Sunday, July 12, 2009

Mengurus percanggahan secara rasional, toleran


Oleh: Mohd Nasir Awang

AMAT mujur bagi para pendukung Pakatan Rakyat (PR), pertembungan antara DAP Kedah dan kerajaan negeri dipimpin PAS tidak melarat kepada percanggahan lebih besar. Buat masa ini isu perobohan pusat penyembelihan babi yang menjadi salah satu pertikaian utama antara kedua-dua pihak itu boleh dikatakan selesai pada prinsipnya.

Pendekatan menanganinya telah diambil secara bijaksana dan pantas oleh para pemimpin PR. Ia sekaligus menggagalkan hasrat Umno mencari kesempatan politik dari percanggahan PAS-DAP Kedah.

Sebaliknya, selaku tunjang Barisan Nasional (BN) yang mewariskan masalah itu kepada kerajaan sekarang, Umno sebenarnya patut malu dengan kegagalan pemerintahannya menyelesaikan perkara tersebut selama ini.

Pertembungan terbuka antara dua parti komponen PR itu meledak 1 Julai lalu apabila DAP Kedah mengumumkan keluar pakatan. Ia mendakwa banyak isu mengguris hati rakyat dibuat pentadbiran negeri di bawah PAS.

Isu perobohan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar pada hari sama adalah kemuncak percanggahan. Sebelum ini DAP menentang keputusan kerajaan negeri menaikkan kuota perumahan untuk bumiputera daripada 30 kepada 50 peratus.

Pada 1 Julai lalu, pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merobohkan pusat penyembelihan berkenaan setelah tempoh penangguhan operasi itu selama sebulan berakhir. Perobohan pusat itu sepatutnya dilakukan bulan lalu, tetapi atas budi bicara Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, ia ditangguhkan.

“Tempoh sebulan untuk menangguhkan kerja-kerja merobohkan pusat penyembelihan diminta sendiri oleh para pengusaha babi di pusat tersebut. Mereka juga telah berjanji untuk mencari tempat baru bagi dijadikan pusat penyembelihan,” jelas Azizan dalam reaksi awalnya.

Saya mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai isu ini daripada rakan wartawan alternatif di Kedah, Zulkifli Yahya. Beliau yang juga kolumnis sebuah tabloid politik memaklumkan lokasi pusat penyembelihan babi itu amat hampir dengan Pasar Awam Kampung Berjaya. Ia pada mulanya beroperasi secara berlesen. Bermula tahun 1995, lesen operasinya dibatalkan dan pusat itu diarahkan tutup.

Faktor utama arahan itu dibuat ialah kerana kegagalan pihak pengusaha pusat itu menjaga kebersihan. Ia juga mendapat bantahan penduduk sekitar dan pengguna pasar ekoran bau busuk serta menjijikkan. Zulkifli memaklumkan, majoriti pengunjung dan peniaga di pasar awam itu adalah orang Melayu/Islam.

Pusat itu juga terletak berhampiran beberapa kampung bermajoriti Melayu, seperti Teluk Yan dan Seberang Terus, selain Kampung Berjaya sendiri. Urus selianya yang tidak sempurna serta pembuangan sisa yang sewenangan mengakibatkan pencemaran persekitaran selain bau busuk yang sangat meloyakan.

Menilai beberapa fakta berkaitan pusat itu, saya agak kurang selesa dan sukar percaya mengapa DAP begitu beriya-iya membantahnya. Sebagai parti berpaksikan perjuangan demokratik, DAP sepatutnya menjunjung prinsip demokrasi. Antaranya meletakkan kepentingan awam, alam sekitar dan keselamatan mengatasi kepentingan parti atau segelintir pihak.

Kes ini sebenarnya tidak perlu diperbesarkan, apatah lagi dijadikan asas pemutus hubungan dua parti rakan. Soal menghormati hak dan meraikan kepentingan sesuatu kaum perlu dilihat secara dua hala. Dalam kes ini, tidakkah hak dan kepentingan majoriti patut diutamakan?

Sebagai parti dibarisi kepimpinan berlatarbelakang profesional, DAP sepatutnya menunjukkan sikap rasional dan toleran dalam menangani keadaam sebegitu. Ia perlu belajar menghormati dan merasionalkan keputusan pentadbiran negeri, terutama yang ditadbir parti rakannya.

Apatah lagi DAP sendiri turut memerintah negeri. Kerajaan pimpinannya di Pulau Pinang juga berhadapan isu membabitkan penguatkuasaan peraturan dan keputusan kerajaan yang ada kalanya bercanggah dengan kehendak rakyat.

Dalam kes terbaru membabitkan Kampung Buah Pala, contohnya, kerajaan negeri berterus-terang terpaksa akur kepada peraturan dan undang-undang bahawa status tanah kampung tersebut bukan lagi milik kerajaan negeri.

Undang-undang tetap undang-undang dan ia perlu dipatuhi. Maka di mana rasionalnya bagi parti itu mempertahankan sebuah pusat penyembelihan yang telah beroperasi selama 14 tahun secara haram?

Kita tidak sukar mengerti jika parti itu cuba menggambarkannya sebagai pejuang dan hero kepada sesuatu kaum tertentu. Namun sekiranya ia bermaksud mengaitkan isu perobohan pusat penyembelihan babi itu dengan peminggiran kepentingan kaumnya oleh kerajaan negeri dipimpin PAS, saya kira itu satu kesilapan besar.

Zulkifli memberitahu saya, sebelum ini di kawasan itu juga ada pusat penyembelihan lembu dan kerbau. Operasinya bagaimana pun didapati tidak sesuai dan pihak berkuasa tempatan mengarahkan pusat itu dipindahkan. Mereka akur dan berpindah tanpa banyak soal. Ertinya arahan menutup operasi penyembelihan di situ bukan sahaja kepada binatang kegemaran sesuatu kaum tertentu.

Penjelasan Azizan turut menafikan tindakan perobohan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya itu di atas dasar perkauman. Katanya, kerajaan negeri telah mengenalpasti lokasi alternatif bagi pusat penyembelihan baru, iaitu di Kampung Cina, Pendang.

Saya difahamkan kampung itu didiami majoriti kaum Siam. Mereka sudah memelihara babi dalam skala sara diri di kawasan rumah masing-masing.

Malangnya, usaha penyelesaian yang hampir menjadi kenyataan itu diganggu-gugat pihak ketiga. Mereka menganjurkan demonstrasi membantah, kononnya mewakili penduduk kampung berkenaan. Kehadiran bekas wakil rakyat Umno kawasan itu bagaimana pun mengesahkan bantahan itu sebenarnya didalangi parti itu.

Itulah rupa sebenar Umno. Sudahlah pemerintahannya lebih separuh abad gagal menyelesaikan isu itu, usaha PAS mengatasinya pula cuba disabotaj. Kerja jahat Umno menyulitkan keadaan itu amat memalukan!

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 19-25 Rejab 1430/12-18 Julai 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment