Sunday, June 28, 2009

Pro, kontra perubahan saf kepimpinan PAS Terengganu


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

DEWAN Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menyifatkan saf kepimpinan baru Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) yang diumumkan 17 Jun lalu adalah gabung jalin terbaik antara muka-muka lama, baru dan pemimpin pelapis parti di negeri itu.

Timbalan Ketuanya, Ustaz Wan Sukairi Abdullah, melahirkan keyakinan bahawa ketiga-tiga kumpulan itu yang memiliki keistimewaan dan kelebihan masing-masing akan saling melengkapi antara satu sama lain. Gabungan mereka akan membuahkan saf kepimpinan mantap, terutama dalam menyusun strategi dan gerak kerja menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Ianya (saf kepimpinan) sangat mantap. Di samping muka-muka lama, Datuk PJ (Datuk Harun Taib, Pesuruhjaya PAS Terengganu) dan Datuk ABC sebagai TPJ I (Datuk Abu Bakar Chik, Timbalan Pesuruhjaya I), Wahid (Mohd Abdul Wahid Endut) mewakili muka baru. Ustaz Saiful (Satiful Bahari Mamat) pula pelapis,” ujar Wan Sukairi.

Beliau mengulas saf kepimpinan baru PAS Terengganu yang diumumkan Harun, minggu lalu. Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu kira-kira seminggu sebelumnya.

Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir selama enam penggal menamakan Abu Bakar sebagai salah seorang dari tiga timbalannya. Seperti Harun, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu adalah juga bekas anggota Exco kerajaan Terengganu di zaman pemerintahan PAS lalu.

Turut diumumkan ialah pelantikan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid, sebagai TPJ II. Pada beberapa penggal sebelum ini Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Adun Wakaf Mempelam itu memegang tugas Bendahari PAS Terengganu.

Jawatan TPJ III pula disandang bekas Adun Paka, Satiful Bahari. Jawatan setiausaha kekal di tangan YDP PAS Marang, Yahaya Ali. Beliau dibantu dua penolong setiausaha, iaitu Ustaz Kamaruddin Yunus (Pegawai Tadbir Pejabat BPPNT) dan Mohd Hanafiah Ramli (PAS Kemaman).

Jawatan bendahari pula disandang bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Haji Muhyiddin Abdul Rashid. Beliau adalah Ketua Penerangan PAS negeri sessi lalu.

Jawatan itu kini diisi bekas YDP PAS Besut, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh. Beliau adalah Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat sessi lalu.

Turut diumumkan ialah pelantikan tujuh Ahli Jawatankuasa BPPNT yang baru. Mereka ialah Abdul Haris Malek, Mohd @ Harun Jusoh, Husin Ismail, Azman Shapawi Abdul Rani, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Toh Puan Fatimah @ Zainab Ibrahim dan Zaroni Othman.

“Dalam mencanangkan perubahan, kita tidak semestinya berubah seratus-peratus. Kepimpinan yang baik tidak boleh lari dari tunjuk ajar dan pengalaman orang lama. Harapnya muka baru dan pelapis yang digandingkan itu akan memanfaatkan peluang ini menimba pengalaman dan mempelajari kebijaksanaan mereka (orang lama) sebagai bekal mengambilalih kepimpinan di masa akan datang,” ulas Wan Sukairi lagi.

Pandangan yang menuntut perubahan kepimpinan itu dilontarkan secara lebih kritis oleh seorang pengamal undnag-undang di Kuala Terengganu, Haji Zabidi Abdul Halim. Baginya, sudah sampai masanya bagi PAS negeri mengemukakan anjakan kepimpinan dengan mengenengahkan muka-muka baru menduduki tempat-tempat strategik dalam parti.

Secara kritis beliau menilai kepimpinan yang diumumkan sessi ini adalah tokoh-tokoh yang bakal dibariskan PAS untuk berhadapan pilihan raya umum nanti. Rakyat katanya, akan menilai sejauh mana keupayaan dan reputasi mereka untuk dipilih menerajui kerajaan negeri.

“Kita tidak mahu lagi melihat PAS dipinggir oleh masyarakat Terengganu, ditolak dalam pilihan raya, semata-mata kerana ia gagal menampilkan kepimpinan yang benar-benar menepati hasrat dan impian rakyat. Mercedez sekali pun modelnya selalu bertukar, orang nak model baru, tak pakai dah model lama,” ulasnya dalam nada serius.

Seorang usahawan di Besut, Haji Omar Sidek pula melahirkan keyakinannya terhadap gabungan kepimpinan diumumkan itu. Beliau yang juga bekas Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT) di zaman pemerintahan PAS lalu secara peribadi percaya pelantikan Abu Bakar sebagai gandingan Harun akan mampu memantapkan gerak kerja PAS negeri.

“Mereka ini (Harun dan Abu Bakar) adalah pejuang yang gigih dan bersemangat kental. Pemilihan mereka di peringkat (PAS) Pusat membuktikan meski pun mereka muka lama, tetapi masih diakui relevan dengan perjuangan ini,” katanya.

Apa pun pandangan pro dan kontra berhubung pelantikan saf kepimpinan baru PAS Terengganu, ia wajar diakui menampilkan gabungan mantap dan berencana. Hampir tidak ada pemimpin penting negeri itu yang ketinggalan, termasuk Adun-Adun PAS.

Selain Harun sebagai Adun Manir, Mohd Abdul Wahid (Wakaf Mempelam) dan Dr. Syed Azman (Batu Burok), Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Ru Rendang) turut dilantik sebagai penasihat.

Adun Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah secara ex-officio menjadi ahli mesyuarat PAS negeri atas kapasitinya sebagai Ketua Dewan Pemuda negeri. Adun Sura, Wan Hassan Mohd Ramli pula terlibat atas kedudukannya sebagai YDP PAS Dungun.

Adun Ladang, Datuk Tengku Hassan Omar yang juga Timbalan YDP Kuala Terengganu akan mewakili Mohd Abdul Wahid di kerusi YDP kawasan itu.

Pelantikan Satiful Bahari sebagai TPJ III pula dilihat bakal memacu program tarbiyah dengan lebih rancak. Berbekalkan pengalaman dan latar belakang beliau yang sangat mantap dalam aspek pentarbiyahan, PAS boleh mempertaruhkan beliau untuk tujuan tersebut.

Pelantikan dua penolong setiausaha juga satu lagi pendekatan ke arah lebih memantapkan pentadbiran dan pengurusan parti menerusi pembahagian tugas lebih tersusun, insya Allah.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 5-11 Rejab 1430/28 Jun-4 Julai 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment