jawatan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), Ketua Kampung serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung..
Dalam ungkapan lain, partinya tidak akan mengambil bahagian dalam pentadbiran kerajaan sekiranya ia gagal mencatatkan keputusan memuaskan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.
“Maksud kurang memuaskan di sini ialah kita akan guna keputusan pilihan raya umum lalu sebagai penanda aras... jika jumlah (kerusi dimenangi) pada pilihan raya umum akan datang kurang daripada apa kita menang pada 2008, ia dikira tidak memuaskan,” katanya.
Pada 2008, MCA menang hanya 15 daripada 40 kerusi Parlimen diperuntukkan kepadanya. Manakala di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun), ia menang hanya 31 daripada 90 kerusi ditandinginya.
Ertinya, jika dalam PRU-13 nanti prestasi MCA lebih buruk daripada itu, parti itu tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan. Ada sekurang-kurangnya dua alasan diberikan Soi Lek bagi menyokong pendirian itu.
Pertama, katanya, ia sebagai tanda MCA menghormati pendirian masyarakat Cina yang tidak lagi memilih parti itu. Logiknya, oleh kerana kaum itu tidak lagi menaruh kepercayaan kepada MCA untuk mewakili mereka dalam kerajaan BN, maka apa gunanya ia terus menawar diri memperjuangkan suara mereka.
Di atas hujah sama Soi Lek sebelum ini menggesa parti-parti berasaskan kaum Cina di Sarawak menolak sebarang tawaran menduduki Kabinet negeri seusai PRN Sarawak pertengahan bulan lalu. Kekalah teruk SUPP di tangan DAP dan PKR dijadikan bukti Cina menolak untuk bersama BN.
SUPP yang diberi tanggungjawab mewakili BN di 19 kerusi hanya mampu memenangi enam daripadanya. Bagi Soi Lek, itu sudah lebih dari cukup untuk membuktikan kaum Cina tidak lagi mempercayai SUPP sebagai wakil mereka.
Kedua, menurut Soi Lek, keputusan yang diambil itu secara tidak langsung akan menyuntik semangat kepada seluruh ahli MCA agar menggandakan usaha bagi meningkatkan sokongan masyarakat Cina menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang dijangkakan berlangsung tidak berapa lama lagi.
Sementara Soi Lek dan partinya cuba memperlihatkan sikap bertanggungjawab dan gentleman, pendirian itu juga tidak sukar dinilai dari perspektif berbeza.
Paling tidak, ada yang menilai desakan pemimpin MCA itu seakan menyindir parti-parti komponen lain yang gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan, tetapi tidak malu menerima tawaran menduduki Kabinet. Pada 2008 lalu, selain MCA, masalah kemerosotan sokongan kaum masing-masing turut dialami PPP, Gerakan dan MIC.
Turut menerima kekalahan di tangan pakatan pembangkang ialah presiden ketiga-tiga parti itu. Soi Lek sendiri tidak tersenarai bersama mereka kerana beliau tidak bertanding dalam PRU lalu.
Namun dalam pembahagian kerusi Kabinet, wakil-wakil parti terbabit turut diberikan peluang mengisinya. Barangkali Soi Lek melihatnya sebagai suatu yang tidak wajar.
Sepertimana dia beralasan ketika mendesak SUPP menolak sebarang jawatan Kabinet negeri Sarawak, Soi Lek berpandangan parti-parti terbabit perlu menerima hakikat bahawa kaum yang sepatutnya mereka wakil telah menolak hasrat mereka menjadi wakil kaum tersebut.
Justeru, secara ‘gentleman’ tidak ada gunanya mereka (parti-parti komponen) yang sudah tidak mendapat kepercayaan kaum mereka beriya-iya untuk terus menjadi wakil kaum masing-masing.
Ia sepintas lalu menampakkan ketegasan, di samping turut terselit unsur merajuk. Malah lebih ketara ia seakan sindiran buat pihak yang kalah agar tidak terus menuntut bahagian dalam pemerintahan, walau pun sudah gagal melaksanakan tanggungjawab meraih sokongan kaum masing-masing kepada BN.
Namun, kesan yang mungkin lebih dihasratkan Soi Lek ialah terhadap kaumnya sendiri. Pendiriannya itu seakan satu amaran tegas kepada masyarakat Cina agar berfikir semula untuk terus memalingkan sokongan daripada BN.
Soi Lek sebenarnya cuba bermain psikologi. Ia seakan mengugut dan memberi kata dua kepada pengundi Cina, sama ada membantu kemenangan MCA atau berdepan risiko tidak mempunyai wakil dalam kerajaan BN nanti.
Itulah tekanan psikologi yang tersirat di sebalik ketegasan Soi Lek. Beliau sebenarnya melontarkan pilihan agar masyarakat Cina berfikir, jika mereka mahu terus diwakili dan suara mereka masih didengari dalam setiap peringkat pentadbiran kerajaan dikuasai BN, mereka perlu kembali memberikan sokongan besar kepada MCA.
Cuma Soi Lek mungkin terlupa bahawa perkiraanya itu dibuat berdasarkan andaian BN masih memerintah negara selepas PRU-13 nanti. Sedangkan gelombang penolakan terhadap BN di kalangan masyarakat Cina sebenarnya dengan cita-cita melihat perubahan pemerintahan negeri dan negara.
(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily, 2 Mei 2011 dengan tajuk "Soi Lek ugut pengundi Cina?")
No comments:
Post a Comment