Oleh: Mohd Nasir Awang
SETAKAT ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
boleh dianggap berjaya membebaskan dirinya dari bayangan orang digantinya. Di antara
perubahan paling awal dibuatnya ialah memperkenalkan slogan atau konsep baru pemerintahannya.
Jika era Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terkenal dengan
slogan ‘Islam Hadhari’ dan tagline ‘Bekerja
Bersama Saya, Bukan Bekerja Untuk Saya’, apa yang dicetuskan Najib dan kini hebat
digemariuhkan segenap peringkat organisasi kerajaan nampaknya lebih mempesonakan.
Slogan ‘1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan’ kini dipaksa menjadi titian bibir segenap pelaksana dasar kerajaan.
Konsep itu diulas dan dibual bicara secara positif dari segenap perspektif,
termasuk pentadbiran, ekonomi, sosial mahu pun agama.
Ia dikatakan konsep yang sangat mantap dan pengajarannya
amat tepat pada masanya. Penerimaan rakyat terhadap konsep itu juga digambarkan
media arus perdana sebagai sangat memberangsangkan.
Di antara terjemahan langsung kepada konsep tersebut
melahirkan satu lagi tagline, iaitu ‘Malaysia
Untuk Semua’. Malah ada ketikanya ia sengaja disalah sebut para pendukung
Barisan Nasional (BN) sehingga kedengaran sebagai ‘BN Untuk Semua’.
Slogan itu bagaimana pun tidak sempat diulangsebut begitu
lama. Keghairahan para pendukung BN menyebutnya serta-merta terbantut apabila
ada pihak mendakwa parti itu meniru slogan-slogan ‘PAS Untuk Semua’ dan ‘KeADILan
Untuk Semua’ yang terlebih dahulu diperkenalkan.
Memang itulah pantang larang dalam politik. Mana-mana
pihak pun tidak akan bersedia mengaku kalah, lebih-lebih lagi BN yang terkenal
bongkak dan ego itu. Walau pun sudah terang lagi bersuluh slogan ‘BN Untuk
Semua’ itu adaptasi slogan serupa oleh dua parti lawannya, BN tetap
menafikannya.
Malah, parti itu lebih rela menghentikan penyebutannya. Namun
penghuraian kepada apa yang digambarkan sebagai sikap dan pendirian kerajaan
pimpinan Najib menerusi konsep 1Malaysia tetap menemukan kita dengan ungkapan ‘Malaysia
Untuk Semua’. Mengaku atau tidak, tiru jugalah namanya tu, bukan?
Para pemimpin dan pendukung kerajaan begitu bersungguh
cuba meyakinkan rakyat betapa di bawah konsep 1Malaysia segala yang dirancang
dan dilaksanakan kerajaan adalah untuk manfaat dan kebaikan semua rakyat. Kononnya
tidak akan ada pihak yang dipinggir atau disisihkan. Tidak ada sebarang pilih kasih
atau diskriminasi, sama ada di atas garisan kaum, agama mahu pun kecenderungan
politik.
Meski pun saya masih belum berhasrat menyatakan penilaian
menyeluruh terhadap konsep 1Malaysia, saya sudah menemukan satu kesan positif
daripadanya. Bagi saya keghairahan kerajaan mencanangkannya secara tidak
langsung membuka ruang sangat luas untuk rakyat membahas dan mengutarakan
prinsip keadilan, terutama dalam pelaksanaan setiap dasar dan program kerajaan.
Para pemimpin kerajaan pula, terutama kalangan menteri,
secara tidak langsung turut dibebani peranan membuktikan betapa 1Malaysia benar-benar
konsep yang adil dan saksama untuk semua pihak. Makanya sebarang dasar atau
peraturan diperkenal dan dilaksanakan kementerian masing-masing kini tertakluk
kepada pertikaian dan penilaian dari perspektif keadilan dan kesaksamaan itu.
Lawan kepada dua prinsip itu ialah pilih kasih atau diskriminasi.
Sikap dan tabiat primitif inilah yang sejak sekian lama menghantui dan melekat kuat
pada batang tubuh BN. Senarai tindakan diskriminasi BN, terutama di peringkat
akar umbi amat panjang.
Imej dan reputasi parti itu sebagai pemerintah yang gemar
menafikan hak dan kepentingan segolongan rakyat, terutama di atas merit
politik, menjadi antara penyebab utama ia dibenci dan ditolak rakyat.
BN sedar rupa hodohnya itu dan cuba memperbaikinya. Saya melihat
usaha itu antara yang tersemai kukuh di sebalik penakrifan slogan 1Malaysia
yang rancak dicanangkan kini.
Sebab itu minggu lalu saya agak terkejut apabila
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tiba-tiba mengutarakan pendekatan
yang saya kira sangat bertentangan dengan usaha tadi.
Sebuah akhbar harian Isnin (20 Julai) lalu melaporkan
hasrat kementerian itu menubuhkan Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP)
di seluruh negara. Menurut menterinya, Datuk Noh Omar, fungsi majlis itu adalah
bagi memajukan sektor pertanian secara sistematik dan berkesan.
Namun, apa yang menghanyirkan ialah ia juga akan menjadi
badan penentu dalam meluluskan setiap bantuan yang disalurkan Kerajaan Pusat. Kuasa
yang selama ini diberikan kepada pegawai agensi atau jabatan terbabit kini
diserahkan kepada MPPP.
“Tindakan tatatertib akan dikenakan kepada pegawai agensi
pertanian yang meluluskan bantuan kepada petani tanpa merujuk kepada majlis
itu,” Noh memberi amaran keras.
Sesiapa pun yang mengikuti sepak terajang politik negara
sudah masak dengan dasar dan peraturan seperti ini. Rakyat sudah cerdik dan
dapat membaca maksud tersirat di antara barisan ayat-ayat itu. Ia sebenarnya
medan sangat subur untuk amalan diskriminasi, terutama di atas merit politik.
Hakikat bahawa jawatankuasa MPPP adalah lantikan politik
sekali gus menyuburkan kembali persepsi bahawa ia sebenarnya manipulasi kuasa
oleh BN untuk memperkukuhkan cengkaman politiknya di peringkat akar umbi.
Bagi saya tindakan menteri berkenaan bukan sahaja
mencemarkan hasrat murni konsep 1Malaysia yang cuba menekankan prinsip keadilan
dan kesaksamaan, malah memberikan isyarat betapa BN sudah terlalu terdesak
mempertahankan hegemoni kuasanya, terutama di peringkat akar umbi. Ia juga
mengundang persepsi bahawa tahap kepercayaan BN terhadap kredibiliti dan
profesionalisme para pegawai kerajaan amat rendah.
Saya tidak pasti apakah menteri berkenaan sedar akan
hakikat ini. Ataukah sentimen politik kepartiannya terlalu tebal dan berkarat
sehingga tidak dapat berfikir secara rasional dan profesional lagi dalam
menguruskan kementeriannya?
(Artikel ini
disiarkan tabloid Siasah, edisi 4-10 Syaaban 1430/26 Julai-1 Ogos 2009 di kolum
‘Perspektif’ dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment