Oleh: Mohd Nasir Awang
Bukan suatu yang dialu-alukan untuk kita mengingatkan
orang ramai tentang ‘sindiket’ penipuan mengutip derma untuk kerja-kerja
berkaitan agama. Di samping kes-kes sebegitu agak terpencil, kesan buruk akibat
cerita-cerita tidak menyenangkan itu dibimbangi mungkin menghakis tabiat baik
anggota masyarakat yang suka menderma dan membantu golongan yang memerlukan
sumbangan.
Bagaimana pun, mengambil kira hakikat betapa aktiviti
penipuan dalam pelbagai bentuk semakin lumrah kebelakangan ini, masyarakat
wajar didedahkan dengan apa jua kes sebegitu. Sekurang-kurangnya pendedahan itu
mampu membekalkan maklumat dan meningkatkan kewaspadaan mereka agar tidak
menjadi mangsa pihak yang cuba mengambil kesempatan dari keikhlasan mereka.
Akhbar harian baru-baru ini melaporkan kes penipuan
melibatkan beberapa penagih dadah yang berlagak alim dalam menagih derma
daripada orang ramai. Kejadian dikesan berlaku di salah sebuah ibu negeri
Pantai Timur.
Menurut laporan tersebut, segelintir penagih yang
terdesak untuk mendapatkan bekalan dadah dikatakan sanggup menipu orang ramai
dengan menagih simpati melalui kutipan derma yang kononnya dibuat untuk sekolah
agama.
Mereka menampilkan lagak seorang alim dan menggunakan
resit derma yang tertera lambang pihak berkuasa agama negeri terbabit untuk
meminta sumbangan orang ramai. Mereka turut memperagakan surat kebenaran
dikeluarkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi meyakinkan orang
ramai supaya menderma.
Para ‘penipu’ terbabit turut memegang tasbih dan
berzikir. Mereka juga mendakwa bertugas sebagai guru bertauliah di sebuah
sekolah tahfiz di sebuah daerah tidak jauh dari bandar berkenaan. Kononnya
pondok berkenaan memerlukan bantuan segera bagi menyiapkan sebuah bangunan
terbengkalai.
Laporan berkenaan turut mendedahkan hasil penipuan itu,
setiap mereka berjaya memperolehi derma antara RM300 hingga RM500 sehari. Jumlah
itu dikatakan cukup untuk menampung perbelanjaan membeli dadah selama seminggu.
Tidak dapat dipastikan sejauh manakah meluasnya aktiviti
seumpama ini. Pada anggapan umumnya, sepertimana disebutkan awal tadi, individu
yang melakukan penipuan sebegitu tidak begitu besar jumlahnya. Kes-kes sebegitu
dianggap terpencil dan jarang dilaporkan media.
Pihak berkuasa agama negeri berkenaan yang diajukan
soalan mengenai kes tersebut juga memberikan reaksi yang menjurus ke arah itu. Selain
berjanji akan menjalankan siasatan lanjut, ia mengakui tidak pernah menerima apa-apa
aduan daripada orang ramai berkaitan kes penipuan sebegitu.
Daripada kenyataan itu dapatlah difahami bahawa perakuan
sama ada kes-kes sebegitu benar-benar wujud atau tidak hanya akan dibuat pihak
berkuasa agama setelah adanya aduan dan siasatan. Maka selagi mana tiada
anggota masyarakat yang memanjangkan kes penipuan yang berlaku ke atas mereka,
dapat diandaikan bahawa selagi itulah tidak ada siasatan oleh pihak berkenaan.
Persoalannya, apakah apabila tiada aduan diajukan kepada
pihak berkuasa bermakna kes sebegitu memang tidak pernah berlaku? Apakah tidak
mungkin anggota masyarakat yang pernah menjadi mangsa ‘sindiket’ itu memilih
untuk tidak melaporkannya?
Perlu juga diakui bahawa andaian kononnya kes-kes
penipuan sebegitu tidak berlaku hanyalah berdasarkan penilaian umum dan
bukannya bersandarkan kajian atau siasatan menyeluruh oleh mana-mana pihak. Ia
sebenarnya bertolak daripada perasaan baik sangka anggota masyarakat. Kita
sering mengambil mudah dan tidak gemar mempertikaikan kesahihan apa-apa
aktiviti pihak lain, lebih-lebih lagi yang dikaitkan dengan kerja agama.
Perlu diingat apa yang dilaporkan akhbar tadi adalah
hasil intipan dan siasatan wartawannya. Ia juga mengambil kira maklumat dan
cerita orang ramai yang ditemui sekitar bandar tersebut.
Mahu tidak mahu, ada baiknya diterima bahawa kegiatan
penipuan itu memang berlaku. Meski pun kita boleh bersetuju perbuatan sebegitu
hanyalah ibarat ‘nila setitik’ atau ‘seekor kerbau yang membawa lumpur’, kita
juga perlu akui ia berpotensi merosak dan mencemarkan pihak lain.
Ada sekurang-kurangnya dua pihak yang akan menerima kesan
buruk ekoran perlakuan segelintir ‘penipu’ itu. Pertama, orang ramai yang sudi
menderma secara ikhlas. Kedua, golongan yang melakukan pungutan derma
menggunakan saluran betul dan kerana tujuan yang betul-betul kerana agama.
Masyarakat kita, sama ada kalangan berada mahupun kurang
berada, selalunya tidak lokek untuk menghulurkan sumbangan sekadar termampu. Mereka
jarang mempertikaikan kesahihan niat dan saluran diguna pihak yang mengutip
derma.
Apa yang mereka pentingkan hanyalah perkiraan mereka yang
terus dengan Allah Ta’ala. Asal saja
niat mereka ikhlas dan Allah Maha Mengetahui tentang hal itu, mereka sudah
tidak kisah apa akan dilakukan dengan duit yang mereka dermakan.
Bagaimana pun, andai kata terbukti wujudnya golongan yang
memanipulasi kemurahan hati dan keikhlasan mereka demi tujuan peribadi, ia
tidak syak lagi akan melunturkan keikhlasan pihak yang menderma itu.
Pihak yang turut akan menerima kesan buruk dari penipuan
ini ialah golongan yang benar-benar memerlukan derma bagi menjayakan sesuatu
kerja agama. Meski pun menggunakan saluran betul untuk tujuan yang betul,
mereka turut dipertikaikan, angkara aktiviti segelintir penipu.
Sebab itu, meski pun pihak yang melakukan aktiviti
mungkar itu hanya segelintir, ia wajar dibasmi segera. Selain kesan terhadap
dua pihak disebutkan tadi, mereka juga sebenarnya melakukan kesalahan berganda.
Sekali kerana menipu, sekali lagi kerana mempersenda dan memberikan imej buruk
terhadap golongan yang dekat dengan agama.
(Artikel ini
disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Julai 2009 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment