Sunday, July 26, 2009

Selepas stadium runtuh, kolam renang pula retak


Oleh: Anuwa Jamalullail

BELUM pun sempat masyarakat awam mendapat gambaran jelas dan meyakinkan mengenai hasil siasatan kes runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abdin (SSMZA) di Gong Badak, Kuala Terengganu, awal Jun lalu, rakyat negeri itu dimalukan pula dengan pengumuman penutupan dua lagi prasarana sukan di bandaraya tersebut minggu lalu, juga akibat kerosakan.

Dua prasarana itu ialah Stadium Tertutup Terengganu (STT) dan Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). Tindakan atas arahan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pusat itu ada hubungkait dengan penilaian tahap kerosakan yang dialami.

Akibatnya, walau pun kedua-duanya baru hanya lebih setahun disiapkan, kerosakan yang dikesan menyebabkan ia sudah tidak selamat dan tidak sesuai lagi dibuka kepada kegunaan awam.

Tidak syak lagi pemantauan dan penyiasatan lebih rapi mengenai tahap keselamatan prasarana tersebut adalah ekoran kejadian yang amat memalukan negara pada 2 Jun lalu. Mengimbas kembali kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, seluruh struktur bumbung yang memayungi tempat duduk utama di SSMZA runtuh secara tiba-tiba. Kejadian disahkan berlaku tanpa sebarang faktor semula jadi seperti ribut atau angin kencang.

Stadium itu merupakan komponen utama Kompleks Sukan Negeri Terengganu yang baru siap dibina kira-kira setahun lalu dengan kos keseluruhan lebih RM500 juta. Kos pembinaan stadium itu sahaja adalah RM292 juta. Ia pertama kali digunakan untuk temasya sukan Malaysia (Sukma) 2008.

Memandangkan liputan media mengenai pembinaannya agak meluas, keruntuhannya dalam usia setahun jagung memberikan kesan amat besar kepada imej dan kredibiliti pihak-pihak yang terbabit dalam pembinaannya.

Stadium itu menjadi kebanggaan Terengganu, khususnya Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan. Kemampuannya memuatkan kapasiti 50,000 penonton menjadikannya stadium terbesar di Pantai Timur. Selain menempatkan padang bolasepak, ia juga menyediakan gelanggang tertutup untuk prasarana boling dan skuasy.

SSMZA turut memiliki beberapa keunikan lain, antaranya penggunaan spesifikasi TERmoden, TERkini dan berteknologi tinggi dalam pembinaannya. Ia juga stadium pertama di Pantai Timur menggunakan rumput TERmoden dikenali sebagai cow grass.

Sejarah lebih membanggakan bagi Terengganu ialah apabila SSMZA dikatakan stadium pertama di Asia menggunakan sistem bumbung tanpa kolum (space frame structure), yang mana kesemua 134 meter bumbungnya dibina tanpa tiang sokongan.

Kehebatan senibina itu mengalahkan semua stadium di negara-negara industri seperti Jepun, Korea mahu pun China. Tidak usah dibandingkan dengan Thailand, Singapura atau pun Laos. Hebatnya Terengganu, bukan?

Namun segala kebanggaan itu ranap serta-merta di saat cerita keruntuhannya tersebar. Rasa malu diterima rakyat negeri itu juga sama hebat dengan rasa bangga sebelum itu.

Macam-macam luahan dan soalan timbul. Bagaimana mungkin stadium yang baru siap sudah runtuh? Macam mana boleh stadium yang sangat mahal dan canggih runtuh juga?

Semua pihak yang terlibat dengan pembinaan SSMZA dituntut memberikan penjelasan. Selaku ketua kerajaan negeri, Datuk Ahmad Said menjadi orang paling “panas telinga”.

Beliau lalu mendakwa kononnya telah pun beberapa kali memberi amaran kepada pihak bertanggungjawab mengenai tahap keselamatan bumbung stadium itu. Malah katanya, kerosakan itu telah pun beliau sedari sejak hari perasmiannya pada 10 Mei 2008 lalu.

Ekoran tragedi runtuhan itu juga kesedaran dan keprihatinan rakyat terhadap tahap keselamatan bebetapa prasarana sukan lain di Terengganu meningkat mendadak. Pendedahan media mengenai pelbagai bentuk kerosakan di beberapa pusat kemudahan sukan yang baru disiapkan menjelang temasya Sukma 2008 menjadi bahan bual bicara rakyat Terengganu.

Ahmad pula mengarahkan pemeriksaan rapi dan teliti dibuat segera terhadap beberapa struktur penting, terutama di dua lagi stadium yang terdapat di ibu negeri itu, iaitu STT yang terletak bersebelahan SSMZA dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di pusat bandaraya.

Turut disorot media ialah kebocoran yang berlaku di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di pantai Batu Burok. Ia dikatakan retak dan kesan titisan air dari kolam itu menghasilkan “kolam” di beberapa premis perniagaan yag terletak di bawahnya.

Siasatan mendapati memang terdapat kelemahan ketara dalam pembinaannya sehingga menjejaskan tahap keselamatannya untuk kegunaan awam. Laporan akhbar harian, Rabu (22 Julai) lalu yang memetik ulasan Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Dr. Judin Abdul Karim mengenai penutupan STT dan kolam renang itu mengesahkan kebimbangan tersebut.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati banyak kelemahan dan kesilapan teknikal yang boleh dipersoalkan dalam pembinaan pusat akuatik bernilai hampir RM19 juta itu sehingga ia tidak selamat digunakan walau pun baru setahun disiapkan.

Lebih mendukacitakan, Dr. Judin turut tidak menolak kemungkinan adanya unsur salah laku dalam proses mereka bentuk serta piawaian pembinaan kolam renang itu. Ekoran itu, katanya, pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Salah Laku bagi menyiasat sebarang kemungkinan pembabitan pegawai JKR dan kontraktor projek itu dengan unsur tersebut.

Apa pun hasil siasatan itu nanti sudah menjadi perkara kedua. Perkara utama yang telah pun terbukti ialah kedua-dua prasarana yang dibina sebegitu mahal itu sudah rosak dan terpaksa ditutup. Ia satu lagi hakikat memalukan.

Luahan dan soalan serupa seperti dalam kes runtuhan stadium lalu timbul kembali. Bagaimana mungkin binaan yang baru siap sudah rosak?

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 26 Julai-1 Ogos 2009 dengan tajuk serupa)

No comments:

Post a Comment